RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 1 Oktober 2017

Ekspedisi Gunung Reng


EKSPEDISI GUNUNG RENG
(JELI)

JELI, KELANTAN: Gunung Reng yang letaknya di laluan lebuh raya Timur-Barat dekat Batu Melintang, Jeli (Kelantan) dan Gerik (Perak) adalah sebuah gunung yang berdiri gagah sejak lebih 1400 tahun lalu. Kisah kejadian Kampung Tala dihempap gunung berkenaan dikatakan bermulanya lembaran tentang rahsia gunung tersebut berada di Kampung Batu Melintang, Jeli sehingga hari ini.

Penulis sendiri mula mengenali Gunung Reng berada di tapaknya sekarang ketika menjengah kisah berkenaan pada 28.7.2007 kerana agak ramai yang menceritakan tentang kisah Gunung Reng yang agak tersohor ketika itu malah agak ramai juga yang berjaya menawan puncak Gunung Reng itu. Jadi, wawancara dengan Pak Teh Hussin telah melahirkan rasa ingin tahu sementelah pula Penulis mendapat tahu Gunung Reng boleh didaki, justeru, cita-cita ke arah itu mula tercerna.

Berdasarkan tentang hakikat itulah, pada 15.9.2012 peserta kami yang terdiri daripada AZMI MOHD. SALLEH (Penulis), ANWAR AZMI (Anak Sulong Penulis), AZHAR AZMI (Anak Ketiga Penulis), ANIS SABIRIN BIN AZMI (Anak Keempat Penulis) serta MOHAMAD ABID SAIDIN (Abid-rakan Azhar) telah mengadakan "Ekspedisi Gunung Reng" bagi merasai pengalaman gunung itu pula. Sebelum berhasrat untuk mendaki Gunung Reng itu, niat asalnya adalah untuk memasuki Gua Keris yang letaknya di daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan.

Tetapi apabila peserta kami tiba di gerai Pak Da Soh di Kampung Gua Ikan, Dabong untuk tujuan itu terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal di pihak mereka. Lantas kami menukar niat dan beralih arah lalu menuju ke Kampung Batu Melintang, Jeli pada ketika itu juga.

Selepas menikmati hidangan, kami bertolak ke Gunung Reng dan setibanya kami di Masjid Batu Melintang yang berlatar belakangkan Gunung Reng, peserta kami menunaikan solat Zohor. Kami mula memasuki Gua Payong dan mendaki lereng Gunung Reng kira-kira jam 2.15 petang.

Untuk ekspedisi di gunung ini, kami menumpukan kepada pendakian melalui lereng Gunung Reng dan kami sempat melihat banyak gua di tepi gunung tersebut yang bermula dari tingkat bawah hingga tingkat lima gunung berkenaan. Di beberapa bahagian lereng Gunung Reng, peserta kami sempat bergambar kenangan dan Penulis lihat banyak gua di lereng gunung berkenaan boleh dijadikan tempat untuk uzlah, bersuluk dan bertapa.

Peserta kami cuba untuk mendaki ke puncak gunung itu melalui lereng, namun niat kami terhalang apabila didapati laluan ke puncak gunung itu telah runtuh apatah lagi dihalang pula kayu tumbang dan patah dari puncak gunung di laluan yang kami ingin daki. Kami terpaksa membatalkan niat untuk mendaki ke puncaknya akibat masalah tersebut dan kami kemudiannya menuruni lereng untuk menyelongkar di bahagian lain dalam gua itu.

Setelah hampir tiga jam kami dapat menyelongkar rahsia Gua Payong dan Gunung Reng, kami mula melangkah turun pada pukul 4.30 petang iaitu selepas kedengaran alunan azan Asar di masjid bersebelahan gunung itu. Selepas solat Asar di Masjid Batu Melintang itu, kami kemudiannya bertolak pulang.

 Peserta mendaki Gunung Reng pada 15.9.2012.

 Masjid Batu Melintang berlatar belakang Gunung Reng.


 Bergambar di pintu masuk Gua Payong sebelum ekspedisi bermula.

  Kami mula memasuki Gua Payong.

  Dalam ruang gua yang gelap, peserta kami bersiap dengan lampu suluh.


 Keadaan reka bentuk bumbung dan puncak Gunung Reng.


 Kami ketika ini sedang berada dalam gua di Tingkat Empat.

 Gua di Tingkat Lima. Kelihatan batu tiga jari di sebelah kiri lubang gua.

 Penulis sedang menyusur lereng Gunung Reng di Tingkat Lima.

 Sebuah gua di mana laluannya didapati menjunam ke bawah lereng.


 Peserta kami sempat bergambar di gua yang dimaksudkan.


 Gua ini sesuai untuk bertapa. Di sebelah atasnya kelihatan seperti bentuk haiwan (biawak).

 Penulis cuba bersila di sebuah batu yang sesuai untuk uzlah, bersuluk dan bertapa.

 Sebuah batu hidup dan membesar, bentuknya seperti haiwan.

 Seekor katak gergasi juga wujud dalam Gua Payong.

 Sebuah gua yang dalam. Kelihatan di bawah sana, sebuah sungai mengalir di bawah gunung.



 Kami bersiap untuk bertolak pulang jam 5.00 petang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 30 September 2017

Ekspedisi Gua Keris


EKSPEDISI GUA KERIS
(KUALA KRAI)

KUALA KRAI, KELANTAN: Gua Keris yang terletak di daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan adalah sebuah gua yang agak menarik. Berbanding dengan gua-gua yang lain, Gua Keris terlalu mudah untuk disusuri dan didaki sehingga ke puncaknya memandangkan susur laluannya agak ringkas dan pendek. Pendakian terakhir untuk sampai ke puncak hanya sampai di tingkat tiga.

Sejarah dan asal usul dinamakan Gua Keris berpunca daripada bongkah batu yang menyerupai "sebilah keris" yang seolah-olah terpacak di tingkat satu dan boleh dilihat oleh setiap pendaki apabila tiba di tingkat berkenaan. Dikatakan juga, bersebelahan bongkah sebilah keris ini dihuni oleh seorang "pertapa" atau digelarkan sebagai "pendita" berikutan terdapat sebuah tempat yang agak bersih apatah lagi kolam yang dikatakan tempatnya mengambil air wuduk sentiasa ditakungi air yang menitis dari puncak gua.

Menyedari betapa menariknya gua berkenaan yang terletak bersebelahan jalan utama berhampiran Gua Ikan, kira-kira 150 kilometer dari bandar Kota Bharu itu, pada 10 November, 2012 kami telah melakukan "Ekspedisi Gua Keris". Di antara peserta ekspedisi kami terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Wartawan RELATIF), Anwar bin Azmi (Anak Sulong Penulis), Azhar bin Azmi (Anak Ketiga Penulis), Anis Sabirin bin Azmi (Anak Keempat Penulis) dan Mohamed Abid Saidin (Abid, Rakan Azhar). Ekspedisi kami turut dibantu oleh Jurupandu, Tengku Mohamed Nasiruddin bin Tuan Ramli yang merupakan remaja dan penduduk tempatan.

Kami bertolak dari Kota Bharu jam 10.20 pagi dan kami tiba di Kampung Gua Ikan berhampiran Gua Keris itu jam 1.45 petang, tiba-tiba kami disambut dengan turunan hujan yang agak lebat yang melanda Dabong ketika itu. Kami mula memasuki Gua Keris jam 2.15 petang setelah hujan didapati reda melalui muka gua berkenaan yang dilindungi hutan dan semak-samun yang tumbuh subur.

Berikutan itu, kami terpaksa meredah semak-samun berkenaan untuk tiba di muka Gua Keris dalam keadaan becak air dan lumpur, tidak sampai lima minit ketika kami bergerak di kawasan lembah itu, lumpur mula terpercik mengotorkan pakaian kami. Setibanya kami di muka gua tersebut, langkah pertama kami ialah membersihkan muka gua berkenaan yang telah dilitupi semak-samun dan kayu-kayu patah yang merintangi muka gua berkenaan.

Setelah segalanya selesai, kami meneruskan perjalanan menyusuri muka Gua Keris itu. Ternyata suatu lagi halangan untuk memasuki muka Gua Keris apabila peserta kami terpaksa melangkah masuk ke gua berkenaan seorang demi seorang dengan cara berjalan dalam keadaan tunduk (membongkok) dan badan pula terpaksa mengiring melalui laluan "caruh air" selepas hujan turun dengan lebatnya di daerah Dabong ketika itu berikutan laluan dalam gua berkenaan agak sempit.

Selepas berjaya melepasi ruang masuk pertama ke gua berkenaan, kami sekali lagi perlu bergerak seorang demi seorang secara meniarap dalam caruh air yang sedang mengalir dalam gua berkenaan. Ini kerana, ruang gua tersebut hanya muat dilalui untuk seorang sahaja dan jika kami tidak bergerak secara meniarap sebagaimana yang sepatutnya, peserta kami tidak akan dapat melepasi ruang masuk ke gua itu untuk tiba di sebelah sana. Apatah lagi, keadaan gua berkenaan yang agak gelap, kami terpaksa menggunakan bantuan lampu suluh.

Melihatkan keadaan itu, selaku Ketua Ekspedisi, Penulis meminta peserta yang ingin melintasi dan melepasi muka gua sebelah sini ke sebelah sana, peralatan yang kami bawa seperti beg sandang, lampu suluh, telefon bimbit sebagainya hendaklah dihulurkan dan hendaklah diterima oleh peserta yang telah melepasinya bagi melancarkan pergerakan kami yang terpaksa berjalan secara meniarap dan merangkak itu. Ketika itu, kedengaran hujan turun semakin lebat di luar gua dan air yang mengalir melalui caruh air dalam gua semakin meningkat dan agak deras tetapi tidaklah begitu dalam.

Jarak perjalanan yang terpaksa kami lalu untuk melepasi halangan ruang gua yang agak sempit itu kira-kira 10 hingga 12 meter dalam keadaan lurus dan membengkok. Bagi peserta yang mempunyai badan yang agak kurus memang agak sesuai dan akan berjaya melepasi halangan ruang gua tersebut, namun bagi yang bertubuh agak gempal dan gemuk kemungkinan tidak akan dapat melepasinya.

Dari arah muka Gua Keris yang terletak di tingkat bawah, kami terus menyusur gua berkenaan untuk mendaki ke tingkat satu. Di tingkat satu dalam gua berkenaan, kami lihat dalam gua berkenaan agak luas dan dari makluman jurupandu kami, Tengku Mohamed Nasiruddin Tuan Ramli berkata, gua berkenaan muat diduduki lebih daripada 10,000 orang. Keadaan batu-batunya agak menarik yang dipenuhi dinding, keadaannya juga agak bersih dan menarik mata memandang.

Setelah peserta ekspedisi kami tiba di tingkat satu, jurupandu kami segera menunjukkan ke arah bongkah batu yang menyerupai "sebilah keris" yang agak agak besar seperti terpacak kukuh bahagian tepi dinding Gua Keris di tingkat satu itu. Manakala di sebelah belakang bongkah batu keris itu, dikatakan dihuni oleh seorang pertapa, tetapi tidak kelihatan dengan mata kasar. Beliau mendapat tahu ada seorang pertapa di situ apabila kolam yang menakung titisan air dari puncak gua yang dijadikannya sebagai tempat untuk mengambil air wuduk sentiasa bersih seperti ada seseorang yang menjaganya.

Ini berikutan, beliau pernah meletakkan dengan sengaja sehelai daun kering di dalam kolam air wuduk itu. Dengan tiba-tiba didapati daun kering tersebut segera dibuang. Bukti lain pula, apabila tiba malam hari beliau sering mendengar bunyi suara orang sedang berzikir yang dapat didengari dengan agak jelas dari kaki Gua Keris itu untuk menunjukkan ada penghuni dalam gua berkenaan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kemudiannya, kami meneruskan perjalanan menyusur gua untuk naik ke tingkat dua pula. Untuk naik ke tingkat dua Gua Keris itu, kami perlu keluar dari gua berkenaan dan kami perlu menyusur dan mendaki melalui lereng Gua Keris kerana tiada laluan dalam gua berkenaan yang perlu kami daki. Beberapa ketika, kami tiba di tingkat dua gua tersebut dan kami dapati keadaan batu-batuan dalam gua di tingkat tersebut dipenuhi dinding dan sekali lagi peserta kami terpaksa berjalan secara membongkok. Kelihatan kebanyakan tempat dalam gua di tingkat berkenaan seolah-olah seperti tempat tidur yang dilingkari bilik-bilik. Di kawasan ini agak sesuai untuk djadikan tempat tidur memandangkan suasana dan tempatnya agak bersih.

Di sebuah batu putih bercahaya, kami diberitahu oleh jurupandu kami bahawa, batu itu pada masa beliau masih kanak-kanak, sesiapa yang tiba di situ akan dapat melihat dan terpegun dengan satu "kalimah Allah" yang didapati dengan agak jelas. Namun, disebabkan sikap segelintir pendaki, kalimah Allah itu kini telah didapati pudar kerana dikatakan ada pendaki yang telah memijaknya. Sebab itulah, kawasan berkenaan telah dilingkari atau dipagar dengan tali untuk mengelakkan pendaki seterusnya memijak kawasan dan batu berkenaan.

Di tingkat dua Gua Keris ini juga Penulis dapat melihat seketul bongkah batu yang menyerupai seekor katak berwarna putih betul-betul menghadap laluan ke dinding gua. Apabila dirakam menggunakan "lampu kamera" keadaan cahayanya agak biasa, namun apabila dirakam menggunakan "infra-red", kelihatan cahayanya berwarna hijau bercampur putih. Begitupun, Penulis juga dapat merakam bongkah batu yang agak panjang, apabila dilihat dengan jelas wujud objek aneh, sekali lihat seperti seorang tua berjanggut putih muncul dalam kamera Penulis.

Dalam masa setengah jam kami melihat suasana dalam gua di tingkat dua itu, kami mula beredar untuk mendaki ke tingkat tiga sebagai destinasi terakhir peserta kami dapat menjelajah dan menakluk Gua Keris di daerah Dabong itu. Untuk naik ke ruang guadi tingkat tiga, kami perlu menyusur badan secara membongkok tidak sebagaimana di tingkat satu tadi.

Beberapa minit sahaja, kami kemudiannya tiba di tingkat tiga jam 4.05 petang yang dianggap puncak Gua Keris dan destinasi terakhir setiap pendaki akan tiba dalam gua itu. Selepas meletakkan beg sandang, kami mula membuka bekalan makanan dan minuman yang dibawa dari rumah. Kami berkelah dalam Gua Keris di tingkat tiga sebagai meraikan kejayaan peserta kami dapat menyusur, menjelajah dan menakluk Gua Keris. Setelah dapat menikmati hidangan makanan dan minuman, kami berehat beberapa ketika sebelum beredar pada pukul 4.30 petang.

Apabila ditanya tentang jumlah pendaki dan penyusur gua yang pernah masuk ke Gua Keris, Tengku Mohamed Nasiruddin berkata, ketika zaman persekolahannya pada tahun 2005, beliau pernah memandu kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Dabong termasuk guru-gurunya. Selepas itu, pernah 20 orang pendaki dari Amerika Syarikat yang datang ke Gua Keris turut dipandu olehnya. Terbaru pula pada tahun 2012 ini katanya, seramai 50 orang tentera dari Kem Desa Pahlawan juga dibawa oleh beliau untuk melihat suasana dalam Gua Keris itu. Bagi kanak-kanak dan remaja tempatan iaitu penduduk asal di Gua Keris itu mereka sering jadikan Gua Keris sebagai tempat permainan dan senda-gurau kerana menganggap gua itulah dunia kedua buat mereka.

Tepat jam 4.30 petang, peserta ekspedisi kami mula beredar lalu meninggalkan ruang tingkat tiga dan puncak Gua Keris. Walau bagaimanapun, jika di awal pendakian, peserta kami perlu masuk melalui muka Gua Keris di tingkat bawah. Namun, kami beredar dan keluar dari Gua Keris melalui pintu Gua Pagar pula. Ini kerana, jika kami keluar melalui ruang Gua Keris yang agak sempit di tingkat bawah itu, belum tentu kami dapat melaluinya nanti.

Tetapi ternyata, keluar melalui pintu Gua Pagar amat menyelesakan kami kerana kami tidak lagi perlu berjalan secara membongkok, mengiring, merangkak dan meniarap. Namun, bezanya pula, peserta kami terpaksa menuruni lereng Gua Pagar dalam keadaan tanah becak dan licin untuk sampai ke bawah dan terus melalui semak-samun yang melitupi laluan Gua Pagar sehingga kami tiba di jalan utama hadapan Gua Ikan. Tamatlah "Ekspedisi Gua Keris" pada hari itu dan kami tiba kembali di Kota Bharu pada pukul 8.15 malam.

 Peserta "Ekspedisi Gua Keris" pada 10.11.2012.

 Gua Keris dirakam dari jarak jauh.

 Kami meredah semak-samun, laluan becak air dan lumpur menurut langkah jurupandu. Di sini kawasan rendah dan lembah.

 Setelah meredah semak-samun, kami tiba di hadapan muka Gua Keris.


Penulis menunjukkan ruang gua yang agak sempit.

 Bantuan lampu suluh diperlukan kerana keadaan laluan dalam gua agak gelap.


 Ruang gua yang agak sempit telah kami lepasi dengan cara merangkak dan meniarap dalam caruh air.


 Inilah bongkah batu berbentuk sebilah keris yang terpacak kukuh dekat dinding Gua Keris.



Kami menyusur lereng Gua Keris untuk naik ke tingkat dua.


 Bergambar kenangan di lereng Gua Keris. Kelihatan makhluk "orb" (putih) melingkari kami.

Bumbung gua di tingkat dua terlalu rendah, untuk melaluinya terpaksa membongkok.

 Inilah batu panjang, kelihatan objek (anak panah) seperti makhluk lelaki tua berjanggut putih.

Batu baring. Kami bersiap untuk mendaki tingkat tiga pula.

 Sebuah kolam kelihatan di suatu sudut di tingkat tiga.

 Batu bercahaya di tingkat tiga.

 Inilah bongkah batu seperti seekor katak di suatu sudut Gua Keris di tingkat tiga.


 Setelah tiba di tingkat tiga dan puncak Gua Keris, kami membuka bekalan dan menjamu selera. Bilik di tingkat tiga ini agak luas.




 Bergambar kenangan di tingkat tiga dan puncak Gua Keris.

 Tepat jam 4.30 petang, kami mula beredar meninggalkan tingkat tiga dan keluar melalui pintu Gua Pagar.


 Kami menuruni lereng Gua Pagar.

 Di sebalik semak-samun ini adalah laluan masuk ke Gua Pagar.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH