RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 30 Mac 2017

Usaha Seorang OKU


USAHA SEORANG OKU

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Walaupun dilahirkan sebagai seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), dia tidak bersedih dengan hakikat itu. Itu sememangnga sudah menjadi ketentuan Illahi. Mungkin ada hikmah di sebaliknya dia dapat melihat dunia ini dalam keadaan seperti itu.

Dia juga tidak ingin berpeluk tubuh yang hanya sekadar mengharapkan simpati orang lain semata-mata dianggap OKU. Antara OKU atau tidak bukan menjadi sebab untuk orang sepertinya menanti pemberian dan bantuan orang lain untuk menyuap makanan ke mulutnya apatah lagi kepada keluarganya.

Allah S.W.T  sudah banyak memberikan nikmat dan anugerah kepadanya seperti anggota tubuh lain yang mampu untuk memikul kudrat itu umpamanya mindanya yang mampu berfikir untuk mengorak langkah untuk membina kehidupan sebagaimana orang lain yang cukup sifatnya.

Itulah sebahagian ungkapan yang dinyatakan oleh warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), Ibrahim Ab. Rahman atau Him, 60, yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya di Hulu Stesen Kilang Baja, Wakaf Baharu, Kelantan.

Ibrahim menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Sebelum ini dia berniaga di siang hari di banyak tempat di kawasan Wakaf Baharu itu. Namun, pendapatannya agak tidak seberapa dan rezekinya seolah-olah tersekat berniaga di waktu siang hari. Sehingga beliau merancang untuk menukar masa, berniaga di waktu malam pula kerana baginya berniaga waktu malam tentunya mendapat perhatian orang ramai dan pelanggan pastinya akan singgah di gerainya tidak sebagaimana di siang hari yang didapatinya pelanggan sibuk dengan aktiviti masing-masing.

Berbanding pada waktu malam, setelah orang ramai pulang kerja, tentunya mereka akan mengambil angin dan tentunya gerainya yang akan diberikan tumpuan. Itulah keyakinan yang tersemat di hatinya apabila hasrat hatinya untuk membuka gerai di pasar malam di lokasi tersebut ternyata membuahkan hasil.

“Saya berniaga semata-mata untuk mencari rezeki untuk keluarga. Anak-anak sedang membesar. Bukan tujuan untuk bermewah, sekadar mendapat makanan dan pakaian yang cukup, itu sudah memadai”, ujarnya dengan suaranya yang tidak begitu jelas.

Jauh di sudut hatinya dia tidak ingin berserah kepada takdir walaupun dia seorang OKU kerana anggota lain dapat melakukannya sebagaimana orang lain. Selebihnya dia berserah kepada Allah kerana rezeki datang dari-Nya.

Katanya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan sejak di zaman remajanya lagi sehinggalah dia mendirikan rumahtangga dan kini memperolehi lima orang anak.

“Walaupun OKU, saya memang minat berminat berniaga. Saya mulakan bidang ini sejak zaman remaja lagi.

“Setelah berkeluarga dan mendapat anak, saya tingkatkan lagi minat supaya anak-anak dapat membesar dengan sempurna dan memperolehi keperluan yang secukupnya”, ujarnya.

Menurutnya, yang tidak dapat berbicara secara jelas, menyatakan dia berniaga di tapak pasar malam kerana di kawasan terbabit punca rezekinya dalam bidang itu. Di antara bidang perniagaan kecil-kecilan yang diceburinya ialah menjual kereta mainan dan kereta kawalan jauh.

Di kawasan pasar malam tempatnya mendirikan gerai tersebut, kebanyakan kereta mainan dan kereta kawalan jauh amat diminati oleh kanak-kanak. Lazimnya modal yang diperlukan untuk tujuan itu berdasarkan harga kereta itu di pasaran. Jika harganya RM15, dia akan menjualnya dengan harga RM20.

Pendapatan bersih yang diperolehi hasil perniagaan itu adalah kira-kira RM500 sebulan, satu angka yang agak memadai bagi beliau seisi keluarga sepertinya. Jika ingin tingkatkannya, dia perlu berusaha lagi tanpa jemu.

Membicarakan tentang pelanggan yang datang ke gerainya memang tidak menentu berdasarkan keadaan semasa, kadang-kadang ramai dan kadang-kadang berkurangan. Namun, dia bersyukur dengan situasi seperti itu kerana lebih baik mencubanya dari berserah semata-mata. Walau bagaimanapun, di kawasan pasar malam itu, selain beliau yang menjual kereta mainan, terdapat kira-kira enam (6) peniaga lagi yang menjual barangan yang sama. Namun, kebanyakan pembeli berminat dengan beliau.

Ditanya tentang jualan di siang hari dengan malam hari, bagi beliau lebih baik membuka gerai pada waktu malam. Kerana, apabila dikatakan pasar malam lazimnya bagi masyarakat Kelantan mereka lebih mengunjungi gerai jualan pada waktu-waktu berkenaan daripada siang hari. Apatah lagi, pada waktu malam ramai golongan pekerja akan keluar pada masa itu kerana suasananya yang agak nyaman.

Katanya, dalam seminggu dia hanya berniaga selama enam hari saja malah satu hari untuknya berehat iaitu pada hari Jumaat.

“Saya pernah berniaga pada hari Jumaat. Tetapi jualan tidak begitu memberangsangkan. Jadi, saya ambil keputusan untuk berehat pada hari berkenaan”, ujarnya.

Menurutnya, terdapat kira-kira enam pesaing yang turut berniaga kereta mainan itu di pasar malam itu, namun kebanyakan pelanggan lebih bertumpu membeli di gerainya. Walau bagaimanapun menurutnya, setakat ini beliau merupakan peniaga yang paling lama di pasar malam itu dan masih bertahan sehingga kini.

Dari segi layanannya pula tidaklah jauh bezanya dengan peniaga-peniaga kereta mainan yang ada di pasar malam itu. Namun, katanya kebanyakan kanak-kanak lebih mesra dengannya. Bahkan ada juga pembeli yang meminta harga diskaun, mahu tidak mahu dia terpaksa menurut kehendak kanak-kanak yang membeli di gerainya. Itulah yang menyebabkan kanak-kanak begitu mesra dengan beliau.

Ditanya, tentang barangan yang tidak dapat diberikan pengurangan harga sebagaimana harga pasaran, beliau menjelaskan, kebanyakan kereta mainan yang dijual di gerainya semuanya beliau membenarkan pengurangan harga berdasarkan kemampuan kanak-kanak sebagai pelanggan beliau. Malah katanya, kereta mainan itu bukan sahaja diberikan diskaun, namun setiap pembeli diberikan bateri kereta berkenaan secara percuma.

Katanya lagi, terdapat juga di kalangan kanak-kanak yang membeli kereta mainan biasa dan ini adalah berdasarkan kepada minat kanak-kanak tersebut. Tidak kurang juga pembelinya akan memilih kereta kawalan jauh atas sebab tertentu.

Katanya, kereta mainan berkenaan tidak mempunyai tempoh tertentu kecuali atas sikap cermat pemiliknya. Jika pemiliknya agak cermat dengan barangan yang dibeli mungkin akan melebihi tempoh tertentu. Beliau mengetahuinya berdasarkan kepada sikap kanak-kanak itu.

Jika orang yang sama membeli sesuatu model kereta itu, tentunya si pemiliknya tidak begitu cermat terhadap barangan mereka dan begitulah sebaliknya. Lazimnya barangan seperti itu, segala kerosakannya ditanggung sendiri oleh pemiliknya.

Ditanya tentang seronok atau tidak dengan bidang sebagai penjual kereta mainan sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini. Beliau menjelaskan, sememangnya dia bersyukur dengan keadaan sekarang ini dan menganggapkan rezeki beliau di bidang itu, apatah lagi seronoknya melayani karenah kanak-kanak yang berkunjung dan membeli di gerainya.

Sementara modal untuk urusan beliau membeli barangan berkenaan dan dijual di pasar malam itu adalah atas usahanya sendiri. Dia tidak memperolehi modal peruntukan dari mana-mana pihak kecuali sebuah motosikal, sebuah payung, pam angin dan generator  hasil sumbangan pihak Risda.

Kalau bercakap tentang modal, memang perniagaannya itu memerlukan modal untuk membeli kereta mainan baharu berdasarkan minat dan pasaran semasa. Beliau berharap ada pihak yang dapat memberikan modal tersebut supaya dapat beliau menambah jumlah barangan yang kini menjadi minat kebanyakan kanak-kanak yang sering berkunjung ke gerainya.

“Itu biasalah, berniaga perlukan modal. Kalau tiada modal bagaimana untuk berniaga. Jadi, terpaksalah saya usahakan sendiri. Selebihnya adalah tawakkal kepada Allah”, katanya.

Ibrahim memang memerlukan modal untuk menambahkan barangan perniagaannya. Hal yang lain dia boleh uruskannya sendiri. Jika ada pihak yang bermurah hati untuk menghulurkan bantuan, beliau menyambutnya dengan tangan terbuka. Semoga Allah S.W.T  saja yang membalas kebaikan itu.

Beliau boleh dihubungi di talian: 013-9853788

Ibrahim Ab. Rahman atau Him.

Ibrahim ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Motosikal bantuan dari pihak Risda.

Sifat berjimat membolehkannya membeli sebuah kereta kapcai untuk berniaga.


Keadaan kediamannya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Isnin, 20 Mac 2017

Keperluan Makanan Seimbang


KEPERLUAN MAKANAN SEIMBANG

RAMAI di kalangan masyarakat kita yang membuat tanggapan salah tentang makanan. Mereka mendakwa makanan adalah suatu persoalan yang agak remeh, dalam soal ini mereka mengenepikan perihal makanan kerana mendakwa ia hal yang tidak begitu penting. Dalam konteks ini menunjukkan, masyarakat kita tidak begitu peka dan amat lemah dalam menilai kepentingan serta peranan sesuatu jenis dan juzuk makanan itu. Dengan demikian, terdapat di kalangan mereka yang mendapatkannya menurut kehendak hati tanpa memperhitungkan di sebaliknya.
Takrif makanan merupakan suatu juzuk yang paling berharga kepada manusia dan kesihatan mereka. Ia memberikan kadar kandungan zat yang tertentu serta fungsinya terhadap tubuh badan manusia adalah sesuatu yang amat penting. Bahkan dalam konteks kesihatan, seandainya wujudnya kekurangan tentang keperluan tersebut, tentunya implikasi kesihatan akan timbul.

Dalam konteks dan amalan pemakanan harian, makanan yang kita nikmati dewasa ini meliputi tiga kumpulan penting yang mempunyai peranannya tersendiri terhadap kesihatan iaitu:

1. Makanan yang memberikan tenaga.
2. Makanan yang membina badan.
3. Makanan yang menjauhkan penyakit.
Karbohidrat

Makanan yang memberikan tenaga adalah terdiri dari "Karbohidrat". Karbohidrat merupakan sumber tenaga terpenting terutamanya untuk pembesaran anak-anak. Pada asasnya, karbohidrat meliputi kanji dan gula. Manakala bekalan makanan bagi unsur ini terdiri dari nasi, mi dan roti yang banyak membekalkan tenaga bagi anak-anak yang sedang membesar serta untuk keperluan terhadap seseorang yang bekerja kuat yang amat memerlukan lebih tenaga berbanding seseorang yang tidak bekerja kuat.

Disebabkan unsur ini bertindak untuk pembesaran tubuh di samping sebagai sumber tenaga, ia juga dipanggil "pengganti protein". Lemak juga turut disimpan apabila berlakunya zat tenaga berlebihan daripada keperluan dan boleh digunakan pada masa kekurangan tenaga.

Pakar-pakar pemakanan telah mengenal pasti bahawa karbohidrat memberikan 30 peratus kandungan di dunia kini. Berikutan itu, untuk memperolehi tenaga yang mencukupi, setiap daripada kita perlu mengetahui anggaran kuantiti makanan yang dicadangkan yang diambil pada sekali makan, terutama bagi seseorang wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun, berat 50 kilogram dan mempunyai aktiviti sederhana.

Walaupun begitu, di dunia yang semakin canggih dengan pelbagai jenis makanan kini, masih ramai lagi yang terkeliru, dikelirukan dan tidak peka dengan sumber karbohidrat itu. Mereka berpendapat, semua jenis makanan yang dihidangkan dan terpampang di depan mata mengandungi sumber tenaga yang dimaksudkan tanpa menilai yang manakah yang perlu diutamakan.

Sebenarnya, karbohidrat meliputi dua peringkat iaitu karbohidrat kompleks dan karbohidrat yang diproses. Karbohidrat kompleks terdiri dari bijirin tulen seperti beras perang, roti gandum tulen dan barli. Sayur-sayuran pula seperti sengkuang, kentang, lobak merah, buah-buahan mentah dan kekacang.

Manakala karbohidrat yang diproses terdiri dari semua jenis gula, coklat, minuman ringan, mi dan banyak lagi. Oleh itu, penilaian dan pemilihan yang tepat untuk memperolehi makanan tulen dan sebenarnya ialah karbohidrat kompleks kerana ia mengandungai banyak zat makanan yang diperlukan.
Anggaran Kuantiti Makanan Untuk Keperluan Tenaga


Protein

Makanan yang membina badan adalah wajar dititikberatkan di dalam sajian harian. Lazimnya, ciri pemakanan yang tergolong dalam juzuk berkenaan ialah "Protein". Pada hakikatnya, protein merupakan bahan pembentuk asas bagi tubuh. Bahkan keperluan terhadapnya begitu ketara serta sangat penting terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar, para remaja, ibu-ibu sedang hamil, ibu-ibu yang menyusukan bayi dan waktu pemulihan dari penyakit.

Pada dasarnya, protein adalah terjadi daripada kira-kira 22 asid amino. Ia merangkumi 20 peratus daripada jumlah berat tubuh orang dewasa. Di samping itu, ia merupakan sebahagian dari setiap tisu dan meliputi bahan utama untuk pembinaan hormon, antibodi, enzim, darah dan susu ibu.

Manakala peranannya kepada tubuh badan dan kesihatan amat tidak boleh dipertikaikan lagi untuk:
1. Pertumbuhan, pembaikan dan pengekalan tubuh.
2. Membina tisu baru dan menggantikan tisu lama.
3. Membentuk pembekuan darah.
4. Membawa oksigen di samping zat makanan ke seluruh urat saraf.

Di antara juzuk makanan yang mengandungi kadar protein, ia dapat dibahagikan kepada dua punca iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran. Pakar-pakar pemakanan mempercayai bahawa haiwan merupakan punca kadar protein terbanyak seperti arnab, ikan, daging lembu, telur, susu dan pelbagai lagi.

Protein dalam sayur-sayuran kadang-kadang dianggap mempunyai mutu makanan yang kurang daripada protein dalam haiwan kerana protein dalam sayur-sayuran itu mungkin berkurangan satu atau dua asid amino yang penting pada tubuh. Oleh itu, protein dalam beras dan bijirin itu kurang "lysine", dalam kekacang kurang "methionine" dan dalam jagung kurang "trytophan" dan "lysine".
(Sumber: Buku Makanan dan Pemakanan di Malaysia, Dr. Y.H.Chong, 1969)

Namun begitu, kekurangan protein itu kadang kala dipanggil "kekurangan kalori zat protein" yang amat penting dalam sajian kanak-kanak turut memberikan kesan-kesan tertentu terhadap mereka. Kekurangan protein itu boleh menimbulkan pelbagai komplikasi terhadap kesihatan dan penyebab penyakit seperti "kwashiorkor" dan "marasmus".

Walaupun begitu, ia dilaporkan kurang mendatangkan masalah di dunia kini kerana punca-punca sedemikian telah bercampur-baur dengan masalah-masalah kesihatan yang lain atau sebaliknya.

Kandungan Protein Dalam Makanan Malaysia
(mg per 100 g bahagian yang boleh dimakan)



Keperluan Protein: Anggaran Makanan Diperlukan Sehari


Manakala ciri-ciri makanan yang menjauhkan penyakit juga amat wajar diambil perhatian dalam konsep pemakanan hari ini. Antara jenis-jenis makanan yang meliputi kumpulan berkenaan adalah terdiri dari "Vitamin" dan "Garam galian".

Vitamin

Vitamin merupakan satu kumpulan benda organan dan khasiat makanan yang amat penting untuk hidup bahkan amat diperlukan oleh tubuh supaya berfungsi dalam keadaan normal. Keperluan kepada vitamin patut diutamakan bagi perkembangan mental, fizikal dan emosi kanak-kanak. Ia meliputi dua aspek iaitu:

1. Vitamin "larut lemak" seperti A, D, E dan K yang hanya larut dalam benda-benda lemak sajian dan penyerapannya bergantung kepada ada atau tiada lemak yang dimakan.

2. Vitamin "larut air" seperti vitamin B Kompleks termasuk B1, B2, B5, Nicotinamide, Asid Folik dan B12 serta vitamin C.
(Sumber: Buku Makanan dan Pemakanan di Malaysia, Dr. Y.H.Chong, 1969)

Di dunia yang semakin canggih dengan pelbagai jenis makanan kini, masyarakat pengguna juga perlu peka dan menilai apakah jenis vitamin yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan dan ahli sains yang amat sesuai kesihatan mereka. Ini kerana, vitamin dapat dibahagikan kepada dua ciri iaitu vitamin asli dan vitamin tiruan. Vitamin asli itu adalah khasiat pemakanan sejati dan seimbang yang sememangnya amat diperlukan oleh tubuh untuk menjamin kesihatan yang lebih sempurna. Bahkan kita perlu mengelakkan pengambilan vitamin tiruan yang ternyata boleh menimbulkan pelbagai risiko terhadap kesihatan.

Vitamin A adalah satu-satunya vitamin yang amat popular dalam nilai pemakanan di dunia hari ini. Sifatnya yang boleh larut dalam lemak sajian menunjukkan kebaikan yang paling sesuai bagi kanak-kanak terutamanya dalam saluran penghadaman mereka.

Disebabkan kekayaan Vitamin A yang begitu ketara, ia dapat dibahagikan kepada dua punca iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Vitamin A yang bersumberkan dari haiwan seperti hati (ayam, lembu), telur (kuning telur), susu, mentega dan minyak ikan. Manakala sumber dari sayur-sayuran dan buah-buahan terdiri dari bayam, lobak, cekur manis, ubi keledek, betik, mangga dan sebagainya.

Di samping itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa vitamin A juga mempunyai peranannya yang tersendiri untuk:

1. Menjaga kesihatan mata (penglihatan waktu siang dan malam).
2. Menjaga kesihatan sel-sel selaput (terutamanya dalam mulut, hidung, tekak dan saluran pernafasan).
3. Menjaga kesihatan rambut dan kulit.
4. Menolong dalam penahanan daripada jangkitan.


Vitamin A juga mempunyai ciri-ciri penyembuhan. Ramai saintis mempercayai vitamin A boleh mengurangkan risiko kanser terutama kanser paru-paru, saluran kencing, pundi kencing dan peti suara (larinks).
(Sumber: Utusan Pengguna, CAP, Ogos 1989)

Vitamin B1 dikenali juga sebagai "Thiamin". Ia bersifat larut dalam air dan mudah musnah apabila dimasak. Walaupun begitu, vitamin B1 begitu penting untuk ungkai bina karbohidrat dan janahayat lapis luar bijirin seperti beras. Antara sumber vitamin B1 selain beras ia boleh diperoleh daripada gandum yang dikisar, kacang hijau, biji gajus, kacang tanah dan taugeh.

Peranan vitamin B1 kepada tubuh adalah untuk menjaga kesihatan urat saraf, menjaga selera dan penghadaman yang lebih sempurna serta pembesaran yang baik.

Walaupun begitu, apabila kekurangan vitamin ini, ia dikatakan boleh mengakibatkan penyakit basal. Puncanya ialah apabila memakan terlalu banyak nasi beras putih yang dikilang sedangkan beras berkenaan telah banyak kekurangan Thiamin.

Menurut Dr. Y.H.Chong melalui bukunya "Makanan dan Pemakanan di Malaysia" menyatakan dalam tahun 1901, seorang Doktor Bedah Negeri Sembilan bernama Dr. Braddon pernah melaporkan, orang-orang India yang memakan nasi beras rebus dan orang-orang Melayu yang memakan nasi beras tumbuk tidak menghidapi penyakit ini (basal) berbanding dengan orang-orang Cina yang suka makan nasi beras putih. Bahkan tanda-tanda kekurangan sedikit zat thiamin tidak dapat ditetapkan dan termasuk penyakit letih, tiada selera makan, pemarah dan tidur tidak lena.

Vitamin B2 dipanggil juga "Riboflavin" yang meliputi sebahagian daripada pelbagai sistem enzim di dalam tubuh yang memungkinkan pengoksidaan selulos dan penggunaan tenaga. Ia juga merupakan sejenis vitamin dan zat makanan yang amat penting bagi tubuh terutamanya untuk menjaga kesihatan mata, kulit dan urat saraf.

Vitamin B2 bersifat larut dalam air dan selalu digunakan untuk menyukat zat dalam makanan, bendalir hayat dan biji-biji vitamin. Sumber-sumber vitamin berkenaan diperolehi dari susu, daging, telur, sayur-sayuran berdaun hijau, kacang dal, kacang hijau dan tempe.

Menurut Dr. Y. H. Chong lagi bahawa, kekurangan riboflavin boleh mendatangkan risiko terhadao kesihatan. Antaranya retak atau luka-luka di sudut mulut dan penyakit ini dinamakan 'angular stomatitis'. Biasanya bibir atas dan bawah menjadi retak yang dinamakan 'cheilosis'. Tanda-tanda ini dapat dirasai dengan rasa panas atau gatal dalam mata dan tidak menggemari cahaya terang (photophobia).

Vitamin C dikenali juga sebagai "Asid askorbik" yang amat penting bagi kesinambungan hidup dan kesihatan tubuh. Ia berperanan dalam menambahkan ketahanan badan daripada jangkitan, menjaga kesihatan gusi dan gigi serta menolong menyembuhkan luka-luka dengan segera.

Sumber-sumber yang terbaik vitamin C diperolehi dari buah-buahan seperti betik, jambu batu, belimbing besi dan nenas. Manakala punca dari sayur-sayuran seperti cili, kailan, cekur manis, bayam, kangkung dan taugeh.

Vitamin C bersifat larut dalam air. Malah ia mudah musnah oleh sinar matahari dan susu yang tinggi. Oleh itu, sayur-sayuran hendaklah jangan dimasak terlalu lama manakala buah-buahan perlu dihindari dari kepanasan cahaya matahari yang terlalu kerap.

Pengambilan vitamin C perlu diseimbangkan setiap kali disajikan dan wajar dielakkan daripada berlakunya kekurangan vitamin-vitamin berkenaan. Jika vitamin C ini berkurangan, ia boleh mengakibatkan penyakit kudis "scurvy", iaitu sejenis penyakit kurang zat makanan. Pada hakikatnya, tanda-tanda penyakit kudis scurvy seperti sakit mulut, gusi berdarah, gigi bergoyang dan kulit mudah berdarah.

Hasil beberapa kajian serta penyelidikan oleh saintis, didapati bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran berupaya menjauhkan penyakit tersebut. Dengan itu, amat baik bagi kanak-kanak yang menyusu melalui botol dan puting diberikan kepada mereka jus buah-buahan dan pati sayur-sayuran bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit kudis scurvy. Di samping itu, ia boleh membantu merawat luka-luka dan patah tulang menjadi sembuh bahkan ia juga bertindak sebagai pencegah pengoksidan selulor yang paling penting.
Anggaran Kuantiti Sayur-sayuran dan Buah-buahan Yang Perlu Dimakan Sehari



Garam Galian

Garam galian bukan organan juga merupakan kumpulan makanan yang dapat menjauhkan penyakit. Antara garam galian terpenting yang turut disenaraikan sebagai juzuk pemakanan harian adalah terdiri dari Zat Besi dan Kalsium.

Zat Besi dikenali juga sebagai "Ferum". Menurut Dr. Y.H.Chong, ferum dalam badan manusia banyak didapati dalam hemoglobin zarah darah merah yang membawa oksigen dari paru-paru ke sel dan membawa kembali karbon dioksida dari sel-sel ke paru-paru. Di samping itu, ferum juga didapati dalam beberapa enzim pernafasan yang menjalankan pengoksidan selulor dan boleh didapati dalam otot-otot protein yang bernama "Myoglobin".

Sumber-sumber ferum juga boleh diperoleh daripada dua unsur iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Antara unsur-unsur haiwan termasuk hati, udang kering, ikan kering, ikan bilis, kerang dan belacan. Manakala unsur daripada tumbuh-tumbuhan pula seperti kekacang, sayur-sayuran dan kacang soya.

Namun begitu menurut Dr. Y.H.Chong lagi, dalam kadar 2 hingga 10 peratus sahaja ferum dapat diserapkan daripada sajian. Dengan demikian, unsur-unsur dari haiwan itu merupakan juzuk pemakanan yang dapat menyerapkan ferum dengan banyak berbanding dengan sajian makanan daripada tumbuh-tumbuhan.

Peranan ferum amat penting dalam menolong sel darah merah. Oleh sebab itu, kekurangan ferum boleh menyebabkan penyakit anemia (kurang darah). Tanda-tanda akibat kekurangan darah menjadikan lidah dan selaput pelupuk bawah mata kelihatan pucat, letih dan degupan jantung tidak seimbang malah berdebar-debar.

Selain itu, ferum akan turut hilang seandainya badan kehilangan darah. Berikutan itu, antara golongan yang perlu memakan banyak kadar ferum untuk menggantikan darah yang hilang itu adalah terdiri daripada:

1. Wanita-wanita yang sudah baligh.
2. Wanita-wanita yang haid dan bersalin.
3. Orang ramai yang tinggal dalam kawasan penyakit malaria dan penyakit cacing.

Kalsium

Pengambilan Kalsium dalam sumber makanan harian juga perlu diberikan perhatian khusus. Peranan kalsium adalah untuk pembesaran tulang dan gigi yang sihat , mencegah daripada penyakit kenan tulang, pembebanan biasa darah dan kegunaan otot-otot bertugas dengan sempurna.

Sumber-sumber terbaik kalsium meliputi makanan-makanan daripada haiwan seperti susu dan ikan bilis (bersama-sama tulang). Manakala daripada tumbuh-tumbuhan pula seperti bayam, sawi kelor (termasuk buah dan daun), pucuk betik, pucuk ubi kayu dan cekur manis.

Justeru di negara kita, banyak daripada sumber makanan mempunyai pelbagai khasiat, vitamin dan garam galian tertentu, keistimewaan dan peranannya terhadap kesihatan manusia. Tetapi perlu diingat, pemilihan yang tepat terhadap makanan yang baik, bermutu dan sempurna adalah daripada sumber-sumber yang asli dan segar. Ia terdapat di sekeliling kita dan boleh diperolehi dengan mudah malah secara percuma. Bahkan makanan yang baik dan bermutu tidak semestinya terletak pada harganya yang tinggi, sebaliknya jika anda menganggapkannya berharga murah, namun dalam konteks kesihatan manusia pula, ia dapat menampung khasiat makanan dengan banyak dan boleh menjimatkan belanja.

 

 


 Masyarakat kita memandang remeh dan tidak peka tentang makanan seimbang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 10 Mac 2017

Kenali Vitamin A


KENALI VITAMIN A

APAKAH peranan vitamin di dalam tubuh manusia, itulah soalan yang lazim diutarakan. Sesetengah masyarakat langsung tidak mengambil kisah tentangnya, asalkan perut berasa kenyang menikmati setiap juadah yang dihidangkan. Sebenarnya, vitamin adalah bahan kimia yang mempunyai khasiat makanan yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi dalam keadaan normal. Setiap vitamin yang terdiri dari vitamin A, B, C, D, E dan K mempunyai fungsi dan tugas-tugasnya yang tersendiri.

Sebab itulah, semua makanan yang dimakan seharusnya mencakupi segala khasiat vitamin yang diperlukan; kerana sekiranya kekurangan salah satu dalam zat makanan, tumbesaran tubuh akan terbantut dan boleh mendatangkan risiko terhadap sistem dalam tubuh manusia.

Oleh hal yang demikian, janganlah menganggap bahawa vitamin tidak perlu disebabkan adanya zat dan khasiat makanan yang lainnya. Ia bukan sahaja berperanan penting untuk orang-orang dewasa tetapi juga perlu diutamakan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak memerlukan vitamin yang secukupnya dalam proses tumbesaran mereka. Vitamin boleh mempengaruhi perkembangan mental, fizikal dan emosi kanak-kanak yang tidak terdapat pada bahan-bahan lain.
Apabila kita membicarakan persoalan mengenai vitamin, kita tentunya ingin mengetahui apakah sumber yang terhasil dalam setiap vitamin, khususnya Vitamin A.
Sumber-sumber Vitamin A lazimnya diperolehi daripada haiwan seperti minyak ikan, kuning telur, susu tulen, hati, keju dan banyak lagi. Ia dikenali sebagai pra-pembentukan Vitamin A yang dipanggil “retinol”.

Manakala kandungan Vitamin A yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam seperti kangkung, bayam merah, lobak merah, ketola ular, pucuk paku, labu merah, kesom, ulam raja, daun pudina, pegaga, kwini dan betik dikenali sebagai pro-Vitamin A (karoten). Karoten bermaksud kandungan hijau daun. Semakin banyak hijau sesuatu daun, semakin tinggilah kandungan karotennya.


Menurut laporan Asian Health dan Diet Plan, Hodder (1985), berhubung dengan kandungan Vitamin A dalam makanan tempatan adalah seperti berikut:


Di samping itu, mungkin terdapat ibu bapa yang tidak mengetahui bahawa Vitamin A amat bernilai untuk anak-anak kerana ia dikatakan boleh mencegah sesuatu penyakit yang dialami oleh anak-anak seperti:

1. Mencegah rabun malam.
2. Membantu dalam merawat pesakit 'hipertiroidisme'.
3. Menggalakkan pembesaran tulang yang kuat, rambut, kulit, gigi dan gusi yang sihat.
4. Membentuk daya tahanan terhadap jangkitan saluran pernafasan.
5. Membantu merawat kes gangguan mata dan memperbaiki penglihatan yang lemah.

Menurut laporan itu lagi, Vitamin A dikatakan mempunyai ciri-ciri penyembuhan. Ramai saintis mempercayai bahawa Vitamin A boleh mengurangkan risiko kanser paru-paru, saluran kencing, pundi kencing dan peti suara (larinks).

Dalam pada itu, terdapat juga vitamin yang boleh memburukkan keadaan manusia kerana tidak dapat diserapkan di dalam tubuh. Ia dikenali sebagai 'vitamin tiruan' dan mendatangkan risiko kepada penggunanya apabila pengambilannya terlalu kerap.

Vitamin tiruan dihasilkan dalam pelbagai bentuk, di mana pengambilannya telah dianggap memudahkan penggunanya. Bentuk-bentuk tersebut seperti kapsul, pil-pil atau cecair adalah beberapa contoh vitamin tiruan yang digabungkan dengan vitamin serta zat makanan yang lain. Sukatannya boleh dikatakan tidak seimbang, malahan campuran gula di dalamnya akan mengakibatkan risiko kesihatan khususnya terhadap kanak-kanak.

Cara yang paling selamat untuk anak-anak memperolehi zat makanan yang seimbang dan baik adalah dengan mendapatkan makanan tulen tanpa dicampur sebarang bentuk makanan lain yang dikhuatiri boleh mendatangkan risiko. Mendapatkan makanan yang tulen bukanlah sesuatu yang sukar, bahkan ia lebih murah dan mempunyai khasiat yang banyak.

Hindarkanlah daripada mendapatkan makanan yang kekurangan zat serta vitamin tiruan agar tumbesaran anak-anak tidak terencat dan kesihatan mereka terjaga. Sebab itulah, adakalanya terdapat anak-anak yang tidak juga membesar dengan sempurna sedangkan pelbagai jenis vitamin tiruan diambil. Perlu diketahui juga, bahawa tidak semua makanan yang mahal itu melambangkan banyaknya khasiat dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh.

Dengan demikian, berhati-hatilah apabila memberikan vitamin tambahan kepada anak-anak sama ada dalam bentuk pil, kapsul mahupun cecair. Pastikan bahawa vitamin yang diberikan benar-benar menjamin khasiat dan bermutu tinggi dalam konteks kandungannya.

Justeru, anda juga tidak harus terpedaya dengan iklan dan promosi serta persembahan mengenai kelebihan vitamin tambahan yang dihasilkan kerana ada di antaranya yang meragukan, sungguhpun ada yang mendakwa bahawa ia mempunyai khasiat yang tinggi. Namun, sebaik-baik langkah yang boleh diambil ialah dengan mendapatkan pakar pemakanan terlebih dahulu seperti dari segi jenis vitamin yang perlu diambil dan kadar pengambilannya.

Nasi lemak juga mengandungi Vitamin A yang diperlukan.

Kandungan vitamin A dalam labu juga tidak boleh dipertikaikan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 1 Mac 2017

Kg. Kubang Tebakang (Pasir Mas)


KG. KUBANG TEBAKANG
(PASIR MAS)

PASIR MAS, KELANTAN: Kampung Kubang Tebakang yang terletak dalam daerah Pasir Mas dan bersempadan dengan Rantau Panjang dianggap sebuah kampung terpencil dan kurang dikenali, malah kalau dibandingkan dengan Hulu Kelantan tidaklah sejauh itu. Ketika kejadian banjir terburuk dalam sejarah banjir di Kelantan dikenali "bah kuning" pada bulan Disember 2014, kampung ini seolah-olah terpinggir dari pandangan kerajaan negeri.

Pada masa dulu, kampung ini masih dilitupi hutan belukar yang agak tebal kerana ketika itu tiada sesiapa yang menerokanya. Namun, manusia terawal yang menetap di kampung itu dikatakan dihuni oleh beberapa orang dari kalangan masyarakat Siam dari negara jiran yang menamakan kampung itu Kampung Tok Mek Ja.

Salah seorang warga emas dari generasi penerokanya, Ghani Daud, 83, atau lebih dikenali sebagai Pakdik Uni berkata, ketika masyarakat Siam menjadikan kampung itu sebagai penempatan mereka, beliau masih belum dilahirkan lagi dan apabila meningkat remaja, hal itu diceritakan oleh orang tuanya itu.

“Ketika nama Kampung Tok Mek Ja, orang Siam yang menamakannya. Pada masa itu, Pakdik belum lahir lagi”, katanya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Katanya, peneroka awal kampung berkenaan dikenali Tok Amat Kechik. Tok Amat Kechik ini pula berasal dari Kampung Kenak, daerah Kedondong juga di Pasir Mas yang dikatakan membuka dan menamakan kampung berkenaan pada tahun 1930-an sehingga sekarang. Menurutnya lagi, Tok Amat Kechik yang bertanggungjawab menghalau orang-orang Siam keluar dari kampung itu.

“Tok Amat Kechik bukan calang-calang orang juga. Kalau bukan orang hebat tentu agak sukar nak teroka hutan untuk dijadikan perkampungan. Apatah lagi menghalau keluar orang-orang Siam ketika itu”, ujar Pakdik Uni lagi.

Sebagaimana yang diceritakan oleh arwah bapanya, kampung berkenaan diteroka oleh Tok Amat Kechik pada tahun 1930-an ketika usianya 40 tahun. Walaupun ketika itu usianya 40 tahun, ia dianggap masih muda belia. Tok Amat Kechik yang melepaskan anak-anak ikan tebakang ke dalam kubang atau alur cetek yang turut dinamakan Kampung Kubang Tebakang sempena nama ikan jenis itu. Bahkan menurutnya, alur air atau dipanggil kubang pada masa dulu adalah tempat orang-orang Siam bercukur.

Selepas beberapa tempoh Tok Amat Kechik meneroka dan membuka kampung berkenaan pada tahun 1930-an itu, terdapat beberapa keluarga yang mula menetap di kampung itu. Di sesetengah tempat masih lagi dalam keadaan hutan belukar kerana pembukaannya masih belum sepenuhnya.

Pada awalnya, tiga buah rumah mula dibina dan mula menetap di kampung berkenaan ketika itu. Manakala berdekatan dengan kediamannya sekarang adalah kira-kira lima buah rumah yang kesemuanya berjumlah lapan buah rumah. Sekarang penduduk kampung berkenaan semakin bertambah kepada 30 buah rumah.

Kata Pakdik Uni lagi, dalam hutan berkenaan di kampung itu masih terdapat beberapa jirat Siam didirikan di kampung itu ketika penemuan oleh Tok Amat Kechik itu. Selepas itu, moyang Pakdik Uni dikenali Tok Kweng dianggap sebagai peneroka kedua kampung berkenaan sehingga terdirinya rumahnya sekarang. Manakala Tok Mamat adalah bapa mertua Tok Kweng yang dikatakan turut bersama ketika penerokaan kedua kampung berkenaan.

Apabila ditanya tentang bidang kerja kebanyakan anak-anak muda dan penduduk di Kampung Kubang Tebakang sehingga sekarang, beliau menjelaskan, kampung berkenaan tidak menjanjikan apa-apa kerja kepada penghuni dan penduduk kampung itu.

Pekerjaan kampung yang dilakukan oleh penduduk-penduduk kampung terbabit untuk tujuan mendapatkan sumber kewangan sebagai pendapatan “kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang” adalah sebagai penoreh getah (ketika kemarau), menjala ikan (ketika hujan dan banjir) dan beberapa orang sebagai tukang rumah (buruh kasar). Masih belum wujud mata pencarian harian bagi penduduk kampung itu adalah penjaja dan perniagaan secara kecil-kecilan.

Dari segi pendapatan sebagai penoreh getah yang dilakukan remaja di kampung berkenaan menurutnya adalah kira-kira RM300 sebulan. Manakala hasil getah dijual kepada pembeli berlesen yang sering datang ke kampung itu untuk memungut hasil getah yang kemudiannya dibawa ke kilang pula.

Sementara dari hasil menjala ikan darat seperti ikan tebakang, keli dan haruan yang lazimnya dilakukan ketika musim-musim hujan dan tengkujuh, ikan-ikan berkenaan akan dibeli oleh kebanyakan peniaga dari Kampung Lubok Jong, Pasir Mas. Pendapatan hasil menjala ikan itu dianggap tidak menentu kerana kadang-kadang dapat RM100 dan kadang-kadang RM200 sehari.

Manakala pekerjaan sebagai buruh kasar pula berdasarkan kepada permintaan orang ramai untuk membina sesebuah rumah. Jika ada ke arah itu, maka tukang-tukang rumah akan memperolehi pendapatan darinya dan begitulah sebaliknya.

Walaupun Kampung Kubang Tebakang dikenali kampung terpencil kerana kurang atau mungkin tidak dikenali umum, namun kehidupan bermasyarakat di situ agak selamat. Berbanding dengan kampung-kampung lain di zaman moden ini, Kampung Kubang Tebakang tercatat sebagai sebuah kampung yang bebas dari aktiviti tidak sihat seperti mencuri, pecah rumah dan gejala sosial.

“Kalau letak kenderaan di tepi jalan di kampung ini pun, tiada siapa yang berani mengusiknya, apatah lagi cuba dicuri.

“Sementara, hubungan baik di antara semua penduduk kampung masih utuh sehingga kini walaupun laluannya sering digunakan oleh penduduk dari kampung lain”, ujar Pakdik Uni lagi.

Setiap pengunjung dari kampung lain ke Kampung Kubang Tebakang pastinya akan melalui sebuah jambatan selebar yang mampu memuatkan sebuah lori atau dua buah kenderaan pada satu-satu masa. Jambatan berkenaan asalnya dibina sekadar memenuhi tuntutan untuk laluan air hujan atau kubang sempit di sebelah bawahnya. Tetapi disebabkan aliran airnya agak deras ketika hujan lebat menyebabkan sebahagian tanah di kiri kanan kubang atau alur air itu runtuh sehingga membentuk seperti tasik.

Sementara spesis ikan yang menghuni di dalam alur atau kubang yang dikenali tasik kini beliau tidak pasti ikan jenis apa. Namun, setahunya terdapat banyak ikan-ikan darat yang biasa ditangkap penduduk kampung itu ketika musim tengkujuh seperti ikan tebakang, keli, haruan dan puyu.

Ghani Daud atau Pakdik Uni.

Pakdik Uni ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Pada asalnya tempat ini adalah sebuah alur atau kubang. Kini bertukar seperti tasik apabila tebingnya runtuh.


Setiap pengunjung akan menemui laluan dan jambatan ini untuk ke kampung berkenaan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com 
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=UUHf7ixyseI

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN