RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 30 Jun 2017

Misteri Gunung Tebu (Siri: 1)


MISTERI GUNUNG TEBU
(SIRI: 1)

BESUT, TERENGGANU: Gunung Tebu mempunyai khazanah alam semula jadi yang agak unik dan belum pernah tercemar. Kesuburan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan di gunung berkenaan menjadi tarikan utama pencari khazanah hutan yang hidup liar dan subur seperti akar-akar kayu, tumbuhan herba dan teras kayu selain sebagai tempat yang strategik bagi golongan bertapa untuk tujuan mendalami ilmu kebatinan kerana tempatnya sunyi dan bebas dari gangguan orang ramai.

Menurut Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Gunung Tebu terletak dalam Hutan Simpan Daerah Besut, Terengganu berketinggian 1,036 kilometer (3,401 kaki) dari aras laut yang juga terletak dalam Banjaran Bintang. Pendakiannya dimulakan di Hutan Lipur Lata Belatan.

Walaupun Gunung Tebu dikatakan kaya dengan spesis tumbuh-tumbuhan dan serangga luar biasa, setiap pendaki akan menemui beberapa jenis batu-batan yang terbentuk ratusan tahun. Pelbagai nama diberikan oleh penduduk tempatan seperti Batu Madrasah, Batu Mat Hassan, Batu Pancung dan Batu Mahkamah.

Dari pandangan di kakinya, Gunung Tebu berdiri megah menggamit pengunjung. Tetapi  siapa sangka gunung ini menyembunyikan pelbagai rahsia dan misteri tersendiri kerana dari beberapa batu ini tersembunyi beberapa gua kecil, pelbagai jenis batu permata, ikan luar biasa bahkan terdapat rahsia Batu Mat Hassan yang jalannya selari dengan Sungai Cakah Dua turut didakwa oleh penduduk tempatan bahawa, ada seorang bernama Tok Mat Hassan melakukan pertapaan di sebuah gua di situ dinamakan batu tersebut sempena namanya. Bahkan terdapat suatu tempat di gunung tersebut yang didakwa paling bermisteri kerana selain wujudnya gangguan terhadap mangsa, terdapat mangsa yang dighaibkan oleh makhluk halus apabila melalui lokasi tersebut tanpa dapat dikesan ke manakah mangsa telah dibawa.

Semasa mula-mula mendaki melalui laluan pejalan kaki yang disediakan pihak jabatan perhutanan, penulis terpandang pada seketul tengkorak berhampiran papan tanda ‘Dilarang  Mandi  Di Sini Kerana Batu-batunya Licin’.   Dari   maklumat  yang sampai ke telinga penulis,  pernah  beberapa pelajar  yang   melalui   arah   tengkorak  itu  terlihat lembaga yang hanya tinggal rangka sahaja sedang mundar-mundar seolah-olah mengawal kawasan persekitarannya. Pelajar terbabit lari lintang-pukang kerana ketakutan.

Penulis bersama rombongan meneruskan pendakian melalui laluan biasa sebelah kanan gunung berkenaan, kemudiannya terlihat empat ekor ikan yang tidak pernah dilihat penulis sebelum ini di mana pada insangnya kelihatan cahaya terang berwarna biru sedang berenang ke sana ke mari dalam alur sungai berhampiran tebing laluan pendakian.

Semasa dalam pendakian seterusnya, penulis menemui batu aneh seperti alat kelamin   lelaki   berwarna   kelabu   semasa  destinasi   terakhir  pendakian di mana ketinggiannya kira-kira 3,000 meter, penulis sempat merakam gambar kenangan. Apabila turun kembali melalui batu aneh itu, batu tersebut telah hilang (ghaib). Melihat keadaan berkenaan menunjukkan batu tersebut ada penjaganya, sebaliknya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Akhirnya, penulis bersama rombongan seperti Abe Aziz, Wan Ibrahim Wan Ismail dan Anis Sabirin singgah di sebuah alur sungai (lata) yang kelihatannya seperti sebuah tasik. Melihatkan dari mata kasar, alur sungai tersebut hanyalah alur biasa sahaja dan penulis kurang pasti apakah nama tempat aneh itu, tetapi semasa penulis ingin merakam gambar, suasananya  berubah  menjadi  gelap  secara  luar biasa, bahkan seketul batu besar di sebelah kanan di alur sungai itu kelihatan tergantung (tidak berpijak bumi) beberapa kali.

Di samping meminta anak lelaki penulis bernama Anis Sabirin yang turut serta untuk mengesan kehadiran  makhluk  halus  di kawasan  itu  kerana beliau memang boleh nampak melalui pandangan zahir. Memang benar, ada makhluk halus wujud di kawasan itu. Ini kerana, semasa beliau duduk di atas sebuah batu besar berhadapan dengan penulis dan sebatang pohon besar dari arah laluan pejalan kaki ke Batu Mat Hassan, dengan tiba-tiba muncul gumpalan asap putih yang datangnya dari arah belakangnya melingkari sebelah kiri dan naik ke atas kepalanya, kemudian asap itu hilang secara tiba-tiba.

Kemudiannya, beliau melangkah ke arah aliran air untuk mencuci muka dan tangannya. Semasa beliau mengangkat tangan kanannya, secara tiba-tiba bulu romanya berdiri tegak seperti ada sesuatu berhampiran dengannya. Dalam masa yang sama, beliau terlihat seekor burung yang tidak dikenali berwarna ungu muncul berhampirannya.

Memandangkan wujudnya perkara luar biasa di alur sungai tersebut, beliau kemudiannya mengatur langkah menuju ke beberapa buah batu yang tersusun indah agak rapat di antara satu dengan yang lain dalam jarak kira-kira 20 meter untuk memastikan kewujudan benda-benda pelik di kawasan itu. Beliau kemudiannya berdiri di atas sebuah batu besar di tengah-tengah aliran air itu sambil memandang ke serata kawasan.

“Semasa  Anis  berdiri  di atas  sebuah  batu besar  itu,   dari celah-celah batu kecil  di antara semua batu yang ada di situ, Anis ternampak seperti ikan haruan berwarna hitam. Panjangnya lima sentimeter. Tubuh dan ekornya seperti ikan haruan, tetapi kepalanya seperti  kepala ular,  dengan  tiba-tiba terus ghaib.

“Selepas itu muncul pula makhluk seperti belut dari arah seketul batu besar berhampiran makhluk ikan haruan itu muncul. Warnanya hitam pekat, panjangnya kira-kira satu meter. Bentuk tubuhnya tidak bersirip, ekornya seperti ekor belut tetapi kepalanya seperti kepala ikan haruan lalu ghaib”, ujarnya  tentang peristiwa pelik di tengah alur sungai itu.

Berkemungkinan besar beliau sedang berhadapan dengan makhluk halus, kerana pengalaman itu tidak selesai setakat itu sahaja. Ini kerana, apabila makhluk ikan haruan dan belut itu ghaib, beliau terdengar pula suara perempuan mengilai berhampiran tempat makhluk ikan haruan itu muncul. Beliau cuba mengagak, dari bunyi suara hilaian itu menunjukkan perempuan tersebut dalam usia sekitar 20 tahun.

Anis Sabirin meneruskan tinjauan untuk melihat beberapa keanehan kawasan yang sangat luar biasa di tengah alur sungai itu. Memang benar, tatkala beliau mendekati sebuah lagi batu besar berukuran segi empat bujur, dengan tiba-tiba anak telinganya menangkap suatu bunyi seperti suara ular diikuti harimau, burung dan beruang silih berganti. Pada mulanya bunyi suara tersebut agak perlahan sehingga menjadi bising bercampur-baur menjadi   laju  seolah-olah  memarahinya  mendekati  sebuah  batu segi  empat  bujur  itu. 

Mendengar suara binatang yang semakin lantang, kecut perut juga dibuatnya seolah-olah memaksanya meninggalkan tempat itu. Beliau terus terjun dan meninggalkan tempat berkenaan, seketika beliau terasa badannya tidak bermaya secara tiba-tiba dan selepas itu kepalanya agak berat dan terasa ingin pitam seolah-olah ada suatu kuasa ghaib sedang menariknya dari belakang. Beliau gagahi juga meninggalkan tempat berkenaan sambil mencedok sedikit air dari alur sungai tersebut lalu menyimbah ke muka dan meminumnya beberapa teguk. Barulah tenaganya kembali pulih dan kepalanya tidak lagi terasa pening seperti tadi.

Beliau  turut   mendakwa,   batu   berkenaan   sebagai   penutup   lubang  gua  yang wujud di Sungai Cakah Dua itu. Dengan tiba-tiba muncul pula seekor burung yang tidak dikenali berwarna ungu yang dilihatnya di awal kemunculan gumpalan asap putih tadi yang kemudiannya bertenggek di atas batu berkenaan.

Keanehan  juga  wujud  semasa  beliau  cuba  mengesan  kehadiran  makhluk halus di kawasan itu menggunakan telefon bimbit. Tarikh yang tercatat pada skrin telefon bimbitnya padam dan selepas itu telefon bimbitnya juga turut terpadam dengan sendiri. Hakikat ini menunjukkan, ada makhluk halus berhampiran tempat beliau berdiri di situ.

“Anis akan dapat melihat paras rupa makhluk halus itu jika membawa bersama cermin muka. Tapi sayangnya, cermin muka itu tertinggal”, ujarnya sambil melepaskan perasaan kecewa.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa lagi peristiwa aneh dari alur sungai tersebut umpamanya sebatang kayu tumbang sebesar batang pinang yang merentangi di tengah-tengah alur sungai di mana hujungnya mencecah air dan pangkalnya terletak betul-betul di atas sebuah batu yang agak tinggi. Keadaan kayu tersebut seperti sedang tidur berbantalkan batu tersebut.

“Pangkal kayu itu seperti kepala seekor kucing besar sedang mendongak atau memandang ke arah puncak Gunung Tebu itu”, katanya. 

Mendengar cerita dan pengalaman Anis Sabirin, Abe Aziz cuba mencari jawapan di sebalik  rahsia  yang  tersirat  pada  petang itu.   Sambil  menapak  di atas   seketul  batu dalam alur sungai tersebut, beliau cuba bermeditasi untuk melangkah ke alam ghaib bagi melihat perkara sebenar sebagaimana pengalaman yang telah dialami oleh penulis dan Anis Sabirin sendiri.

Dengan tiba-tiba beliau merasakan, batu tempat beliau menapak itu seperti bergoyang. Bahkan keputusannya sudah terjawab bahawa, batu-batu yang tersusun indah yang telahpun dipijak oleh Anis Sabirin sebelum itu merupakan sebuah taman permainan makhluk bunian yang dikelilingi bunga-bungaan berwarna kuning dan merah di mana kelihatan bulan agak cerah.

“Di kiri dan kanan dalam taman permainan makhluk bunian itu sebenarnya dikawal oleh dua pengawal yang gagah perkasa. Mereka berpakaian seperti seorang pesilat yang berselendang merah”, katanya apabila ditanya tentang taman bunian tersebut.

Kehadiran asap putih di bahagian atas dan kuning di bahagian bawahnya sebagaimana yang didakwa oleh Anis Sabirin memang benar untuk menunjukkan kehadiran makhluk bunian tersebut. Keadaan ini amat jelas dari pemerhatiannya bahawa, terdapat tiga gadis dari makhluk bunian Islam muncul. Gadis yang memakai baju kurung berwarna hijau berbunga yang sedang mencangkung sambil mencuci tangan itu ialah kakaknya. Manakala gadis kedua pula memakai baju kurung berwarna merah jambu dan gadis ketiga adalah yang bongsu, memakai baju kurung berwarna kuning tetapi bertubuh kecil.

Menurut Abe Aziz, dari meditasinya itu, ketiga-tiga gadis bunian itu memberitahunya bahawa, ikan karang yang bercahaya biru pada insangnya adalah ikan peliharaan mereka di sebuah kolam indah di tepi laluan pendakian kami. Tambahnya, ketiga-tiga gadis bunian itu pada mulanya ingin melarikan diri kerana mendapati beliau dapat menjejak masuk ke alam mereka.

“Abe Aziz percaya, ketiga-tiga gadis bunian itu adalah dayang istana”, katanya apabila penulis ingin mengetahui asal usul gadis tersebut.

Selepas itu, beliau melangkah ke arah taman permainan bunian itu lalu menapak di atas seketul batu yang agak cantik bentuknya. Seketika kemudian beliau terlihat seorang pemuda berusia dalam lingkungan 30 tahun sedang menunggang seekor kuda berwarna perang dari arah laluan pejalan kaki menuju ke Batu Mat Hasan sambil memerhatikan ke arah Abe Aziz.

“Pemuda itu memakai semutar seperti Aladin di mana pada dahi semutar yang dipakainya ada sebiji batu permata bersinar. Baju yang dipakai oleh pemuda bunian itu pula berwarna kuning kehijauan dan ketebalannya agak jelas di bahagian belakang”, ujarnya.

Tambahnya lagi, baju yang dipakai oleh pemuda makhluk bunian itu kelihatan nipis seperti kain sutera bersinar, berkedut di bahagian pergelangan tangan dan mempunyai butang baju yang agak kemas. Berikutan Abe Aziz dapat melihat pemuda makhluk bunian itu dengan jelas, sepantas kilat pemuda tersebut ghaib di situ. Dan beliau percaya, pemuda makhluk bunian itu merupakan seorang putera raja.

Menurut Abe Aziz lagi bahawa, kebanyakan pendaki yang tersesat dan terlupa jalan asal lalu masuk ke dunia mereka, ada yang kebingungan, beberapa kes pendaki yang   hilang   dan   tidak  pulang-pulang atau ditemui mati bahkan tidak ingin pulang lagi ke dunia manusia, sebenarnya  telah disorok, dibawa  dan  dijelmakan  sebuah  taman makhluk bunian yang indah di Sungai Cakah Dua tempat kami merakam gambar, bermeditasi dan mengesan kehadiran mereka berhampiran dengan kami.

Justeru, pada hemat penulis  bahawa ekspedisi kami ke Gunung Tebu tempoh hari sebenarnya mempunyai rahsia dan misteri telah mencapai sasarannya walaupun kami diperlihatkan tanda-tanda  bahawa  kehadiran  rombongan  kami  tidak  dizinkan  oleh  makhluk  bunian ke gunung tersebut. Jadi, penulis telah menemui jawapan sebenar mengapa kes manusia tidak pulang ke dunia asal manusia kerana berpunca dari tempat itulah. Itulah Taman Permainan Bunian yang dikelilingi alur sungai bagaikan sebuah tasik indah yang letaknya di Sungai Cakah Dua di Gunung Tebu itu.

Inilah lokasi batu licin, sebuah tempat munculnya rangka dan tengkorak manusia.

 Kolam ikan karang milik tiga gadis bunian.

Anis Sabirin menceritakan kemunculan asap putih dari arah belakangnya dan berkumpul di atas kepalanya. 

Arah munculnya gumpalan asap dan tiga gadis makhluk bunian.

Taman permainan gadis bunian dari arah Sungai Cakah Dua.

Anis Sabirin (gambar kecil) terjun dari arah batu misteri apabila terdengar suara haiwan liar. Kemudiannya beliau ditarik satu kuasa yang menyebabkannya lemah. 

 Batu aneh seperti alat kelamin lelaki ini tiba-tiba ghaib.

 Penulis (tengah) bergambar kenangan di Taman Permainan Bunian.

 Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 1 Jun 2017

Misteri Gunung Stong



MISTERI GUNUNG STONG

KUALA KRAI, KELANTAN: Gunung Stong yang letaknya di Kampung Jelawang dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan termasuk dalam Hutan Simpan Dabong merupakan hutan dara yang telah diwartakan sebagai Hutan Taman Negeri Kelantan. Ketinggian Gunung Stong mencapai 1,433 meter dari aras laut merupakan gunung kedua tertinggi di Kelantan selepas Gunung Ayam setinggi 1,504 meter. Namun paling menarik tentang Gunung Stong ialah suasana flora dan faunanya yang menghijau memang memukau pandangan, penuh dengan khazanah alam dan merupakan tempat laluan gajah liar. Apatah lagi, air terjun yang terkenal di Gunung Stong yang dikenali Air Terjun Jelawang atau Air Terjun Gunung Stong setinggi 305 meter merupakan air terjun yang kelima paling menarik di Malaysia dan tertinggi di Asia Tenggara.
 
Bercerita tentang Gunung Stong yang berdiri gagah terletak berhampiran dengan Gunung Ayam itu ternyata menarik minat Penulis. Ini kerana, selain bentuk geografinya yang berubah-ubah yang mana setiap pendaki perlu melalui beberapa halangan ekologi seperti lopak air, akar kayu, pokok tumbang, tanah yang licin dan berliku serta ketinggian yang mengejutkan di awal pendakian, secara langsung atau tidak setiap pendaki perlukan ketahanan mental dan fizikal. Tetapi tanpa disedari umum, Gunung Stong juga kaya dengan kisah misteri di sebalik tasik dan hutannya yang tebal itu.

Kisah misteri yang dimaksudkan apabila lokasi Baha's Camp yang sering dijadikan tempat untuk berkhemah terutamanya di kawasan tasik yang tersohor di Gunung Stong itu yang dikatakan bermisteri selain sebuah rumah rehat yang letaknya berhampiran tasik itu yang dikatakan mempunyai penunggunya.

Dari cerita yang Penulis dengar, terdapat sepasang suami isteri yang menyewa dan ingin menginap di rumah rehat itu telah dicampakkan keluar dari rumah rehat itu sedangkan mangsa tidak dapat melihat siapakah yang berbuat demikian. Walau bagaimanapun, rumah rehat tersebut kini telah dirobohkan. Malahan Penulis difahamkan, disebabkan rumah rehat itu dirobohkan seolah-olah makhluk halus yang mencampakkan mangsa seperti tidak senang dan mereka dikatakan sering mundar-mandir di kawasan tapak khemah terutamanya tapak rumah rehat asal termasuk di kawasan tasik air terjun itu. Berdasarkan laporan, banyak korban mangsa yang terjadi dalam tasik tersebut terutamanya ketika air terjun memenuhi sehingga ke tebing.

Setelah selasai menunaikan solat Isyak, sambil Penulis berbual-bual dengan Abang Him di samping mengambil kesempatan tersebut untuk menjamu selera. Ketika itulah Penulis terpandang sebatang tubuh lelaki yang memakai baju berwarna biru muda dari arah sebatang pokok agak sebesar berdekatan dengan warung tempat Penulis sedang menikmati sebuku roti yang mana makhluk berkenaan seolah-olah sedang memerhatikan ke arah Penulis. Namun, Penulis tidak mempedulikannya dan peluang seperti itu digunakan sepenuhnya oleh Penulis untuk melihat bentuk tubuh makhluk halus yang dimaksudkan itu seperti manusia juga.

Selang beberapa minit kemudian, rakan Penulis bernama Hafaizal Mat Ali meminjam kamera kecil milik Penulis lalu bergegas ke arah tapak asal rumah rehat yang dimaksudkan untuk merakam gambar. Rupa-rupanya foto yang dirakamnya pada 9.30 malam itu membuahkan hasil didapati terlalu banyak aura dan gelombang tentang wujudnya makhluk halus dalam bentuk asap putih di kawasan itu.

Melihatkan keadaan itu, Penulis mencapai kamera digital resolusi tinggi untuk merakam foto makhluk halus yang dikatakan mula berkeliaran dari tapak rumah rehat asal menuju ke warung tempat kami menjamu selera. Dari tiga keping gambar yang dapat dirakam Penulis, sekeping gambar yang dimaksudkan kelihatannya tiga makhluk halus dalam rupa manusia tetapi agak gelap iaitu dua lelaki dan seorang wanita sedang memerhatikan ke arah Penulis yang sedang merakam gambar mereka. Penulis mengistilahkan ketiga-tiga makhluk ghaib tersebut sebagai 'lembaga hitam' kerana kelihatannya seperti bayang hitam.

Dari bukti foto rakaman itu menggambarkan, makhluk halus terbabit memang wujud di tempat yang dimaksudkan dan mereka sebenarnya tidak ke mana-mana kerana di situlah dunia dan perkampungan asal mereka. Sebagai manusia, kitalah penceroboh perkampungan mereka kononnya atas nama pembangunan dan aktiviti gelojoh manusia. Mungkin manusia beranggapan tiada sesuatu yang dirosakkan kerana kita tidak nampak sesuatu yang telah musnah yang dialami oleh makhluk mereka. Jadi, bermula dari saat itulah beberapa kejadian ngeri terjadi di kawasan berkenaan termasuk di sebuah tasik berdekatan dan kolam mandi di hujung tasik tersebut.

Dalam masa yang sama juga, Abang Aziz melihat makhluk yang sama sebagaimana yang dapat dirakam oleh kamera Penulis. Katanya, ketika kami masing-masing sedang bersarapan, beliau terpandang seekor lipan yang mana kepalanya berwarna biru sementara tubuhnya berwarna oren kekuningan sedang menjilat air yang tumpah di atas meja tempat kami menjamu selera. Melihat lipan yang aneh itu beliau mengetuknya dengan sebatang sudu, seurus selepas terkena ketukan lipan tersebut tiba-tiba ghaib. Beliau percaya, lipan tersebut bukanlah seekor serangga biasa tetapi jelmaan jin yang tinggal berdekatan dengan tempat kami.

Malahan ketika kami sedang bercerita sehingga menjangkau waktu pagi ditemani hembusan bayu dingin dari arah tasik itu, kami membuat keputusan untuk melelapkan mata beberapa ketika. Walau bagaimanapun, kami berlima hanya tidur beralaskan plastik serta berbantalkan kain sarung dan sejadah tanpa membawa khemah sebagai hamparan tempat tidur kami. Dapat juga kami melelapkan mata sementara menunggu fajar pagi menyingsing esoknya.

Sementara itu, ketika peserta ekspedisi kami sudah melelapkan mata seorang demi seorang, ketika itulah berbagai kejadian misteri dan gangguan yang dialami oleh beberapa peserta kami. Salah seorang peserta kami, Wan Ibrahim Wan Ismail (Abang Him) tiba-tiba terkejut dan terbangun dari tidurnya kerana katanya beliau berasa seperti digigit seekor lipan di pipinya. Apabila disentuh tempat gigitan itu, barulah beliau berasa sakit yang menyucuk dan kesakitan itu beransur reda setelah disapukan minyak urutan yang dibawa khas olehnya. Dari kejadian itu, Penulis berpendapat Abang Him telah diganggu jin yang menjelma dalam bentuk lipan yang sebelumnya telah diketuk oleh Abang Aziz dengan sebatang sudu.

Kejadian berkenaan tidak selesai setakat itu sahaja kerana Abang Aziz yang tidur agak lena pada malam itu juga turut diganggu, apabila jari kakinya seperti digigit dan disentak sesuatu. Kejadian yang sama turut dialami oleh Hafaizal Mat Ali apabila kakinya juga turut digigit dan disentak berkali-kali. Hanya Penulis dan Mohd. Hafiz sahaja yang tidak diganggu sehinggalah waktu Subuh berkumandang.

Di samping itu, di kawasan Kolam Tuan Puteri dan Air Terjun Telaga Tujuh juga kaya dengan kisah-kisah misterinya yang hanya dialami mangsanya sebelum ini. Justeru, penulis ingin mengingatkan bahawa, apabila memasuki denai dan danau hutan, kawasan terpencil seperti di kawasan-kawasan gua, bukit dan gunung sama ada yang pernah dimasuki sebelum ini atau sebaliknya perlulah sentiasa beringat dan berwaspada kerana selain anda ke kawasan itu, anda sebenarnya sedang memasuki kawasan, penempatan dan perkampungan koloni dan kelompok makhluk ghaib itu yang mungkin tidak disenangi oleh sebilangan di kalangan mereka.
 
 Aura dan gelombang seperti asap tentang wujudnya makhluk halus di tapak asal rumah rehat.

Di sinilah munculnya lembaga yang sedang memerhatikan kami sedang makan.

 Tiga lembaga sempat dirakam Penulis berhampiran pokok kayu ini.

 Tapak asal rumah rehat yang dirobohkan.



 Nampak tenang, tetapi inilah kolam air terjun misteri.

 Air Terjun Telaga Tujuh.

 Kolam Tuan Puteri.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH