RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 30 Julai 2017

Misteri Pulau Tengkorak (Siri: 2)


MISTERI PULAU TENGKORAK
(SIRI: 2)

TUMPAT, KELANTAN: Pulau Tengkorak yang terletak 200 meter dari perairan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sering dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sebuah pulau puaka dan bermisteri dan pulau berkenaan dikatakan menjadi tempat persinggahan kumpulan lanun pada tahun 1969 dulu. Nama 'tengkorak' telah diberikan oleh penduduk kampung pada masa itu berikutan ketua lanun bernama Tok Sang Niaya telah membunuh sekurang-kurangnya 1,000 orang lalu mayat-mayat yang dibunuh itu dihumban dan ditimbuskan di pulau tersebut. Sejak itu, penduduk dari kampung berkenaan mendakwa Pulau Tengkorak berpuaka.

Sejak itu tiada siapa pun yang berani menjejakkan kaki ke pulau tersebut. Banyak kejadian aneh yang didakwa oleh segelintir penduduk dari kampung berkenaan menyatakan, jika dilihat dari jauh bentuk pulau itu seperti seekor buaya dan pada masa-masa tertentu seolah-olah kelihatan seperti seekor buaya sedang melibaskan ekornya.

Dari dakwaan penduduk terbabit, sudah agak ramai yang menerima natijah akibat menjejakkan kaki ke pulau itu seperti disorok, ada yang mendengar suara binatang buas seperti harimau dan beruang sedangkan jika dilihat bentuk pulau tersebut yang dikelilingi air laut, mustahil wujudnya binatang buas. Tetapi itulah suatu hakikat, jin dan syaitan suka memperdayakan manusia yang penakut dengan pelbagai helah. Jika termakan helah itu akan menjadikan makhluk mereka lebih hebat.

Seorang penduduk, Zakaria Mamat atau Pak Ya45, memberitahu Wartawan RELATIF, salah seorang penduduk dari kampungnya yang mencari lokan di perairan pulau tersebut akhirnya tersesat kerana lokan yang dicarinya semakin banyak sehingga mangsa terlupa jalan pulang kerana telah terlalu jauh ke tengah pulau. Pada masa itu, Pulau Tengkorak masih belum ditumbuhi hutan tebal tidak sebagaimana hari ini.

Banyak lagi kejadian aneh dan penuh misteri yang dianggap tidak masuk akal dialami oleh beberapa penduduk dari kampung berhampiran sewaktu menjejakkan kaki ke pulau itu. Namun, sudahnya mereka tidak kembali ke dunia manusia kerana telah dighaibkan ke dunia jin di mana ada yang mendakwa terdapat dua kumpulan jin Islam dan jin bukan Islam telah menghuni dan menetap di pulau itu sejak dulu.

Disebabkan fobia dengan kejadian itu, beberapa penduduk dari Kampung Ketil itu mendakwa kalau diupah ke pulau tersebut RM1,000 pun mereka tidak akan ke sana. Biar rugi duit daripada menerima bala dan padah. Disebabkan tiada manusia yang menjejakkan kaki ke pulau itulah yang menyebabkan pulau berkenaan ditumbuhi pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang agak subur sehingga batangnya sebesar paha orang dewasa.

Bagi penulis, Pulau Tengkorak bukanlah pulau puaka dan mengusik. Itu sekadar ketakutan dan fobia yang dialami oleh penduduk dari kampung terbabit. Malahan beberapa media cetak dan elektronik sebelum ini pernah menyiarkan artikel tentang Pulau Tengkorak, mereka merakam foto dari jarak jauh iaitu dari perairan Kampung Ketil itu tetapi tidak pernah cuba memasuki pulau tersebut kerana takut dan kecut perut disebabkan dakwaan berkenaan.

Justeru, disebabkan ingin mencabar ketakutan dan fobia yang dialami banyak pihak tentang puaka Pulau Tengkorak, pada 22 Januari, 2010 peserta kami yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz (Pengamal Rawatan Tradisional Warisan Pusaka Tok Kenali), Anis Sabirin bin Azmi (Anak keempat penulis) serta Mohamad Nasiruddin Mohamed Nor (Din) telah melakukan "Ekspedisi Pertama" memasuki perut Pulau Tengkorak.

Ketika di pulau itu, kami juga sempat berkomunikasi dengan penghuni ghaib di pulau itu yang mana salah seorang ketuanya berketayap putih sedang memberi makan 500 ekor biri-biri yang diternaknya, manakala penjaga pulau tersebut tidak berbaju dengan mengenakan seluar jeans lusuh seperti seorang tukang kebun. Kami ekspedisi ke pulau itu hanya sehari sahaja dan kami berangkat pulang pada pukul 6.30 petang pada hari yang sama, tetapi tiada apa yang berlaku dan cuba mengganggu kami.

Sedangkan, sebelum kami bertolak ke pulau tersebut dengan sebuah bot sejauh 200 meter, kami dimomokkan dengan pelbagai cerita untuk menghalang penulis dan peserta ekspedisi dari menjejakkan kaki ke pulau itu bimbang natijah buruk yang berlaku. Sudahnya, kami pulang dengan selamat dan penuh kepuasan. Paling menarik buat kami, makhluk halus yang memakai ketayap putih itu pula meminta kami datang lagi pada masa-masa yang akan datang.

Dengan itu, sebagai menyahut pelawaan lelaki berketayap putih berstatus haji dari kumpulan jin Islam itu, pada 18 Februari, 2011 lalu kami melakukan "Ekspedisi Kedua" ke Pulau Tengkorak dengan tujuan bermalam di pulau itu. Untuk ekspedisi kali kedua ini, penulis selaku Ketua Ekspedisi telah membawa 11 peserta lain. Kami berempat Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz, Hafaizal Mat Ali dan Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat penulis) dari Warisan Pusaka Tok Kenali dan Abjad Malaysia-Kelantan begitu teruja untuk ke pulau itu. Sementara lapan peserta lain sekadar ingin melayarkan hobi untuk memancing di pulau itu yang terdiri daripada Wan Ibrahim Wan Ismail, Hairudin Hasam, Mahazam Daud, Mohd. Naziz Ismail, Mohd. Suhaimi Mohd. Amad, Rashid Mat Hussain, Abdullah Ali dan Mohd. Zulkifli Zainal Abidin (rakan Anis Sabirin).

Sebelum berangkat ke pulau tersebut, kami berempat melakukan beberapa kaedah wasilah Warisan Pusaka Tok Kenali dan Abjad Malaysia. Ini kerana, dari pandangan kami, penghuni ghaib di pulau tersebut sedang mengamuk pada hari itu dan tentunya suasananya agak keras tidak sebagaimana ekspedisi kali pertama dulu. Dari jarak jauh, kami juga dapat melihat istana jin Islam di pulau itu bagi memudahkan kami berangkat dan menjejakkan kaki ke pulau tersebut.

Setibanya kami di perairan pulau itu dan sebelum memasuki pulau berkenaan, kami berempat sekali lagi melakukan kaedah wasilah untuk mengesan dan mengelak daripada gangguan. Setelah selesai, kami mula membuat laluan dengan mencantas dan menebang pokok-pokok yang menghalang laluan berbekalkan parang dan golok yang dibawa bersama.

Anis Sabirin (anak keempat penulis) yang mendahului peserta lain dalam aktiviti membersihkan dan membuat laluan memberitahu penulis, ketika beliau sedang asyik memotong batang pokok yang menghalang laluannya dengan tiba-tiba jalan yang kelihatan jelas sebelumnya dengan tiba-tiba ghaib (hilang) dan beliau tidak dapat melihat ke arah hadapan. Untuk itu, beliau kemudiannya membaca "Qulhuwallah" sebanyak 40 kali barulah laluan yang ghaib itu dapat dilihat kembali. Tetapi tidak habis setakat itu sahaja apabila beliau diberitahu oleh seorang makhluk halus bersuara lelaki supaya pokok yang ditebang itu dibuat 'ala kadar' sahaja. Namun, Anis Sabirin tidak mempedulikan suara arahan itu dan kerana itu makhluk halus tersebut tidak lagi mengganggunya.

Ketika melakukan aktiviti membersihkan laluan ke perut pulau itu banyak peluh mengalir dan tenaga semakin berkurangan disebabkan perlu memotong akar dan batang pokok sebesar paha orang dewasa yang tumbuh subur di Pulau Tengkorak itu, sehinggalah kami memilih tempat untuk mendirikan khemah dan markas, kami meneruskan aktiviti berkenaan. Bimbangkan kehabisan tenaga dan bekalan air masak berkurangan, penulis meminta peserta yang melakukan kerja itu dibuat secara giliran tidak sebagaimana sebelumnya. Kami selesai membersihkan segala semak-samun dan hutan belukar jam 12.45 tengah hari. Sebelum membina markas, penulis selaku Ketua Ekspedisi mengalunkan azan untuk memaklumkan kepada penduduk di kalangan makhluk ghaib di pulau itu bahawa kami telah menjejakkan ke pulau tersebut. Peserta kami siap membina markas kira-kira jam 3.30 petang.

Setelah berehat selama setengah jam, peserta-peserta lain mengambil peluang mandi air masin, ada yang pergi mencari lokan untuk bekalan BBQ pada sebelah malamnya nanti. Penulis yang telah selesai mandi air masin dan solat Zohor cuba untuk baring beberapa ketika dalam markas yang kami namakan "Markas Abjad Kota Bharu" untuk tujuan melepaskan kepenatan sejak tadi lagi. Ketika penulis sedang berehat itu, penulis dapat melihat dengan jelas bahawa markas yang kami bina itu betul-betul di tengah ruang dalam istana jin di PulauTengkorak itu.

Kami sengaja membina markas sedemikian dalam usaha untuk meneroka, menakluk dan menjajah pulau itu dari dimiliki oleh makhluk ghaib dari bangsa jin Islam dan jin Kafir itu. Kami melakukan kaedah wasilah Warisan Pusaka Tok Kenali dan Abjad dengan menganggap makhluk halus di bawah tapak kaki kami. Kami bukan datang ke pulau itu seramai 12 orang, sebaliknya kami sebenarnya turut diiringi oleh guru-guru kami dan 70,000 malaikat, inilah hebatnya kaedah wasilah. Makhluk halus yang melihat kami dengan rupa yang besar tetapi kami melihat makhluk halus itu kecil sahaja malah selayaknya di bawah tapak kaki kami, sebab itulah makhluk ghaib tidak dapat mengambil tindakan dan mengganggu kami. Hal yang sama turut diakui oleh Aziz Haji Daud, Hafaizal Mat Ali serta Anis Sabirin.

Tujuan kami membina markas yang berlilitkan plastik putih yang mana laluan masuk dari arah jalan yang kami rentas dan laluan keluar dari sebelah sana adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Peserta yang tidak mengetahui kaedah sedemikian perlu menurut arahan kami supaya berada dalam keadaan selamat, manakala pada sebelah malamnya mereka perlu bersama kami dan tinggal di dalam markas yang telah disiapkan itu tetapi tidak boleh keluar sesuka hati.

Pengalaman waktu malam sehingga pagi amat menarik buat kami. Ini kerana, dalam masa kami mengadakan 'bar-b-que' dengan memasang unggun api untuk membakar lokan dan ikan yang telah dapat dipancing pada sebelah petangnya, penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam foto kenangan. Dalam banyak foto yang penulis rakam pada malam tersebut, terdapat dua keping foto makhluk halus yang berjaya dirakam menggunakan 'lampu kilat' kamera. Dalam dua keping foto tersebut, sekeping darinya kelihatan empat makhluk halus berjaya dirakam. Di antara bentuk makhluk halus dalam foto itu adalah lembaga cahaya bermata biru, lembaga tengkorak, lembaga seperti manusia yang mempunyai tangan yang agak besar serta lembaga seperti manusia berketayap hitam atau berambut hitam.

Setelah malam semakin larut, kami mengambil tempat masing-masing untuk melelapkan mata. Namun, kami sebenarnya tidak dapat melelapkan mata disebabkan serangan nyamuk yang datang silih berganti. Ketika jam menjengah 3.00 pagi, penulis dapat mendengar suara seperti ada sesuatu sedang berlari dengan agak laju dari arah luar markas yang kami bina itu dan kemudiannya penulis dapat melihat lembaga perempuan sedang melilau dan memandang ke arah kami dari balik tiang keluar markas.

Tetapi lembaga perempuan tersebut kemudiannya ghaib setelah penulis melihat ke arahnya dengan tepat. Selang setengah jam selepas itu pula, rakan penulis bernama Hafaizal Mat Ali memberitahu, beliau melihat lembaga perempuan tadi sedang meniup lilin yang sedang menyala itu sambil dirinya mencangkung. Pada mulanya Hafaizal menganggapnya tidak masuk akal kerana pada malam itu tiada angin yang berhembus, tetapi melihatkan api lilin yang sedang beralun ke sana ke mari agak tidak munasabah. Setelah beliau memerhatikan ke arah lembaga perempuan itu, lembaga itu kemudiannya ghaib. Jika beliau tidak memerhatikan gelagat lembaga itu, sudah tentu barangan yang diletakkan berdekatan dengan api lilin itu akan terbakar. Rupa-rupanya lembaga perempuan itu sengaja meniup api lilin yang sedang menyala untuk membakar barangan kami di situ.

Penulis yang tidak dapat melelapkan mata walaupun sekejap pada malam tersebut turut menyaksikan Aziz Haji Daud (Abang Aziz) turut gelisah kerana terpaksa menepis nyamuk yang datang mengganggu dan menggigit mukanya. Kerana bosan dengan keadaan itu, beliau bangkit untuk membuat unggun api dalam usaha untuk mengurangkan gangguan nyamuk-nyamuk itu. Tetapi dalam beberapa minit kemudiannya, Abang Aziz memberitahu penulis beliau juga turut ditegur oleh lembaga lelaki (berambut hitam) sebagaimana dalam foto yang berjaya dirakam oleh penulis yang meminta beliau tidak menghabiskan atau membakar kesemua kayu yang dikumpulkan di tepi markas kami. Geram dengan teguran lembaga lelaki berambut hitam itu, Abang Aziz menempelak lembaga lelaki itu bahawa kalau makhluk itu menghalangnya juga, beliau akan membakar makhluk halus termasuk pulau itu pula. Selepas itu, makhluk halus yang menegurnya ghaib dan tidak menampakkan dirinya sehingga waktu pagi.

Kami meninggalkan pulau tersebut pada pagi keesokannya, 19 Februari, 2011 jam 8.00 pagi. Kejayaan kami menjejakkan kaki di Pulau Tengkorak adalah sesuatu yang indah dan mencatatkan sejarah yang tersendiri yang tidak pernah dilakukan oleh pihak-pihak yang lain. Tetapi paling menarik lagi apabila kami dapat membina Markas Abjad Kelantan, kami juga turut menyenaraikan dan memahatkan nama peserta kami yang dapat meneroka, menjelajah dan menakluk Pulau Tengkorak yang dikenali sebagai pulau paling berpuaka juga sebagai peserta pertama yang dapat berbuat demikian sedangkan tiada pihak lain yang sanggup berbuat demikian.

 Inilah perairan Pulau Tengkorak. Kami sampai di sini jam 12.00 tengah hari.

Kami membuat lorong untuk masuk ke perut pulau. Penghuni ghaib pulau itu bermula di pintu masuk ini.

 Penulis mengalunkan azan selepas kerja siap jam 3.30 petang.


Di sinilah Penulis mendengar bunyi burung tekukur aneh dan kelihatan sebuah bangunan (tempat tinggal), ketika Penulis baring seorang diri di sini.

 Makhluk halus (bertanda bulat) yang dapat dirakam oleh penulis.

 Bergambar kenangan di pagi 19.2.2011 untuk berangkat pulang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 20 Julai 2017

Misteri Pulau Tengkorak (Siri: 1)


MISTERI PULAU TENGKORAK
(SIRI: 1)

TUMPAT, KELANTAN: Pulau Tengkorak adalah sebuah pulau cukup misteri dan dilaporkan menjadi tempat persinggahan sekumpulan lanun pada tahun 1969 dulu. Pulau ini terletak bersempadan di antara Kelantan dengan Thailand bagi daratan sebelah sini di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan yang dipisahkan sebuah sungai berjarak kira-kira 200 meter.

Para penduduk dari Kampung Ketil ini memang sedia maklum tentang cerita pulau tidak berpenghuni itu, selain dikenali pulau lanun ia juga didakwa sebagai 'pulau puaka'. Berbagai cerita turut menjadi bualan beberapa penduduk dari kampung terbabit tentang keadaan pulau berbentuk buaya itu yang didakwa mempunyai penjaga dan penunggunya sebab itulah ramai yang ke sana dengan berniat serong akan mengalami beberapa perkara yang agak pelik, justeru sejak itu ramai yang seakan fobia untuk menjejakkan kaki ke pulau terbabit atas alasan diserang rasa takut.

Seorang penduduk yang ditemui Wartawan RELATIF, Zakaria Mamat atau Pak Ya, 43, berkata, sememangnya Pulau Tengkorak kelihatannya agak tenang tetapi kejadian yang berlaku agak tidak masuk akal, banyak misterinya yang belum terungkai.

Katanya, Pulau Tengkorak mendapat nama berikutan penemuan rangka dan tengkorak orang mati dibunuh telah dihumbankan ke pulau itu. Seorang nakhoda kapal yang merupakan Ketua Lanun dan juga raja kejam bernama Tok Sang Niaya telah membunuh sekurang-kurangnya 1,000 orang yang engkar arahannya lalu dengan kejamnya mayat itu dicampakkan ke pulau tersebut. Sehingga hari ini kebanyakan penduduk dari Kampung Ketil itu seakan gementar apabila mendengar cerita pulau tersebut.

"Pulau Tengkorak memang agak keras dan ganjil, jika tidak berilmu tinggi tentunya tidak akan sampai ke pulau tersebut.

"Walaupun agak ganjil, penduduk kampung ini berasa yakin tentang adanya harta karun tertanam di pulau itu memang ada kebenarannya. Salah satu harta karun yang masih tidak dapat diambil sehingga kini ialah kura-kura emas", katanya ketika ditemui di gerai makanan milik kakaknya di tebing sungai kampung tersebut.

Walaupun dirinya tidak pernah membicarakan atau mengaitkan tentang hakikat dan suasana pulau misteri itu, beliau pernah mengalami mimpi sebanyak tiga kali melihat sebuah peti berwarna hitam, namun beliau tidak dapat melihat kandungan di dalam peti tersebut. Beliau yakin peti hitam sebagaimana jelmaan dalam mimpinya itu memang wujud kerana terdapat beberapa orang penduduk dari kampungnya yang pernah bermimpi perkara yang sama dan mereka yakin ada di pulau itu. Cuma kekuatan untuk mendapatkan peti hitam yang ada di pulau itu adalah sesuatu yang paling sukar dilakukan.

"Pernah sewaktu ketika dulu, berlaku kematian berikutan ada kalangan penduduk dari kampung ini cuba untuk mendapatkan harta karun yang dikatakan, namun setakat ini tidak ada seorang pun penduduk dari kampung ini yang berani dan berjaya masuk ke situ setelah kejadian itu berlaku", jelasnya sambil meneguk secawan teh.

Katanya, pengalaman lain yang pernah didengari oleh Pak Ya apabila terjadi suatu peristiwa penduduk dari kampungnya pergi ke pulau itu untuk mencari lokan. Pada mulanya memanglah hasil lokan yang ditangkap agak sedikit, tetapi entah bahana apa secara tiba-tiba lokan itu semakin banyak. Kemaruk dengan hasil tangkapan yang agak luar biasa si pulan itu cuba untuk berpatah balik kerana dirasakannya semakin jauh melangkau ke tengah pulau menyebabkan laluan asalnya hilang, mangsa dikatakan tersesat di pulau itu.

Namun, beliau yakin mangsa sebenarnya bukan tersesat sebaliknya kena sorok di pulau itu. Setakat ini menurut Pak Ya, beliau belum pernah menjejakkan kaki ke pulau misteri itu, bukan ingin menuding jari kepada orang lain kononnya penakut sebab beliau sendiri juga tidak berkeyakinan untuk pergi ke pulau tersebut.

Apabila ditanya adakah masa-masa tertentu wujudnya jelmaan dari pulau itu, beliau menyatakannya tidak. Bukan sahaja malam hari paling ditakuti, sebaliknya kerap berlaku di siang hari terutamanya sebelah petang sehingga Maghrib. Hal seumpama ini berlaku berikutan ketenangan penghuni ghaib di pulau itu telah diganggu sama ada penempatan dan barangan milik makhluk itu telah diceroboh atau dimusnahkan.

"Seorang remaja dari Tak Bai, Thailand bermimpi kononnya beliau mendayung perahu, apabila sampai diletakkannya perahunya di tebing sungai. Seraya turun ke dalam air, kakinya terpijak benda keras dan bulat. Apabila berasa agak aneh dengan apa yang dipijaknya itu, dipegangnya benda yang dimaksudkan. Alangkah terkejutnya, kerana apa yang dipegangnya itu adalah sebiji tengkorak manusia", ujarnya.

Sementara itu, menurut kakak Pak Ya, Mariah Mamat atau Kak Yah, 44, berkata, Tok Sang Aniaya memang seorang yang sangat kejam. Tubuhnya setinggi kira-kira empat meter di mana ketika makhluk itu sedang mencangkung hampir sama dengan seorang manusia sedang berdiri. Tok Sang Aniaya menurut Kak Yah sering tidak berbaju dengan hanya mengenakan kain yang diputar (dikilas) di sebelah rusuk sesuai sebagai nakhoda kapal lanun yang dimaksudkan. Menurut cerita yang didengarinya, Tok Sang Aniaya terdampar di pulau itu apabila kapal yang dinaikinya karam semenjak itulah Pulau Tengkorak menjadi miliknya.

"Orang-orang tua dahulu pernah bercerita, salah seorang penduduk dari kampung ini masuk ke Pulau Tengkorak untuk mencari lokan. Hairannya pada hari itu, didapati lokan semakin banyak menyebabkan dia lupa hari sudah beransur senja sehinggakan fikirannya terlupa jalan yang dilaluinya menyebabkannya tersesat.

"Dirasakannya beliau semakin jauh berjalan ke tengah pulau, lalu dilemparkan lokan itu kembali. Setelah lokan itu dicampakkan, perjalanannya tiba-tiba menjadi pendek di mana beliau betul-betul telah berada di tebing sungai", ujarnya mengingati kembali kisah yang begitu tersohor dari mulut ke mulut pada masa itu.

Katanya lagi, satu lagi kejadian yang agak pelik apabila beberapa orang remaja cuba mengambil kesempatan untuk mencuri kelapa muda di Pulau Tengkorak. Apabila mereka mendongak ke atas, mereka dapati pohon kelapa muda itu berbuah banyak. Salah seorang dari mereka memanjat dan apabila buah kelapa yang diidamkan telah diperolehi mereka menjamu bersama-sama.

"Dengan tidak disangka-sangka, mereka tidak dapat melangkah ke mana-mana kerana melihat terlalu banyak buaya telah mengepung mereka. Dalam usaha untuk mengelakkan dari dikerjakan atau menjadi mangsa reptilia terbabit mereka memanjat pohon kelapa tersebut. Setelah menjelang hari siang esoknya, apa yang mereka lihat tidak kelihatan walau seekor buaya pun di situ. Justeru, nasiblah mereka terpaksa bermalam di atas pohon kelapa", ujarnya sambil ketawa kecil.

Sambung Kak Yah lagi, suatu kejadian turut menggemparkan penduduk Kampung Ketil apabila salah seorang kanak-kanak dari kampung berkenaan yang dikatakan merajuk dan membuat perangai telah melarikan diri dari rumah lalu masuk ke Pulau Tengkorak itu. Menurut kanak-kanak itu, beliau menemui sebuah kolam agak besar dipenuhi air yang agak jernih dan bersih tanpa dicemari walau sehelai daun pun. Melihatkan suasana kolam yang agak bersih di pulau itu menyebabkannya terpesona dan kanak-kanak itu berasa agak tenteram sambil berendam di dalamnya selama tiga hari tiga malam.

"Kanak-kanak itu memang bertuah kerana dapat melihat kolam itu dengan sempurna berbanding orang lain yang tidak mempunyai pengalaman seperti itu. Ini kerana, beliau tidak cuba mengambil kesempatan membuat sesuatu angkara. Sebaliknya, sekiranya melakukan tabiat buruk di pulau itu, tentunya akan menerima natijahnya seperti tidak menemui jalan pulang (tersesat), disorok atau sebagainya", ujarnya.

Kak Yah menambah, ada seorang yang berhati mulia telah menemui tiga batang nibong emas sebaik menjejakkan kaki ke pulau itu. Walau bagaimanapun, terdapat masalah apabila nibong emas itu tidak dapat dimiliki kerana terlalu sukar untuk mencabutnya. Namun, peluangnya dapat melihat batang nibong emas itu menandakan Pulau Tengkorak memang kaya dengan peninggalan harta karun mahupun bongkah-bongkah emas milik bunian di pulau itu sememangnya wujud dan bukan sekadar cerita dongeng, cuma cara untuk memiilikinya itu atas rezeki masing-masing.

"Banyak benda berharga boleh dimiliki jika ke pulau itu, namun setakat ini tidak ada pihak yang dapat berbuat apa-apa. Ini kerana, Pulau Tengkorak memang tempat keras. Jika Allah izin, dapatlah sesuatu yang berharga dari pulau itu walaupun dikatakan agak keras dan menakutkan", katanya.

Menurut Kak Yah lagi, kejadian pada tahun 1969 memang tidak dapat dilupakannya apabila seekor buaya putih masuk ke pulau tersebut. Kejadian berkenaan berlaku selepas banjir besar pada tahun 1967, seekor buaya yang entah dari mana datangnya didapati terdampar di pulau tersebut. Sehingga hari ini, tidak pernah berlaku banjir di pulau terbabit.

Setakat ini menurut Kak Yah, belum lagi berlaku sebarang gangguan terhadap penduduk Kampung Ketil itu. Tetapi jika kita berniat ke pulau tersebut secara suka-suka pasti menerima masalah sama ada diganggu ataupun disorok. Munculnya pelbagai jelmaan dan bunyi suara haiwan buas sebagai petanda untuk memberikan gambaran, penempatan makhluk halus di situ telah diganggu.

"Contohnya, pernah anak saudara Kak Yah yang sedang hamil masuk ke pulau itu untuk mencari lokan, tiba-tiba didapati kakinya bengkak agak luar biasa. Beliau kemudiannya dibawa ke hospital, namun doktor kata tidak ada penyakit.

"Kerana tidak puas hati dengan jawapan tersebut, beliau berubat secara kampung dengan Pengamal Rawatan Tradisional. Katanya, anak saudara Kak Yah itu sengaja cari pasal masuk ke pulau tersebut. Kerana terasa sesuatu yang pelik, anak saudara Kak Yah mencampakkan kembali lokan ke pulau itu, secara tiba-tiba penyakit yang dialaminya itu sembuh serta merta", ujar Kak Yah lagi.

Sementara itu, terdapat kumpulan remaja seramai tujuh orang sedang berperahu ke Pulau Tengkorak dengan harapan untuk mendapatkan emas yang didakwa wujud di pulau tersebut. Namun, dengan tidak disangka-sangka, perahu yang didayung mereka diserang ribut yang agak dahsyat menyebabkan perahu yang mereka naiki itu hanyut. Salah seorang dari mereka diserang sakit yang datang secara tiba-tiba menyebabkannya meninggal dunia pada ketika itu juga. Sebab-sebab meninggal hanya Allah jua yang mengetahuinya.

"Bagi Kak Yah bukan mahu percaya makhluk itu hebat, tapi kalau ada niat buruk seseorang ke atas pulau tersebut, lambat laun akan terima akibatnya. Buktinya, pernah suatu masa ada pihak-pihak cuba masuk ke pulau itu untuk membuat kajian dengan tujuan membina sebuah pusat peranginan, akhirnya terpaksa dibatalkan kerana diserang rasa takut", ujarnya.

Seorang lagi penduduk tempatan yang ditemui, Wan Zainab binti Wan Hassan, 38, berkata, bertahun-tahun beliau menderita sakit kemudiannya beliau kembali sembuh. Setelah sembuh dari penyakit ganjil, secara tidak diduga beliau boleh mengubati orang yang memerlukan rawatan, namun selepas itu beliau menderita sakit sebagaimana sebelumnya.

Ketika beliau menderita sakit yang amat sangat itulah, pada setiap malam beliau sering terdengar suara perempuan yang memanggil-manggil namanya. Beliau agak suara tersebut tentunya datang dari pulau berkenaan. Pada suatu malam, beliau bermimpi namanya dipanggil seperti malam-malam sebelumnya sehingga beliau dapat melihat perempuan berpakaian selindang seperti tujuh beradik, beliau agak tentunya puteri bunian dari Pulau Tengkorak itu.

Selepas itu, beliau bermimpi melihat seekor harimau besar, ular, gajah, beruk dan akhir sekali seorang wanita tua yang dikatakan penjaga pulau itu sering dialaminya. Peliknya dalam mimpinya itu, beliau diminta tidak melarikan diri apabila bertembung dengan gajah, ular dan beruk itu.

"Sudah berpuluh bomoh datang ke pulau itu apabila terdengar suara gajah, harimau dan binatang buas lain di pulau itu, akhirnya mereka melarikan diri. Ada juga yang terkejut dengan deruman suara binatang menakutkan itu boleh memanjat sebatang pohon kelapa yang agak tinggi di pulau itu", ujar Wan Zainab sambil ketawa kecil mengingatkan peristiwa itu agak lucu baginya.

Katanya, beliau mengetahui cerita Pulau Tengkorak daripada arwah bapanya yang mendakwa pulau itu adalah tempat persinggahan kumpulan lanun terbabit untuk menyembunyikan harta karun yang dirampas dan dirompak. Menurutnya, agak ramai penduduk kampungnya yang telah menjejakkan kaki ke pulau itu menemui barangan bernilai termasuklah emas di beberapa tempat di pulau terbabit. Contohnya, salah seorang penduduk dikenali Kak Yam pernah menemui wang dinar dari dalam guri, di mana wang tersebut boleh digantungkan di leher. Namun, paling banyak kali beliau dengar apabila ramai yang menjejakkan kaki ke Pulau Tengkorak selepas itu laluannya itu tidak kelihatan menyebabkan mereka tersesat dan tidak menemui jalan pulang.

Zakaria Mamat atau Pak Ya.

 Mariah Mamat atau Kak Yah.

Kak Yah ketika diwawancara di kedai makanan miliknya.

 Wan Zainab Wan Hassan.

 Wan Zainab Wan Hassan sedang menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF.

 Bentuk Pulau Tengkorak yang memanjang persis seekor buaya.

Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 10 Julai 2017

Misteri Gunung Tebu (Siri: 2)


MISTERI GUNUNG TEBU
(SIRI: 2)

BESUT, TERENGGANU: Pengalaman menghadapi kejadian misteri ketika melakukan aktiviti lasak khususnya mendaki gunung memang tidak dapat dilupakan. Ini kerana, melalui hal-hal tersebut kita dapat mempelajari ilmu baharu dalam situasi yang berbeza dengan lain-lain aktiviti yang pernah kita lakukan.

Kalau lazimnya kita berhadapan dengan manusia, kita sudah dapat membaca apa yang bakal berlaku dan bagaimana untuk menyelesaikannya. Namun, apabila berhadapan dengan makhluk halus apatah lagi kejadian itu berlaku di tempat-tempat yang belum pernah kita lalui, dengan tiba-tiba berlaku pula sesuatu kejadian yang kita anggap tidak masuk akal, tentunya situasi seperti itu akan menyebabkan kita hilang arah dan tumpuan. Sebab itulah, untuk melakukan aktiviti lasak apatah lagi memasuki danau yang belum pernah kita terokai memerlukan tubuh yang sihat dari segi mental dan fizikalnya juga.

Misalnya aktiviti untuk memasuki denai Gunung Tebu yang dikatakan sebuah tempat yang agak bermisteri adalah memerlukan beberapa persediaan yang sepatutnya. Ini kerana, beberapa lokasi di Gunung Tebu itu adalah sebuah tempat yang didiami pelbagai kelompok dan koloni makhluk halus. Sementelah pula, keterbatasan manusia untuk melihat kehadiran kelompok mereka memerlukan kesabaran dan kecekalan hati.

Jika tiada kedua-dua aspek ini, tentunya apabila timbulnya situasi yang tidak diduga akan menyebabkan kita melarikan diri atau terjun ke sesuatu tempat yang boleh membahayakan nyawa kita sendiri. Apatah lagi, makhluk halus boleh menjelma dalam pelbagai rupa dan keadaan yang kita sedari atau tidak kita akan menghadapi hal-hal seumpama itu.

Gunung Tebu menjanjikan sesuatu kepuasan setiap pendakinya kerana bermula dari laluan di kakinya sehingga ke puncaknya akan memberikan ketenangan kepada mereka yang bergelar pendaki. Untuk berjaya sampai ke puncaknya, bukan sahaja setiap pendaki akan melalui pelbagai halangan seperti keletihan, tekak yang sentiasa dahagakan air, menghadapi ranting yang menghalang laluan dan kayu tumbang, tanah yang licin, kehabisan tenaga dan berhadapan dengan kejadian misteri itu.

Sebagaimana yang diketahui, setiap tempat sunyi dan terpencil, dikelilingi hutan dan jauh dari hiruk-pikuk manusia, sudah semestinya makhluk ghaib yang menghuni dan menjadikan sesuatu tempat itu sebagai perkampungan mereka. Misalnya di Gunung Tebu itu, bermula di kawasan “Batu Licin” lagi terdapat penempatan asal makhluk halus.

Sebagaimana pengalaman penulis yang pernah melihat tempat tersebut dihuni makhluk halus yang hanya kelihatan rangka yang sedang berjalan ke sana ke mari selain terdapatnya kelawar raksasa yang bersaiz agak luar biasa ketika waktu Maghrib menjelang, memberikan gambaran hakikat bahawa pencerobohan ke lokasi mereka pasti menerima akibatnya. Mungkin betul atau tidak, terdapat kes maut apabila ada mangsa yang terjatuh dari tempat itu sebelum ini kerana melarikan diri dari kelibat yang agak pelik terhadap mangsanya.

Bermula dari laluan pejalan kaki yang berakhir di kawasan papan tanda batu licin itu, salah seorang peserta pendakian kami dapat melihat gerombolan makhluk halus dari golongan bunian bukan Islam yang sedang memerhatikan ke arah peserta kami. Malahan kami juga diperlihatkan dengan beberapa kejadian misteri, selain kami turut diintai oleh makhluk halus seperti jin dan golongan bunian yang mungkin agak hairan dengan kehadiran peserta kami yang agak ramai pada ketika itu.

Menurut Anis Sabirin, sejak melintasi Sungai Belatan kami sebenarnya telah diekori dua lembaga dari belakang sehingga kami sampai di kawasan perkhemahan Sungai Cakah Dua yang kini agak lengang akibat peristiwa beberapa kes remaja dan kanak-kanak yang hilang (ghaib) dan disorok di situ.

Sambil berehat dan membasahkan tubuh untuk menunaikan solat Zohor di samping mendapatkan bekalan air minum di sebuah aliran air di tasik itu untuk kegunaan semasa dalam pendakian nanti, Abang Aziz memberitahu bahawa tiga makhluk bunian telahpun menunggu kedatangan kami di seberang tasik itu.

Dari perbualan alam rohani (meditasi) di antara Abang Aziz dengan makhluk bunian tersebut, ketiga-tiga makhluk bunian itu memang tidak berapa senang dengan kehadiran kami yang seolah-olah mengganggu ketenangan masyarakat mereka pada masa itu. Tetapi golongan bunian itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana mungkin memahami tujuan kami ke situ lalu mereka berlalu pergi.

Setelah menapak lebih kurang dua jam di Sungai Cakah Dua itu, kira-kira pukul 3.30 petang kami meneruskan aktiviti mendaki dengan melalui denai yang agak rata. Namun, dari pemerhatian Anis Sabirin beliau agak kurang selesa kerana kami masih diekori oleh dua makhluk jin, namun beliau tidak mempedulikan hal tersebut.

Begitu pun, lebih kurang 700 meter lagi untuk sampai ke Batu Mat Hasan dengan melalui denai Mat Hasan yang agak menarik, Anis Sabirin tiba-tiba terpandang tiga batang 'tebu aneh' yang warnanya agak luar biasa iaitu 'coklat kehitaman' di sebelah kanan denai itu.

Disebabkan terlalu asyik dan terpesona dengan bentuk tebu aneh yang luar biasa itu sehingga beliau lupa tentang peringatan penulis terhadapnya supaya memaklumkan dengan segera kepada penulis jika beliau terlihat tiga batang tebu aneh di denai itu untuk dirakam gambarnya. Ini kerana, tiga batang tebu aneh itu sebenarnya tumbuh di alam ghaib yang dimiliki segolongan makhluk bunian.

Tetapi beliau mungkin terlupa dengan pesanan penulis, akhirnya tebu aneh yang mengandungi geliga bernilai itu ghaib serta merta. Kejadian tebu aneh muncul dan menjelma kepadanya sebagai alasan untuk memperlihatkan kepadanya tentang kewujudan 'geliga tebu' dan penempatan golongan bunian di denai tersebut.

Manakala di beberapa tempat di laluan denai Mat Hasan iaitu sebelum kami sampai di Batu Mat Hasan, Fakhruddin Yusof (Din Bukit) bersama Abang Aziz begitu asyik memandang akar yang agak panjang masuk ke dalam sebatang pokok. Menurut Abang Aziz, sifat akar dan pohon kayu tidaklah luar biasa sebagaimana yang beliau dan Din Bukit lihat itu.

Jika ingin menunjukkan sifat alam, kita biasa menemui akar melilit batang kayu. Namun, melihatkan fenomena seumpama itu jelas menunjukkan ada sesuatu yang tersirat dan agak aneh dan pelik yang sengaja untuk dipertontonkan kepada rombongan ekspedisi kami.

Penulis yang berada di belakang peserta lain kemudiannya mempercepatkan langkah untuk ke tempat akar masuk pohon kayu itu apabila diminta oleh Abang Aziz bagi memberikan kesempatan untuk disaksikan sendiri oleh Penulis tentang fenomena yang agak luar biasa itu. Bagi Penulis, fenomena akar memasuki batang kayu adalah kali pertama dilihat dan mungkin tidak akan berpeluang untuk melihatnya lagi untuk kali kedua. Lantas Penulis mencapai kamera untuk merakam detik-detik luar biasa pada petang itu.

Justeru, ketika Penulis 'mengklik' di atas butang rakam kamera yang tergenggam erat di tangan tanpa melepaskan butang itu, Penulis dapat menyaksikan gambar yang tertera di skrin kamera didapati pohon kayu itu kelihatannya seperti sebuah bilik atau singahsana istana raja-raja yang cukup cantik berwarna kekuningan.

Namun, setelah butang kamera diklikkan dan lensa merakamnya, bilik yang kelihatan cantik berwarna kekuningan tadi itu kelihatan sekadar akar memasuki pokok kayu iaitu seperti kepala ular memasuki pokok kayu sahaja.

Setelah memperolehi gambaran tentang fenomena luar biasa itu, Abang Aziz mengambil kesempatan itu untuk bermeditasi melalui kaedah kerohanian untuk memasuki alam makhluk halus.

Jadi, berdasarkan makluman Abang Aziz bahawa akar yang memasuki pokok kayu itu merupakan sebuah istana Raja Bunian berwarna kekuningan yang mana keluasannya sayup mata memandang dan di bahagian hujungnya kelihatan kabus berwarna putih yang agak nipis.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa sepanjang pendakian kami menuju puncak Gunung Tebu itu sememangnya didiami pelbagai jenis makhluk halus sama ada golongan langsuir, pontianak, jin dan bunian yang hakikatnya tidak disedari oleh segelintir pendaki lain sebelum ini tentang alam, perkampungan dan penempatan mereka yang wujud sejak gunung itu berdiri megah di situ.

Setelah berhenti beberapa ketika di kawasan akar memasuki pokok kayu itu, kami kemudiannya meneruskan pendakian sehingga tiba di sebatang pohon tumbang bersebelahan laluan kami. Penulis dan Abang Aziz tiba-tiba tercium bau yang agak menyelerakan seakan-akan kuah kari yang sedang dimasak.

Pada hemat Penulis, berkemungkinan bangsa bunian sedang mengadakan kenduri pertunangan atau perkahwinan berdasarkan bau tersebut. Justeru, ketika Penulis dan Abang Aziz sedang berbisik, bau kari itu kian semerbak menusuk hidung seolah-olah mengiakan bisikan kami. Tetapi, apabila Abang Aziz menyatakan bau kari itu 'busuk' seperti bangkai biawak, dengan tiba-tiba bau semerbak itu hilang.

Kami kemudiannya berhenti sementara di sebuah batu besar yang agak luar biasa. Bukan sekadar berehat dari kepenatan yang mencengkam tubuh badan kami dalam usaha untuk mengumpulkan dan memulihkan tenaga yang hilang akibat perjalanan panjang.

Namun, penyebab kami berehat di sebuah batu aneh itu apabila Abang Aziz dan Din Bukit dapat mendengar dengan jelas sepasang suami isteri yang sedang bertengkar yang mana bunyinya semakin lama semakin lantang yang datangnya dari arah batu tersebut. Penulis malah termasuk empat pendaki yang lain tidak dapat mendengar sebarang suara dari batu tersebut tetapi sekadar melihat ke arahnya apabila diberitahu oleh Abang Aziz dan Din Bukit.

Selepas itu, kami meneruskan pendakian dan perjalanan melalui denai yang agak panjang dan rata untuk sampai ke Batu Mat Hasan yang agak tersohor yang terletak di tengah-tengah denai Gunung Tebu. Ini kerana, Mat Hasan adalah seorang pertapa yang melakukan pertapaan di sebuah gua dalam batu yang berdiri gagah yang menutupi alur sungai di tengah-tengah gunung tersebut.

Gunung Tebu itu sebenarnya adalah tanah miliknya sendiri dan nama Batu Mat Hasan diberikan sempena dengan namanya. Manakala Gunung Tebu diberikan nama kerana terdapatnya tiga batang tebu aneh yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu (bertuah) sahaja yang juga telah dapat dilihat oleh Anis Sabirin di sekitar denai Mat Hasan itu itu beberapa minit yang lalu. Ini kerana, tiga batang tebu itu sebenarnya milik Penghulu Bunian yang mana di dalamnya mengandungi pelbagai batu permata termasuklah geliga tebu yang agak bernilai.

Individu yang melalui kawasan Batu Mat Hasan ini dikatakan tidak boleh bersuara sebarangan kerana bukan sahaja akan diganggu dan disakat dengan pelbagai jelmaan yang menyeramkan. Kejadian yang dialami oleh beberapa pendaki sebelum ini yang terkena sampuk dan terserempak dengan lelaki berjubah, lembaga arnab yang besar, lembaga ular dan katak yang saiznya agak luar biasa sebagai petanda kewujudan pelbagai jenis makhluk halus yang menghuni di kawasan itu yang bukan sahaja terdiri daripada golongan bunian Islam dan bukan Islam yang tinggal sama ada di atas batu itu sendiri dan di dalam gua Batu Mat Hasan.

Pendakian kami kemudiannya tiba di Batu Mat Hasan ketika waktu Maghrib menyapa kira-kira jam 7.30 malam, bagi menggambarkan malam mula melabuhkan tirainya dan dalam masa yang sama Penulis dapat mendengar pelbagai suara dari dalam hutan itu silih berganti. Manakala bagi Anis Sabirin pula, setibanya beliau di hadapan di Batu Mat Hasan itu, makhluk halus yang mengekori perjalanannya sebelum ini tidak lagi kelihatan.

Tetapi beliau dapat mula melihat lembaga seperti warga emas (orang tua) sedang memerhatikan rombongan kami. Orang tua itu menurutnya berpakaian serba putih dan pada waktu yang sama beliau terlihat kelibat seorang kanak-kanak lelaki berada berhampiran Batu Mat Hasan itu.

Kesempatan dapat berehat di kawasan lapang di hadapan Batu Mat Hasan digunakan sepenuhnya oleh Penulis untuk merakam gambar sebanyak mungkin dalam suasana malam pula. Ini kerana, di samping dapat mengetahui kehadiran makhluk halus yang berdiri berhampiran peserta kami amat jelas apabila bulu roma di lengan Penulis terasa meremang beberapa kali. Di antara gambar yang dirakam dalam suasana itu termasuklah Batu Mat Hasan dan sekitarnya termasuk lubang gua Batu Mat Hasan.

Menariknya tentang Batu Mat Hasan di waktu malam itu apabila mata Penulis pada awalnya dapat melihat dengan jelas wajah makhluk halus seperti manusia, kepalanya agak bulat dan masih sihat tetapi rambutnya agak beruban untuk menunjukkan usianya sekitar 50 hingga 60 tahun (bagi umur manusia) yang sedang berdiri di atas batu tersebut. Manakala di dalam gua Batu Mat Hasan pula, kelihatan makhluk halus seperti seorang lelaki dewasa sedang melakukan wirid dengan memandang tepat ke arah kamera Penulis yang dihalakan ke muka gua berkenaan.

Selepas kami berehat sekurang-kurangnya setengah jam di kawasan lapang di hadapan Batu Mat Hasan itu, kira-kira jam 8.10 malam kami meneruskan pendakian panjang dalam suasana yang semakin gelap. Kali ini corak pendakian kami agak memenatkan kerana terpaksa mendaki laluan yang agak tinggi sementelah pula tenaga yang ada turut dibebani dengan beg kamera, bekalan makanan dan minuman serta kain selimut.

Menurut Anis Sabirin bahawa, semasa kami meninggalkan Batu Mat Hasan untuk mendaki laluan yang berbukit itu, dari pemerhatiannya dalam suasana hitam pekat itu sambil dibantu cahaya lampu suluh yang tergenggam erat di tangannya, beliau dapati banyak makhluk halus yang berpakaian serba putih sedang bersembunyi dalam tunggul dan pohon-pohon kayu yang buruk.

Manakala bagi Din Bukit pula sebagai juru pandu pendakian kami berasa agak gusar kerana buat beberapa saat, beliau dapati tidak kelihatan laluan kerana dibenteng dinding gelap walaupun itulah laluan sebenar yang patut kami lalui. Melihatkan suasana berkenaan, Penulis cuba menyuluh benteng gelap yang menutup dan menghalang laluan kami itu.

Tetapi cahaya lampu tidak dapat menembusinya. Ini salah satu cara permainan makhluk halus yang berkampung di kawasan itu yang ingin melambatkan perjalanan kami dan kemungkinan jika kami teruskan juga, natijah buruk mungkin berlaku. Lantas Penulis meminta supaya peserta kami berehat selama lima minit, kemungkinan benteng itu akan dibuka semula selepas masa berkenaan tamat. Ternyata benar, kerana selepas masa berkenaan berakhir, kami akhirnya diperlihatkan jalan yang sepatutnya kami lalui.

Beberapa ketika kemudian, kami tiba di sebuah tempat yang dikenali 'Jendela Pandang' melihatkan dalam kesamaran cahaya langit walaupun di tengah-tengah hutan apatah lagi dalam suasana yang gelap pekat itu. Setelah peserta kami tiba di situ, Penulis menghalakan lampu suluh ke arah papan tanda berkenaan.

Kami terpaksa berhenti beberapa minit di kawasan Jendela Pandang berikutan perjalanan kami dirasakan berat dan lambat. Dari maklumat yang Penulis perolehi bahawa, beberapa pendaki yang pernah melalui kawasan berkenaan mendakwa laluan itu memang tempat makhluk bunian bersuka ria.

Setelah beberapa meter mendaki, akhirnya kami sampai di tempat 'Punca Air. Dikatakan punca air bermaksud, hanya di kawasan itu sahaja para pendaki Gunung Tebu boleh mendapatkan bekalan air minum untuk dibawa sampai ke puncak gunung itu nanti.

Jika bekalan air tidak diambil di situ, tidak ada lagi tempat bekalan air yang boleh ditemui, akibatnya tekak terpaksa menahan keperitan dahaga dan dalam keadaan ini tentunya pendakian menjadi lambat atau terasa pincang. Di antara ingin atau tidak, kami perlu berjalan menuruni lembah itu untuk mendapatkan bekalan air dari air terjun di situ.

Lantas bersama-sama lima pendaki yang lain, Anis Sabirin segera mencapai tiga botol bekas air mineral untuk tujuan mengisikan air, sementara Penulis dan Din Bukit berehat buat beberapa ketika sambil menunggu perkakasan mendaki termasuk beg sandang dan bekalan makanan.

Penulis yang agak kepenatan akibat memikul beban kedua-dua beg yang terlalu berat mengambil kesempatan untuk berehat sambil menyandarkan tubuh di sebatang pohon kayu yang agak sederhana kecil berhampiran laluan di kawasan punca air itu. Ketika itu, malam semakin pekat di tengah hutan. Penulis tidak pedulikan apa yang bakal berlaku akibat terlalu penat disebabkan entah berapa gelen keringat memercik keluar.

Sambil menyandarkan beg, Penulis dapat merasakan berlakunya perubahan cuaca pada malam itu dan dari arah kanan, ekor mata dapat melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian putih yang Penulis agak sebagai 'langsuir' sedang terbang dalam gerak perlahan betul-betul di hadapan Penulis. Tetapi sayangnya, sewaktu Penulis cuba mencapai kamera untuk merakam detik-detik pada malam itu, dengan tiba-tiba lembaga perempuan berpakaian putih itu terus ghaib.

Akhirnya, setelah berhempas-pulas terpaksa mengharungi badan yang semakin penat akibat terlalu berat membawa kedua-dua beg dari hadapan dan belakang seperti beg berisi kamera, makanan, peralatan memasak serta pakaian termasuk tikar dan kain selimut, Penulis dan rakan-rakan yang lain akhirnya berjaya menawan puncak Gunung Tebu yang tingginya 1,036 kilometer atau 7,808 meter bersamaan 3,401 kaki yang mana pada ketika itu jam di tangan menunjukkan 1.15 pagi.

Tidak ada yang lebih selesa dan dapat dirungkai dengan kata-kata selain dapat meletakkan kedua-dua beg sandang yang terlalu berat termasuk dapat menjamah sedikit makanan kerana Penulis sememangnya kelaparan sejak singgah di tempat Punca Air tadi lagi.

Dengan merasai segelas minuman seperti milo, roti dan mi segera buat mengalas perut yang sudah berkeroncong selain dapat mengembalikan tenaga yang telah hilang, barulah timbulnya perasaan lega di hati Penulis.

Setelah dapat menikmati juadah pada pagi itu sambil menghayati suasana cahaya langit dengan bertemankan lampu malam yang disediakan pihak Jabatan Perhutanan di puncak Gunung Tebu itu, Penulis dapat merasakan sesuatu yang tidak diundang bakal berlaku iaitu 'hujan'.

Memang benar, hujan mula turun pada pukul 2.15 pagi diikuti angin dingin berpuput lembut dan selepas itu kabus mula menyapa kami. Walaupun kami tidak bersedia dengan khemah kerana terlalu keletihan, tetapi kami memang bersedia dengan plastik khas yang boleh menutup kami dari disimbah hujan itu. Jadi, kami akhirnya tertidur berbumbungkan sebatang pohon bonsai gunung sambil bersandarkan kepada baju panas dan kain selimut yang dibawa khas untuk tujuan berkenaan.

Manakala pada pagi 9 Ogos, 2008 keesokannya, tatkala Subuh menyapa tidur kami dan ada di antara rakan-rakan pendaki yang masih enak dibuai mimpi disebabkan terlalu keletihan, Penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam beberapa keping gambar berhampiran sebuah batu dan rumpunan pohon-pohon yang tumbuh di tengah-tengah lorong (laluan) di puncak gunung itu dikenali Taman Santai Bunian. Dari rakaman itu, memang banyak wujudnya makhluk halus seolah-olah sedang memerhatikan ke arah kami.

Lebih kurang jam 9.30 pagi pula, peserta kami bergerak ke sebuah batu yang agak besar dan luar biasa dikenali 'Batu Madrasah'. Pada hemat Penulis, tempat yang kami tuju itu adalah Taman Bunian kerana selain terletaknya Batu Madrasah, beberapa jenis tumbuh-tumbuhan pelik seperti 'sawat harimau', limau aneh dan pohon buluh hutan wujud di situ yang tidak ada di tempat lain yang mana tumbuh-tumbuhan ini adalah pohon herba yang boleh merawat penyakit batu karang telah ditemui oleh Abang Aziz serta Mohd. Nasiruddin.

Akhirnya ketika jam menunjukkan 12.30 tengah hari pada hari yang sama, kami mula meninggalkan kawasan Batu Madrasah itu untuk bertolak pulang dan menuruni puncak Gunung Tebu. Dalam masa menuruni puncak Gunung Tebu itu, hanya Penulis, Anis Sabirin dan Mohd. Nasiruddin sahaja yang masih tinggal di belakang, sementara rakan-rakan veteran yang lain telah lama maju ke depan meninggalkan kami bertiga.

Walau bagaimanapun, Penulis tidak menaruh sebarang kebimbangan tentangnya. Ini kerana, sesuatu yang diharapkan Penulis untuk mendapatkan sesuatu yang sepatutnya memang telah berlaku secara misteri ketika kami melangkah turun dari gunung berkenaan.

Ketika kami bertiga melangkah turun perlahan-lahan sambil melihat dan menikmati pemandangan di sebelah siangnya, kami bertiga memang bertuah kerana dapat melihat dengan jelas setiap akar, pasir, batu dan daun yang kami temui dan lihat seperti emas. Namun, kami bertiga tidak mengambilnya kerana kami ke situ bukan untuk menceroboh perkampungan makhluk bunian apatah lagi untuk mengambilnya sesuka hati.

Selepas itu, kami bertiga tiba berhampiran Batu Mat Hasan. Penulis dapat melihat sekuntum bunga putih yang agak menarik, namun apabila gambarnya dirakam didapati bunga itu adalah kulat. Akhirnya apabila kami melintasi Batu Mat Hasan, Penulis cuba mencari akar yang memasuki batang kayu di tempat Penulis merakam petang semalam (8.8.2008) yang dikatakan Istana Raja Bunian itu.

Penulis dapati akar yang memasuki kayu itu tidak lagi kelihatan (ghaib) dan sepohon kayu tumbang yang kami terhidu bau kari tidak lagi wujud. Menariknya bagi kami bertiga menurut Anis Sabirin bahawa, beliau dapat merasakan langkah kami bertiga menuruni gunung berkenaan selepas melintasi sepohon kayu tumbang yang didakwa dihuni pelbagai spesis makhluk halus itu menyebabkan perjalanan kami agak lambat dan seolah-olah kami melalui laluan yang sama berulang kali.

Sementara Anis Sabirin yang turut mendakwa dapat melihat tiga batang tebu aneh yang kemudiannya ghaib di kawasan denai Mat Hasan juga tidak lagi kelihatan di tempat yang dilihatnya semalam. Apa yang dilihatnya sekadar pohon-pohon kayu renek dan sebahagiannya pokok yang agak tinggi semata-mata.

Akhirnya, setelah tiba kembali di Sungai Cakah Dua, kami bertiga membasahkan tubuh masing-masing sambil mendapatkan bekalan air tasik berkenaan untuk dinikmati dalam perjalanan turun ke kaki gunung berkenaan. Kami kemudiannya tiba di kaki Gunung Tebu iaitu di Sungai Belatan tepat waktu azan Maghrib. Berakhirlah misi ekspedisi pendakian kami di Gunung Tebu bagi tahun 2008 yang paling berjaya kerana dapat menawan puncak Gunung Tebu dalam cuaca yang agak lembab selain dapat alami kejadian misteri di tempat-tempat yang dimaksudkan.

  Sungai Cakah Dua (ramai kanak-kanak disorok di kawasan ini)

 Akar masuk batang kayu ini adalah Istana Raja Bunian

 Pohon kayu tumbang, di sinilah bau kari semerbak

 Batu boleh bercakap. Di sinilah rombongan kami dihalang dinding gelap

 Denai Mat Hassan (di kawasan inilah munculnya tiga batang tebu aneh dan geliga di tengahnya)

 Batu Mat Hassan (pemilik bernama Mat Hassan bertapa dalam gua ini)

 Ada lembaga lelaki dalam gua Batu Mat Hasan sedang memerhatikan Penulis

 
 Jendela Pandang (kawasan gerombolan makhluk halus)

 Punca Air. Di sinilah bekalan air terakhir. Kawasan laluan langsuir

 Batu sawat lelaki

  Batu santai bunian di puncak Gunung Tebu

 Laluan menghala ke Taman Permainan Bunian


 Batu Madrasah di Taman Permainan Bunian

Batu Gajah atau Batu Kerbau? Batu ini terletak di Taman Permainan Bunian (ada makhluk halus perempuan sebagai penjaga di kawasan batu ini)


 Batu kuda telah pecah

 Batu sawat wanita

 Pohon sawat harimau ini terletak di Taman Permainan Bunian


Skuad pendaki Gunung Tebu

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH