EKSPEDISI PULAU TENGKORAK KEDUA
(18.2.2011 - 19.2.2011)
TUMPAT, KELANTAN: Pulau Tengkorak yang letaknya 200 meter dari perairan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sering
dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sebuah pulau puaka dan bermisteri dan
pulau berkenaan dikatakan menjadi tempat persinggahan kumpulan lanun pada tahun
1969 dulu. Nama 'tengkorak' telah diberikan oleh penduduk kampung pada masa itu
berikutan ketua lanun bernama Tok Sang Niaya telah membunuh sekurang-kurangnya
1,000 orang lalu mayat-mayat yang dibunuh itu dihumban dan ditimbuskan di pulau
tersebut. Sejak itu, penduduk dari kampung berkenaan mendakwa Pulau Tengkorak
berpuaka. Sehingga tarikh 22.1.2010 dan 18.2.2011
lalu, dikatakan tiada siapa yang berani menjejakkan kaki ke pulau tersebut.
Banyak kejadian aneh yang didakwa oleh segelintir penduduk dari kampung
berkenaan menyatakan, jika dilihat dari jauh bentuk pulau itu seperti seekor
buaya dan pada masa-masa tertentu seolah-olah kelihatan seperti seekor buaya
sedang melibaskan ekornya.
Dari dakwaan
penduduk terbabit, sudah agak ramai yang menerima natijah akibat menjejakkan
kaki ke pulau itu seperti disorok, ada yang mendengar suara binatang buas
seperti harimau dan beruang sedangkan jika dilihat kepada bentuk pulau tersebut
yang dikelilingi air laut, mustahil wujudnya binatang buas.
Seorang penduduk, Zakaria Mamat, 45, memberitahu penulis, salah
seorang penduduk dari kampungnya yang mencari lokan di perairan pulau tersebut
akhirnya tersesat kerana lokan yang dicarinya semakin banyak sehingga mangsa
terlupa jalan pulang akibat telah terlalu jauh ke tengah pulau. Pada masa itu,
Pulau Tengkorak masih belum ditumbuhi hutan tebal tidak sebagaimana hari ini.
Banyak lagi kejadian aneh dan
penuh misteri yang dianggap tidak masuk akal dialami oleh beberapa penduduk
dari kampung berhampiran sewaktu menjejakkan kaki ke pulau itu. Namun, sudahnya
mereka tidak kembali ke dunia manusia kerana telah dighaibkan ke dunia jin di
mana ada yang mendakwa terdapat dua kumpulan jin Islam dan jin bukan Islam
telah menghuni dan menetap di pulau itu sejak dulu.
Disebabkan fobia dengan kejadian
itu, beberapa penduduk dari Kampung Ketil itu mendakwa kalau diupah ke pulau
tersebut RM1,000 pun mereka tidak akan ke sana.
Biar rugi duit daripada menerima padah. Disebabkan tiada manusia yang
menjejakkan kaki ke pulau itulah yang menyebabkan pulau berkenaan ditumbuhi
pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang agak subur sehingga batangnya sebesar paha
orang dewasa.
Bagi penulis, Pulau Tengkorak
bukanlah pulau puaka dan mengusik. Itu sekadar ketakutan dan fobia yang dialami
oleh penduduk dari kampung terbabit. Malahan beberapa media cetak dan
elektronik sebelum ini pernah menyiarkan artikel dan dokumentari tentang Pulau
Tengkorak, mereka merakam foto dan video dari jarak jauh iaitu dari perairan
Kampung Ketil tetapi tidak pernah cuba memasuki pulau tersebut kerana takut dan
kecut perut disebabkan dakwaan berkenaan.
Justeru, disebabkan ingin
mencabar ketakutan dan fobia yang dialami banyak pihak tentang puaka Pulau
Tengkorak, pada 22 Januari, 2010 peserta kami yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz,
Anis Sabirin bin Azmi (Anak keempat penulis) serta Mohamad Nasiruddin Mohamed
Nor (Din) telah melakukan "Ekspedisi Pulau Tengkorak Pertama" memasuki perut Pulau Tengkorak.
Ketika di
pulau itu, kami juga sempat berkomunikasi dengan penghuni ghaib di pulau itu
yang mana salah seorang ketuanya berketayap putih sedang memberi makan 500 ekor
biri-biri yang diternaknya, manakala penjaga pulau tersebut tidak berbaju
dengan mengenakan seluar jeans lusuh seperti seorang tukang kebun.
Kami
ekspedisi ke pulau itu hanya sehari sahaja dan kami berangkat pulang pada jam 6.30
petang pada hari yang sama, tetapi tiada apa yang berlaku dan cuba mengganggu kami. Sedangkan,
sebelum kami bertolak ke pulau tersebut dengan sebuah bot sejauh 200 meter,
kami dimomokkan dengan pelbagai cerita untuk menghalang penulis dan peserta
ekspedisi dari menjejakkan kaki ke pulau itu bimbang natijah buruk yang berlaku.
Sudahnya, kami pulang dengan selamat dan penuh kepuasan. Paling menarik buat
kami, makhluk halus yang memakai ketayap putih itu pula meminta kami datang
lagi pada masa-masa yang akan datang.
Dengan itu, sebagai menyahut
pelawaan lelaki berketayap putih berstatus haji dari kumpulan jin Islam itu,
pada 18 Februari, 2011 lalu kami
melakukan "Ekspedisi Pulau Tengkorak Kedua" dengan tujuan
bermalam di pulau itu. Untuk ekspedisi kali kedua ini, penulis selaku Ketua
Ekspedisi telah membawa 11 peserta lain. Kami berempat Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz,
Hafaizal Mat Ali dan Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat penulis) dari Abjad
Kelantan begitu teruja untuk ke pulau itu. Sementara lapan peserta lain sekadar
ingin melayarkan hobi untuk memancing di pulau itu yang terdiri daripada Wan
Ibrahim Wan Ismail, Hairudin Hasam, Mahazam Daud, Mohd. Naziz Ismail, Mohd.
Suhaimi Mohd. Amad, Rashid Mat Hussain, Abdullah Ali dan Mohd. Zulkifli Zainal
Abidin (rakan Anis Sabirin).
Sebelum berangkat ke pulau tersebut, kami berempat melakukan beberapa kaedah
wasilah sebagaimana ajaran guru kami. Ini kerana, dari pandangan kami, penghuni
ghaib di pulau tersebut sedang mengamuk pada hari itu dan tentunya suasananya
agak keras tidak sebagaimana ekspedisi kali pertama dulu. Dari jarak jauh, kami
juga dapat melihat seperti istana jin Islam di pulau itu bagi memudahkan kami
berangkat dan menjejakkan kaki ke pulau tersebut.
Dengan itu, pada tarikh 18 Februari, 2011
kami bertolak dari Kota Bharu pada jam 10.45 pagi dan setibanya kami di jeti
Kampung Ketil, Pengkalan Kubor kami mula bertolak dengan sebuah bot memuatkan
12 peserta. Kami sampai di perairan Pulau Tengkorak tepat jam 12.00 tengah
hari. Sebelum memasuki pulau, kami berempat sekali lagi melakukan kaedah wasilah
untuk mengesan, menjejak dan mengelak daripada gangguan. Setelah selesai, kami
mula membuat laluan dengan mencantas dan menebang pokok-pokok yang menghalang
laluan berbekalkan parang dan golok yang dibawa bersama.
Anis Sabirin (anak keempat penulis) yang mendahului peserta lain dalam aktiviti
membersihkan dan membuat laluan memberitahu penulis, ketika beliau sedang
asyik memotong batang pokok yang menghalang laluannya dengan tiba-tiba jalan
yang kelihatan jelas sebelumnya dengan tiba-tiba ghaib (hilang) dan beliau
tidak dapat melihat ke arah hadapan. Untuk itu, beliau kemudiannya membaca
"Qulhuwallah" sebanyak 40 kali barulah laluan yang ghaib itu dapat
dilihat kembali. Tetapi tidak habis setakat itu sahaja apabila beliau
diberitahu oleh seorang makhluk halus bersuara lelaki supaya pokok yang
ditebang itu dibuat 'ala kadar' sahaja. Namun, Anis Sabirin tidak mempedulikan
suara arahan itu dan kerana itu makhluk halus tersebut tidak lagi
mengganggunya.
Ketika melakukan aktiviti membersihkan laluan ke perut pulau itu banyak peluh
mengalir dan tenaga semakin berkurangan disebabkan perlu memotong akar dan
batang pokok sebesar paha orang dewasa yang tumbuh subur di Pulau Tengkorak
itu, sehinggalah kami memilih tempat untuk mendirikan khemah dan markas, kami
meneruskan aktiviti berkenaan.
Bimbangkan kehabisan tenaga dan
bekalan air masak berkurangan, penulis meminta peserta yang melakukan kerja itu
dibuat secara giliran tidak sebagaimana sebelumnya. Kami selesai membersihkan
segala semak-samun dan hutan belukar jam 12.45 tengah hari. Sebelum membina
markas, penulis selaku Ketua Ekspedisi mengalunkan azan untuk memaklumkan
kepada penduduk di kalangan makhluk ghaib di pulau itu bahawa kami telah
menjejakkan ke pulau tersebut. Peserta kami siap membina markas kira-kira jam
3.30 petang.
Setelah berehat selama setengah jam, peserta-peserta lain mengambil peluang
mandi air masin, ada yang pergi mencari lokan untuk bekalan Bar-B-Que pada
sebelah malamnya nanti. Penulis yang telah selesai mandi air masin dan solat Zohor
cuba
untuk baring beberapa ketika dalam markas yang kami namakan "Markas Abjad
Kelantan" untuk tujuan melepaskan kepenatan sejak tadi lagi. Ketika
penulis sedang berehat itu, penulis dapat melihat dengan jelas bahawa markas
yang kami bina itu betul-betul di tengah ruang dalam istana jin di Pulau Tengkorak
itu.
Kami sengaja membina markas sedemikian dalam usaha untuk meneroka, menakluk,
menjelajah dan menjajah pulau itu dari dimiliki oleh makhluk ghaib dari bangsa
jin Islam dan jin bukan Islam itu. Kami melakukan kaedah wasilah sebagaimana
ajaran guru kami. dengan menganggap makhluk halus di bawah tapak kaki kami.
Tujuan kami membina markas yang berlilitkan plastik putih yang mana laluan
masuk dari arah jalan yang kami rentas dan laluan keluar dari sebelah sana adalah untuk
mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Peserta yang tidak mengetahui kaedah
sedemikian perlu menurut arahan kami supaya berada dalam keadaan selamat,
manakala pada sebelah malamnya mereka perlu bersama kami dan tinggal di dalam
markas yang telah disiapkan itu tetapi tidak boleh keluar sesuka hati.
Pengalaman waktu malam sehingga pagi amat menarik buat kami. Ini kerana, dalam
masa kami mengadakan 'bar-b-que' dengan memasang unggun api untuk membakar
lokan dan ikan yang telah dapat dipancing pada sebelah petangnya, penulis
mengambil kesempatan itu untuk merakam foto kenangan. Dalam banyak foto yang
penulis rakam pada malam tersebut, terdapat dua keping foto makhluk halus yang
berjaya dirakam menggunakan 'lampu kilat' kamera. Dalam dua keping foto
tersebut, sekeping darinya kelihatan empat makhluk halus berjaya dirakam. Di
antara bentuk makhluk halus dalam foto itu adalah lembaga cahaya bermata biru,
lembaga tengkorak, lembaga seperti manusia yang mempunyai tangan yang agak
besar serta lembaga seperti manusia berketayap hitam atau berambut hitam.
Setelah malam semakin larut, kami mengambil tempat masing-masing untuk
melelapkan mata. Namun, kami sebenarnya tidak dapat melelapkan mata disebabkan
serangan nyamuk yang datang silih berganti. Ketika jam menjengah 3.00 pagi,
penulis dapat mendengar suara seperti ada sesuatu sedang berlari dengan agak
laju dari arah luar markas yang kami bina itu dan kemudiannya penulis dapat
melihat lembaga perempuan sedang melilau dan memandang ke arah kami dari balik
tiang keluar markas.
Tetapi lembaga perempuan tersebut kemudiannya ghaib setelah penulis melihat ke
arahnya dengan tepat. Selang setengah jam selepas itu pula, rakan penulis
bernama Hafaizal Mat Ali memberitahu, beliau melihat lembaga perempuan tadi
sedang meniup lilin yang sedang menyala itu sambil dirinya mencangkung.
Pada mulanya Hafaizal
menganggapnya tidak masuk akal kerana pada malam itu tiada angin yang
berhembus, tetapi melihatkan api lilin yang sedang beralun ke sana ke mari agak tidak munasabah. Setelah
beliau memerhatikan ke arah lembaga perempuan itu, lembaga itu kemudiannya
ghaib.
Jika beliau tidak memerhatikan
gelagat lembaga itu, sudah tentu barangan yang diletakkan berdekatan dengan api
lilin itu akan terbakar. Rupa-rupanya lembaga perempuan itu sengaja meniup api
lilin yang sedang menyala untuk membakar barangan kami di situ.
Penulis yang tidak dapat melelapkan mata walaupun sekejap pada malam tersebut
turut menyaksikan Aziz Haji Daud (Abang Aziz) turut gelisah kerana terpaksa menepis
nyamuk yang datang mengganggu dan menggigit mukanya. Kerana bosan dengan
keadaan itu, beliau bangkit untuk membuat unggun api dalam usaha untuk
mengurangkan gangguan nyamuk-nyamuk itu.
Tetapi dalam beberapa minit
kemudiannya, Abang Aziz memberitahu penulis beliau juga turut ditegur oleh
lembaga lelaki (berambut hitam) sebagaimana dalam foto yang berjaya dirakam
oleh penulis yang meminta beliau tidak menghabiskan atau membakar kesemua kayu
yang dikumpulkan di tepi markas kami.
Geram dengan teguran lembaga
lelaki berambut hitam itu, Abang Aziz menempelak lembaga lelaki itu bahawa
kalau makhluk itu menghalangnya juga, beliau akan membakar makhluk halus
termasuk pulau itu pula. Selepas itu, makhluk halus yang menegurnya ghaib dan
tidak menampakkan dirinya sehingga waktu pagi.
Pada pagi esoknya, 19 Februari, 2011 kami berangkat pulang pada pukul 8.00
pagi. Kejayaan kami menjejakkan kaki ke Pulau Tengkorak adalah sesuatu
yang indah dan mencatatkan sejarah yang tersendiri yang tidak pernah dilakukan
oleh pihak-pihak yang lain. Tetapi paling menarik lagi apabila kami dapat
membina Markas Abjad Kelantan, kami juga turut menyenaraikan dan memahatkan
nama peserta kami yang dapat meneroka, menjelajah dan menakluk Pulau Tengkorak
yang dikenali sebagai pulau paling berpuaka juga sebagai peserta pertama yang
dapat berbuat demikian sedangkan tiada pihak lain yang sanggup berbuat
demikian.
Peserta Ekspedisi Pulau Tengkorak Kedua pada 18.2.2011 berkumpul di Kg. Paya Senang.
Peserta ekspedisi
menaiki sebuah bot di jeti Kampung Ketil jam 11.50 pagi.
Inilah perairan Pulau
Tengkorak. Kami sampai di sini jam 12.00 tengah hari.
Kami membuat lorong untuk
masuk ke perut pulau.
Penulis memulakan operasi
mencantas dahan dan batang pokok untuk dibuat penempatan. Kerja berpasukan
memang cepat. Hutan tebal menjadi terang.
Penulis mengalunkan azan
selepas kerja siap jam 3.30 petang.
Penulis (kanan sekali)
berehat.
Masing-masing ambil kesempatan
untuk melepaskan penat.
Kami menyambung kerja,
membina khemah atau markas.
Memancing dan mencari lokan.
Sebahagian lokan yang dapat
dipungut kerana air laut pasang.
Rezeki pancing. Dapat seekor
ikan.
Anis Sabirin (kanan sekali)
sedang membakar lokan.
Sebahagian lokan yang dapat
dibakar.
Makhluk halus
(bertanda bulat) yang dapat dirakam oleh penulis.
Bergambar kenangan di
pagi 19.2.2011 untuk berangkat pulang.
Penulis keluar dulu untuk
melihat keadaan sekitar.
Sedang menunggu ketibaan bot
di tebing Pulau Tengkorak.
Kami berangkat pulang
pada 19.2.2011 jam 8.00 pagi.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH