KOTA
BHARU, KELANTAN: Penyakit datang
seperti kilat tetapi kembali (sembuh) seperti semut merayap. Ia berpunca
daripada kecuaian serta sikap tidak ambil peduli di kalangan segelintir manusia
yang terlalu lambat menerima rawatan. Apabila ditahap kritikal, barulah mereka
mula menggelabah. Sepatutnya apabila berasa tanda-tanda tidak sihat seperti
berdenyut, kebas atau sengal-sengal di beberapa bahagian sendi dan saraf
merupakan sebahagian daripada syarat berlakunya gangguan kesihatan. Namun,
kebanyakan kita tidak mempedulikannya, akibatnya menderita seumur hidup dan
tentunya menyesal tidak sudah.
Membicarakan perihal rawatan, sama ada rawatan moden atau berdasarkan kaedah
rawatan tradisional, kedua-duanya mempunyai satu tujuan sahaja dalam hidup
manusia iaitu memperolehi kesihatan yang baik, sempurna serta dapat menjalani
kehidupan yang sihat, jelas Pakar Urut dan Rawatan
Tradisional, Haji Remli bin Musa, 64, atau dikenali juga Abang Haji dari
Kampung Seribong, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan
RELATIF di kediamannya itu.
Selain pakar urut yang begitu mahir dengan sendi dan saraf dalam tubuh manusia,
beliau turut menggabungkan di antara kaedah mengurut secara tradisional dan
refleksologi, malahan turut merawat penyakit yang berpunca daripada gangguan
makhluk halus berdasarkan kaedah tertentu sehingga pesakit sembuh sepenuhnya.
Ketika diminta menceritakan kisah hidupnya berhubung dengan rawatan yang
dilakukannya, beliau mempelajari ilmu di bidang berkaitan semenjak usia 13
tahun lagi di mana beliau memperolehi ilmu tersebut secara sepontan (melalui
ilham), walaupun tidak menolak disebabkan dari keturunan moyangnya sendiri yang
mahir dengan perubatan terbabit. Apatah lagi, sejak kecil beliau sendiri amat
berminat untuk berbakti kepada orang yang memerlukan pertolongan walaupun pada
masa itu beliau masih belum memahami apa-apa tentang rawatan yang dimaksudkan.
"Pengalaman pertama saya semasa merawat pesakit strok di mana dalam hati
saya berharap penyakit ini sembuh dengan segera. Selepas itu, saya merawat
penyakit busung (uluran) terutama di kalangan kanak-kanak yang berpenyakit batu
zakar besar sebelah.
"Kaedah rawatan saya ialah dengan memohon doa meminta Allah memperkenankan
harapan saya supaya penyakit itu sembuh seperti sediakala", ujarnya yang
juga pernah berlakon dalam sebuah drama tempatan sebagai pelakon tambahan.
Namun, disebabkan beliau masih belum dikenali menyebabkan rawatan yang
dilakukannya seperti tenggelam dan timbul silih berganti kerana masih belum
lagi memiliki ilmu yang secukupnya di bidang terbabit. Berikutan minat yang
semakin mendalam ditambah pula dengan usahanya yang tidak pernah jemu kerana
telah berjaya menyembuhkan penyakit yang dianggap tenat pada masa itu, beliau
mula mempelajari kaedah mengurut daripada bapanya dan semenjak itu juga
minatnya dalam bidang mengurut semakin menyerlah. Pada tahun 2000 ketika
usianya mencecah 48 tahun, dari sekadar minat mengurut beliau menjadikannya
kerjaya sepenuh masa dalam usaha membantu orang ramai yang memerlukan
khidmatnya sebagai pakar urut.
"Walaupun memulakan aktiviti mengurut, saya masih meneruskan pembelajaran
di bidang berkaitan sehingga hafal tentang ilmu itu. Di samping mengurut, saya
turut merawat mangsa buatan orang, kanak-kanak terkena sawan, lemah tenaga
batin, resdung, buasir, masalah kencing, penyakit kencing manis, darah tinggi
dan masalah pasangan tidak memiliki anak", katanya.
Haji Remli berkata, sebelum membuat urutan beliau akan melihat keadaan pesakit
terbabit. Sekiranya pesakit itu terseliuh urat di leher termasuk pesakit
tersalah bantal semasa tidur, beliau akan memulakan urutan di bahagian leher
itu. Apabila pesakit itu tersalah di bahagian pinggang, beliau akan mengurut di
bahagian pinggang. Ini kerana menurutnya, di bahagian pinggang merupakan
kawasan penting terletaknya urat saraf. Baginya, kebanyakan golongan lelaki ini
mengalami gangguan kesihatan disebabkan masalah di bahagian pinggang, jadi
sewajarnya bahagian tersebut perlu diberikan keutamaan.
Manakala di bahagian kaki pula beliau akan membuat urutan refleksologi kerana
menurutnya di bahagian kakilah terdapatnya urat saraf yang berhubung kait
dengan jantung, paru-paru dan organ-organ penting yang lain. Selain itu, beliau
juga akan bergantung kepada keadaan kesakitan yang dialami oleh pesakit itu
sendiri. Menurutnya, keadaan manusia tidak sama dan bertolak dari itu beliau
berpendapat kadang-kadang individu manusia mempunyai penyakit yang agak pelik
dan berbeza-beza.
Tambahnya, masalah terseliuh urat sebagaimana yang dialami kebanyakan orang
kerana bersukan, terjatuh atau kemalangan akan menyebabkan kesakitan yang amat
sangat malah perlu diurut secepat mungkin. Katanya, terseliuh akibat terjatuh
akan mengakibatkan sendi pesakit itu berlipat. Di bahagian cedera ini akan
wujud darah beku (darah kotor). Dalam hal ini, jika di bahagian berkenaan tidak
diurut, pesakit akan terus menderita sakit yang agak lama kerana urat di
bahagian ini telah dimasuki angin.
Selain strok, beliau pernah merawat pasangan yang tidak memiliki anak walaupun
beberapa tahun telah mendirikan rumahtangga. Tambahnya, apabila beliau
memberikan rawatan pesakit perlu yakin dengan ikhtiar yang dilakukannya supaya
masalah berkenaan menemui kejayaan.
Katanya, walaupun terdapat individu yang pernah menerima rawatan di hospital,
jika belum sembuh juga, cuba-cubalah dengan rawatan tradisional. Ini kerana
menurutnya, kadang-kadang ada jenis-jenis penyakit sembuh di hospital dan
kadang kala sembuh dengan rawatan tradisional. Ini bermakna, di antara rawatan
tradisional dengan moden perlu seiring.
Terangnya lagi, bagi individu yang telah lama mendirikan rumahtangga tetapi
gagal mendapat zuriat, kedua-dua pasangan tersebut diminta datang berjumpa
dengannya, penting untuk melihat keadaan pasangan untuk mengenal pasti, adakah
suami isteri itu yang bermasalah. Menurutnya, kegagalan memperolehi cahaya mata
berkait rapat dengan masalah hormon atau kelemahan hormon sama ada di pihak
suami mahupun isteri. Kadang-kadang keadaan hormon di pihak isteri tersekat
atau terhalang oleh sesuatu sebab tertentu. Jika wujud halangan hormon di pihak
isteri, beliau akan meminta si wanita itu meminum air tawar yang telah diisikan
dengan wirid dan doa dari ayat-ayat Al-Quran.
"Saya pernah merawat pesakit yang mengalami sesak nafas. Puncanya
disebabkan tulang rusuk mangsa tersepit di antara kedua-duanya. Disebabkan
masalah pernafasan itu menyebabkan oksigen tidak dapat mengalir masuk ke
bahagian paru-paru.
"Selepas itu, saya menggunakan kaedah urutan di kedua-dua tulang rusuk
menurut cara yang tidak menyakitkan dan disukai pesakit", jelasnya.
Selain itu, beliau juga turut membuat rawatan penyakit kulit di mana penyakit
ini berpunca daripada keadaan darah yang kotor. Kaedah yang diamalkannya ialah
dengan memberikan ubat tradisional yang dihasilkannya sendiri kepada pesakit di
mana bahan-bahan resipinya adalah terdiri dari hormon tumbuh-tumbuhan. Jika
pesakit enggan menerima rawatan darinya atas sebab-sebab tertentu, beliau
menasihatkan pesakit supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
Di samping itu, penyakit gastrik atau dialek Kelantan disebut 'medu' adalah
berpunca daripada keturunan yang diakibatkan masalah gangguan angin dalam
badan. Walaupun telah dirawat secara moden, penyakit ini tidak akan sembuh
sepenuhnya. Oleh kerana penyakit ini disebabkan 'angin' dalam badan, perlulah
pesakit berpantang. Setakat ini penyakit medu yang dirawatnya sembuh seperti
sediakala kerana beliau berpegang kepada kata-kata Nabi S.A.W bahawa
"setiap penyakit itu ada ubatnya". Cara rawatan itu adalah penting,
jika kena dengan kaedahnya, insya Allah penyakit yang dihidapi pasti sembuh.
Perumpamaan beliau berhubung masyarakat sekarang seperti sebuah kenderaan.
Katanya, individu sekarang lebih menitikberatkan kenderaan daripada dirinya
sendiri. Contohnya, apabila kenderaan mengalami kerosakan kenderaan tersebut
dibaiki dengan segera kononnya jika kenderaan sakit perjalannya juga tidak
sempurna. Tetapi apabila melibatkan diri sendiri mengalami gangguan kesihatan,
individu terbabit tidak mempedulikannya kerana menganggap masih boleh bertahan
lagi. Apabila tubuh tidak lagi boleh bangun, barulah mereka menggelabah untuk
mendapatkan rawatan dengan memanggil beliau supaya merawatnya.
"Dalam soal ini, jangan tunggu sampai tahap mudarat barulah ingat untuk
menerima rawatan. Justeru, apabila terasa kebas dan tidak selesa, segera
dapatkan rawatan.
"Rawatan awal itu lebih baik dan boleh memberikan kesan yang positif
terhadap kesihatan. Sebab itu, jika ada individu terkena strok beliau akan
memberikan rawatan segera walaupun tidak menjamin seratus peratus kerana kalau
sembuh pun hanya separuh sahaja", ujarnya.
Dalam pada itu, sakit kepala yang dikenali "migrain" disebabkan
masalah saraf. Untuk menyembuhkan penyakit ini perlukan urutan di mana sarafnya
terletak di bahagian kepala. Saraf ini menurutnya adalah sejenis urat yang agak
halus di mana urat ini tidak tahan kepada cuaca terlalu panas. Namun
hakikatnya, migrain adalah berpunca daripada tekanan dan gangguan emosi. Jadi,
jika berupaya boleh hindarkan dari tekanan, cuba hindarkan.
Di belakang tengkuk (leher) dipanggil saraf tunjang. Misalnya sebatang pohon
semestinya ada akar. Begitulah halnya dengan manusia. Daripada saraf tunjang
inilah manusia akan mengalami sakit kepala, sebab darah tidak mengalir ke bawah
sebabnya terhalang oleh pelbagai masalah dalam saraf itu. Cara mengatasinya,
urat di bahagian itu perlu diurut berdasarkan kaedah urutan yang betul.
Sementara itu, ada segelintir pesakit sering berasa kebas yang berpunca masalah
perjalanan darah yang tersekat-sekat. Pertama, kena jaga supaya peralanan darah
itu betul. Jika wujud kaitan seumpamanya rawatan seperti urutan dan
refleksologi di bahagian jari seperti paru-paru, pankreas, saluran kencing dan
buah pinggang adalah perlu. Ini kerana, kalau ingin disebutkan sehingga
berpuluh-puluh urat dan saraf di tapak kaki, manakala dalam satu tangan
mempunyai 12 jalur urat saraf seperti paru-paru, usus, jantung, buah pinggang
serta injap dalam jantung. Apabila diurut di bahagian jari-jari tangan akan
sampai ke bahagian otak dan organ-organ yang lainnya. Apabila diurut di
bahagian ini, tukang urut sepertinya akan dapat mengetahui jenis penyakit yang
dialami oleh mangsa.
"Biasalah tukang urut seperti saya, setiap kali selepas mengurut saya akan
merawat diri sendiri bimbang disebabkan pesakit akan mendatangkan masalah
kepada saya pula.
"Misalnya penyakit strok adalah salah satu gangguan syaitan dan iblis yang
sukakan tempat tinggal menarik di antara sendi-sendi manusia. Makhluk itu akan
melekat pada sendi-sendi dalam tubuh manusia umpamanya sendi lutut dan sendi
tangan, sebab itulah kita tidak dapat melakukan pergerakan di mana dalam tubuh
manusia ini, terdapat 300 sendi dan 666 urat saraf", terangnya.
Menurutnya lagi, setiap manusia yang ingin hidup sihat perlulah menjaga
jantungnya sendiri seperti mengadakan aktiviti yang boleh menyihatkannya
seperti bersenam dan juga mengurut. Jika dapat dituruti dua kaedah tersebut,
tubuh manusia pastinya dalam keadaan selamat. Sehubungan itu menurutnya,
apabila badan berasa agak berbeza dengan sebelumnya, segeralah melakukan
pemeriksaan awal kerana dengannya akan dapat menyelamatkan tubuh kita. Ini
kerana, tubuh manusia seumpama dengan kenderaan juga, jika kenderaan boleh
rosak begitulah halnya dengan manusia, perlukan pemeriksaan dan rawatan.
Sementara itu, selain pakar dalam bahagian mengurut, Haji Remli juga bersedia
merawat mangsa gangguan makhluk halus. Menurutnya, makhluk halus adalah makhluk
Allah juga dan ia berada di mana-mana. Cuma dalam konteks manusia, jika manusia
itu kuat semangat akan dapat mengatasi segala gangguan yang berpunca daripada
makhluk berkenaan. Manakala golongan yang lemah semangat akan sentiasa disakat
oleh makhluk tersebut.
"Sepanjang pengalaman saya merawat pesakit akibat gangguan makhluk halus
itu didapati mangsa pengsan. Walau bagaimanapun, mangsa akhirnya sedar dari
pengsan itu setelah saya merenjiskan air solat hajat kepada mangsa. Dengan
solat hajat itu menyebabkan terlerainya gangguan itu", katanya.
Tambahnya lagi, beliau pernah merawat seorang wanita yang menjadi mangsa
makhluk halus berasal dari Kuala
Lumpur. Mukanya bengis dan selalu marah-marah.
"Apabila saya tiba di rumah mangsa pada malam itu, saya merawatnya
menggunakan benang, asam limau purut, sementara kaki mangsa saya pegang. Dalam
waktu yang sama saya melaungkan "Allah hu akhbar" sebanyak tiga kali.
Alhamdulillah, tak sampai beberapa saat, makhluk halus yang mendiami dalam
tubuh mangsa itu keluar seperti angin".
Pada hari yang lain, beliau pernah dikejutkan oleh seorang pesakit yang
diakibatkan oleh gangguan jin, ketika itu jam 2.00 pagi. Memanglah pada waktu
itu beliau terasa amat mengantuk kerana sehari suntuk memberikan rawatan dan
urutan kepada beberapa orang pesakit di rumahnya pada sebelah siang, namun
beliau terpaksa gagahi juga kerana berharap pesakit tidak berasa kecewa. Apa
yang beliau faham sehingga hari ini, pesakit tersebut berkeadaan baik kerana
makhluk yang sering mengganggu mangsa tidak lagi berbuat demikian.
"Makhluk halus memang gemar kepada tubuh manusia, mereka memasuki tubuh
manusia melalui kaki lantas bergerak melalui urat saraf menuju ke bahagian
kepala. Itulah yang menyebabkan manusia diserang histeria", jelasnya.
Apabila ditanya tentang histeria dan santau, beliau menjelaskan bahawa histeria
disebabkan sikap manusia sendiri yang cuba mengganggu tempat tinggal
makhluk halus itu. Kebanyakan mangsanya terdiri daripada kaum hawa walaupun
tidak menolak kaum lelaki juga terkena gangguan ini kerana lemah semangat.
Baginya, cara memulihkan gangguan histeria ialah dengan meminta makhluk halus
itu berpindah ke kawasan lain yang lebih sesuai.
Sementara santau pula, beliau menyarankan kepada individu yang menaruh perasaan
dendam kepada individu lain supaya tidak melakukan pekerjaan terkutuk itu,
sebab perbuatan berkenaan adalah berdosa. Jika ada individu tertentu berniat
untuk berbuat demikian perlulah berfikir secara matang untuk tidak
melakukannya.
Ditanya tentang sambutan pesakit terhadap kaedah mengurut dan rawatan lain,
beliau menjelaskan bahawa, setakat ini keyakinan pesakit terhadap rawatan yang
dilakukannya amat menggalakkan disebabkan urutan dan rawatan yang dilakukannya
agak berkualiti dan sempurna. Baginya wang upah rawatan adalah nombor dua,
tetapi baginya pula niat untuk berkhidmat dan memberikan pertolongan itu adalah
paling utama. Katanya, apabila kita membuat rawatan dengan sempurna, pesakit
akan cari kita kerana menganggap kita mampu melakukannya yang terbaik.
Kebanyakan pesakit yang pernah menerima rawatan darinya terdiri daripada
menteri dan beberapa orang kenamaan, ahli politik, anggota polis dan bekas
ketua turus angkatan tentera Malaysia.
Menurutnya, walaupun sewajarnya pesakit perlu datang ke rumahnya untuk menerima
rawatan, namun jika keadaan pesakit itu agak tidak mengizinkan untuk berbuat
demikian, beliau akan menemui pesakit berkenaan. Namun baginya, jika beliau
perlu merawat di rumah pesakit, keluarga pesakit itu sendiri yang datang
menjemputnya. Kesempatan ini akan digunakannya untuk memagar kawasan kediaman
mangsa supaya tiada lagi gangguan makhluk halus luar datang mengganggu. Khidmat
seumpamanya selain pesakit dari Kelantan sendiri, beliau pernah ke Kedah dan
Perak untuk memagar rumah pesakit.
"Saya tidak meletakkan bayaran, atas dasar ikhlas pesakit dan keluarga
mereka. Bagi saya tidak pernah berkata tidak cukup, namun kadang-kadang saya
pernah menerima bayaran RM30, RM50 malah pernah diberikan sebanyak RM100,
bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan pesakit itu sendiri", ujarnya.
Beliau menyarankan kepada individu yang berharap kepada khidmatnya,
sebaik-baiknya perlu datang sendiri, kerana dengan kehadiran pesakit beliau
akan dapat mengetahui masalah sebenar. Setakat ini, bukan sahaja beliau merawat
di rumah pesakit, namun menariknya beliau juga membuat rawatan di hospital atas
permintaan pesakit sendiri. Ini kerana, tidak semua penyakit dapat diatasi oleh
doktor, justeru dalam masa yang sama khidmat rawatan alternatif juga
diperlukan. Malahan kadang-kadang rawatan alternatif menemui kegagalan, jelas
rawatan moden dan alternatif perlu seiring kerana kedua-duanya saling perlu
memerlukan.
Haji Remli turut menekankan tentang masalah penyakit yang menghantui manusia
hari ini kerana sikap tidak peduli kalangan mereka sendiri. Orang-orang tua
dahulu walaupun ketiadaan pusat rawatan seperti hospital, namun usia mereka
agak panjang sehingga 100 tahun. Malangnya, dewasa ini usia seperti itu semakin
menurun akibat permasalahan pemakanan yang terdiri daripada bahan-bahan yang
memudaratkan menyebabkan ramai yang mendapat sakit dan meninggal dalam usia
muda.
Perihal makanan yang dimakan oleh masyarakat kita sekarang tidak sebagaimana
dulu. Masyarakat dulu memperolehi makanan yang bebas bahan-bahan kimia dan racun,
sebab itulah usia mereka mencecah beratus tahun. Berbanding hari ini, teknologi
makanan kini ternyata bergantung kepada bahan-bahan kimia dan racun dalam usaha
menghindarkan masalah serangga perosak dan sebagainya. Cuma tumbuh-tumbuhan
yang masih bebas dari bahan racun seperti pucuk paku dengan kangkung sahaja
manakala bahan-bahan makanan yang lain telah dicemari bahan-bahan kimia dan
racun.
Walau bagaimanapun, beliau perturunkan petua orang-orang tua dan kaedah untuk
menghilangkan kesan racun ialah hendaklah direndam dengan air garam untuk
mengelakkan kesan racun tersebut. Ini kerana, teknologi hari ini jika tidak
menggunakan racun, ulat dan serangga mengambil peranan memakan bahan-bahan
makanan itu.
Dalam hal ini, bersegeralah membuat pemeriksaan sama ada secara moden mahupun
secara tradisional sama ada berjumpa beliau sendiri atau sesiapa yang mahir
dalam bidang berkaitan. Jangan terlalu lewat melebihi tiga hari barulah ingin
membuat pemeriksaan dan rawatan, ini tentunya akan mengancam kesihatan.
Justeru, ketahuilah juga tanda-tanda tidak sihat seperti berasa kebas untuk
menunjukkan gangguan kesihatan bermula kerana aliran darah itu telah terganggu
dan tersekat. Hebatnya tubuh manusia kerana dapat mengesan masalah gangguan
dalam tubuh mereka. Cara mengatasinya ialah dengan mengurut supaya aliran darah
itu kembali normal. Apabila tubuh kita sihat, tentunya kita dapat menjalankan
tugas dengan lebih baik dan sempurna.
Haji
Remli boleh dihubungi melalui talian: 013-9671975
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH