BAHAKI TUKANG BESI
KOTA BHARU, KELANTAN: Menjadi
seorang pengusaha tukang besi sendiri bukanlah senang dan tidak akan berasa
terlalu sukar jika ilmu di bidang tersebut telah mantap sepenuhnya. Namun,
cabaran sebagai pekerja untuk menjadi pengusaha juga pasti ada. Beliau yang
dulunya menimba pengalaman sebagai pekerja tukang besi dengan majikannya dari
kaum Cina di Kampung Aur Duri dekat sini kira-kira 15 tahun lalu. Katanya,
premis awal tempat beliau bekerja itu adalah sebuah bengkel besar seumpama
kilang yang hanya melibatkan di bidang besi saja dan beliau ketika itu perlu
menyiapkan segala tempahan menurut masa yang ditetapkan.
Beliau yang dimaksudkan, Bahaki
Che Dris atau lebih selesa sebagai Bahaki, 39, dari Kampung Seberang Pasir
Mas-Salor, Kota Bharu, Kelantan yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi
Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin mengakui hakikat itu.
Menurutnya, selepas berhenti
belajar dia terus bekerja dengan tukang besi itu. Dalam masa beliau sebagai pekerja
di premis besi itu, dia sempat mengumpul wang gajinya sambil membina sebuah
rumah yang didudukinya sekarang. Pada ketika itulah, nalurinya berbisik untuk
beliau berhenti sebagai pekerja di premis tersebut untuk tujuan membuka premis
yang bersabit dengan tukang besi sebagaimana sekarang. Ketika mula-mula dibuka,
pembukaannya tidaklah sepenuhnya sekadar menumpang di garaj kereta milik
rakannya di kampung itu.
Dalam masa menumpang di garaj
kereta rakannya itu, salah seorang rakannya yang pernah bekerja di bengkel Cina
itu turut berhenti kerana menolong kerja-kerja arwah bapanya sebagai penjaja
ikan. Namun, selepas bapanya meninggal, dia pun berhenti sebagai peniaga ikan untuk
bekerja dengannya. Katanya, beliau sanggup menempatkan rakannya itu sebagai
pekerjanya tetapi segala kerja tidaklah sehebat bekas taukenya itu, apatah lagi
bengkel besinya itu hanya beberapa bulan saja dibuka.
Dia sanggup menerima rakannya bekerja
dengannya, maknanya jika dapat RM100 sehari, wang itu dibahagi dua dan
begitulah sebaliknya. Tetapi disebabkan rezeki Allah, tempahan besi di kedainya
semakin meningkat dan rakannya itu bekerja sejak dari tempoh itu sehingga hari
ini.
Tentang modal menurutnya, dia
tidak mempunyai modal untuk menyelaraskan kedai dan peralatan yang diperlukan.
Dia juga berhasrat memiliki peralatan atau mesin welding yang dapat melakukan
terhadap besi yang nipis, tetapi harganya ketika itu melebihi RM2,000 dan kini
meningkat RM3,000 lebih. Namun, disebabkan tidak berkemampuan untuk membeli dan
memilikinya, dia hanya mampu menggunakan peralatan biasa, walaupun agak lambat
itulah yang terpaksa diteruskannya.
Katanya lagi, bekalan besi yang
ada di bengkelnya sekarang ini dia terpaksa berhutang dengan bekas majikannya
yang turut menggalakkan beliau menjadi seorang pengusaha sendiri. Dia akan
melunaskan hutang bekas majikannya itu menurut pendapatan yang diperolehinya dari
tempahan pelanggan sedikit demi sedikit sehingga selesai.
Di antara peralatan atau mesin
yang perlu dibelinya seperti besi mesin pemotong besi dengan harga RM400 lebih
(kini meningkat kira-kira RM600), mesin canai besi berharga RM200 lebih. Keperluan
kepada mesin-mesin berkenaan agak penting kerana jika tidak, besi tidak dapat
dipotong dan tempahan tidak dapat disiapkan sebagaimana yang sepatutunya.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan
yang datang ke bengkelnya itu lazimnya menempah pagar rumah termasuk pagar
garaj kereta.
Walau bagaimanapun menurutnya,
disebabkan beliau tidak dapat menyelesaikan tempahan berikutan kehabisan besi
yang dimaksudkan, dia akan meminta bantuan rakannya yang juga seorang pengusaha
besi untuk menyediakan bekalan itu secukupnya. Dengan cara ini, tolong menolong
sesama rakan penting di mana konsep kerja yang dilakukannya itu dia akan
mendapat upah dari rakannya itu dan setelah siap rakannya itu akan menjualnya
sendiri. Dari jualan itulah beliau memperolehi pendapatan darinya.
Di antara tempahan yang terpaksa
disiapkannya ialah besi jendela dengan harga RM7 (sekaki), tangga besi dan
lain-lain yang melibatkan pertukangan besi.
Ditanya tentang pelanggan yang
membawa besi sendiri yang meminta beliau membuat pelbagai produk besi mengikut
tempahan pelanggan, sebelum ini hal begitu memang ada tetapi sejak akhir-akhir
ini tiada lagi. Kecuali terdapat seorang rakannya yang juga seorang tukang besi
mahir yang datang membawa besi terbabit yang meminta beliau untuk menyiapkan beberapa
buah pagar di mana beliau diberi upah untuk membuat, mengecat dan memasangnya.
Malah kadang-kadang rakannya itu
akan membawa barangan yang telah siap itu ke lokasi tempahan dan mengupah
beliau untuk memasangnya. Dengan kata lain, berkongsi rezeki seperti itu memang
menyeronokkan.
Tentang pekerja pula, dia kini
mempunyai tiga orang pekerja yang dapat menyiapkan tempahan pelanggan tepat
pada masanya.
Kalau berbicara tentang minat
sebagai tukang besi, memang bidang yang diceburinya sekarang ini diminati sejak
dari bangku sekolah lagi. Selepas tamat belajar beliau terus bekerja dengan
bekas majikannya sehinggalah wujud cita-citanya untuk mengadakan kedai atau
bengkel pertukangan besi sendiri di kediamannya sekarang.
Malah menurutnya disebabkan
terlalu minat dengan kerjanya itu pada waktu itu, dia pernah dimaklumkan oleh
bekas majikannya tentang kerja-kerja sebagai pertukangan besi telah tiada.
Beliau pun memberitahu bekas majikannya supaya membenarkan beliau bekerja di
tempat lain dan jika ada kerja-kerja berkenaan selepas itu, beliau meminta
bekas majikannya itu memaklumkan kepadanya dengan segera.
Katanya lagi, selepas beliau
bekerja dengan bekas majikannya selama 15 tahun itu beliau pada masa itu belum
lagi mengadakan bengkel besi sebagaimana di kediamannya sekarang, tetapi beliau
menyambung kerja kerja membuat chasis lori dan pagar lori pula selama empat (4)
tahun di lokasi yang lain dan selepas tempoh empat tahun itulah beliau mula
membuka bengkel besi di kediamannya sekarang ini.
Ditanya tentang perbezaan di
antara cabaran yang pernah disahutnya sebagai bekas pekerja dengan jawatan
baharu sebagai pengusaha sekarang ini. Beliau menjelaskan, ketika bekerja dan
sebagai pekerja dengan bekas majikannya dulu, dia akan menyiapkan segala
kerja-kerja yang diminta secepat yang mungkin. Namun, apabila menjadi pengusaha
sendiri ini amat berbeza apabila dia terlalu berhati-hati mengeluarkan arahan
meminta pekerjanya menyiapkan segala kerja sebagaimana yang pernah dilakukannya
sebelum ini.
Katanya lagi, ketika pernah
bersama dengan bekas majikannya dia pernah dileter oleh bekas majikannya dan
dia sebagai pekerja memang terasa dan jiwanya tersentak dengan hal tersebut dan
ada ketikanya wujud rasa marah dan pada ketika tertentu kerja perlu
diselesaikan kerana itulah tugasnya sebagai pekerja.
Jadi, bezanya amat ketara ketika
dia ingin mengeluarkan arahan kepada pekerjanya pula. Dia memang tidak tergamak
untuk berbuat demikian sebagaimana pengalamannya pernah dimarahi oleh bekas
majikannya dulu. Malah pernah terjadi pekerjanya tersilap menyiapkan tempahan,
jadi dia tidak sampai hati untuk memarahi pekerjanya. Cuma beliau memaklumkan,
kesilapan memang wujud dan jika barangan yang silap itu dapat dibaiki perlulah
dibaiki dan begitulah sebaliknya.
Setakat ini dia tidak menyebarkan
dalam mana-mana media sama ada akhbar, blog mahupun facebook. Cuma semasa dia
bekerja dengan majikannya dulu, konsep yang diperkenalkannya adalah kemas dan
menarik, jadi ketika itu bekas majikannya itu memang tertarik dengan
kerja-kerjanya.
Justeri, bertolak dari situlah,
orang-orang yang pernah menempah darinya akan memaklumkannya dari mulut ke
mulut kepada pelanggan yang lain pula tentang kerja-kerjanya itu yang agak
cermat dan berkualiti.
Untuk tempahan, sila hubungi Bahaki Che Dris di talian: 011-9325772
Bahaki Che Dris atau Bahaki.
Bahaki ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkelnya.
Salah satu tempahan yang telah disiapkan.
Antara tempahan yang akan dan sedang disiapkan.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan