RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 1 Jun 2017

Misteri Gunung Stong



MISTERI GUNUNG STONG

KUALA KRAI, KELANTAN: Gunung Stong yang letaknya di Kampung Jelawang dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan termasuk dalam Hutan Simpan Dabong merupakan hutan dara yang telah diwartakan sebagai Hutan Taman Negeri Kelantan. Ketinggian Gunung Stong mencapai 1,433 meter dari aras laut merupakan gunung kedua tertinggi di Kelantan selepas Gunung Ayam setinggi 1,504 meter. Namun paling menarik tentang Gunung Stong ialah suasana flora dan faunanya yang menghijau memang memukau pandangan, penuh dengan khazanah alam dan merupakan tempat laluan gajah liar. Apatah lagi, air terjun yang terkenal di Gunung Stong yang dikenali Air Terjun Jelawang atau Air Terjun Gunung Stong setinggi 305 meter merupakan air terjun yang kelima paling menarik di Malaysia dan tertinggi di Asia Tenggara.
 
Bercerita tentang Gunung Stong yang berdiri gagah terletak berhampiran dengan Gunung Ayam itu ternyata menarik minat Penulis. Ini kerana, selain bentuk geografinya yang berubah-ubah yang mana setiap pendaki perlu melalui beberapa halangan ekologi seperti lopak air, akar kayu, pokok tumbang, tanah yang licin dan berliku serta ketinggian yang mengejutkan di awal pendakian, secara langsung atau tidak setiap pendaki perlukan ketahanan mental dan fizikal. Tetapi tanpa disedari umum, Gunung Stong juga kaya dengan kisah misteri di sebalik tasik dan hutannya yang tebal itu.

Kisah misteri yang dimaksudkan apabila lokasi Baha's Camp yang sering dijadikan tempat untuk berkhemah terutamanya di kawasan tasik yang tersohor di Gunung Stong itu yang dikatakan bermisteri selain sebuah rumah rehat yang letaknya berhampiran tasik itu yang dikatakan mempunyai penunggunya.

Dari cerita yang Penulis dengar, terdapat sepasang suami isteri yang menyewa dan ingin menginap di rumah rehat itu telah dicampakkan keluar dari rumah rehat itu sedangkan mangsa tidak dapat melihat siapakah yang berbuat demikian. Walau bagaimanapun, rumah rehat tersebut kini telah dirobohkan. Malahan Penulis difahamkan, disebabkan rumah rehat itu dirobohkan seolah-olah makhluk halus yang mencampakkan mangsa seperti tidak senang dan mereka dikatakan sering mundar-mandir di kawasan tapak khemah terutamanya tapak rumah rehat asal termasuk di kawasan tasik air terjun itu. Berdasarkan laporan, banyak korban mangsa yang terjadi dalam tasik tersebut terutamanya ketika air terjun memenuhi sehingga ke tebing.

Setelah selasai menunaikan solat Isyak, sambil Penulis berbual-bual dengan Abang Him di samping mengambil kesempatan tersebut untuk menjamu selera. Ketika itulah Penulis terpandang sebatang tubuh lelaki yang memakai baju berwarna biru muda dari arah sebatang pokok agak sebesar berdekatan dengan warung tempat Penulis sedang menikmati sebuku roti yang mana makhluk berkenaan seolah-olah sedang memerhatikan ke arah Penulis. Namun, Penulis tidak mempedulikannya dan peluang seperti itu digunakan sepenuhnya oleh Penulis untuk melihat bentuk tubuh makhluk halus yang dimaksudkan itu seperti manusia juga.

Selang beberapa minit kemudian, rakan Penulis bernama Hafaizal Mat Ali meminjam kamera kecil milik Penulis lalu bergegas ke arah tapak asal rumah rehat yang dimaksudkan untuk merakam gambar. Rupa-rupanya foto yang dirakamnya pada 9.30 malam itu membuahkan hasil didapati terlalu banyak aura dan gelombang tentang wujudnya makhluk halus dalam bentuk asap putih di kawasan itu.

Melihatkan keadaan itu, Penulis mencapai kamera digital resolusi tinggi untuk merakam foto makhluk halus yang dikatakan mula berkeliaran dari tapak rumah rehat asal menuju ke warung tempat kami menjamu selera. Dari tiga keping gambar yang dapat dirakam Penulis, sekeping gambar yang dimaksudkan kelihatannya tiga makhluk halus dalam rupa manusia tetapi agak gelap iaitu dua lelaki dan seorang wanita sedang memerhatikan ke arah Penulis yang sedang merakam gambar mereka. Penulis mengistilahkan ketiga-tiga makhluk ghaib tersebut sebagai 'lembaga hitam' kerana kelihatannya seperti bayang hitam.

Dari bukti foto rakaman itu menggambarkan, makhluk halus terbabit memang wujud di tempat yang dimaksudkan dan mereka sebenarnya tidak ke mana-mana kerana di situlah dunia dan perkampungan asal mereka. Sebagai manusia, kitalah penceroboh perkampungan mereka kononnya atas nama pembangunan dan aktiviti gelojoh manusia. Mungkin manusia beranggapan tiada sesuatu yang dirosakkan kerana kita tidak nampak sesuatu yang telah musnah yang dialami oleh makhluk mereka. Jadi, bermula dari saat itulah beberapa kejadian ngeri terjadi di kawasan berkenaan termasuk di sebuah tasik berdekatan dan kolam mandi di hujung tasik tersebut.

Dalam masa yang sama juga, Abang Aziz melihat makhluk yang sama sebagaimana yang dapat dirakam oleh kamera Penulis. Katanya, ketika kami masing-masing sedang bersarapan, beliau terpandang seekor lipan yang mana kepalanya berwarna biru sementara tubuhnya berwarna oren kekuningan sedang menjilat air yang tumpah di atas meja tempat kami menjamu selera. Melihat lipan yang aneh itu beliau mengetuknya dengan sebatang sudu, seurus selepas terkena ketukan lipan tersebut tiba-tiba ghaib. Beliau percaya, lipan tersebut bukanlah seekor serangga biasa tetapi jelmaan jin yang tinggal berdekatan dengan tempat kami.

Malahan ketika kami sedang bercerita sehingga menjangkau waktu pagi ditemani hembusan bayu dingin dari arah tasik itu, kami membuat keputusan untuk melelapkan mata beberapa ketika. Walau bagaimanapun, kami berlima hanya tidur beralaskan plastik serta berbantalkan kain sarung dan sejadah tanpa membawa khemah sebagai hamparan tempat tidur kami. Dapat juga kami melelapkan mata sementara menunggu fajar pagi menyingsing esoknya.

Sementara itu, ketika peserta ekspedisi kami sudah melelapkan mata seorang demi seorang, ketika itulah berbagai kejadian misteri dan gangguan yang dialami oleh beberapa peserta kami. Salah seorang peserta kami, Wan Ibrahim Wan Ismail (Abang Him) tiba-tiba terkejut dan terbangun dari tidurnya kerana katanya beliau berasa seperti digigit seekor lipan di pipinya. Apabila disentuh tempat gigitan itu, barulah beliau berasa sakit yang menyucuk dan kesakitan itu beransur reda setelah disapukan minyak urutan yang dibawa khas olehnya. Dari kejadian itu, Penulis berpendapat Abang Him telah diganggu jin yang menjelma dalam bentuk lipan yang sebelumnya telah diketuk oleh Abang Aziz dengan sebatang sudu.

Kejadian berkenaan tidak selesai setakat itu sahaja kerana Abang Aziz yang tidur agak lena pada malam itu juga turut diganggu, apabila jari kakinya seperti digigit dan disentak sesuatu. Kejadian yang sama turut dialami oleh Hafaizal Mat Ali apabila kakinya juga turut digigit dan disentak berkali-kali. Hanya Penulis dan Mohd. Hafiz sahaja yang tidak diganggu sehinggalah waktu Subuh berkumandang.

Di samping itu, di kawasan Kolam Tuan Puteri dan Air Terjun Telaga Tujuh juga kaya dengan kisah-kisah misterinya yang hanya dialami mangsanya sebelum ini. Justeru, penulis ingin mengingatkan bahawa, apabila memasuki denai dan danau hutan, kawasan terpencil seperti di kawasan-kawasan gua, bukit dan gunung sama ada yang pernah dimasuki sebelum ini atau sebaliknya perlulah sentiasa beringat dan berwaspada kerana selain anda ke kawasan itu, anda sebenarnya sedang memasuki kawasan, penempatan dan perkampungan koloni dan kelompok makhluk ghaib itu yang mungkin tidak disenangi oleh sebilangan di kalangan mereka.
 
 Aura dan gelombang seperti asap tentang wujudnya makhluk halus di tapak asal rumah rehat.

Di sinilah munculnya lembaga yang sedang memerhatikan kami sedang makan.

 Tiga lembaga sempat dirakam Penulis berhampiran pokok kayu ini.

 Tapak asal rumah rehat yang dirobohkan.



 Nampak tenang, tetapi inilah kolam air terjun misteri.

 Air Terjun Telaga Tujuh.

 Kolam Tuan Puteri.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan