RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Khamis, 20 April 2017

Bahaki Tukang Besi


BAHAKI TUKANG BESI

KOTA BHARU, KELANTAN: Menjadi seorang pengusaha tukang besi sendiri bukanlah senang dan tidak akan berasa terlalu sukar jika ilmu di bidang tersebut telah mantap sepenuhnya. Namun, cabaran sebagai pekerja untuk menjadi pengusaha juga pasti ada. Beliau yang dulunya menimba pengalaman sebagai pekerja tukang besi dengan majikannya dari kaum Cina di Kampung Aur Duri dekat sini kira-kira 15 tahun lalu. Katanya, premis awal tempat beliau bekerja itu adalah sebuah bengkel besar seumpama kilang yang hanya melibatkan di bidang besi saja dan beliau ketika itu perlu menyiapkan segala tempahan menurut masa yang ditetapkan.

Beliau yang dimaksudkan, Bahaki Che Dris atau lebih selesa sebagai Bahaki, 39, dari Kampung Seberang Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, Kelantan yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin mengakui hakikat itu.

Menurutnya, selepas berhenti belajar dia terus bekerja dengan tukang besi itu. Dalam masa beliau sebagai pekerja di premis besi itu, dia sempat mengumpul wang gajinya sambil membina sebuah rumah yang didudukinya sekarang. Pada ketika itulah, nalurinya berbisik untuk beliau berhenti sebagai pekerja di premis tersebut untuk tujuan membuka premis yang bersabit dengan tukang besi sebagaimana sekarang. Ketika mula-mula dibuka, pembukaannya tidaklah sepenuhnya sekadar menumpang di garaj kereta milik rakannya di kampung itu.

Dalam masa menumpang di garaj kereta rakannya itu, salah seorang rakannya yang pernah bekerja di bengkel Cina itu turut berhenti kerana menolong kerja-kerja arwah bapanya sebagai penjaja ikan. Namun, selepas bapanya meninggal, dia pun berhenti sebagai peniaga ikan untuk bekerja dengannya. Katanya, beliau sanggup menempatkan rakannya itu sebagai pekerjanya tetapi segala kerja tidaklah sehebat bekas taukenya itu, apatah lagi bengkel besinya itu hanya beberapa bulan saja dibuka.

Dia sanggup menerima rakannya bekerja dengannya, maknanya jika dapat RM100 sehari, wang itu dibahagi dua dan begitulah sebaliknya. Tetapi disebabkan rezeki Allah, tempahan besi di kedainya semakin meningkat dan rakannya itu bekerja sejak dari tempoh itu sehingga hari ini.

Tentang modal menurutnya, dia tidak mempunyai modal untuk menyelaraskan kedai dan peralatan yang diperlukan. Dia juga berhasrat memiliki peralatan atau mesin welding yang dapat melakukan terhadap besi yang nipis, tetapi harganya ketika itu melebihi RM2,000 dan kini meningkat RM3,000 lebih. Namun, disebabkan tidak berkemampuan untuk membeli dan memilikinya, dia hanya mampu menggunakan peralatan biasa, walaupun agak lambat itulah yang terpaksa diteruskannya.

Katanya lagi, bekalan besi yang ada di bengkelnya sekarang ini dia terpaksa berhutang dengan bekas majikannya yang turut menggalakkan beliau menjadi seorang pengusaha sendiri. Dia akan melunaskan hutang bekas majikannya itu menurut pendapatan yang diperolehinya dari tempahan pelanggan sedikit demi sedikit sehingga selesai.

Di antara peralatan atau mesin yang perlu dibelinya seperti besi mesin pemotong besi dengan harga RM400 lebih (kini meningkat kira-kira RM600), mesin canai besi berharga RM200 lebih. Keperluan kepada mesin-mesin berkenaan agak penting kerana jika tidak, besi tidak dapat dipotong dan tempahan tidak dapat disiapkan sebagaimana yang sepatutunya.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan yang datang ke bengkelnya itu lazimnya menempah pagar rumah termasuk pagar garaj kereta.

Walau bagaimanapun menurutnya, disebabkan beliau tidak dapat menyelesaikan tempahan berikutan kehabisan besi yang dimaksudkan, dia akan meminta bantuan rakannya yang juga seorang pengusaha besi untuk menyediakan bekalan itu secukupnya. Dengan cara ini, tolong menolong sesama rakan penting di mana konsep kerja yang dilakukannya itu dia akan mendapat upah dari rakannya itu dan setelah siap rakannya itu akan menjualnya sendiri. Dari jualan itulah beliau memperolehi pendapatan darinya.   

Di antara tempahan yang terpaksa disiapkannya ialah besi jendela dengan harga RM7 (sekaki), tangga besi dan lain-lain yang melibatkan pertukangan besi.

Ditanya tentang pelanggan yang membawa besi sendiri yang meminta beliau membuat pelbagai produk besi mengikut tempahan pelanggan, sebelum ini hal begitu memang ada tetapi sejak akhir-akhir ini tiada lagi. Kecuali terdapat seorang rakannya yang juga seorang tukang besi mahir yang datang membawa besi terbabit yang meminta beliau untuk menyiapkan beberapa buah pagar di mana beliau diberi upah untuk membuat, mengecat dan memasangnya.

Malah kadang-kadang rakannya itu akan membawa barangan yang telah siap itu ke lokasi tempahan dan mengupah beliau untuk memasangnya. Dengan kata lain, berkongsi rezeki seperti itu memang menyeronokkan.

Tentang pekerja pula, dia kini mempunyai tiga orang pekerja yang dapat menyiapkan tempahan pelanggan tepat pada masanya.

Kalau berbicara tentang minat sebagai tukang besi, memang bidang yang diceburinya sekarang ini diminati sejak dari bangku sekolah lagi. Selepas tamat belajar beliau terus bekerja dengan bekas majikannya sehinggalah wujud cita-citanya untuk mengadakan kedai atau bengkel pertukangan besi sendiri di kediamannya sekarang.

Malah menurutnya disebabkan terlalu minat dengan kerjanya itu pada waktu itu, dia pernah dimaklumkan oleh bekas majikannya tentang kerja-kerja sebagai pertukangan besi telah tiada. Beliau pun memberitahu bekas majikannya supaya membenarkan beliau bekerja di tempat lain dan jika ada kerja-kerja berkenaan selepas itu, beliau meminta bekas majikannya itu memaklumkan kepadanya dengan segera.

Katanya lagi, selepas beliau bekerja dengan bekas majikannya selama 15 tahun itu beliau pada masa itu belum lagi mengadakan bengkel besi sebagaimana di kediamannya sekarang, tetapi beliau menyambung kerja kerja membuat chasis lori dan pagar lori pula selama empat (4) tahun di lokasi yang lain dan selepas tempoh empat tahun itulah beliau mula membuka bengkel besi di kediamannya sekarang ini.

Ditanya tentang perbezaan di antara cabaran yang pernah disahutnya sebagai bekas pekerja dengan jawatan baharu sebagai pengusaha sekarang ini. Beliau menjelaskan, ketika bekerja dan sebagai pekerja dengan bekas majikannya dulu, dia akan menyiapkan segala kerja-kerja yang diminta secepat yang mungkin. Namun, apabila menjadi pengusaha sendiri ini amat berbeza apabila dia terlalu berhati-hati mengeluarkan arahan meminta pekerjanya menyiapkan segala kerja sebagaimana yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Katanya lagi, ketika pernah bersama dengan bekas majikannya dia pernah dileter oleh bekas majikannya dan dia sebagai pekerja memang terasa dan jiwanya tersentak dengan hal tersebut dan ada ketikanya wujud rasa marah dan pada ketika tertentu kerja perlu diselesaikan kerana itulah tugasnya sebagai pekerja.

Jadi, bezanya amat ketara ketika dia ingin mengeluarkan arahan kepada pekerjanya pula. Dia memang tidak tergamak untuk berbuat demikian sebagaimana pengalamannya pernah dimarahi oleh bekas majikannya dulu. Malah pernah terjadi pekerjanya tersilap menyiapkan tempahan, jadi dia tidak sampai hati untuk memarahi pekerjanya. Cuma beliau memaklumkan, kesilapan memang wujud dan jika barangan yang silap itu dapat dibaiki perlulah dibaiki dan begitulah sebaliknya.

Setakat ini dia tidak menyebarkan dalam mana-mana media sama ada akhbar, blog mahupun facebook. Cuma semasa dia bekerja dengan majikannya dulu, konsep yang diperkenalkannya adalah kemas dan menarik, jadi ketika itu bekas majikannya itu memang tertarik dengan kerja-kerjanya.

Justeri, bertolak dari situlah, orang-orang yang pernah menempah darinya akan memaklumkannya dari mulut ke mulut kepada pelanggan yang lain pula tentang kerja-kerjanya itu yang agak cermat dan berkualiti.

Untuk tempahan, sila hubungi Bahaki Che Dris di talian:  011-9325772

Bahaki Che Dris atau Bahaki.

Bahaki ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkelnya.


Salah satu tempahan yang telah disiapkan.

Hanya mesin seumpama ini yang mampu dibelinya.




Antara tempahan yang akan dan sedang disiapkan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Isnin, 30 Januari 2017

Pak Ya Pandai Besi


PAK YA PANDAI BESI

PASIR MAS, KELANTAN: Sukarnya untuk menjadi seorang tukang atau pandai besi. Sekalipun minat berkobar-kobar, tetapi jika tiada usaha ke arah itu, minat yang tinggi menggunung tidak akan dapat digapai. Jelaslah dalam konteks ini, jika ada minat terhadap bidang tersebut, usaha yang berterusan seperti mencari guru dan pakar di bidang tersebut terpaksa dilakukan. Jika tidak, minat tersebut tidak akan ke mana.

Sejak dulu, Negeri Kelantan telah melahirkan ramai tukang dan pandai besi untuk menunjukkan masyarakat negeri ini kaya dengan hasil seni. Seni pertukangan khususnya yang melibatkan besi dan pembuatan senjata tradisional Melayu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi seterusnya. Walaupun generasi yang mewarisi bidang berkenaan telah ramai yang menghadap Illahi, namun generasi seterusnya masih wujud dengan kepakaran terkini yang menggunakan teknologi terbaharu walaupun ada juga peralatan untuk membuat dan menghasilkannya masih konsep lama.

Salah seorang tukang yang juga dianggap pandai besi, Zakaria Mat Salleh, 67, atau Pak Ya dari Kampung Hutan Mala, Pasir Mas, Kelantan adalah generasi seterusnya yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin yang bersedia berkongsi pengalamannya sebagai tukang dan pandai besi.   

Ketika zaman mudanya yang masih bujang berusia kira-kira 25 tahun, beliau sering mengambil kesempatan yang ada untuk melihat dan meninjau tukang-tukang besi di Kampung Bechah Kelubi, Pasir Mas yang dapat menghasilkan senjata tradisional Melayu terbaik. Dia mengambil peluang itu untuk melihat bagaimana tukang-tukang besi tersohor dapat menghasilkan senjata berkenaan setelah timbul minat yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Katanya, melihat bagaimana tukang-tukang besi mahir dapat membentuk besi menjadi senjata yang diinginkan seolah-olah dirinya boleh melakukannya asalkan meneruskan usaha ke arah itu tanpa jemu. Sebagai langkah pertama, dia akan mendapatkan beberapa batang besi yang boleh dibuat senjata itu dan apabila pulang ke rumah, dia akan melakukannya sendiri sebagaimana yang dia melihat tukang-tukang besi yang berjaya menghasilkan senjata-senjata yang dimaksudkan. Pada masa itu, dia hanya mempunyai sebuah basikal cabuk saja untuk membawa besi-besi yang diperolehinya itu untuk dibawa ke rumah.

Menurutnya, dia bermula bertukang besi pada tahun 1975 di kampung asalnya, Kampung Bechah Kelubi. Ketika usianya meningkat 26 tahun, dia merantau ke Kampung Kuala Hau, Temangan, Machang pada tahun 1977. Dia menetap di kampung itu sehingga mendirikan rumahtangga dengan gadis di kampung itu yang juga isterinya sekarang sambil membuka bengkel kecil-kecilan di kampung tersebut. Setelah agak mahir dari apa yang dilihat dan dihasilkannya, pada tahun 1996 dia kemudiannya keluar dari kampung tersebut bersama isterinya lalu mendirikan rumahnya sendiri di Kampung Hutan Mala, Pasir Mas sebagaimana sekarang.

“Alhamdulillah, setelah pakcik berpindah ke Kampung Hutan Mala ini, tiada pesaing sebagai tukang besi. Malah tiada pihak yang bertanya khabar untuk belajar sebagai seorang tukang besi. Jadi bermakna, pakcik seorang saja pengusaha dan tukang besi di kampung ini”, ujar Pak Ya apabila ditanya tentang persaingan sebagai seorang tukang dan pandai besi setelah beliau berpindah dan membuka bengkel sendiri di kampung terbaharunya sekarang.

Katanya, dia hanya menghasilkan beberapa jenis peralatan dan senjata yang sering digunakan oleh penduduk setempat saja seperti pisau menoreh, sadat, golok, parang dan kapak. Seperti senjata kapak dia tidak begitu memberikan penekanan dan dia menghasilkannya atas permintaan yang tidak seberapa yang hanya digunakan untuk menebang kayu dan memotong tulang.

Bahkan menurutnya, senjata pisau untuk tujuan menyiat daging juga sebagaimana kapak tidak diberi penekanan khusus. Ini kerana, untuk membuat pisau perlukan besi yang nipis dan memerlukan dua tenaga kerja. Jadi, jika tenaga kerja hanya dia seorang tentunya tidak berkesempatan untuk membuatnya jika tempahan untuk senjata lain begitu menggalakkan.

Ditanya, ke mana besi-besi yang telah siap dijadikan alat itu dipasarkan. Beliau menjelaskan, dia tidak pasarkan senjata-senjata yang telah siap itu ke mana-mana tempat. Ini kerana, apabila telah siap, pemiliknya akan datang sendiri untuk mengambilnya. Dia lazimnya akan menyiapkan segera segala tempahan apabila bekalan bahan mentah (besi) ada dan cukup untuk dihasilkan.

“Harga yang pakcik jual, kira mampu beli. Misalnya bagi pisau menoreh yang telah siap untuk digunakan (menoreh), pakcik jual dengan harga RM35 sebilah. Manakala sadat pula berharga RM60 dan golok (RM60)”, ujarnya.

Katanya, dia memperolehi pendapatan mencecah kira-kira RM1,000 sebulan hasil pertukangan besi. Manakala soal modal di peringkat awal dia mengusahakan bidang berkenaan tidaklah begitu banyak sangat. Kira-kira RM2,000 modal awal  yang diperuntukkan untuk tujuan itu untuk membeli bahan mentah (besi). Pendapatan dari hasil kerja yang diperolehinya itu disimpannya untuk membeli peralatan lain secara sedikit demi sedikit. Tentang sesetengah peralatan untuk menghasilkan senjata itu, ada di antaranya yang dia buat sendiri. Malah pada satu masa, dia terpaksa keluarkan modal kira-kira RM10,000 untuk membeli peralatan yang lebih sesuai dengan banyaknya tempahan yang diterimanya.

Soal modal baginya tidaklah begitu banyak sangat, jika dibuat dan membeli peralatan secara berhemah dan menyimpan sedikit demi sedikit. Namun, dia terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM2,000 untuk tujuan itu. Tentang mesin dan peralatan untuk bertukang, beliau membuatnya sendiri. Namun, walaupun ada sebahagiannya yang dibuat sendiri, modal untuk membeli peralatan berkenaan berjumlah kira-kira RM10,000.

“Kebanyakan bekalan besi, pakcik dapatkan dari pengusaha besi di Tanah Merah. Soal besi tidak perlu risau kerana bekalannya agak terjamin.

“Pakcik juga ada menerima besi dari sub motor. Ini kehendak orang yang menempahnya, pakcik terpaksa siapkan sebagaimana yang diminta”, katanya.

Pak Ya menambah, tentang minatnya sebagai tukang besi bermula sejak zaman kanak-kanak lagi. Jiwanya memang tidak dapat ditahan lagi jika dia berjaya sebagai seorang tukang besi kerana itulah idamannya jika dia telah meningkat dewasa nanti. Sudahnya cita-citanya itu termakbul juga sehingga dapat pula mewujudkan bengkel pertukangan besi sendiri di rumahnya sekarang.

“Dalam keluarga pakcik, hanya pakcik seorang saja yang berminat terhadap kerja-kerja besi ini. Sebab itulah, dengan kenakalan pakcik ketika zaman kanak-kanak suka mengetuk besi sehingga ternyata menjadi tukang besi apabila telah dewasa”, katanya sambil tersenyum sambil mengingati pengalamannya di zaman kanak-kanaknya dulu.

Katanya menambah, ketika dia di peringkat bertatih untuk menceburi bidang tukang besi, ketika itu dia hanya menggunakan dua tukul. Salah satunya tukul kecil sebagai pengetuk dan tukul besar pula sebagai pelapik alat yang akan diketuk. Sehinggalah pada satu masa, dia dapat membeli peralatan tersebut sendiri melalui simpanan wang hasil dari kerja-kerja pertukangannya selama ini.

“Pakcik tak pernah belajar di sekolah kerana minat dan terlalu menumpu kepada bidang besi. Tapi jelaslah dengan hanya bertukang pun, kejayaan akan dapat dicapai sekalipun tidak pernah duduk di bangku persekolahan”, katanya.

Membicarakan tentang pembeli pula menurutnya, lazimnya pisau menoreh biasa dibeli oleh penoreh-penoreh dari Estet Kuala Hau, Temangan, Machang. Ditanya, kenapa pembeli dari Kuala Hau sedangkan tempat itu agak jauh jika dibandingkan dengan kediamannya sekarang.

Beliau menjelaskan, pada tahun 1977 dia ke kampung itu dan setelah mendirikan rumahtangga dengan gadis di kampung itu, dia membuka bengkel tukang besi secara kecil-kecilan. Sejak itu, penoreh-penoreh dari kampung itu mengenalinya dan tentulah peralatan menoreh akan ditempah darinya disebabkan dia pernah berbakti di kampung isterinya itu.

Ditanya tentang jumlah pembeli pula, dia sebenarnya tidak memberikan perhatian tentang jumlah yang dimaksudkan, asalkan ada tempahan ia akan menyegerakan tempahan itu. Tetapi jika dihitung sejak dia buka bengkel sehingga hari ini, dianggarkan melebihi ribuan orang yang pernah menempah senjata tersebut darinya.

Ada di antara pembeli itu datangnya dari Terengganu (tidak melebihi 10 orang). Mereka yang datang biasanya akan membelinya secara borong kemudiannya menjual kepada pembeli di sana pula dengan harga pasaran semasa.

Menurutnya lagi, lazimnya bagi pisau menoreh yang dijualnya dibeli oleh lelaki. Namun, bagi penduduk di kawasan Kampung Hutan Mala itu, ramai pembelinya di kalangan wanita kerana kebanyakan penoreh di kawasan itu terdiri daripada kalangan wanita walaupun tidak dinafikan, ada juga di kalangan lelaki yang turut turun ke ladang bersama isteri masing-masing.

Tentang komen pembeli pula terhadap barangan yang dihasilkannya agak baik dan sempurna berikutan dia menghasilkan barangan berkenaan dengan agak cermat supaya menepati kehendak pembeli.

Untuk tempahan, sila hubungi Zakaria Mat Salleh atau Pak Ya di talian: 09-7941267


Zakaria Mat Salleh atau Pak Ya.

Pak Ya ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang dijadikan bengkel pertukangan besi.

Inilah rutian seharian Pak Ya.



Antara pisau menoreh yang telah siap dibuatnya.








Antara peralatan dan mesin yang digunakan untuk menghasilkan senjata yang ditempah.


Bengkel pertukangan besi milik Pak Ya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN