MISTERI GUA SATAN
JELI, KELANTAN: Jeli yang terletak di Hulu
Kelantan memang terkenal dengan tempat-tempat menarik dan penuh misteri seperti
Gunung Reng. Selain itu, Gua Satan yang letaknya agak terpencil di Ayer Lanas
juga tidak kurang hebat dengan cerita-cerita sedemikian malah ada individu
tertentu yang mendapat musibahnya berikutan mengambil sesuatu yang dilarang
dari gua tersebut.
Menjejaki Gua Satan yang penuh dengan kisah-kisah
misteri kerana dikatakan dihuni makhluk halus yang terdiri daripada bunian
Islam. Kesempatan bertemu dengan Abdul Rahim Mohamad, 62, atau dikenali sebagai
Pak Him dari Kampung Sungai Satan, Ayer Lanas, dekat sini tidak ingin
dilepaskan begitu sahaja.
Katanya, beliau berhijrah ke Kampung Sungai Satan
sebagai peneroka sejak 30 tahun lalu adalah berasal dari Kampung Pulau Pak
Amat, Sabak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan juga merupakan seorang
pengusaha warung kopi yang peramah dan sanggup berkongsi pengalamannya ketika
berburu di hutan berhampiran dengan gua tersebut.
Menurut Pak Him, Gua Satan wujud sejak dulu lagi
dan sehingga hari ini orang ramai jarang ke tempat tersebut kerana takutkan
sesuatu musibah seperti mendapat demam dan tersesat jauh ke dalam hutan jika
melanggar pantang larang. Jika seseorang lemah semangat dan berniat serong
untuk melakukan gejala maksiat atau sesuatu yang dianggap tidak sihat akan
menerima padahnya kerana ketenangan serta keheningan gua dan di persekitaran
hutan tersebut mempunyai penjaganya yang tidak dapat dengan mata kasar.
Gua Satan terletak jauh ke dalam hutan tebal dan
pada waktu itu jarang orang dapat menemui gua tersebut kerana didakwa oleh Pak
Him seperti tidak kelihatan dengan pandangan zahir. Oleh kerana beliau memang
berminat memburu sejak zaman remaja lagi, maka selepas melaksanakan segala
kerja di siang hari apatah lagi setelah bertukar malam, maka kegemarannya itu
tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sanggup bersengkang mata
semata-mata menghabiskan malam hari dengan memburu kijang, pelanduk, kambing
hutan, landak dan sebagainya.
Ketika menceritakan pengalaman pertamanya memburu
binatang yang masih dalam keadaan mamai, Pak Him bersama seorang lagi rakannya
meneruskan keinginan mereka untuk memperolehi seberapa banyak binatang buruan
pada malam yang dingin itu. Mereka berpecah dan kedua-duanya membawa haluan
masing-masing kerana tidak elok memburu dengan cara berkumpul di situ.
Semasa sedang asyik mengendap binatang yang akan
menjadi mangsa pertamanya bersama lampu suluh dan selaras senapang yang
tergenggam erat di tangan, di suatu kawasan yang agak ganjil dalam hutan pada
malam itu beliau tiba-tiba berselisih dengan seorang wanita aneh yang separuh
usia sedang melalui tempat yang sama seorang diri. Wanita tua aneh yang
dilihatnya itu sedang membawa sebungkas kain yang tergenggam di tangan manakala
sebahagian lagi seperti bunjut di atas kepalanya. Dengan tidak semena-mena,
wanita tua aneh yang dilihatnya pada malam itu menegurnya, buat apa di
tengah-tengah malam itu di tempat berkenaan.
"Nak buru binatang, nek. Kalau ada rezeki
dapatlah disembelih seekor dua", ujarnya menjawab pertanyaan wanita tua
misteri yang berselisih dengan Pak Him di tengah-tengah hutan belantara pada
malam itu.
Selepas itu, masing-masing dengan hal sendiri.
Sambil menyaksikan keanehan wanita tua yang muncul secara tiba-tiba dalam hutan
pada malam itu, beliau dapati langkah wanita tua itu agak pantas tidak
sebagaimana manusia. Apabila tiba di suatu selekoh dalam hutan itu, dengan
pantas wanita tua misteri itu ghaib secara tiba-tiba. Dengan tidak semena-mena
bulu roma Pak Him berdiri tegak seperti ada sesuatu yang agak pelik dengan
wanita yang dilihatnya itu.
Sejak dari tadi nasib tidak menyebelahi Pak Him
kerana belum memperolehi walaupun seekor binatang buruan. Melihatkan nasibnya
ketika itu, beliau mula teringat pesanan orang tua-tua, jika pergi berburu
sehari suntuk tetapi belum mendapat hasilnya apatah lagi bertemu pula dengan
sesuatu yang agak ganjil dan luar biasa pada malam hari, batalkan sahaja niat
itu kerana kemungkinan akan mendapat musibah yang tidak disangka-sangka nanti.
Jadi, Pak Him berfikir juga tentang hal itu lalu mengajak rakannya untuk
bertolak pulang.
Katanya, disebabkan keletihan yang amat sangat
berikutan berburu semalam suntuk beliau tertidur dengan nyenyaknya. Tiba-tiba
dalam tidurnya itu beliau bermimpi didatangi seorang wanita tua yang ditemuinya
semasa berburu di dalam hutan sebentar tadi. Dalam mimpi itu, beliau diminta
oleh wanita tua aneh itu supaya mencari sepohon serai di dalam hutan itu kerana
terdapat seekor kambing hutan di situ. Tembak dan sembelihlah binatang itu
kemudiannya dagingnya dibuat gulai dan berilah makan kepada seluruh penduduk
kampung itu. Wanita tua itu hanya meminta pulut kuning, kelapa muda, tepung
tawar serta bedak sejuk sahaja.
Bagi mengetahui apakah benar dengan dakwaan
wanita tua misteri dalam mimpinya itu kononnya terdapat seekor kambing hutan di
sebalik pohon serai dalam hutan berkenaan, beliau bersama-sama seorang rakannya
bergegas ke tempat yang dimaksudkan pada pagi itu juga.
"Memang benar apa yang dikatakan oleh wanita
tua itu. Ada
seekor kambing hutan berbadan besar berdekatan pohon serai. Kami tembak lalu
menyembelihnya di situ juga. Dagingnya dibuat gulai dan diberi makan seluruh
penduduk kampung sebagaimana yang dipintanya", ujarnya untuk menunjukkan
mimpinya itu adalah benar.
Pada keesokan harinya iaitu kira-kita pukul 5.00
petang, beliau bersama anak sulungnya bergegas ke Gua Satan untuk menyerahkan
peralatan yang diminta oleh wanita tua aneh dalam mimpinya semalam. Apabila
tiba di muka gua tersebut, beliau meletakkan dulang yang mengandungi pulut
kuning, kelapa muda, tepung tawar dan bedak sejuk itu sambil memerhatikannya
dalam jarak yang boleh dilihat dengan pandangan mata. Selang beberapa minit
kemudian, beliau nampak dengan jelas sepasang tangan cantik dan putih melepak
tetapi tidak kelihatan anggota badan lain sedang mengangkat dulang tersebut dan
sekelip mata hilang dari pandangan.
Pengalaman kedua Pak Him juga berkisar kepada
aktiviti memburu binatang pada malam hari, kerana itulah kegemarannya yang
sebenar. Kali ini dia tidak lagi ditemani rakannya, jadi terpaksalah beliau
memburu seorang diri.
Ketika sedang mengendap binatang buruan yang
pasti menjadi mangsa senapang patahnya itu, dengan tidak semena-mena hujan dan
ribut melanda suasana damai dan hening dalam hutan itu. Pak Him terpaksa
berlari sekuat hati kerana anak telinganya dapat menangkap dengan jelas bunyi
pohon tumbang dengan kuatnya. Kerana tiada lagi tempat untuk berlindung dari
hujan dan ribut yang luar biasa itu, beliau terus berlari ke arah Gua Satan
kerana tempat itu sahaja yang difikirkannya selamat untuk berteduh dari cuaca
pelik buat sementara waktu. Ketika itu jam di tangannya menunjukkan pukul 12.00
malam.
Setelah memasuki gua itu seorang diri, Pak Him
membaca beberapa potong ayam Al-Quran kerana bimbang dengan binatang buas
seperti harimau dan ular yang pasti menjadikan gua itu juga sebagai tempat
untuk berteduh dari hujan dan ribut. Ketika beliau sedang duduk berteleku
menanti hujan reda sehingga jam 3.00 pagi itu, telinganya dapat mendengar
seperti suara manusia sedang bercakap-cakap diikuti bunyi suara binatang.
Akibat terlalu keletihan kerana berlari sekuat tenaga, beliau tertidur dengan
nyenyaknya. Beliau terbangun dari tidur ketika jam 9.00 pagi, itupun seperti ada
suara seorang lelaki yang membangunkannya. Apabila dilihat kepada jamnya memang
tepat pukul 9.00 pagi.
"Tak tahulah siapa yang membangunkan Pak Him
dari tidur sebab tidak nampak kelibat orang itu. Nak dikatakan jin, Pak Him
rasa tidak. Tapi kalau bunian itu mungkin juga. Yang peliknya, dia bagi tahu
Pak Him namanya Tok Haji Taha", katanya yang agak kehairanan dengan
peristiwa itu apabila ditanya tentang makhluk yang mengejutkan Pak Him dari
tidurnya itu. Tetapi Pak Him percaya, Tok Haji Taha itu adalah makhluk halus
dari bangsa bunian Islam yang juga sebagai ketua kaum mereka di Gua Satan itu.
Tambah Pak Him lagi, Gua Satan mengandungi lebih
tujuh tingkat kesemuanya. Melalui tingkat keenam mengandungi pelbagai jenis
permata yang beraneka warna termasuk batu berlian. Tetapi kesemua batu permata
dan berlian itu tidak boleh disentuh apatah lagi jika ada yang berniat untuk
membawa pulang sebagai kenangan. Ini kerana, batu permata itu akan hilang
dengan sendiri apabila dibawa keluar dari Gua Satan. Individu yang mengambilnya
akan menerima penderitaan penyakit seperti pening dan demam-demam.
Kata Pak Him, cerita berkenaan bukan suatu
dongengan kerana terdapat kes seorang berketurunan Siam yang datang ke Gua
Satan dengan gajah, salah seorang dari mereka terpesona dengan kecantikan
batu-batu permata yang berkilauan berwarna biru, merah dan sebagainya itu lalu
diambilnya dan dibawa pulang. Dengan tiba-tiba mangsa mengalami demam secara
luar biasa. Lantas batu permata yang diambilnya terpaksa dikembalikan dan
disebabkan itu demamnya kebah serta merta.
Menurut Pak Him, terdapat satu keturunan Cina
yang beria-ia datang ke gua itu dengan jentera penggali kerana tamaknya untuk
mendapatkan sejumlah besar berlian serta emas di gua tersebut. Tetapi enjin
jentera penggali tersebut tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan individu Cina
itu gagal dan pulang dalam kehampaan.
"Dalam Gua Satan ini juga terdapat sebuah
bilik yahg cukup cantik seperti bilik tidur kerana terdapat katil di situ.
Tingkat paling akhir di Gua Satan ialah sungai. Dapat kita lihat sungai itu
mengalir ke dalam gua", ujar Pak Him untuk menunjukkan unik dan peliknya
Gua Satan.
Di samping itu menurut Pak Him, berikutan Gua
Satan dijaga oleh makhluk halus yang menghuni di situ, setiap pengunjung tidak
boleh memasuki gua tersebut sebarangan kecuali dengan panduan Pak Him sendiri
ataupun anak sulungnya untuk mengelakkan tersesat, jatuh ke dalam jurang,
hanyut dibawa arus sungai dan mungkin disembunyikan makhluk ghaib di situ.
Dengan adanya panduan daripada beliau, beliau memang mengenali selok-belok sama
ada di persekitaran malah di dalam gua itu sendiri termasuk gua-gua yang
berdekatan umpamanya gua kambing.
Katanya, pengalaman beberapa jurugambar sebelum
ini yang merakam gambar gua tersebut kebanyakannya agak hampa. Ini kerana,
kebanyakan gambar yang dirakam semuanya tidak menjadi malah tidak kelihatan dan
mungkin ditabir benda gelap. Keadaan ini seolah-olah gua itu seperti berkeadaan
kosong sahaja dan dianggap sebagai jelmaan semata-mata.
Pak Him menambah, menariknya di Gua Satan ialah
pengalaman bermalam untuk melihat makhluk berkenaan di kawasan itu. Individu
yang pernah melalui pengalaman bermalam di kawasan Gua Satan akan dapat
menghidu bau masakan yang agak enak seolah-olah sebuah pesta keramaian dan
majlis kenduri kekeluargaan. Kadang-kadang individu yang bertuah akan dapat
mendengar tangisan bayi, kanak-kanak yang sedang hilai ketawa dan suara sedang
bercakap-cakap.
Gua Satan menjanjikan suatu percutian yang
menarik di dalam hutan kerana keindahannya belum lagi dinodai pencemaran.
Malahan paling menarik ialah, individu yang bertuah tentunya dapat melihat
makhluk bunian yang berkampung di situ terutamanya di malam hari. Kedatangan
manusia sememangnya diraikan oleh keluarga mereka, tetapi jagalah batas-batas
adab sopan semasa di perkampungan mereka sebagaimana kita menjaga adab
kesopanan di perkampungan rakan-rakan kita yang lain dengan tidak melakukan
sesuatu yang dilarang dan dibenci seperti tamak, mengambil sesuatu yang tidak
diizinkan mahupun melakukan maksiat, perkara yang tidak senonoh serta menjolok
mata.
Abdul Rahim Mohamad di sebuah kedai makan miliknya.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Slots, Poker, Video Poker, & Live Dealer Sites - Mapyro
BalasPadamFind the best 성남 출장샵 real money online 김천 출장마사지 slots and live dealer sites in Colorado. See 경주 출장마사지 if the top 제주 출장안마 10 real money 남양주 출장마사지 casinos are legal in Colorado.