RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 1 Oktober 2017

Ekspedisi Gunung Reng Ketiga


EKSPEDISI GUNUNG RENG KETIGA
(15.9.2012)

JELI, KELANTAN: Gunung Reng yang letaknya di laluan lebuh raya Timur-Barat dekat Batu Melintang, Jeli (Kelantan) dan Gerik (Perak) adalah sebuah gunung yang berdiri gagah sejak lebih 1400 tahun lalu. Kisah kejadian Kampung Tala dihempap gunung berkenaan dikatakan bermulanya lembaran tentang rahsia gunung tersebut berada di Kampung Batu Melintang, Jeli sehingga hari ini.

Penulis sendiri mula mengenali Gunung Reng berada di tapaknya sekarang ketika menjengah kisah berkenaan pada 28 Julai, 2007 kerana agak ramai yang menceritakan tentang kisah Gunung Reng yang agak tersohor ketika itu malah agak ramai juga yang berjaya menawan puncak Gunung Reng itu.
 
Justeru, wawancara dengan penduduk jati Kampung Batu Melintang, Pak Teh Hussin pada ketika itu telah melahirkan rasa ingin tahu sementelah pula Penulis mendapat tahu Gunung Reng boleh didaki dan bermula dari saat itulah Penulis bercita-cita untuk mendaki gunung tersebut apabila sampai masanya nanti.
 
Pada tanggal 28 Julai, 2007 itu, Penulis bersama empat yang lain seperti Anis Sabirin bin Azmi, Mohd. Nasiruddin Mohamed (Din) serta Mohd. Rosli Mat telah memasuki Gua Payong di Gunung Reng itu untuk melihat sendiri suasananya yang dikatakan misteri umpamanya jelmaan nenek kebayan di sebelah kanan dinding Gua Payong dan lembaga makhluk halus yang menakutkan di beberapa bahagian batu di bumbung gua tersebut.

Pada ketika itu, Gunung Reng agak terbiar kerana dilitupi semak-samun dan hutan belukar, sementelah pula bercita-cita untuk mendakinya. Kemudiannya, kami melakukan Ekspedisi Gunung Reng Kedua pada tanggal 8 September, 2012 untuk menyelongkar beberapa lokasi gua itu. Sehinggalah kami memahatkan niat untuk melakukan ekspedisi ketiga.

Berdasarkan tentang hakikat itulah, pada 15.9.2012 peserta kami yang terdiri daripada AZMI MOHD. SALLEH (Penulis), ANWAR AZMI (Anak Sulong Penulis), AZHAR AZMI (Anak Ketiga Penulis), ANIS SABIRIN BIN AZMI (Anak Keempat Penulis) serta MOHAMAD ABID SAIDIN (Abid-rakan Azhar) bertolak dari Kota Bharu kira-kira jam 10.00 pagi.

Melalui Jalan Persekutuan, Kota Bharu-Kuala Krai kami singgah sebentar di gerai makanan Pak Da Soh dan Pak Ku Li di Kampung Gua Ikan. Tujuan kami ke situ adalah untuk melakukan Ekspedisi Gua Keris yang terletak dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan. Namun disebabkan masalah teknikal di pihak mereka, niat asal kami untuk memasuki gua tersebut terpaksa dibatalkan. Lantas kami menukar niat dan beralih arah lalu menuju ke Kampung Batu Melintang, Jeli pada ketika itu juga.

Selepas menikmati hidangan, kami bertolak ke Gunung Reng dan setibanya kami di Masjid Batu Melintang yang berlatar belakangkan Gunung Reng, peserta kami menunaikan solat Zohor. Kami mula memasuki Gua Payong dan mendaki lereng Gunung Reng kira-kira jam 2.15 petang.

Untuk ekspedisi di gunung ini, kami menumpukan kepada pendakian melalui lereng Gunung Reng dan kami sempat melihat banyak gua di tepi gunung tersebut yang bermula dari tingkat bawah hingga tingkat lima gunung berkenaan. Di beberapa bahagian lereng Gunung Reng, peserta kami sempat bergambar kenangan dan Penulis lihat banyak gua di lereng gunung berkenaan boleh dijadikan tempat untuk uzlah, bersuluk dan bertapa. Di suatu sudut di gunung itu, Penulis cuba untuk merasakan situasi orang sedang bertapa dengan melabuhkan punggung di sebuah batu di suatu ruang di gunung itu.
 
Ketika Penulis masih berada di atas batu di suatu sudut orang sedang bertapa di gunung itu, peserta lain mengambil kesempatan itu untuk berehat, sementara untuk meneruskan agenda seterusnya. Kemudiannya kami beredar dari kawasan itu dengan memasuki suatu kawasan lereng gunung tersebut.

Peserta kami cuba untuk mendaki ke puncak gunung itu melalui lereng, namun niat kami terhalang apabila didapati laluan ke puncak gunung itu telah runtuh apatah lagi dihalang pula kayu patah dan tumbang dari puncak gunung di laluan yang kami ingin daki. Kami terpaksa membatalkan niat untuk mendaki ke puncaknya akibat masalah tersebut dan kami kemudiannya menuruni lereng untuk menyelongkar di bahagian lain dalam gua itu.
 
Kegagalan kami untuk meneruskan pendakian ke puncak bukanlah menyebabkan kami kecewa tentangnya, namun kami terpaksa menerima hal seupama itu dengan hati yang terbuka. Ini kerana, jika kami meneruskan juga hasrat kami pada hari itu, sudah tentu kami menerima natijahnya kerana laluan ke puncak gunung telah tersekat atau dengan kata lain tiada lagi laluan itu untuk ke puncak akibat telah runtuh. Berbanding dengan mendaki Gunung Tebu, Gunung Stong dan Bukit Panau tidak mempunyai curam yang merbahaya berbanding dengan situasi di Gunung Reng itu.

Setelah hampir tiga jam kami dapat menyelongkar rahsia Gua Payong dan sehingga ke tingkat lima Gunung Reng, kami mula melangkah turun pada pukul 4.30 petang iaitu selepas kedengaran alunan azan Asar di masjid bersebelahan gunung itu. Selepas solat Asar di Masjid Batu Melintang itu, kami kemudiannya bertolak pulang.

 Peserta mendaki Gunung Reng pada 15.9.2012.

 Masjid Batu Melintang berlatar belakang Gunung Reng.


 Bergambar di pintu masuk Gua Payong sebelum ekspedisi bermula.

  Kami mula memasuki Gua Payong.

  Dalam ruang gua yang gelap, peserta kami bersiap dengan lampu suluh.


 Keadaan reka bentuk bumbung dan puncak Gunung Reng.


 Kami ketika ini sedang berada dalam gua di Tingkat Empat.

 Gua di Tingkat Lima. Kelihatan batu tiga jari di sebelah kiri lubang gua.

 Penulis sedang menyusur lereng Gunung Reng di Tingkat Lima.

 Sebuah gua di mana laluannya didapati menjunam ke bawah lereng.


 Peserta kami sempat bergambar di gua yang dimaksudkan.


 Gua ini sesuai untuk bertapa. Di sebelah atasnya kelihatan seperti bentuk haiwan (biawak).

 Penulis cuba bersila di sebuah batu yang sesuai untuk uzlah, bersuluk dan bertapa.

 Sebuah batu hidup dan membesar, bentuknya seperti haiwan.

 Seekor katak gergasi juga wujud dalam Gua Payong.

 Sebuah gua yang dalam. Kelihatan di bawah sana, sebuah sungai mengalir di bawah gunung.



 Kami bersiap untuk bertolak pulang jam 5.00 petang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

3 ulasan:

  1. Hai Azmi,

    Boleh menjelajah ke Taman Negara Kuala Koh suatu hari nanti? Maklumat dan gambar-gambar mengenai Kuala Koh agak sikit, and terdengar ada banyak masalah pembalakan haram di kawasan sana.

    BalasPadam
  2. Insya Allah, jika diizinkan Allah. Saya pun telah siahpkan satu kisah "Misteri Tasik Air Mata". Wawancara telah dibuat, cuma perlu rakam video dan foto. Skrip untuk rencana itu juga telah siap, tetapi setiap kali nak pergi, ada-ada masalahnya. Akhirnya tak jadi, rakaman wawancara dan skrip rencana itu musnah ketika bah kuning 2014. Sehingga rencana tentang kisah itu tidak dapat disiarkan.

    BalasPadam
  3. Maaf tuan,boleh saya ambil gambar-gambar dalam gua ni untuk rujukan tugasan sekolah?

    BalasPadam