RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 13 Januari 2021

Air Terjun Chamang (Pahang)


 AIR TERJUN CHAMANG

BENTONG, PAHANG: Air Terjun Chamang yang letaknya di Jalan Chamang-Bentong, Bentong, Pahang iaitu di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Tinggi. Air Terjun Chamang ini juga dikenali Hutan Lipur Sungai Chamang yang merupakan sebuah air terjun yang menarik di Negeri Pahang Darul Makmur.

Landskap air terjun ini yang dilitupi hutan asal menambahkan lagi kenyamanannya malah pengunjung yang pernah datang ke tempat berkenaan akan dapat merasakan kesejukan hawanya bahkan dapat menghirup udaranya yang segar.

Air Terjun Chamang ini mudah ditemui kerana mempunyai papan tanda yang agak jelas. Menurut Majlis Perbandaran Bentong, jaraknya dari Bandar Bentong adalah kira-kira 8 kilometer dan 69 kilometer dari Kuala Lumpur.

Manakala keunikan air terjun berkenaan adalah air di jeramnya yang mengalir deras serta pelbagai rupa, malah bentuk hamparan batunya yang pelbagai. Kawasan hutan lipur ini juga terdapat pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan, serangga, burung, reptilia yang unik dan mengagumkan.

Walaupun air terjun ini pernah tular di media sosial sebagai senarai 10 air terjun merbahaya di Negeri Pahang untuk dikunjungi, namun bagi Wartawan RELATIF yang pernah berkunjung ke Air Terjun Chamang buat pertama kali sebelum ini merasakan adalah sesuatu yang agak janggal juga untuk melabelkannya begitu. Ini kerana, segala kejadian yang didakwa pernah berlaku di kawasan itu seperi kejadian lemas dan gangguan makhluk halus dan sebagainya adalah berpunca daripada sikap pengunjung itu sendiri.

Cuma apa yang perlu dijelaskan bahawa, setiap pengunjung yang memasuki kawasan danau dan hutan misalnya perlulah berhati-hati di tempat tersebut kerana kita perlu sedar “malang sememangnya tidak berbau”.

Setiap pengunjung tidak sewajarnya membuat bising atau melanggar peraturan yang pernah diwartakan. Jika kita datang ke situ dengan niat untuk mandi sambil menghirup udaranya yang segar dan nyaman di samping melepaskan segala masalah dan kekangan di jiwa kita pastinya dalam keadaan selamat. Tetapi, jika sebaliknya tentunya akan menemui keburukan yang tidak terduga.

Suasana di kawasan Air Terjun Chamang ini agak menenangkan, luas dan seolah-olah minda kita terbuka apabila mula menjengah dan menjejakkan kaki di datarannya. Dengan kemudahan yang disediakan seperti parkir kenderaan yang percuma dan agak luas, kawasan perkhemahan, tempat bar-b-que, pondok rehat, kerusi rehat, tandas awam, tempat persalinan dan mandi, laluan pejalan kaki serta kemudahan jambatan gantung bagi yang ingin menyaksikan pemandangan sekitar dari tempat tinggi serta aliran air terjun yang cantik melalui jeram terbabit. Selain pihak PBT berkenaan menyediakan sebuah taman mini yang lebih dikenali sebagai kawasan rekreasi untuk keselesaan pengunjung.

Justeru, walau bagaimanapun tentang pandangan umum dan sesetengah di kalangan pengunjung, Air Terjun Chamang tetap dengan peranannya mengalirkan airnya yang jernih melalui jeram terbabit yang akan memberikan hiburan kepada manusia melalui alam.

Dalam hal ini, silalah berkunjung ke Air Terjun Chamang kerana air terjun ini menjanjikan keheningan yang agak selesa bagi yang ingin terhindar dari masalah dan kesibukan di bandar.

Papan tanda arah masuk ke Air Terjun Chamang.
 

Bentuk geografi Air Terjun Chamang.
 

Keadaan airnya yang jernih.
 
Penulis cuba merasai kesejukan air terjun dengan berendam.
 

Parkir kenderaan yang luas.
 
 Pondok rehat.
 
Meja dan Kerusi Rehat.
 

Laluan Pejalan Kaki.
 
Tandas Awam.
 

Jambatan Gantung.


Taman Rekreasi.
 








Papan tanda.

  Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan