RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 22 Januari 2021

Pantai Dasar Sabak


 PANTAI DASAR SABAK

KOTA BHARU, KELANTAN: Pantai Dasar Sabak adalah sebuah perkampungan nelayan yang letaknya di Kampung Pantai Dasar iaitu kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu dan tiga (3) kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, dulunya adalah sebuah pantai yang agak menarik. Ketika itu, banyak deretan gerai dan kedai makan sepanjang perjalanan masuk ke pantai berkenaan.

Disebabkan hal berkenaan menyebabkan ramai pengunjung setia yang datang berulang-kali ke pantai berkenaan yang tetamunya bukan sahaja dari masyarakat tempatan, tetapi juga dari daerah-daerah lain di Kelantan selain pengunjung dari luar Kelantan. Sejarah yang masih kekal tentang Pantai Dasar Sabak sehingga menjadikan pantai berkenaan menjadi terkenal apabila tentera Jepun seramai 5,600 orang yang diketuai General Takumi telah melakukan pendaratan yang pertamanya dalam misi “Asia Untuk Asia” pada tanggal 8 Disember, 1941.

Selain persekitarannya yang masih terpelihara serta jalan masuknya yang memudahkan pengunjung untuk ke pantai itu menjadikan pantai berkenaan kerap menerima pengunjung tanpa mengira masa. Paling ramai pengunjung ke pantai berkenaan adalah hari Jumaat dan Sabtu selain hari-hari cuti umum dan cuti am negeri, pengunjung akan membanjiri pantai ini sehinggalah lewat petang.

Malah pada ketika itu, jika pengunjung dari pusat bandar Kota Bharu yang tidak mempunyai kenderaan dan akan mengunjungi Pantai Dasar Sabak boleh menaiki bas mini yang bernombor 59. Bas berkenaan akan membawa penumpang dan pengunjung terus melalui laluan Kampung Panchur dan Kemumin di Pengkalan Chepa terus ke pinggir pantai berkenaan.

Namun, beberapa tahun kemudian Pantai Dasar Sabak tidak lagi dikunjungi kerana difahamkan banyak sampah yang dibuang dan dilonggokkan bersebelahan dengan jalan masuk ke pantai berkenaan yang dijumpai bergelimpangan apabila banjir melanda pantai tersebut. Bukan itu sahaja, disebabkan pantai berkenaan berkeadaan landai dan lebih rendah dari laut, menyebabkan ombak ganas setiap musim tengkujuh di antara bulan-bulan Oktober hingga Disember setiap tahun, menyebabkan ombak-ombak itu menghempas kedai-kedai dan kediaman milik penduduk di pantai itu.

Akibat dihempas ombak yang sedemikian itu, menyebabkan kediaman penduduk roboh dan dihanyutkan ombak. Hal berkenaan berlaku lebih kerap setiap kali musim tengkujuh melanda. Akibatnya menyebabkan, pantai berkenaan terpaksa ditambak dengan batu-batu kerikil.

Walaupun batu-batu kerikil berkenaan dapat menyelamatkan penempatan dan kediaman penduduk agak selamat dari dihempaskan ombak yang tinggi, namun jika dari pandangan kasar, tambakan batu-batu kerikil di pinggir pantai tersebut menyebabkan Pantai Dasar Sabak telah hilang serinnya dan tiada lagi pemandangan menarik pantai yang boleh dilihat dari jauh.

Jika pengunjung ingin melihat pemandangan pantai berkenaan, terpaksalah mereka memanjat batu-batu kerikil tersebut. Dengan kata lain, akibat ditimbunkan batu-batu kerikil di tepi pantai itu menjadikan pantai berkenaan tidak lagi asli dan tidak lagi berkeadaan asal sedangkan hal seumpama ini boleh diselesaikan dengan pembinaan baharu sebagaiamana di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan iaitu dengan membuka ruang air laut masuk dengan mewujudkan sebuah tasik kecil. Pemandangannya pun akan bertambah menarik.

Timbunan batu-batu kerikil itu juga menyebabkan pengunjung yang datang ke pantai itu tidak lagi dapat melihat dari jarak dekat kerana mereka ditabir oleh batu-batu kerikil itu. Jika pengunjung ingin melihat gigi dan pantainya perlulah mendaki batu-batu kerikil itu. Cuma, sesuatu yang lebih baik apabila panas terik berlaku, pengunjung dapat berlindung di sebalik batu-batu kerikil itu.

Suatu hal lagi ialah, tiada tempat berteduh sebagaimana yang sepatutnya ada di sesebuah pantai. Pantai Dasar Sabak perlukan sokongan pokok-pokok sebagai tempat pengunjung untuk berteduh di bawahnya. Pokok-pokok rhu dan sebagainya perlu ditanam di kawasan pantai tersebut jika tidak Pantai Dasar Sabak dianggap sebuah pantai yang masih “berbogel”.

Sementara itu, pantai ini pada tahun-tahun 2011 dulu dianggap pantai mati dan tidak aktif apabila tibanya waktu malam. Lazimnya, pantai-pantai lain akan menjalankan peranannya setiap kali tibanya waktu malam untuk menyambut tetamu dan pengunjung menjamu selera pada waktu-waktu berkenaan. Tetapi di Pantai Dasar Sabak ini berbeza pula apabila melihat di pinggir pantainya yang agak menyeramkan.

Walaupun, kita dapati telah banyak gerai, kedai makan dan restoran telah berderetan dibina di sepanjang jalan masuk ke Pantai Dasar Sabak sebagai suatu langkah peniaga untuk mencari rezeki dari pengunjung yang kerap singgah untuk menjamu selera adalah suatu langkah yang baik dari zaman mati sebelumnya, namun jalan masuk ke pantai ini perlu dipermudahkan sebegaimana dulu. Ini kerana, jika tersilap masuk, mungkin kenderaan akan masuk ke rumah orang, tersesat jalan ataupun jika dapat masuk tidak akan menemui jalan keluar pula.


Pantai Dasar Sabak begitu tenang apabila tiba musim kemarau.


Kawasan penempatan penduduk di pinggir Pantai Dasar Sabak. 



Keadaan timbunan batu-batu kerikil untuk menyekat ombak menghempas ke kawasan penempatan penduduk. 


Beginilah keadaannya apabila ombak menghempas kawasan penempatan penduduk. 

Wajah ombak menghempas batu-batu kerikil di gigi pantai. 

Wajah pantai dapat dilihat apabila pengunjung turun ke tepi pantai. 

Pantai terlindung dari pandangan pengunjung. 




Pantai ini mati, tidak aktif dan menyeramkan apabila tibanya waktu malam. 

Dulu, sebuah jambatan menghubungkan laluan masuk dengan pantai. 

Jalan masuk ke pantai. Sebelah kiri adalah tempat pelupusan sampah dan sebelah kanan ke pantai. Kini, tempat pelupusan sampah itu telah dipindahkan. 

Simpang masuk ke Pantai Dasar Sabak. Keadaan ini tidak lagi seperti itu apabila banyak deretan kediaman dan gerai makanan memenuhi kawasan tersebut.

Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan