PANTAI SRI TUJOH
TUMPAT,
KELANTAN: Pantai Sri Tujoh yang terletak di Kampung
Tujoh, Tumpat, Kelantan asalnya dinamakan "Pantai Tujoh" tetapi satu
istilah “Sri” telah ditambah di bahagian tengahnya supaya panggilannya lebih
menarik, bersifat komersial dan indah pada pandangan umum. Ia dinamakan Pantai
Sri Tujoh untuk menunjukkan terdapatnya tujuh buah teluk atau lebih di kawasan
itu.
Dalam konteks geografinya, Pantai Sri Tujoh letaknya berhampiran dengan
Pengkalan Kubor dan Stesen Keretapi Tumpat dan pantai ini juga menghadap ke
arah Laut China Selatan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand. Terdapat
beberapa teluk dan benteng pasir boleh disaksikan di beberapa kawasan pantai
berkenaan turut menambahkan lagi keindahan landskap Pantai Sri Tujoh.
Sebenarnya, Pantai Sri Tujoh ditadbir Majlis
Daerah Tumpat (MDT) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di
antara kemudahan yang disediakan pihak PBT berkenaan untuk kemudahan dan
keselesaan pengunjung seperti rumah tumpangan, tandas awam, surau, dewan orang
ramai, restoran dan gerai makanan serta taman kanak-kanak.
Pantai Sri Tujoh menurut catatan pada batu asasnya memang terkenal sebagai
tapak Pesta Wau Antarabangsa Kelantan sejak tahun 1983. Pantai ini juga turut
dijadikan Tapak Pesta Air Kelantan 2005. Pada hujung minggu dan musim cuti
sekolah, pantai ini dijadikan Tapak Pesta dan Ekspo Perdagangan.
Malah lazimnya, Pantai Sri Tujoh menerima pengunjung paling ramai terutamanya
pada cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu, cuti am negeri dan musim
cuti persekolahan. Lazimnya juga, kebanyakan pengunjung yang datang ke pantai
ini bersama keluarga untuk tujuan menikmati panorama pantainya yang menarik dan
mendamaikan. Pantai ini menjadi pantai paling aktif apabila tibanya waktu malam
apabila menerima tetamu dan pengunjung untuk menjamu selera.
Sesuatu yang menarik tentang Pantai Sri Tujoh ialah pantai ini kaya dengan
landskapnya yang tersusun, selain pokok rhu yang hidup subur seolah-olah
sebagai teman menghiburkan pengunjung dengan lambaian bayu berpuput lembut
menambahkan lagi kenyamanan dan ketenangan apabila berada di pantai ini, selain
terdapat beberapa spesis seperti anak ikan belacak dan ikan jejuluk sebagai
penghias di beberapa tasik di pantai ini.
Melihatkan keadaan seni pantainya itu menunjukkan Pantai Sri Tujoh (Tumpat)
telah mengalahkan pantai-pantai lain yang ada di Kelantan seperti Pantai Irama
(Bachok), Pantai Melawi (Bachok), Kemayan (Bachok), Pantai Senok (Bachok), Pantai
Cahaya Bulan (Kota Bharu), Pantai Dasar Sabak (Kota Bharu), Pantai Bisikan Bayu
(Pasir Puteh) dan Pantai Tok Bali (Pasir Puteh).
Ini menunjukkan, komitmen yang ditunjukkan dan diambil perhatian oleh Majlis Daerah Tumpat ini yang dapat meningkatkan seni landskap pantainya sehingga menjadi kenangan dan menggamit pengunjung adalah sesuatu yang boleh dipuji dan usaha berkenaan perlu diteruskan dalam usaha untuk melihat pantai-pantai di negara dan di negeri kita dalam keadaan sempurna dan tidak terbiar.
Namun, Pantai Sri Tujoh tidak lagi seperti dulu yang dianggap terbuka kepada pengunjung. Ini kerana, beberapa bahagian di pantai ini adalah milik persendirian yang tidak boleh diceroboh sesuka hati sebagaimana dulu.
Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Sri Tujoh bersama keluarga kerana pengunjung tidak akan rugi malah dapat menghilangkan rasa resah apabila berada di pantai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan