RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 27 Januari 2021

Pantai Irama


 PANTAI IRAMA

BACHOK, KELANTAN:  Pantai Irama adalah sebuah pantai yang cantik dan menarik yang letaknya di pinggir bandar Bachok, Kelantan iaitu di laluan yang menghadap Laut China Selatan dengan jaraknya kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu melalui jalan tempatan Kota Bharu – Tawang – Bachok (D5) yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Pada masa dulu, pesisir Pantai Irama berkeadaan landai dan pengunjung yang pernah mandi-manda di pantai ini tidak pernah menaruh rasa bimbang akan berhadapan dengan detik-detik cemas sama ada berhadapan tragedi lemas dan dihanyutkan ombak.

Tetapi kini, Pantai Irama terpaksa ditambak dengan batu-batu kerikil dan sebahagian lokasi pantai ini dilarang untuk masuk ke situ dan menjalankan aktiviti di situ kerana beberapa kejadian lemas akibat dihanyutkan ombak.

Pantai ini sering dijadikan sebagai tempat untuk mengadakan pesta dan pelbagai acara keramaian selain sesuai dijadikan sebagai tempat untuk berkelah, mandi laut, berkuda dan aktiviti bersama keluarga disebabkan pasirnya yang putih dan halus menerima jumlah pengunjung yang paling ramai setiap hari minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.

Disebabkan sering dikunjungi orang ramai dari serata daerah sama ada penduduk tempatan sendiri, terdapat pengunjung dari Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas dan Tumpat yang menjadikan pantai ini sebagai tempat untuk berlibur berikutan hembusan bayunya agak nyaman sesuai dengan namanya Pantai Irama.

Malahan jika dibandingkan di antara seluruh pantai di Negeri Kelantan, Pantai Irama dianggap menduduki carta pantai yang paling ramai dikunjungi oleh orang ramai dari semua peringkat. Bahkan, kalau ingin dinobatkan sebagai pantai yang paling ramai dikunjungi oleh ahli keluarga, maka tepatlah diberikan kepada Pantai Irama boleh jadi agak sesuai jika dikatakan Pantai Irama sebagai pantai keluarga.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Majlis Daerah Bachok (MDB) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung seperti gerai jualan, surau, pondok rehat, tempat parkir kenderaan yang sistematik, dataran, tempat persalinan, taman permainan kanak-kanak, kolam mandi kanak-kanak serta tandas awam berbayar.

Paling menariknya bagi anda yang mengunjungi Pantai Irama kerana dianggap pantai terbuka dalam semua segi. Ini kerana, jika anda mengunjungi Pantai Irama anda akan dapat melihat penjual makanan bergerak sama ada motosikal, van dan gerai jualan di tepi jalan.

Bagi pengunjung yang ingin merasai sendiri pengalaman menunggang kuda juga terdapat di pantai ini secara berbayar di samping terbang dengan belon udara dan sebagainya. Selain, ada segelintir di kalangan pengunjung yang terhibur kerana dapat bermain layang-layang di mana permainan ini turut dijual di pantai tersebut.

Bagi yang tidak gemarkan permainan, ada juga yang berhibur sambil bermain gitar, bermain pasir dan berlari di atas pasir nan putih. Kanak-kanak adalah warga yang paling seronok dilihat apabila mereka ke Pantai Irama kerana selain mereka dapat menghirup bayunya yang nyaman, mereka juga selain dapat melihat alam ini yang menarik, mereka juga dapat melihat kecantikan pantai itu yang membiru bertemankan ibu bapa masing-masing.

Selain dapat menjamu selera di pesisir pantai dengan membawa bekalan makanan dari rumah atau dibeli di gerai dan di restoran yang tersedia, kita jangan lupa supaya tidak membuang sampah merata-rata dan sesuka hati. Ini kerana, tanggungjawab menjaga pantai adalah tanggungjawab pengunjung keseluruhannya.

Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Irama dan bawalah keluarga bersama kerana sememangnya anda tidak akan berasa kecewa apabila bersantai di pantai ini kerana Pantai Irama menjanjikan sesuatu yang menarik dan menghiburkan hati setiap pengunjungnya.

Pintu masuk ke Pantai Irama.

Batu Asas di Pantai Irama. 



Wajah Pantai Irama menggamit pengunjung. 

Setianya ombak menghempas pantai sebagai rakan yang tidak dapat dipisahkan.

Apabila hari semakin menjelang petang, semakin ramai pengunjung masuk ke Pantai Irama.






Pelbagai aktiviti keluarga boleh dilakukan di Pantai Irama.


Kolam mandi kanak-kanak.

Restoran, kedai dan gerai makanan juga disediakan kepada pengunjung.
 

Wartawan RELATIF ingin cuba menikmati ais batu kacang (ABC) di sebuah gerai di Pantai Irama.
Colek buah juga ada penggemarnya yang dijaja oleh penjaja bermotosikal.

Layang-layang dari China juga ada peminatnya.

Tandas awam berbayar.




Lihatlah begitu ramai pengunjung yang berduyun-duyun ke Pantai Irama. Paling menarik mereka bersama keluarga.


Bagi peminat dan penggemar layang-layang, tidak melepaskan suasana itu apabila angin sepoi-sepoi bahasa mula bertiup.

Aktiviti bermain payung terjun dilihat begitu popular di Pantai Irama sekarang.


Tidak ketinggalan aktiviti berkuda. Kanak-kanak dilihat petah menunggang kuda.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan