BAPA MENGHIDAP STROK
TANAH MERAH, KELANTAN: Pengorbanan
seorang bapa terhadap anak-anak dan keluarga memang tiada tolok bandingnya.
Jika dihitung tentang apa yang telah mereka lakukan, kita sebagai anak-anak
tidak dapat menilai betapa sukarnya mereka mencari rezeki, tempat tinggal dan
hak milik tetap seperti tanah dan penempatan buat membahagiakan keluarga
masing-masing.
Hasil pengorbanan mereka yang
tidak pernah kenal penat lelah, susah payah, terpaksa pula berpanas dan
berhujan serta mengorbankan masa, tenaga dan kesihatan semata-mata untuk
memberikan perlindungan kepada anak-anak patut diambil contoh dan iktibar
khusus kepada generasi baharu supaya mereka dapat menilai apakah kesukaran
orang-orang tua kita di masa lalu berbanding yang telah kita nikmati hari ini.
Menjengah keperitan seorang bapa
yang akhirnya diserang penyakit strok kerana susah payah beliau di masa muda,
apatah lagi apabila telah meningkat usia senja sebagai penyebab beliau menderita
penyakit tersebut kerana ada yang berpendapat, disebabkan terlalu kuat bekerja
juga boleh mengundang masalah kesihatan dan memakan diri sendiri. Begitulah halnya
yang telah dialami oleh bapa Mohd. Zainal Mat, 30, atau lebih dikenali sebagai Jena dari Felda Kemahang
2, Tanah Merah, Kelantan.
Menceritakan serba sedikit
tentang kepayahan bapanya yang akhirnya diserang penyakit strok buat pertama
kali pada tahun 2006 telah mengajar dirinya tentang erti pengorbanan yang tidak
ternilai seorang bapa yang juga seorang peneroka di tanah rancangan di felda tersebut
sehingga akhirnya beliau berkeadaan begitu.
Katanya, bapanya diserang strok
pada tahun 2006 yang ketika itu berusia 96 tahun semasa sedang bekerja menanam
pokok di kawasan ladang felda di bukit tersebut.
Menurutnya, selepas mengalami
strok permulaan pada tahun 2006 itu keluarganya membawanya untuk merawat secara
tradisional dan selepas rawatan itu bapanya dapat bergerak dan berjalan seperti
biasa. Namun, pada tahun 2009 bapanya diserang penyakit itu buat kali kedua.
Sebagaimana kejadian pertama pada
tahun 2006, pada tahun 2009 ini keluarganya membawanya ke hospital kerajaan dan
selepas itu melalui rawatan dan membuat urutan strok secara tradisional. Sambil
menjadikan amalan memakan ubat-ubatan dan rawatan itu keadaan kesihatan bapanya
pulih tetapi tidaklah sepenuhnya seperti dulu. Malah menurutnya, bapanya
bergerak pun agak lambat sebagaimana sebelum ini. Sementara bapanya pula
terpaksa dipimpin untuk berjalan dan ketika makan pun perlu disuapkan.
Selepas itu, pada tahun 2011, bapanya
diserang strok buat kali ketiga. Serangan strok kali ketiga ini menjadikan
bapanya tidak lagi dapat bangun, bergerak dan berjalan seperti dulu, hanya
terpaksa berbaring semata-mata kerana serangan strok berkenaan melibatkan kaki
dan tangan sebelah kiri.
Ditanya tentang pengalamannya menguruskan
bapanya diserang strok buat kali ketiga itu, beliau menjelaskan, ketika bapanya
itu diserang strok buat kali ketiga itu, beliau ada bersama dengan bapanya.
Mungkin penyebab serangan strok itu disebabkan darah tinggi yang dialami oleh
bapanya.
Pada ketika itu, beliau segera
membawa bapanya itu ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Ketika
dalam perjalanan ke hospital, bapanya yang bersandar pada kusyen kereta dengan
tiba-tiba tumbang (jatuh). Pada masa yang sama, bapanya tidak lagi dapat
bercakap sebagaimana sebelumnya. Selepas itu, bapanya terpaksa diusung kerana
tidak lagi dapat bergerak sehinggalah hari ini.
Menurut doktor yang merawat
bapanya menyatakan, bapanya itu diserang strok tahap ketiga dan untuk sembuh sepenuhnya
agak tipis. Menurut doktor itu lagi, bapanya mengalami strok di bahagian kepala
(urat dan saraf di bahagian kepalanya pecah), mungkin disebabkan itulah bapanya
tiba-tiba jatuh dari kusyen kereta ketika beliau membawa bapanya itu ke
hospital ketika itu. Jadi menurut pandangan keluarganya, untuk melakukan
pembedahan amatlah tidak sesuai melihatkan keadaan usianya yang semakin lanjut
itu. Justeru, beliau bersama adik-beradik yang lain hanya memberikan penjagaan
terhadap bapanya itu yang hanya mampu baring apatah lagi tidak dapat bercakap
sebagaimana sebelumnya.
“Setiap kali tiba waktu makan,
terpaksalah disuapkan susu. Kami sekeluarga terpaksa menjaga bapa dalam keadaan
sepenuhnya.
“Apabila tiba tiga jam sekali,
terpaksalah saya suapkan susu sebagaimana sepatutnya”, jelasnya kepada Wartawan
RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin.
Sementara itu menurut Jena, apabila bapanya
berasa akan kencing dan buang air besar, beliau sebagai anak yang bongsu
terpaksa menguruskannya secara bergilir-gilir dengan adik-beradik yang lain.
Bekas khas perlu disediakan untuk tujuan itu.
Beliau juga turut berkongsi
dirinya dan bapanya sebagai peneroka di tanah felda tersebut. Ketika bapanya
menjadi peneroka di ladang itu, usia beliau ketika itu masih dalam peringkat
kanak-kanak. Namun, bapanya sering membawanya ke ladang untuk memperlihatkan
dan memberikan pengalaman keadaan tempat bapanya mencari rezeki di situ.
Pada ketika itu menurutnya,
bapanya memang cergas dan gagah bukan saja dapat memetik buah kelapa sawit tetapi
juga berupaya mengangkatnya seorang diri. Memang sebagai peneroka, bapanya
terlalu kuat bekerja semata-mata untuk menyara beliau dan keluarganya dengan
rezeki di ladang itu.
Bapanya mula bekerja sebagai
peneroka di ladang itu pada tahun 1980 dan pada ketika itu bapanya berusia
lebih 40 tahun. Bapanya mendapat tanah di felda itu kerana hasil usahanya
memohon dari pihak kerajaan. Malah majoriti bapanya memperolehi tanah di felda
itu kira-kira 14 ekar seorang.
Ditanya tentang hal peneroka,
beliau menjelaskan, apabila sampai satu masa, tanah itu akan diserahkan balik oleh
pihak felda kepada peneroka untuk diuruskan dan begitulah halnya dengan bapanya
yang sejak itu terpaksa diuruskan oleh peneroka sendiri.
Membicarakan tentang anak
peneroka pula, banyak kelebihan yang dinikmati oleh anak-anak peneroka felda. Antaranya,
bagi wanita yang berhasrat menjadi tukang jahit, golongan ini diberikan kursus
atau kelas jahitan secara percuma dan pemberian tunai secara percuma. Manakala
bagi anak-anak yang pintar dan berhasrat memasuki pusat-pusat pengajian tinggi,
pihak felda akan menanggung kos itu kecuali makan minum adalah belanja sendiri,
bantuan hari raya dan lain-lainnya.
Jena juga turut menyentuh tentang suasana
sambutan hari raya Aidilfitri dengan katanya, pada masa dulu (zaman bapanya), sambutan
hari raya di kawasan atau di perkampungan felda tidaklah semeriah hari ini.
Tetapi semenjak 10 tahun kebelakangan ini, anak-anak peneroka yang bekerja di
luar Kelantan akan pulang ke perkampungan felda semata-mata untuk menyambut
hari yang mulia itu bersama keluarga masing-masing dan suasana berkenaan begitu
meriah di perkampungan berkenaan setiap kali hari raya menjelang.
Katanya, sambutan hari raja
sehari juga begitu meriah di kawasan felda. Apabila mengetahui ada di kalangan
anak-anak peneroka yang akan menjadi raja sehari, peneroka-peneroka lainnya
akan melakukannya secara bergotong-royong dan bantu-membantu, dengan hal yang
demikian majlis pastinya berjalan lancar.
Membicarakan tentang konsep
gotong-royong di kawasan Felda Kemahang 2, menurut Jena bahawa, dia difahamkan
sebuah sekolah Arab yang akan diberikan nafas baru mendapat kerjasama
sepenuhnya daripada pihak peneroka dengan melakukan hal itu secara
bergotong-royong atas keperluan pentingnya bidang pendidikan kepada anak-anak
peneroka felda.
Selain itu menurutnya, pada masa
dulu, kalangan peneroka apabila ada rumah yang akan dipindahkan, mereka
bersama-sama mengusung rumah terbabit untuk diletakkan di kawasan tapak rumah
yang dikhaskan. Begitu juga dengan anak-anak peneroka (golongan baharu), masih
mengekalkan tradisi tolong-menolong dan bantu-membantu sesama peneroka bak kata
pepatah “yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.
Hubungan di antara semua peneroka
khususnya di Felda Kemahang 2 ini sejak dulu mengamalkan hubungan yang baik dan
sentiasa muafakat di antara mereka sehingga hari ini. Jika wujudnya masalah,
mereka akan mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah itu.
Turut sama berganding bahu di
kawasan felda berkenaan adalah terdiri dari Persatuan Belia dan KRT. Manakala
bagi Persatuan Penduduk dikhususkan untuk golongan peneroka yang turut sama
melihat pentingnya hubungan seperti itu dikekalkan di kawasan tanah felda.
“Kebanyakan peneroka bukan sahaja
dari Kelantan saja, namun ada juga dari luar Kelantan seperti dari Terengganu,
misalnya dari Besut dan Setiu”, katanya apabila ditanya tentang peneroka di
Felda Kemahang 2 itu
Justeru menurut beliau, sebagai salah
seorang anak beliau amat bersyukur dan menganggap beruntung menjadi seorang
peneroka. Ini katanya, jika ingin dibandingkan dengan orang-orang kampung
biasa, menjadi anak peneroka felda dianggap bertuah bukan sahaja ditunjukkan
tentang sikap menghormati tetapi juga mempunyai banyak kelebihan dan
keistimewaan yang diperolehi.
Mohd. Zainal Mat atau Jena.
Jena ketika diwawancara di kediamannya.
Bapanya ketika memperolehi geran tanah pada tahun 1990.
Papan tanda Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan