RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Selasa, 10 Januari 2017

Berniaga Cari Rezeki


BERNIAGA CARI REZEKI

PASIR MAS, KELANTAN: Nak hidup memang susah, itulah kata-kata segelintir di kalangan masyarakat kita. Bagi pekerja yang makan gaji tidak perlu berfikir banyak perkara kerana setiap bulan dapat gaji. Namun, ada yang mendakwa, makan gaji pun tidak cukup. Sebenarnya, bukan gaji itu tidak cukup, tetapi disebabkan salah urus sumber kewangan akan menyebabkan gaji itu tidak cukup. Apatah lagi, budaya banyak meminjam akan memburukkan lagi keadaan.

Namun, bagi yang tidak bekerja makan gaji akan terpalit dengan segala masalahnya setiap bulan. Misalnya orang yang berniaga kecil-kecilan (penjaja) pun akan berhadapan dengan pelbagai masalah yang sering menghantui mereka.

Cuma ada yang mendakwa, orang berniaga lebih senang kerana ramai pelanggan (pembeli) yang datang. Memang, ia kelihatan dari segi zahirnya saja, tetapi hakikatnya, pengusahanya memang sering sakit kepala kerana banyak berfikir sama ada untuk membayar gaji pekerja, bekalan bahan mentah dan sebagainya lagi.

Apatah lagi, jika mempunyai keluarga yang ramai sedangkan pendapatan hasil perniagaan yang tidak seberapa, turut mendatangkan masalah. Bahkan, jika keluarga mengalami masalah kesihatan, juga menyebabkan pening kepala. Sementelah pula, keadaan bekalan bahan mentah dan barangan di pasaran kini yang sering naik harga akan tambah memeningkan kepala mereka.

Pengalaman Fatimah Mat Daud atau lebih mesra dikenali Maksu Timoh, 65, dari Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas, Kelantan dalam mencari sumber pendapatan buat dirinya sendiri dan keluarganya memang agak berat. Dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu terpaksa mengambil tugas berat itu sebagai ibu tunggal untuk membesarkan dan menyekolahkan anak-anaknya, pada awalnya memang agak memeritkan. Sementelah pula, dia tidak mempunyai rumah tetap sebagai tempat tinggal. Dengan keadaan kemiskinan seperti itu, dia perlu mencari rumah sewa yang boleh dijadikan tapak untuknya berniaga makanan secara kecil-kecilan.

Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin sempat ke kediamannya yang dijadikan sebagai kedai menjaja nasi dan kuih-muih di kampung itu. Menurutnya, dia menetap di lokasi sekarang sejak tahun 1988 di mana ketika itu tiada seorang pun yang menetap di situ kecuali selepas beberapa bulan beliau menetap di situ.

Sebelum ini, telah banyak tempat beliau menyewa rumah seperti di Kampung Kubang Binjai, Kampung Tempoyak, Kampung Bechah Semak, Kampung Kubang Bemban dan Kampung Kubang Pak Hitam ini.

“Ketika maksu berpindah dan menyewa di kampung ini dulu, maksu menetap buat sementara. Maksu kemudiannya menyewa di Kampung Kubang Binjai. Selepas itu, maksu datang ke kampung ini balik”, katanya.

Ditanya tentang punca beliau sentiasa berpindah-randah menyewa rumah. Beliau menjelaskan, disebabkan dia ketiadaan rumah dan tanah sehingga terpaksa berbuat demikian. Bahkan pada ketika itu, dia berniaga kecil-kecilan sebagaimana yang dilakukannya sekarang semata-mata untuk menyekolahkan anak-anaknya. Antara makanan yang dijualnya seperti kuih-muih dan nasi berlauk (nasi bungkus) yang diminta oleh pembekal supaya beliau menjualnya. Dari jualan itu, beliau memperolehi komisen sebagaimana yang sepatutnya.

Antara pendapatan yang diperolehinya hasil menjual makanan tersebut adalah kira-kira RM500 hingga RM600. Perolehan pendapatan ini hasil jualan yang dilakukannya setiap hari, jika rehat bermakna pendapatannya lebih kecil dari itu dan tiada pendapatan langsung. Usaha beliau untuk berniaga kecil-kecilan ini adalah untuk menanggung anak-anaknya yang masih bersekolah selain dua orang cucu yang turut tinggal bersamanya. Dia terpaksa aktif jualan secara kecil-kecilan sejak kematian suaminya semasa anaknya yang berusia 6 tahun.

Ditanya tentang pimpinan peringkat kampung yang mengetahui keadaan beliau sekarang, beliau menjelaskan, Ketua Kampung berkenaan memang mengetahui tentang masalah yang dihadapinya kini. Bahkan rumah yang disewanya sekarang ini pun hasil usaha Ketua Kampung terbabit juga.

Di samping itu, beliau turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM350 sedangkan sebelum ini dia hanya memperolehi bantuan kewangan sebanyak RM30, juga hasil usaha Ketua Kampung berkenaan.

Dia juga tidak pernah menerima bantuan dari pihak JKM atau wakil rakyat yang sepatutnya diberikan perhatian terhadap ibu tunggal sepertinya. Dia mendapat rumah sendiri pada ketika itu perlukan modal sebanyak RM3,000 (bantuan kerajaan) untuk membolehkan tukang membina dan menyiapkan rumah berkenaan. Justeru, untuk menjadikan rumah kedai sebagaimana sekarang, dia perlu keluarkan modal sendiri pula berjumlah RM4,000.

Cara untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dan bahan-bahan lain yang ternyata merumitkan dirinya. Apatah lagi dia tidak mempunyai sebarang kenderaan yang patut digunakan untuk membawa pulang bekalan tersebut. Kalau adapun, sebuah motosikal milik anaknya, namun dia pula tidak boleh menunggangnya sendiri.

Antara mahu dengan tidak, terpaksalah dia mengajak anak-anaknya itu sebagai pemandu dan penemannya ketika mendapatkan bekalan untuk dijual nanti. Bahkan menurutnya, setiap biji atau makanan yang dijualnya itu, beliau memperolehi komisen jualan kira-kira dua puluh sen (RM0-20).

Tambahnya, kini disebabkan anaknya sibuk dengan kerja masing-masing, dia akan membonceng motosikal cucunya pula dalam usaha mendapatkan bekalan untuk jualan di kedainya itu. Setelah pulang ke kedainya dari mendapatkan bekalan makanan yang dimaksudkan, dia pastinya berasa sibuk untuk urusan cucunya dan perniagaan di kedainya pula. Dan begitulah rutin hariannya setiap hari, kecuali hari cuti persekolahan.

Ditanya tentang modal yang perlu dikeluarkannya untuk mendapatkan bekalan makanannya itu. Beliau menjelaskan, kira-kira RM60 modal yang terpaksa dikeluarkannya untuk tujuan itu. Walaupun pada pandangan orang lain, nilai sebanyak RM60 itu agak kecil, namun baginya agak besar juga.

“Bagi pandangan orang lain, nilai RM60 itu agak kecil. Tetapi bagi maksu agak besar juga”, katanya.

Kebanyakan kuih-kuih yang akan dijualnya, dia akan membeli dari pembekal dan pembuat kuih-muih itu. Dari belian itu, dia akan mendapatkan keuntungan sebiji setiap hari jualannya. Contohnya, jika dia membeli kuih-muih berharga RM1 (5 biji), dia akan menjual empat biji kuih itu berharga RM1. Maknanya, dia hanya dapat untung sebiji dari setiap jualannya.

Bahkan, jika makanan itu nilainya RM5, dia akan dapat untung sebanyak RM1. Begitu halnya dengan nasi berlauk lain, hanya nilai itu saja yang diperolehinya sehingga makanan seperti kuih dan nasi berlauk di kedainya itu habis kesemuanya. Maknanya, hasil jualan kuih-muih dan nasi pagi itu, beliau memperolehi pendapatan setiap hari kira-kira RM10. Cuma, dia bergantung harap atas penyediaan air minuman yang disediakan sendiri di kedainya. Jika tidak, dia tidak akan memperolehi pendapatan sebanyak itu.

Apabila ditanya, perolehan pendapatan hasil jualan makanan di kedainya sebanyak itu, adakah dia berpuas hati atau bagaimana. Jelasnya, dia bersyukur, kerana itulah rezekinya setiap hari. Memanglah beliau berhasrat untuk meningkatkan pendapatannya, namun, hanya itu saja yang beliau mampu lakukannya.

Apabila membicarakan tentang bantuan terhadap beliau, katanya, selain bantuan dari Ketua Kampung terbabit dan sebenarnya beliau tidak memperolehi dari bantuan dan sumbangan dari mana-mana pihak lain termasuk daripada Wakil Rakyat sendiri.

Katanya, kejayaan mendapatkan bantuannya selama ini atas inisiatif dirinya sendiri dan jika mengharapkan pihak lain datang ke rumahnya, tentunya dia akan berputih mata sampai bila-bila. Padahal dia tidak mengharapkan segunung emas, tetapi sekadar menghulurkan sedikit bantuan yang dari bantuan itu beliau boleh berdikari sendiri pula.

Menurutnya, beliau pernah memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang katanya bertempat di Kampung Jias, Pasir Mas, namun gagal sehingga hari ini.

Menceritakan tentang permohonan itu, dia mendapatkan borang di pejabat JKM di mana pihak berkenaan meminta beliau untuk mendapatkan sokongan daripada Imam dan Ketua Kampung.

Namun, pihak berkenaan memberitahu bahawa permohonan beliau tidak dapat diluluskan berikutan dia telah berniaga. Beliau berasa agak pelik, jika beliau tidak berniaga, siapa yang nak bagi beliau dan tanggungannya makan?

Walau bagaimanapun menurutnya, salah seorang pesara tentera bernama Abang Soh yang turut membantu beliau mendapatkan bantuan daripada pihak Masjid Kubang Bemban, Pasir Mas dan dari situlah beliau memperolehi bantuan yang dimaksudkan dan bantuan berkenaan masih diperolehinya sehingga hari ini. Jadi, menurutnya kesemua jumlah RM350 yang diperolehinya itu apabila dicampurkan dengan bantuan sebanyak RM70 itu.

“Maksu tidak pernah menerima bantuan dari badan NGO”, ujarnya.

Katanya, setiap kali malam tiba dia kadang-kadang bermenung dan berfikir tentang erti kehidupan, betapa sukarnya mendapatkan bantuan di zaman moden ini. Sesuatu yang sering terlintas di fikirannya ialah bagaimana cara untuk mendapatkan makanan dan pakaian sebagaimana insan yang lain.

Setakat ini beliau tidak cuba memohon permohonan dari MAIK. Katanya, pihak Wakil Rakyat pernah datang menjenguknya, namun tiada maklumbalas daripada pihak berkenaan dan dia sendiri tidak cuba timbulkan masalah yang dialaminya. Kalau Wakil Rakyat berkenaan peka dengan keadaannya, pihak berkenaan akan bersedia membantunya. Walau bagaimanapun, setakat ini dia masih belum cuba memohon bantuan sama ada daripada Ketua Kampung atau pesara tentera itu untuk memajukannya kepada pihak MAIK pula.

Membicarakan tentang banjir lumpur atau bah kuning tahun 2014 dulu, katanya, ketika dilanda banjir itu, kira-kira dua atau tiga bulan beliau tidak dapat meneruskan jualan makanannya disebabkan hal tersebut. Ini kerana, rumah dan kedai yang didudukinya sekarang ini ditenggelami banjir itu dan setelah banjir surut, tentunya perlu dibersihkan di segenap tempat.

Justeru, apabila beliau mengetahui berita tentang berlakunya banjir, dia sempat berpindah di tempat selamat di salah sebuah sekolah di situ. Namun, keadaan rumah dan kedainya itu telah ditenggelamkan banjir tersebut.

Semua barangan yang ada di dalam rumahnya itu berkeadaan selamat disebabkan beliau telah membuat rak khusus untuk menyimpan barangan tersebut. Namun, barangan lain seperti tong gas dan rokok yang turut dijualnya itu telah dicuri. Dia hanya berpindah ke tempat selamat dengan hanya membawa pakaiannya semata-mata.

Ditanya tentang banjir tersebut, memanglah hatinya sentiasa berkeadaan bimbang berikutan kebanyakan penghuni dalam rumahnya itu adalah perempuan dan kalau pun ada lelaki hanya cucunya yang masih kecil.

Fatimah Mat Daud atau Maksu Timoh boleh dihubungi di talian: 011-17922467

Fatimah Mat Daud atau Maksu Timoh.

Maksu Timoh ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kedai dan kediamannya.


Sebahagian makanan, kuih-muih dan nasi bungkus yang masih ada di atas meja.

Kediaman dan kedainya.

Papan tanda Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan