RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Bantu Kami. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bantu Kami. Papar semua catatan

Khamis, 30 Mac 2017

Usaha Seorang OKU


USAHA SEORANG OKU

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Walaupun dilahirkan sebagai seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), dia tidak bersedih dengan hakikat itu. Itu sememangnga sudah menjadi ketentuan Illahi. Mungkin ada hikmah di sebaliknya dia dapat melihat dunia ini dalam keadaan seperti itu.

Dia juga tidak ingin berpeluk tubuh yang hanya sekadar mengharapkan simpati orang lain semata-mata dianggap OKU. Antara OKU atau tidak bukan menjadi sebab untuk orang sepertinya menanti pemberian dan bantuan orang lain untuk menyuap makanan ke mulutnya apatah lagi kepada keluarganya.

Allah S.W.T  sudah banyak memberikan nikmat dan anugerah kepadanya seperti anggota tubuh lain yang mampu untuk memikul kudrat itu umpamanya mindanya yang mampu berfikir untuk mengorak langkah untuk membina kehidupan sebagaimana orang lain yang cukup sifatnya.

Itulah sebahagian ungkapan yang dinyatakan oleh warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), Ibrahim Ab. Rahman atau Him, 60, yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya di Hulu Stesen Kilang Baja, Wakaf Baharu, Kelantan.

Ibrahim menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Sebelum ini dia berniaga di siang hari di banyak tempat di kawasan Wakaf Baharu itu. Namun, pendapatannya agak tidak seberapa dan rezekinya seolah-olah tersekat berniaga di waktu siang hari. Sehingga beliau merancang untuk menukar masa, berniaga di waktu malam pula kerana baginya berniaga waktu malam tentunya mendapat perhatian orang ramai dan pelanggan pastinya akan singgah di gerainya tidak sebagaimana di siang hari yang didapatinya pelanggan sibuk dengan aktiviti masing-masing.

Berbanding pada waktu malam, setelah orang ramai pulang kerja, tentunya mereka akan mengambil angin dan tentunya gerainya yang akan diberikan tumpuan. Itulah keyakinan yang tersemat di hatinya apabila hasrat hatinya untuk membuka gerai di pasar malam di lokasi tersebut ternyata membuahkan hasil.

“Saya berniaga semata-mata untuk mencari rezeki untuk keluarga. Anak-anak sedang membesar. Bukan tujuan untuk bermewah, sekadar mendapat makanan dan pakaian yang cukup, itu sudah memadai”, ujarnya dengan suaranya yang tidak begitu jelas.

Jauh di sudut hatinya dia tidak ingin berserah kepada takdir walaupun dia seorang OKU kerana anggota lain dapat melakukannya sebagaimana orang lain. Selebihnya dia berserah kepada Allah kerana rezeki datang dari-Nya.

Katanya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan sejak di zaman remajanya lagi sehinggalah dia mendirikan rumahtangga dan kini memperolehi lima orang anak.

“Walaupun OKU, saya memang minat berminat berniaga. Saya mulakan bidang ini sejak zaman remaja lagi.

“Setelah berkeluarga dan mendapat anak, saya tingkatkan lagi minat supaya anak-anak dapat membesar dengan sempurna dan memperolehi keperluan yang secukupnya”, ujarnya.

Menurutnya, yang tidak dapat berbicara secara jelas, menyatakan dia berniaga di tapak pasar malam kerana di kawasan terbabit punca rezekinya dalam bidang itu. Di antara bidang perniagaan kecil-kecilan yang diceburinya ialah menjual kereta mainan dan kereta kawalan jauh.

Di kawasan pasar malam tempatnya mendirikan gerai tersebut, kebanyakan kereta mainan dan kereta kawalan jauh amat diminati oleh kanak-kanak. Lazimnya modal yang diperlukan untuk tujuan itu berdasarkan harga kereta itu di pasaran. Jika harganya RM15, dia akan menjualnya dengan harga RM20.

Pendapatan bersih yang diperolehi hasil perniagaan itu adalah kira-kira RM500 sebulan, satu angka yang agak memadai bagi beliau seisi keluarga sepertinya. Jika ingin tingkatkannya, dia perlu berusaha lagi tanpa jemu.

Membicarakan tentang pelanggan yang datang ke gerainya memang tidak menentu berdasarkan keadaan semasa, kadang-kadang ramai dan kadang-kadang berkurangan. Namun, dia bersyukur dengan situasi seperti itu kerana lebih baik mencubanya dari berserah semata-mata. Walau bagaimanapun, di kawasan pasar malam itu, selain beliau yang menjual kereta mainan, terdapat kira-kira enam (6) peniaga lagi yang menjual barangan yang sama. Namun, kebanyakan pembeli berminat dengan beliau.

Ditanya tentang jualan di siang hari dengan malam hari, bagi beliau lebih baik membuka gerai pada waktu malam. Kerana, apabila dikatakan pasar malam lazimnya bagi masyarakat Kelantan mereka lebih mengunjungi gerai jualan pada waktu-waktu berkenaan daripada siang hari. Apatah lagi, pada waktu malam ramai golongan pekerja akan keluar pada masa itu kerana suasananya yang agak nyaman.

Katanya, dalam seminggu dia hanya berniaga selama enam hari saja malah satu hari untuknya berehat iaitu pada hari Jumaat.

“Saya pernah berniaga pada hari Jumaat. Tetapi jualan tidak begitu memberangsangkan. Jadi, saya ambil keputusan untuk berehat pada hari berkenaan”, ujarnya.

Menurutnya, terdapat kira-kira enam pesaing yang turut berniaga kereta mainan itu di pasar malam itu, namun kebanyakan pelanggan lebih bertumpu membeli di gerainya. Walau bagaimanapun menurutnya, setakat ini beliau merupakan peniaga yang paling lama di pasar malam itu dan masih bertahan sehingga kini.

Dari segi layanannya pula tidaklah jauh bezanya dengan peniaga-peniaga kereta mainan yang ada di pasar malam itu. Namun, katanya kebanyakan kanak-kanak lebih mesra dengannya. Bahkan ada juga pembeli yang meminta harga diskaun, mahu tidak mahu dia terpaksa menurut kehendak kanak-kanak yang membeli di gerainya. Itulah yang menyebabkan kanak-kanak begitu mesra dengan beliau.

Ditanya, tentang barangan yang tidak dapat diberikan pengurangan harga sebagaimana harga pasaran, beliau menjelaskan, kebanyakan kereta mainan yang dijual di gerainya semuanya beliau membenarkan pengurangan harga berdasarkan kemampuan kanak-kanak sebagai pelanggan beliau. Malah katanya, kereta mainan itu bukan sahaja diberikan diskaun, namun setiap pembeli diberikan bateri kereta berkenaan secara percuma.

Katanya lagi, terdapat juga di kalangan kanak-kanak yang membeli kereta mainan biasa dan ini adalah berdasarkan kepada minat kanak-kanak tersebut. Tidak kurang juga pembelinya akan memilih kereta kawalan jauh atas sebab tertentu.

Katanya, kereta mainan berkenaan tidak mempunyai tempoh tertentu kecuali atas sikap cermat pemiliknya. Jika pemiliknya agak cermat dengan barangan yang dibeli mungkin akan melebihi tempoh tertentu. Beliau mengetahuinya berdasarkan kepada sikap kanak-kanak itu.

Jika orang yang sama membeli sesuatu model kereta itu, tentunya si pemiliknya tidak begitu cermat terhadap barangan mereka dan begitulah sebaliknya. Lazimnya barangan seperti itu, segala kerosakannya ditanggung sendiri oleh pemiliknya.

Ditanya tentang seronok atau tidak dengan bidang sebagai penjual kereta mainan sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini. Beliau menjelaskan, sememangnya dia bersyukur dengan keadaan sekarang ini dan menganggapkan rezeki beliau di bidang itu, apatah lagi seronoknya melayani karenah kanak-kanak yang berkunjung dan membeli di gerainya.

Sementara modal untuk urusan beliau membeli barangan berkenaan dan dijual di pasar malam itu adalah atas usahanya sendiri. Dia tidak memperolehi modal peruntukan dari mana-mana pihak kecuali sebuah motosikal, sebuah payung, pam angin dan generator  hasil sumbangan pihak Risda.

Kalau bercakap tentang modal, memang perniagaannya itu memerlukan modal untuk membeli kereta mainan baharu berdasarkan minat dan pasaran semasa. Beliau berharap ada pihak yang dapat memberikan modal tersebut supaya dapat beliau menambah jumlah barangan yang kini menjadi minat kebanyakan kanak-kanak yang sering berkunjung ke gerainya.

“Itu biasalah, berniaga perlukan modal. Kalau tiada modal bagaimana untuk berniaga. Jadi, terpaksalah saya usahakan sendiri. Selebihnya adalah tawakkal kepada Allah”, katanya.

Ibrahim memang memerlukan modal untuk menambahkan barangan perniagaannya. Hal yang lain dia boleh uruskannya sendiri. Jika ada pihak yang bermurah hati untuk menghulurkan bantuan, beliau menyambutnya dengan tangan terbuka. Semoga Allah S.W.T  saja yang membalas kebaikan itu.

Beliau boleh dihubungi di talian: 013-9853788

Ibrahim Ab. Rahman atau Him.

Ibrahim ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Motosikal bantuan dari pihak Risda.

Sifat berjimat membolehkannya membeli sebuah kereta kapcai untuk berniaga.


Keadaan kediamannya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Jumaat, 20 Januari 2017

Bapa Menghidap Strok


BAPA MENGHIDAP STROK

TANAH MERAH, KELANTAN: Pengorbanan seorang bapa terhadap anak-anak dan keluarga memang tiada tolok bandingnya. Jika dihitung tentang apa yang telah mereka lakukan, kita sebagai anak-anak tidak dapat menilai betapa sukarnya mereka mencari rezeki, tempat tinggal dan hak milik tetap seperti tanah dan penempatan buat membahagiakan keluarga masing-masing.

Hasil pengorbanan mereka yang tidak pernah kenal penat lelah, susah payah, terpaksa pula berpanas dan berhujan serta mengorbankan masa, tenaga dan kesihatan semata-mata untuk memberikan perlindungan kepada anak-anak patut diambil contoh dan iktibar khusus kepada generasi baharu supaya mereka dapat menilai apakah kesukaran orang-orang tua kita di masa lalu berbanding yang telah kita nikmati hari ini.

Menjengah keperitan seorang bapa yang akhirnya diserang penyakit strok kerana susah payah beliau di masa muda, apatah lagi apabila telah meningkat usia senja sebagai penyebab beliau menderita penyakit tersebut kerana ada yang berpendapat, disebabkan terlalu kuat bekerja juga boleh mengundang masalah kesihatan dan memakan diri sendiri. Begitulah halnya yang telah dialami oleh bapa Mohd. Zainal Mat, 30, atau lebih dikenali sebagai Jena dari Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan.

Menceritakan serba sedikit tentang kepayahan bapanya yang akhirnya diserang penyakit strok buat pertama kali pada tahun 2006 telah mengajar dirinya tentang erti pengorbanan yang tidak ternilai seorang bapa yang juga seorang peneroka di tanah rancangan di felda tersebut sehingga akhirnya beliau berkeadaan begitu.

Katanya, bapanya diserang strok pada tahun 2006 yang ketika itu berusia 96 tahun semasa sedang bekerja menanam pokok di kawasan ladang felda di bukit tersebut.   

Menurutnya, selepas mengalami strok permulaan pada tahun 2006 itu keluarganya membawanya untuk merawat secara tradisional dan selepas rawatan itu bapanya dapat bergerak dan berjalan seperti biasa. Namun, pada tahun 2009 bapanya diserang penyakit itu buat kali kedua.

Sebagaimana kejadian pertama pada tahun 2006, pada tahun 2009 ini keluarganya membawanya ke hospital kerajaan dan selepas itu melalui rawatan dan membuat urutan strok secara tradisional. Sambil menjadikan amalan memakan ubat-ubatan dan rawatan itu keadaan kesihatan bapanya pulih tetapi tidaklah sepenuhnya seperti dulu. Malah menurutnya, bapanya bergerak pun agak lambat sebagaimana sebelum ini. Sementara bapanya pula terpaksa dipimpin untuk berjalan dan ketika makan pun perlu disuapkan.

Selepas itu, pada tahun 2011, bapanya diserang strok buat kali ketiga. Serangan strok kali ketiga ini menjadikan bapanya tidak lagi dapat bangun, bergerak dan berjalan seperti dulu, hanya terpaksa berbaring semata-mata kerana serangan strok berkenaan melibatkan kaki dan tangan sebelah kiri.

Ditanya tentang pengalamannya menguruskan bapanya diserang strok buat kali ketiga itu, beliau menjelaskan, ketika bapanya itu diserang strok buat kali ketiga itu, beliau ada bersama dengan bapanya. Mungkin penyebab serangan strok itu disebabkan darah tinggi yang dialami oleh bapanya.

Pada ketika itu, beliau segera membawa bapanya itu ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Ketika dalam perjalanan ke hospital, bapanya yang bersandar pada kusyen kereta dengan tiba-tiba tumbang (jatuh). Pada masa yang sama, bapanya tidak lagi dapat bercakap sebagaimana sebelumnya. Selepas itu, bapanya terpaksa diusung kerana tidak lagi dapat bergerak sehinggalah hari ini.

Menurut doktor yang merawat bapanya menyatakan, bapanya itu diserang strok tahap ketiga dan untuk sembuh sepenuhnya agak tipis. Menurut doktor itu lagi, bapanya mengalami strok di bahagian kepala (urat dan saraf di bahagian kepalanya pecah), mungkin disebabkan itulah bapanya tiba-tiba jatuh dari kusyen kereta ketika beliau membawa bapanya itu ke hospital ketika itu. Jadi menurut pandangan keluarganya, untuk melakukan pembedahan amatlah tidak sesuai melihatkan keadaan usianya yang semakin lanjut itu. Justeru, beliau bersama adik-beradik yang lain hanya memberikan penjagaan terhadap bapanya itu yang hanya mampu baring apatah lagi tidak dapat bercakap sebagaimana sebelumnya.

“Setiap kali tiba waktu makan, terpaksalah disuapkan susu. Kami sekeluarga terpaksa menjaga bapa dalam keadaan sepenuhnya.

“Apabila tiba tiga jam sekali, terpaksalah saya suapkan susu sebagaimana sepatutnya”, jelasnya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin.

Sementara itu menurut Jena, apabila bapanya berasa akan kencing dan buang air besar, beliau sebagai anak yang bongsu terpaksa menguruskannya secara bergilir-gilir dengan adik-beradik yang lain. Bekas khas perlu disediakan untuk tujuan itu.

Beliau juga turut berkongsi dirinya dan bapanya sebagai peneroka di tanah felda tersebut. Ketika bapanya menjadi peneroka di ladang itu, usia beliau ketika itu masih dalam peringkat kanak-kanak. Namun, bapanya sering membawanya ke ladang untuk memperlihatkan dan memberikan pengalaman keadaan tempat bapanya mencari rezeki di situ.

Pada ketika itu menurutnya, bapanya memang cergas dan gagah bukan saja dapat memetik buah kelapa sawit tetapi juga berupaya mengangkatnya seorang diri. Memang sebagai peneroka, bapanya terlalu kuat bekerja semata-mata untuk menyara beliau dan keluarganya dengan rezeki di ladang itu.

Bapanya mula bekerja sebagai peneroka di ladang itu pada tahun 1980 dan pada ketika itu bapanya berusia lebih 40 tahun. Bapanya mendapat tanah di felda itu kerana hasil usahanya memohon dari pihak kerajaan. Malah majoriti bapanya memperolehi tanah di felda itu kira-kira 14 ekar seorang.

Ditanya tentang hal peneroka, beliau menjelaskan, apabila sampai satu masa, tanah itu akan diserahkan balik oleh pihak felda kepada peneroka untuk diuruskan dan begitulah halnya dengan bapanya yang sejak itu terpaksa diuruskan oleh peneroka sendiri.

Membicarakan tentang anak peneroka pula, banyak kelebihan yang dinikmati oleh anak-anak peneroka felda. Antaranya, bagi wanita yang berhasrat menjadi tukang jahit, golongan ini diberikan kursus atau kelas jahitan secara percuma dan pemberian tunai secara percuma. Manakala bagi anak-anak yang pintar dan berhasrat memasuki pusat-pusat pengajian tinggi, pihak felda akan menanggung kos itu kecuali makan minum adalah belanja sendiri, bantuan hari raya dan lain-lainnya.

Jena juga turut menyentuh tentang suasana sambutan hari raya Aidilfitri dengan katanya, pada masa dulu (zaman bapanya), sambutan hari raya di kawasan atau di perkampungan felda tidaklah semeriah hari ini. Tetapi semenjak 10 tahun kebelakangan ini, anak-anak peneroka yang bekerja di luar Kelantan akan pulang ke perkampungan felda semata-mata untuk menyambut hari yang mulia itu bersama keluarga masing-masing dan suasana berkenaan begitu meriah di perkampungan berkenaan setiap kali hari raya menjelang.

Katanya, sambutan hari raja sehari juga begitu meriah di kawasan felda. Apabila mengetahui ada di kalangan anak-anak peneroka yang akan menjadi raja sehari, peneroka-peneroka lainnya akan melakukannya secara bergotong-royong dan bantu-membantu, dengan hal yang demikian majlis pastinya berjalan lancar.

Membicarakan tentang konsep gotong-royong di kawasan Felda Kemahang 2, menurut Jena bahawa, dia difahamkan sebuah sekolah Arab yang akan diberikan nafas baru mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak peneroka dengan melakukan hal itu secara bergotong-royong atas keperluan pentingnya bidang pendidikan kepada anak-anak peneroka felda.

Selain itu menurutnya, pada masa dulu, kalangan peneroka apabila ada rumah yang akan dipindahkan, mereka bersama-sama mengusung rumah terbabit untuk diletakkan di kawasan tapak rumah yang dikhaskan. Begitu juga dengan anak-anak peneroka (golongan baharu), masih mengekalkan tradisi tolong-menolong dan bantu-membantu sesama peneroka bak kata pepatah “yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Hubungan di antara semua peneroka khususnya di Felda Kemahang 2 ini sejak dulu mengamalkan hubungan yang baik dan sentiasa muafakat di antara mereka sehingga hari ini. Jika wujudnya masalah, mereka akan mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah itu.

Turut sama berganding bahu di kawasan felda berkenaan adalah terdiri dari Persatuan Belia dan KRT. Manakala bagi Persatuan Penduduk dikhususkan untuk golongan peneroka yang turut sama melihat pentingnya hubungan seperti itu dikekalkan di kawasan tanah felda.

“Kebanyakan peneroka bukan sahaja dari Kelantan saja, namun ada juga dari luar Kelantan seperti dari Terengganu, misalnya dari Besut dan Setiu”, katanya apabila ditanya tentang peneroka di Felda Kemahang 2 itu

Justeru menurut beliau, sebagai salah seorang anak beliau amat bersyukur dan menganggap beruntung menjadi seorang peneroka. Ini katanya, jika ingin dibandingkan dengan orang-orang kampung biasa, menjadi anak peneroka felda dianggap bertuah bukan sahaja ditunjukkan tentang sikap menghormati tetapi juga mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan yang diperolehi.

Mohd. Zainal Mat atau Jena.

 Jena ketika diwawancara di kediamannya.


Beliau bersama adik-beradik bergilir menjaga bapanya.

Bapanya ketika memperolehi geran tanah pada tahun 1990.


Papan tanda Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Selasa, 10 Januari 2017

Berniaga Cari Rezeki


BERNIAGA CARI REZEKI

PASIR MAS, KELANTAN: Nak hidup memang susah, itulah kata-kata segelintir di kalangan masyarakat kita. Bagi pekerja yang makan gaji tidak perlu berfikir banyak perkara kerana setiap bulan dapat gaji. Namun, ada yang mendakwa, makan gaji pun tidak cukup. Sebenarnya, bukan gaji itu tidak cukup, tetapi disebabkan salah urus sumber kewangan akan menyebabkan gaji itu tidak cukup. Apatah lagi, budaya banyak meminjam akan memburukkan lagi keadaan.

Namun, bagi yang tidak bekerja makan gaji akan terpalit dengan segala masalahnya setiap bulan. Misalnya orang yang berniaga kecil-kecilan (penjaja) pun akan berhadapan dengan pelbagai masalah yang sering menghantui mereka.

Cuma ada yang mendakwa, orang berniaga lebih senang kerana ramai pelanggan (pembeli) yang datang. Memang, ia kelihatan dari segi zahirnya saja, tetapi hakikatnya, pengusahanya memang sering sakit kepala kerana banyak berfikir sama ada untuk membayar gaji pekerja, bekalan bahan mentah dan sebagainya lagi.

Apatah lagi, jika mempunyai keluarga yang ramai sedangkan pendapatan hasil perniagaan yang tidak seberapa, turut mendatangkan masalah. Bahkan, jika keluarga mengalami masalah kesihatan, juga menyebabkan pening kepala. Sementelah pula, keadaan bekalan bahan mentah dan barangan di pasaran kini yang sering naik harga akan tambah memeningkan kepala mereka.

Pengalaman Fatimah Mat Daud atau lebih mesra dikenali Maksu Timoh, 65, dari Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas, Kelantan dalam mencari sumber pendapatan buat dirinya sendiri dan keluarganya memang agak berat. Dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu terpaksa mengambil tugas berat itu sebagai ibu tunggal untuk membesarkan dan menyekolahkan anak-anaknya, pada awalnya memang agak memeritkan. Sementelah pula, dia tidak mempunyai rumah tetap sebagai tempat tinggal. Dengan keadaan kemiskinan seperti itu, dia perlu mencari rumah sewa yang boleh dijadikan tapak untuknya berniaga makanan secara kecil-kecilan.

Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin sempat ke kediamannya yang dijadikan sebagai kedai menjaja nasi dan kuih-muih di kampung itu. Menurutnya, dia menetap di lokasi sekarang sejak tahun 1988 di mana ketika itu tiada seorang pun yang menetap di situ kecuali selepas beberapa bulan beliau menetap di situ.

Sebelum ini, telah banyak tempat beliau menyewa rumah seperti di Kampung Kubang Binjai, Kampung Tempoyak, Kampung Bechah Semak, Kampung Kubang Bemban dan Kampung Kubang Pak Hitam ini.

“Ketika maksu berpindah dan menyewa di kampung ini dulu, maksu menetap buat sementara. Maksu kemudiannya menyewa di Kampung Kubang Binjai. Selepas itu, maksu datang ke kampung ini balik”, katanya.

Ditanya tentang punca beliau sentiasa berpindah-randah menyewa rumah. Beliau menjelaskan, disebabkan dia ketiadaan rumah dan tanah sehingga terpaksa berbuat demikian. Bahkan pada ketika itu, dia berniaga kecil-kecilan sebagaimana yang dilakukannya sekarang semata-mata untuk menyekolahkan anak-anaknya. Antara makanan yang dijualnya seperti kuih-muih dan nasi berlauk (nasi bungkus) yang diminta oleh pembekal supaya beliau menjualnya. Dari jualan itu, beliau memperolehi komisen sebagaimana yang sepatutnya.

Antara pendapatan yang diperolehinya hasil menjual makanan tersebut adalah kira-kira RM500 hingga RM600. Perolehan pendapatan ini hasil jualan yang dilakukannya setiap hari, jika rehat bermakna pendapatannya lebih kecil dari itu dan tiada pendapatan langsung. Usaha beliau untuk berniaga kecil-kecilan ini adalah untuk menanggung anak-anaknya yang masih bersekolah selain dua orang cucu yang turut tinggal bersamanya. Dia terpaksa aktif jualan secara kecil-kecilan sejak kematian suaminya semasa anaknya yang berusia 6 tahun.

Ditanya tentang pimpinan peringkat kampung yang mengetahui keadaan beliau sekarang, beliau menjelaskan, Ketua Kampung berkenaan memang mengetahui tentang masalah yang dihadapinya kini. Bahkan rumah yang disewanya sekarang ini pun hasil usaha Ketua Kampung terbabit juga.

Di samping itu, beliau turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM350 sedangkan sebelum ini dia hanya memperolehi bantuan kewangan sebanyak RM30, juga hasil usaha Ketua Kampung berkenaan.

Dia juga tidak pernah menerima bantuan dari pihak JKM atau wakil rakyat yang sepatutnya diberikan perhatian terhadap ibu tunggal sepertinya. Dia mendapat rumah sendiri pada ketika itu perlukan modal sebanyak RM3,000 (bantuan kerajaan) untuk membolehkan tukang membina dan menyiapkan rumah berkenaan. Justeru, untuk menjadikan rumah kedai sebagaimana sekarang, dia perlu keluarkan modal sendiri pula berjumlah RM4,000.

Cara untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dan bahan-bahan lain yang ternyata merumitkan dirinya. Apatah lagi dia tidak mempunyai sebarang kenderaan yang patut digunakan untuk membawa pulang bekalan tersebut. Kalau adapun, sebuah motosikal milik anaknya, namun dia pula tidak boleh menunggangnya sendiri.

Antara mahu dengan tidak, terpaksalah dia mengajak anak-anaknya itu sebagai pemandu dan penemannya ketika mendapatkan bekalan untuk dijual nanti. Bahkan menurutnya, setiap biji atau makanan yang dijualnya itu, beliau memperolehi komisen jualan kira-kira dua puluh sen (RM0-20).

Tambahnya, kini disebabkan anaknya sibuk dengan kerja masing-masing, dia akan membonceng motosikal cucunya pula dalam usaha mendapatkan bekalan untuk jualan di kedainya itu. Setelah pulang ke kedainya dari mendapatkan bekalan makanan yang dimaksudkan, dia pastinya berasa sibuk untuk urusan cucunya dan perniagaan di kedainya pula. Dan begitulah rutin hariannya setiap hari, kecuali hari cuti persekolahan.

Ditanya tentang modal yang perlu dikeluarkannya untuk mendapatkan bekalan makanannya itu. Beliau menjelaskan, kira-kira RM60 modal yang terpaksa dikeluarkannya untuk tujuan itu. Walaupun pada pandangan orang lain, nilai sebanyak RM60 itu agak kecil, namun baginya agak besar juga.

“Bagi pandangan orang lain, nilai RM60 itu agak kecil. Tetapi bagi maksu agak besar juga”, katanya.

Kebanyakan kuih-kuih yang akan dijualnya, dia akan membeli dari pembekal dan pembuat kuih-muih itu. Dari belian itu, dia akan mendapatkan keuntungan sebiji setiap hari jualannya. Contohnya, jika dia membeli kuih-muih berharga RM1 (5 biji), dia akan menjual empat biji kuih itu berharga RM1. Maknanya, dia hanya dapat untung sebiji dari setiap jualannya.

Bahkan, jika makanan itu nilainya RM5, dia akan dapat untung sebanyak RM1. Begitu halnya dengan nasi berlauk lain, hanya nilai itu saja yang diperolehinya sehingga makanan seperti kuih dan nasi berlauk di kedainya itu habis kesemuanya. Maknanya, hasil jualan kuih-muih dan nasi pagi itu, beliau memperolehi pendapatan setiap hari kira-kira RM10. Cuma, dia bergantung harap atas penyediaan air minuman yang disediakan sendiri di kedainya. Jika tidak, dia tidak akan memperolehi pendapatan sebanyak itu.

Apabila ditanya, perolehan pendapatan hasil jualan makanan di kedainya sebanyak itu, adakah dia berpuas hati atau bagaimana. Jelasnya, dia bersyukur, kerana itulah rezekinya setiap hari. Memanglah beliau berhasrat untuk meningkatkan pendapatannya, namun, hanya itu saja yang beliau mampu lakukannya.

Apabila membicarakan tentang bantuan terhadap beliau, katanya, selain bantuan dari Ketua Kampung terbabit dan sebenarnya beliau tidak memperolehi dari bantuan dan sumbangan dari mana-mana pihak lain termasuk daripada Wakil Rakyat sendiri.

Katanya, kejayaan mendapatkan bantuannya selama ini atas inisiatif dirinya sendiri dan jika mengharapkan pihak lain datang ke rumahnya, tentunya dia akan berputih mata sampai bila-bila. Padahal dia tidak mengharapkan segunung emas, tetapi sekadar menghulurkan sedikit bantuan yang dari bantuan itu beliau boleh berdikari sendiri pula.

Menurutnya, beliau pernah memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang katanya bertempat di Kampung Jias, Pasir Mas, namun gagal sehingga hari ini.

Menceritakan tentang permohonan itu, dia mendapatkan borang di pejabat JKM di mana pihak berkenaan meminta beliau untuk mendapatkan sokongan daripada Imam dan Ketua Kampung.

Namun, pihak berkenaan memberitahu bahawa permohonan beliau tidak dapat diluluskan berikutan dia telah berniaga. Beliau berasa agak pelik, jika beliau tidak berniaga, siapa yang nak bagi beliau dan tanggungannya makan?

Walau bagaimanapun menurutnya, salah seorang pesara tentera bernama Abang Soh yang turut membantu beliau mendapatkan bantuan daripada pihak Masjid Kubang Bemban, Pasir Mas dan dari situlah beliau memperolehi bantuan yang dimaksudkan dan bantuan berkenaan masih diperolehinya sehingga hari ini. Jadi, menurutnya kesemua jumlah RM350 yang diperolehinya itu apabila dicampurkan dengan bantuan sebanyak RM70 itu.

“Maksu tidak pernah menerima bantuan dari badan NGO”, ujarnya.

Katanya, setiap kali malam tiba dia kadang-kadang bermenung dan berfikir tentang erti kehidupan, betapa sukarnya mendapatkan bantuan di zaman moden ini. Sesuatu yang sering terlintas di fikirannya ialah bagaimana cara untuk mendapatkan makanan dan pakaian sebagaimana insan yang lain.

Setakat ini beliau tidak cuba memohon permohonan dari MAIK. Katanya, pihak Wakil Rakyat pernah datang menjenguknya, namun tiada maklumbalas daripada pihak berkenaan dan dia sendiri tidak cuba timbulkan masalah yang dialaminya. Kalau Wakil Rakyat berkenaan peka dengan keadaannya, pihak berkenaan akan bersedia membantunya. Walau bagaimanapun, setakat ini dia masih belum cuba memohon bantuan sama ada daripada Ketua Kampung atau pesara tentera itu untuk memajukannya kepada pihak MAIK pula.

Membicarakan tentang banjir lumpur atau bah kuning tahun 2014 dulu, katanya, ketika dilanda banjir itu, kira-kira dua atau tiga bulan beliau tidak dapat meneruskan jualan makanannya disebabkan hal tersebut. Ini kerana, rumah dan kedai yang didudukinya sekarang ini ditenggelami banjir itu dan setelah banjir surut, tentunya perlu dibersihkan di segenap tempat.

Justeru, apabila beliau mengetahui berita tentang berlakunya banjir, dia sempat berpindah di tempat selamat di salah sebuah sekolah di situ. Namun, keadaan rumah dan kedainya itu telah ditenggelamkan banjir tersebut.

Semua barangan yang ada di dalam rumahnya itu berkeadaan selamat disebabkan beliau telah membuat rak khusus untuk menyimpan barangan tersebut. Namun, barangan lain seperti tong gas dan rokok yang turut dijualnya itu telah dicuri. Dia hanya berpindah ke tempat selamat dengan hanya membawa pakaiannya semata-mata.

Ditanya tentang banjir tersebut, memanglah hatinya sentiasa berkeadaan bimbang berikutan kebanyakan penghuni dalam rumahnya itu adalah perempuan dan kalau pun ada lelaki hanya cucunya yang masih kecil.

Fatimah Mat Daud atau Maksu Timoh boleh dihubungi di talian: 011-17922467

Fatimah Mat Daud atau Maksu Timoh.

Maksu Timoh ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kedai dan kediamannya.


Sebahagian makanan, kuih-muih dan nasi bungkus yang masih ada di atas meja.

Kediaman dan kedainya.

Papan tanda Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN