RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 30 Mac 2017

Usaha Seorang OKU


USAHA SEORANG OKU

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Walaupun dilahirkan sebagai seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), dia tidak bersedih dengan hakikat itu. Itu sememangnga sudah menjadi ketentuan Illahi. Mungkin ada hikmah di sebaliknya dia dapat melihat dunia ini dalam keadaan seperti itu.

Dia juga tidak ingin berpeluk tubuh yang hanya sekadar mengharapkan simpati orang lain semata-mata dianggap OKU. Antara OKU atau tidak bukan menjadi sebab untuk orang sepertinya menanti pemberian dan bantuan orang lain untuk menyuap makanan ke mulutnya apatah lagi kepada keluarganya.

Allah S.W.T  sudah banyak memberikan nikmat dan anugerah kepadanya seperti anggota tubuh lain yang mampu untuk memikul kudrat itu umpamanya mindanya yang mampu berfikir untuk mengorak langkah untuk membina kehidupan sebagaimana orang lain yang cukup sifatnya.

Itulah sebahagian ungkapan yang dinyatakan oleh warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), Ibrahim Ab. Rahman atau Him, 60, yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya di Hulu Stesen Kilang Baja, Wakaf Baharu, Kelantan.

Ibrahim menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Sebelum ini dia berniaga di siang hari di banyak tempat di kawasan Wakaf Baharu itu. Namun, pendapatannya agak tidak seberapa dan rezekinya seolah-olah tersekat berniaga di waktu siang hari. Sehingga beliau merancang untuk menukar masa, berniaga di waktu malam pula kerana baginya berniaga waktu malam tentunya mendapat perhatian orang ramai dan pelanggan pastinya akan singgah di gerainya tidak sebagaimana di siang hari yang didapatinya pelanggan sibuk dengan aktiviti masing-masing.

Berbanding pada waktu malam, setelah orang ramai pulang kerja, tentunya mereka akan mengambil angin dan tentunya gerainya yang akan diberikan tumpuan. Itulah keyakinan yang tersemat di hatinya apabila hasrat hatinya untuk membuka gerai di pasar malam di lokasi tersebut ternyata membuahkan hasil.

“Saya berniaga semata-mata untuk mencari rezeki untuk keluarga. Anak-anak sedang membesar. Bukan tujuan untuk bermewah, sekadar mendapat makanan dan pakaian yang cukup, itu sudah memadai”, ujarnya dengan suaranya yang tidak begitu jelas.

Jauh di sudut hatinya dia tidak ingin berserah kepada takdir walaupun dia seorang OKU kerana anggota lain dapat melakukannya sebagaimana orang lain. Selebihnya dia berserah kepada Allah kerana rezeki datang dari-Nya.

Katanya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan sejak di zaman remajanya lagi sehinggalah dia mendirikan rumahtangga dan kini memperolehi lima orang anak.

“Walaupun OKU, saya memang minat berminat berniaga. Saya mulakan bidang ini sejak zaman remaja lagi.

“Setelah berkeluarga dan mendapat anak, saya tingkatkan lagi minat supaya anak-anak dapat membesar dengan sempurna dan memperolehi keperluan yang secukupnya”, ujarnya.

Menurutnya, yang tidak dapat berbicara secara jelas, menyatakan dia berniaga di tapak pasar malam kerana di kawasan terbabit punca rezekinya dalam bidang itu. Di antara bidang perniagaan kecil-kecilan yang diceburinya ialah menjual kereta mainan dan kereta kawalan jauh.

Di kawasan pasar malam tempatnya mendirikan gerai tersebut, kebanyakan kereta mainan dan kereta kawalan jauh amat diminati oleh kanak-kanak. Lazimnya modal yang diperlukan untuk tujuan itu berdasarkan harga kereta itu di pasaran. Jika harganya RM15, dia akan menjualnya dengan harga RM20.

Pendapatan bersih yang diperolehi hasil perniagaan itu adalah kira-kira RM500 sebulan, satu angka yang agak memadai bagi beliau seisi keluarga sepertinya. Jika ingin tingkatkannya, dia perlu berusaha lagi tanpa jemu.

Membicarakan tentang pelanggan yang datang ke gerainya memang tidak menentu berdasarkan keadaan semasa, kadang-kadang ramai dan kadang-kadang berkurangan. Namun, dia bersyukur dengan situasi seperti itu kerana lebih baik mencubanya dari berserah semata-mata. Walau bagaimanapun, di kawasan pasar malam itu, selain beliau yang menjual kereta mainan, terdapat kira-kira enam (6) peniaga lagi yang menjual barangan yang sama. Namun, kebanyakan pembeli berminat dengan beliau.

Ditanya tentang jualan di siang hari dengan malam hari, bagi beliau lebih baik membuka gerai pada waktu malam. Kerana, apabila dikatakan pasar malam lazimnya bagi masyarakat Kelantan mereka lebih mengunjungi gerai jualan pada waktu-waktu berkenaan daripada siang hari. Apatah lagi, pada waktu malam ramai golongan pekerja akan keluar pada masa itu kerana suasananya yang agak nyaman.

Katanya, dalam seminggu dia hanya berniaga selama enam hari saja malah satu hari untuknya berehat iaitu pada hari Jumaat.

“Saya pernah berniaga pada hari Jumaat. Tetapi jualan tidak begitu memberangsangkan. Jadi, saya ambil keputusan untuk berehat pada hari berkenaan”, ujarnya.

Menurutnya, terdapat kira-kira enam pesaing yang turut berniaga kereta mainan itu di pasar malam itu, namun kebanyakan pelanggan lebih bertumpu membeli di gerainya. Walau bagaimanapun menurutnya, setakat ini beliau merupakan peniaga yang paling lama di pasar malam itu dan masih bertahan sehingga kini.

Dari segi layanannya pula tidaklah jauh bezanya dengan peniaga-peniaga kereta mainan yang ada di pasar malam itu. Namun, katanya kebanyakan kanak-kanak lebih mesra dengannya. Bahkan ada juga pembeli yang meminta harga diskaun, mahu tidak mahu dia terpaksa menurut kehendak kanak-kanak yang membeli di gerainya. Itulah yang menyebabkan kanak-kanak begitu mesra dengan beliau.

Ditanya, tentang barangan yang tidak dapat diberikan pengurangan harga sebagaimana harga pasaran, beliau menjelaskan, kebanyakan kereta mainan yang dijual di gerainya semuanya beliau membenarkan pengurangan harga berdasarkan kemampuan kanak-kanak sebagai pelanggan beliau. Malah katanya, kereta mainan itu bukan sahaja diberikan diskaun, namun setiap pembeli diberikan bateri kereta berkenaan secara percuma.

Katanya lagi, terdapat juga di kalangan kanak-kanak yang membeli kereta mainan biasa dan ini adalah berdasarkan kepada minat kanak-kanak tersebut. Tidak kurang juga pembelinya akan memilih kereta kawalan jauh atas sebab tertentu.

Katanya, kereta mainan berkenaan tidak mempunyai tempoh tertentu kecuali atas sikap cermat pemiliknya. Jika pemiliknya agak cermat dengan barangan yang dibeli mungkin akan melebihi tempoh tertentu. Beliau mengetahuinya berdasarkan kepada sikap kanak-kanak itu.

Jika orang yang sama membeli sesuatu model kereta itu, tentunya si pemiliknya tidak begitu cermat terhadap barangan mereka dan begitulah sebaliknya. Lazimnya barangan seperti itu, segala kerosakannya ditanggung sendiri oleh pemiliknya.

Ditanya tentang seronok atau tidak dengan bidang sebagai penjual kereta mainan sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini. Beliau menjelaskan, sememangnya dia bersyukur dengan keadaan sekarang ini dan menganggapkan rezeki beliau di bidang itu, apatah lagi seronoknya melayani karenah kanak-kanak yang berkunjung dan membeli di gerainya.

Sementara modal untuk urusan beliau membeli barangan berkenaan dan dijual di pasar malam itu adalah atas usahanya sendiri. Dia tidak memperolehi modal peruntukan dari mana-mana pihak kecuali sebuah motosikal, sebuah payung, pam angin dan generator  hasil sumbangan pihak Risda.

Kalau bercakap tentang modal, memang perniagaannya itu memerlukan modal untuk membeli kereta mainan baharu berdasarkan minat dan pasaran semasa. Beliau berharap ada pihak yang dapat memberikan modal tersebut supaya dapat beliau menambah jumlah barangan yang kini menjadi minat kebanyakan kanak-kanak yang sering berkunjung ke gerainya.

“Itu biasalah, berniaga perlukan modal. Kalau tiada modal bagaimana untuk berniaga. Jadi, terpaksalah saya usahakan sendiri. Selebihnya adalah tawakkal kepada Allah”, katanya.

Ibrahim memang memerlukan modal untuk menambahkan barangan perniagaannya. Hal yang lain dia boleh uruskannya sendiri. Jika ada pihak yang bermurah hati untuk menghulurkan bantuan, beliau menyambutnya dengan tangan terbuka. Semoga Allah S.W.T  saja yang membalas kebaikan itu.

Beliau boleh dihubungi di talian: 013-9853788

Ibrahim Ab. Rahman atau Him.

Ibrahim ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Motosikal bantuan dari pihak Risda.

Sifat berjimat membolehkannya membeli sebuah kereta kapcai untuk berniaga.


Keadaan kediamannya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan