KENALI VITAMIN A
APAKAH
peranan vitamin di dalam tubuh manusia, itulah soalan yang lazim diutarakan.
Sesetengah masyarakat langsung tidak mengambil kisah tentangnya, asalkan perut
berasa kenyang menikmati setiap juadah yang dihidangkan. Sebenarnya, vitamin
adalah bahan kimia yang mempunyai khasiat makanan yang diperlukan oleh tubuh
untuk berfungsi dalam keadaan normal. Setiap vitamin yang terdiri dari vitamin
A, B, C, D, E dan K mempunyai fungsi dan tugas-tugasnya yang tersendiri.
Sebab itulah, semua makanan yang
dimakan seharusnya mencakupi segala khasiat vitamin yang diperlukan; kerana
sekiranya kekurangan salah satu dalam zat makanan, tumbesaran tubuh akan
terbantut dan boleh mendatangkan risiko terhadap sistem dalam tubuh manusia.
Oleh hal yang
demikian, janganlah menganggap bahawa vitamin tidak perlu disebabkan adanya zat
dan khasiat makanan yang lainnya. Ia bukan sahaja berperanan penting untuk
orang-orang dewasa tetapi juga perlu diutamakan kepada kanak-kanak. Kanak-kanak
memerlukan vitamin yang secukupnya dalam proses tumbesaran mereka. Vitamin
boleh mempengaruhi perkembangan mental, fizikal dan emosi kanak-kanak yang
tidak terdapat pada bahan-bahan lain.
Apabila kita
membicarakan persoalan mengenai vitamin, kita tentunya ingin mengetahui apakah
sumber yang terhasil dalam setiap vitamin, khususnya Vitamin A.
Sumber-sumber Vitamin A lazimnya
diperolehi daripada haiwan seperti minyak ikan, kuning telur, susu tulen, hati,
keju dan banyak lagi. Ia dikenali sebagai pra-pembentukan Vitamin A yang
dipanggil “retinol”.
Manakala kandungan Vitamin A yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam seperti kangkung, bayam merah, lobak merah, ketola ular, pucuk paku, labu merah, kesom, ulam raja, daun pudina, pegaga, kwini dan betik dikenali sebagai pro-Vitamin A (karoten). Karoten bermaksud kandungan hijau daun. Semakin banyak hijau sesuatu daun, semakin tinggilah kandungan karotennya.
Menurut laporan Asian Health dan Diet Plan, Hodder (1985), berhubung dengan kandungan Vitamin A dalam makanan tempatan adalah seperti berikut:
Di samping itu, mungkin terdapat
ibu bapa yang tidak mengetahui bahawa Vitamin A amat bernilai untuk anak-anak
kerana ia dikatakan boleh mencegah sesuatu penyakit yang dialami oleh anak-anak
seperti:
1. Mencegah rabun malam.
2. Membantu dalam merawat pesakit
'hipertiroidisme'.
3. Menggalakkan pembesaran tulang
yang kuat, rambut, kulit, gigi dan gusi yang sihat.
4. Membentuk daya tahanan
terhadap jangkitan saluran pernafasan.
5. Membantu merawat kes gangguan
mata dan memperbaiki penglihatan yang lemah.
Menurut laporan itu lagi, Vitamin
A dikatakan mempunyai ciri-ciri penyembuhan. Ramai saintis mempercayai bahawa
Vitamin A boleh mengurangkan risiko kanser paru-paru, saluran kencing, pundi
kencing dan peti suara (larinks).
Dalam pada itu, terdapat juga
vitamin yang boleh memburukkan keadaan manusia kerana tidak dapat diserapkan di
dalam tubuh. Ia dikenali sebagai 'vitamin tiruan' dan mendatangkan risiko
kepada penggunanya apabila pengambilannya terlalu kerap.
Vitamin tiruan dihasilkan dalam
pelbagai bentuk, di mana pengambilannya telah dianggap memudahkan penggunanya.
Bentuk-bentuk tersebut seperti kapsul, pil-pil atau cecair adalah beberapa
contoh vitamin tiruan yang digabungkan dengan vitamin serta zat makanan yang
lain. Sukatannya boleh dikatakan tidak seimbang, malahan campuran gula di
dalamnya akan mengakibatkan risiko kesihatan khususnya terhadap kanak-kanak.
Cara yang paling selamat untuk
anak-anak memperolehi zat makanan yang seimbang dan baik adalah dengan
mendapatkan makanan tulen tanpa dicampur sebarang bentuk makanan lain yang
dikhuatiri boleh mendatangkan risiko. Mendapatkan makanan yang tulen bukanlah
sesuatu yang sukar, bahkan ia lebih murah dan mempunyai khasiat yang banyak.
Hindarkanlah daripada mendapatkan
makanan yang kekurangan zat serta vitamin tiruan agar tumbesaran anak-anak
tidak terencat dan kesihatan mereka terjaga. Sebab itulah, adakalanya terdapat
anak-anak yang tidak juga membesar dengan sempurna sedangkan pelbagai jenis
vitamin tiruan diambil. Perlu diketahui juga, bahawa tidak semua makanan yang
mahal itu melambangkan banyaknya khasiat dan vitamin yang diperlukan oleh
tubuh.
Dengan demikian, berhati-hatilah
apabila memberikan vitamin tambahan kepada anak-anak sama ada dalam bentuk pil,
kapsul mahupun cecair. Pastikan bahawa vitamin yang diberikan benar-benar
menjamin khasiat dan bermutu tinggi dalam konteks kandungannya.
Justeru, anda juga tidak harus
terpedaya dengan iklan dan promosi serta persembahan mengenai kelebihan vitamin
tambahan yang dihasilkan kerana ada di antaranya yang meragukan, sungguhpun ada
yang mendakwa bahawa ia mempunyai khasiat yang tinggi. Namun, sebaik-baik
langkah yang boleh diambil ialah dengan mendapatkan pakar pemakanan terlebih
dahulu seperti dari segi jenis vitamin yang perlu diambil dan kadar
pengambilannya.
Nasi lemak juga mengandungi Vitamin A yang diperlukan.
Kandungan vitamin A dalam labu juga tidak boleh dipertikaikan.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan