KG. KUBANG TEBAKANG
(PASIR MAS)
PASIR MAS, KELANTAN: Kampung
Kubang Tebakang yang terletak dalam daerah Pasir Mas dan bersempadan dengan
Rantau Panjang dianggap sebuah kampung terpencil dan kurang dikenali, malah kalau dibandingkan dengan Hulu Kelantan tidaklah sejauh itu. Ketika
kejadian banjir terburuk dalam sejarah banjir di Kelantan dikenali "bah kuning"
pada bulan Disember 2014, kampung ini seolah-olah terpinggir dari pandangan
kerajaan negeri.
Pada masa dulu, kampung ini masih
dilitupi hutan belukar yang agak tebal kerana ketika itu tiada sesiapa yang
menerokanya. Namun, manusia terawal yang menetap di kampung itu dikatakan
dihuni oleh beberapa orang dari kalangan masyarakat Siam dari negara jiran yang
menamakan kampung itu Kampung Tok Mek Ja.
Salah seorang warga emas dari
generasi penerokanya, Ghani Daud, 83, atau lebih dikenali sebagai Pakdik Uni
berkata, ketika masyarakat Siam menjadikan kampung itu sebagai penempatan
mereka, beliau masih belum dilahirkan lagi dan apabila meningkat remaja, hal
itu diceritakan oleh orang tuanya itu.
“Ketika nama Kampung Tok Mek Ja,
orang Siam
yang menamakannya. Pada masa itu, Pakdik belum lahir lagi”, katanya kepada
Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di
kediamannya.
Katanya, peneroka awal kampung
berkenaan dikenali Tok Amat Kechik. Tok Amat Kechik ini pula berasal dari
Kampung Kenak, daerah Kedondong juga di Pasir Mas yang dikatakan membuka dan
menamakan kampung berkenaan pada tahun 1930-an sehingga sekarang. Menurutnya
lagi, Tok Amat Kechik yang bertanggungjawab menghalau orang-orang Siam
keluar dari kampung itu.
“Tok Amat Kechik bukan
calang-calang orang juga. Kalau bukan orang hebat tentu agak sukar nak teroka
hutan untuk dijadikan perkampungan. Apatah lagi menghalau keluar orang-orang Siam
ketika itu”, ujar Pakdik Uni lagi.
Sebagaimana yang diceritakan oleh
arwah bapanya, kampung berkenaan diteroka oleh Tok Amat Kechik pada tahun
1930-an ketika usianya 40 tahun. Walaupun ketika itu usianya 40 tahun, ia
dianggap masih muda belia. Tok Amat Kechik yang melepaskan anak-anak ikan
tebakang ke dalam kubang atau alur cetek yang turut dinamakan Kampung Kubang
Tebakang sempena nama ikan jenis itu. Bahkan menurutnya, alur air atau dipanggil
kubang pada masa dulu adalah tempat orang-orang Siam bercukur.
Selepas beberapa tempoh Tok Amat
Kechik meneroka dan membuka kampung berkenaan pada tahun 1930-an itu, terdapat
beberapa keluarga yang mula menetap di kampung itu. Di sesetengah tempat masih
lagi dalam keadaan hutan belukar kerana pembukaannya masih belum sepenuhnya.
Pada awalnya, tiga buah rumah mula
dibina dan mula menetap di kampung berkenaan ketika itu. Manakala berdekatan
dengan kediamannya sekarang adalah kira-kira lima buah rumah yang kesemuanya berjumlah lapan
buah rumah. Sekarang penduduk kampung berkenaan semakin bertambah kepada 30
buah rumah.
Kata Pakdik Uni lagi, dalam hutan
berkenaan di kampung itu masih terdapat beberapa jirat Siam didirikan di kampung itu
ketika penemuan oleh Tok Amat Kechik itu. Selepas itu, moyang Pakdik Uni
dikenali Tok Kweng dianggap sebagai peneroka kedua kampung berkenaan sehingga
terdirinya rumahnya sekarang. Manakala Tok Mamat adalah bapa mertua Tok Kweng yang
dikatakan turut bersama ketika penerokaan kedua kampung berkenaan.
Apabila ditanya tentang bidang
kerja kebanyakan anak-anak muda dan penduduk di Kampung Kubang Tebakang
sehingga sekarang, beliau menjelaskan, kampung berkenaan tidak menjanjikan
apa-apa kerja kepada penghuni dan penduduk kampung itu.
Pekerjaan kampung yang dilakukan
oleh penduduk-penduduk kampung terbabit untuk tujuan mendapatkan sumber
kewangan sebagai pendapatan “kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang”
adalah sebagai penoreh getah (ketika kemarau), menjala ikan (ketika hujan dan
banjir) dan beberapa orang sebagai tukang rumah (buruh kasar). Masih belum
wujud mata pencarian harian bagi penduduk kampung itu adalah penjaja dan
perniagaan secara kecil-kecilan.
Dari segi pendapatan sebagai
penoreh getah yang dilakukan remaja di kampung berkenaan menurutnya adalah
kira-kira RM300 sebulan. Manakala hasil getah dijual kepada pembeli berlesen
yang sering datang ke kampung itu untuk memungut hasil getah yang kemudiannya
dibawa ke kilang pula.
Sementara dari hasil menjala ikan
darat seperti ikan tebakang, keli dan haruan yang lazimnya dilakukan ketika
musim-musim hujan dan tengkujuh, ikan-ikan berkenaan akan dibeli oleh
kebanyakan peniaga dari Kampung Lubok Jong, Pasir Mas. Pendapatan hasil menjala
ikan itu dianggap tidak menentu kerana kadang-kadang dapat RM100 dan
kadang-kadang RM200 sehari.
Manakala pekerjaan sebagai buruh
kasar pula berdasarkan kepada permintaan orang ramai untuk membina sesebuah
rumah. Jika ada ke arah itu, maka tukang-tukang rumah akan memperolehi pendapatan
darinya dan begitulah sebaliknya.
Walaupun Kampung Kubang Tebakang
dikenali kampung terpencil kerana kurang atau mungkin tidak dikenali umum,
namun kehidupan bermasyarakat di situ agak selamat. Berbanding dengan
kampung-kampung lain di zaman moden ini, Kampung Kubang Tebakang tercatat
sebagai sebuah kampung yang bebas dari aktiviti tidak sihat seperti mencuri,
pecah rumah dan gejala sosial.
“Kalau letak kenderaan di tepi
jalan di kampung ini pun, tiada siapa yang berani mengusiknya, apatah lagi cuba
dicuri.
“Sementara, hubungan baik di
antara semua penduduk kampung masih utuh sehingga kini walaupun laluannya
sering digunakan oleh penduduk dari kampung lain”, ujar Pakdik Uni lagi.
Setiap pengunjung dari kampung
lain ke Kampung Kubang Tebakang pastinya akan melalui sebuah jambatan selebar
yang mampu memuatkan sebuah lori atau dua buah kenderaan pada satu-satu masa. Jambatan
berkenaan asalnya dibina sekadar memenuhi tuntutan untuk laluan air hujan atau
kubang sempit di sebelah bawahnya. Tetapi disebabkan aliran airnya agak deras ketika
hujan lebat menyebabkan sebahagian tanah di kiri kanan kubang atau alur air itu
runtuh sehingga membentuk seperti tasik.
Sementara spesis ikan yang
menghuni di dalam alur atau kubang yang dikenali tasik kini beliau tidak pasti
ikan jenis apa. Namun, setahunya terdapat banyak ikan-ikan darat yang biasa
ditangkap penduduk kampung itu ketika musim tengkujuh seperti ikan tebakang,
keli, haruan dan puyu.
Pakdik Uni ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Pada asalnya tempat ini adalah sebuah alur atau kubang. Kini bertukar seperti tasik apabila tebingnya runtuh.
Setiap pengunjung akan menemui laluan dan jambatan ini untuk ke kampung berkenaan.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=UUHf7ixyseI
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=UUHf7ixyseI
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan