BAHAYA VITAMIN TIRUAN
KESIHATAN yang sempurna, memiliki
tubuh yang sihat, cerdas dan bertenaga berpunca dari beberapa faktor penting.
Ia terdiri dari aspek pemakanan, senaman, tidur yang mencukupi dan bekerja
menurut kesesuaian tubuh tetapi tidak terlalu keletihan. Dari beberapa faktor
ini, jika diamalkan seseorang akan akan menikmati gaya hidup sihat, tubuh berasa bernafas dan
segar serta akan dapat melakukan sesuatu kegiatan lain lagi dengan lebih
tersusun.
Walau bagaimanapun, ramai yang
belum mengetahui untuk mendapatkan tubuh yang sihat, segelintir di kalangan
mereka menyarankan pengambilan beberapa vitamin tertentu setiap hari.
Sebahagian yang lain pula berkata, pengambilan vitamin tersebut adalah
bertujuan untuk menambahkan kadar zat dalam tubuh serta meningkatkan pertahanan
badan seseorang.
Selain dari itu, ada yang
mendakwa keperluan terhadap vitamin tersebut bukan bertujuan mengubati segala
penyakit yang dihidapi. Sebaliknya sebagai gaya hidup di zaman moden. Berikutan itu,
secara langsung atau tidak, jenama-jenama vitamin semakin berlonggok, semakin
laris turut diniagakan di pasaran, klinik-klinik mahupun farmasi swasta. Malah
pendapatan dan keuntungan dari perniagaan tersebut begitu membanggakan dengan
adanya promosi iklan yang begitu hebat.
Umumnya, vitamin merupakan satu
kumpulan organan yang paling penting bagi kehidupan dan pemakanan manusia. Ia
berperanan dalam metabolisme sel-sel badan dan setiap vitamin menjalankan
fungsi masing-masing. Ia diperolehi dalam dua aspek iaitu:
1. Vitamin larut-lemak
Vitamin jenis ini hanya larut
dalam benda-benda lemak sajian. Penyerapannya bergantung kepada keadaan lemak
yang dimakan. Ia terdiri dari vitamin A, D, E dan K.
2. Vitamin larut-air
Ia terdiri dari vitamin B
Kompleks seperti B1 (Thiamin), B2 (Riboflavin), B6 (Pyridoxine), Nicotinamid,
Asid folik, B12 (Cyanocobalamine) dan vitamin C (Asid askorbik).
(Sumber: Makanan dan
Pemakanan di Malaysia, Dr. Y..H. Chong, 1969)
Pada hakikatnya, keperluan kepada
vitamin, garam galian serta kandungan zat makanan lainnya amat perlu
dititikberatkan bagi individu manusia untuk mendapatkan kecergasan tubuh yang
normal. Bahan-bahan tersebut wajarlah dalam kadar yang mencukupi dan seimbang
malah kekurangan dalam sesuatu jangka masa tertentu perlu dielakkan.
Permasalahannya yang dibimbangi
adalah kita kekurangan zat-zat makanan terutamanya berhubung dengan vitamin
yang diperlukan itu. Ia berpunca dari akibat masalah seseorang itu sendiri sama
ada enggan mendapatkannya dalam keadaan segar, akibat kemiskinan, punca vitamin
telah layu, rosak atau sebaliknya.
Akibat permasalahan berkenaan,
tentunya vitamin yang dihajatkan itu agak sedikit, tidak mencukupi atau tidak
memperolehinya langsung. Sedangkan tanpa disedari, akibat kekurangan sesuatu
vitamin yang diperlukan boleh menimbulkan sesuatu alahan, penyakit serta kurang
ketahanan terhadap tubuh.
Sejajar dengan itu, keperluan
kepada vitamin wajar diberikan perhatian supaya ia sentiasa seimbang dan kekal
dalam diet harian. Tetapi perlu diketahui, apakah bentuk vitamin yang paling
sesuai untuk tubuh? Umumnya, vitamin mempunyai dua ciri iaitu vitamin asli dan
vitamin tiruan.
Vitamin asli dapat ditakrifkan
sebagai kandungan sesuatu zat di dalam sesuatu juzuk makanan lain yang boleh
diperolehi secara segar tanpa dicampur adukkan pelbagai bahan-bahan lain
melalui teknologi canggih.
Terdapat banyak dari sumber
vitamin asli yang boleh diperolehi secara percuma, boleh dibeli dengan harga
yang murah dan mudah didapati. Ia terdapat di dalam haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Keperluan kepada vitamin asli
adalah amat sesuai untuk kanak-kanak, remaja, golongan dewasa malah semua
peringkat kerana:
1. Keperluannya tidak terhad dan
boleh diambil dalam jumlah yang banyak.
2. Ia tidak membahayakan tubuh,
saraf dan pemakanan ini digalakkan.
3. Ia kadangkala dapat membantu
mengawal keadaan penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis
kerana serat dalam sayur-sayuran dan ulam amat tinggi.
4. Menyihatkan anggota tubuh dan
mengekalkan keadaan usia.
5. Meningkatkan kecerdasan.
Sesuatu yang lebih penting
terhadap vitamin asli ialah ia tidak memerlukan vitamin tambahan dalam
kehidupan sehari-hari seandainya setiap orang telah menikmatinya setiap hari.
Vitamin seumpama ini adalah vitamin dan pemakanan lengkap malah pengambilannya
disarankan daripada vitamin tambahan.
Dalam pada itu, suatu kehebatan
sains di dunia yang semakin maju kini apabila segala peralatan yang dicipta
oleh manusia dapat pula membentuk, menghasilkan
dan menampung berbilion keperluan dan permintaan dalam masa yang amat
singkat.
Ia dapat diekspot dan diimpot
dalam jangka masa yang begitu menakjubkan malah pemasarannya ke seluruh dunia
amat membanggakan. Ia berpunca dari keterlibatan, kemahiran dan kepakaran
seseorang apatah lagi melihat sambutan di luar jangkaan di kalangan semua
pihak.
Inilah tentang vitamin tiruan
yang menjadi kebanggaan sesetengah pihak. Ia dikatakan mendatangkan kecerdasan
kepada tubuh, menyembuhkan penyakit malah mendakwa vitamin di dalam tubuh dapat
dibekal dan ditingkatkan dengan cara pengambilannya secara kerap dan
berlebihan.
Ia diproses dalam pelbagai bentuk
menurut kesesuaian dan citarasa ramai seperti dalam bentuk ubat, pil, kapsul
dan cecair. Namun, apa yang membezakan di antara vitamin tiruan dengan vitamin
asli adalah seperti berikut:
1. Harganya terlalu tinggi
2. Cara memakannya menurut
sukatan dan had.
3. Sesetengahnya tidak berkesan
terhadap keperluan tubuh.
4. Menimbulkan kesan-kesan
tertentu yang tidak disangka.
5. Perlu mencatatkan tarikh
luput.
Selain dari itu, menurut Pakar
Pemakanan Klinikal Garden State Nutritionals, sebuah syarikat pengeluar
barangan penjagaan kesihatan dari New York, Cik Sharid Lieberman bahawa,
pil-pil vitamin hanya bertindak sebagai makanan tambahan kepada tubuh badan dan
bukan makanan utama.
(Sumber: Berita Harian,
5.7.1990)
Dalam hal ini, sebagai pengguna,
janganlah mudah terpengaruh dengan sesuatu jenama vitamin itu kononnya boleh
merawat masalah kesihatan. Jangan juga mengharapkan vitamin seperti itu tanpa
memperhitungkan makanan seimbang adalah segala-galanya yang boleh membekalkan
khasiat kepada tubuh bukannya vitamin.
Pun perlu berhati-hati tentang
pengambilannya walaupun ada dakwaan yang menyatakan pil-pil berkenaan dapat
meningkatkan kecerdasan tubuh dengan segera tanpa mendapatkan nasihat pihak
doktor dan pakar-pakar pemakanan. Ini kerana dibimbangkan, individu yang
mengambil vitamin-vitamin seumpama itu tidak menyedari tentang keburukan atau
kesan sampingannya.
Keadaan tersebut secara tidak
langsung telah mendedahkan pengguna-pengguna berkenaan kepada gejala-gejala
tertentu yang tidak diingini. Kerana dari kajian yang pernah dijalankan
terhadap jenama vitamin tersebut di pasaran, ia sekadar dakwaan palsu kononnya
mencegah dari selsema, menambah selera makan, penyembuhan kemandulan, jerawat
batu, gangguan saraf dan sebagainya.
Manakala hakikat lain pula, ia
dilaporkan melebihi berkali-kali ganda pengambilan harian yang disarankan oleh
Kementerian Kesihatan (RDA Singapura). Dengan itu, vitamin-vitamin berkenaan
boleh meracuni penggunanya.
Banyak dari jenama vitamin
tersebut yang melebihi piawaian RDA Singapura dan boleh meracuni pengguna iaitu
daripada 14 contoh yang diuji, salah satu jenama Neurogn – E (Vitamin B12)
melebihi piawaian RDA Singapura sehingga 6,667 kali ganda.
Jenama lain seperti Benerva
(Vitamin B1) melebihi sehingga 4,000 kali ganda. Satu jenama Vitamin C iaitu
Calcium-Sandoz + Vitamin C melebihi 1,000 kali ganda paras selamat. Manakala
jenama Arovit (Vitamin A) melebihi RDA Singapura sebanyak 200 kali ganda.
Gejala-gejala akibat pengambilan vitamin A boleh menyebabkan keguguran,
kerosakan hati dan kecacatan tulang. Vitamin D yang berlebihan boleh merosakkan
organ hati dan buah pinggang. Pengambilan vitamin B6 walaupun agak rendah dalam
kadar 200 mg sehari, boleh merosakkan kerosakan saraf.
(Sumber: Utusan
Pengguna, Disember, 1990)
Menurut Dr. Victor Herbert, profesor
perubatan di Mount Sinai School of Medicine di New York bahawa, jika
pengambilan vitamin tambahan merupakan cara anda mengatasi masalah rumit
seperti ketegangan, kanser atau kekurangan tenaga, jalan penyelesaian anda itu
bukan sahaja salah malah ia boleh menimbulkan bahaya.
Katanya lagi, kebanyakan vitamin
tambahan biasa yang diambil melebihi sukatan pengambilan harian yang disarankan
oleh RDA, boleh bertindak sebagai dadah.
Manakala menurut Mathew John,
seorang ahli farmasi berkata, vitamin larut minyak yang tinggi sukatannya boleh
berkumpul di dalam badan dan menjadi beracun.
(Sumber: Utusan
Pengguna, Februari 1989)
Dalam hal ini menggambarkan,
segala dakwaan yang menunjukkan vitamin tambahan boleh meningkatkan sesuatu
kebaikan kepada tubuh adalah tidak berasas dan amat meragukan kerana ia belum
terbukti selamat atau berkesan mencegah atau merawat masalah kesihatan yang
dialami penggunanya.
Berkemungkinan segala dakwaan
amat bertentangan dengan garis panduan tempatan bagi iklan ubatan. Kerajaan
perlu mengawal pengiklanan dan penjualannya kerana pengguna yang tidak
menyedari boleh mendatangkan sesuatu gejala terhadap mereka.
Justeru, pengambilan vitamin
tiruan dan tambahan adalah bukan cara terbaik sebagai diet seimbang dan sihat.
Sebaliknya dengan memperolehi vitamin-vitamin asli dari tumbuh-tumbuhan segar
yang ada di sekeliling kita lebih digalakkan dan disarankan kerana ia bersifat
pengubatan, penyembuhan, kesempurnaan pemakanan dan mengawal penyakit.
Nota:
Foto adalah sekadar hiasan
Sumber Foto:
cutieliesa.blogspot.com
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan