RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 10 Februari 2017

Ubah Diet Kita


UBAH DIET KITA

BUDAYA atau tabiat makan kita tidak berubah dari dulu sehingga sekarang. Sama ada sajian diet itu sihat atau tidak, kita tidak pedulikan asalkan dapat makan. Hakikatnya amat jelas, pengambilan makanan menurut nafsu, naluri dan citarasa yang tidak sihat dan kurang kawalan ini menimbulkan permasalahan kesihatan yang tidak kita sedari. Ini kerana, serangan penyakit-penyakit kronik umpamanya kegemukan, serangan jantung, kencing manis, kanser, darah tinggi dan penyakit buah pinggang disebabkan pengambilan makanan yang tidak sihat.

Penyakit-penyakit kronik itu berpunca dari tabiat makan yang berlebihan dan tidak sempurna. Bukan sahaja corak pemakanan yang diambil mempunyai bahan penambah (aditif makanan) yang hakikatnya penyebab kepada penyakit kanser dan buah pinggang yang menjadi kebimbangan masyarakat negara Barat. Tetapi corak pemakanan yang disajikan oleh rakyat di negara kita mengandungi banyak daging, lemak, garam, gula dan kadar kolestrol yang tinggi.

Di samping itu, cara pengambilan makanan yang tidak teratur menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang sukar dirawat, rawatan dalam tempoh yang lama malah memerlukan sumber kewangan yang mahal untuk merawat sesuatu jenis penyakit yang dihidapi.

Keadaan ini amat jelas dengan budaya pemakanan di Amerika. Menurut Pakar Pemakanan Amerika, Frances M Lappe, rakyat di negaranya mempunyai diet yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya, “Diet For A Small”, disebutkan bahawa penduduk di negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah tetapi kurang memakan makanan berserat. (Sumber: Buku Makanan dan Pemakanan Yang Baik, CAP).

Pepatah ada menyebutkan, “diri anda adalah apa yang anda makan”. Ia bermaksud, seandainya individu atau orang ramai memilih corak pemakanan yang baik dan kandungannya menampung banyak khasiat, tentunya corak pemakanan tersebut tidak memudaratkan kesihatan. Ini kerana, corak pemakanan inilah yang patut disajikan kepada setiap anggota keluarga. Tetapi sekiranya individu itu tidak bermaklumat dan tidak menyedari bahawa corak pemakanan yang diambilnya itu adalah penyebab permasalahan kesihatan, sudah tentu mereka akan mendapat serangan penyakit yang sukar dirawat dan sudah pasti akan menderita seumur hidup.

Tabiat yang mengutamakan pengambilan daging dalam diet mereka semakin meningkat. Daging sering dihidangkan di majlis-majlis kenduri kahwin, majlis aqiqah dan kenduri arwah malahan sudah menjadi hidangan harian sehingga kini. Di samping daging juga boleh didapati dalam makanan segera dan berproses yang menjadi kegemaran kanak-kanak, remaja dan orang-orang dewasa seperti ayam goreng, burger, hot dog dan sebagainya.

Menurut statistik Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar menunjukkan jumlah pemakan daging lembu dan kerbau bagi seluruh Semenanjung Malaysia pada tahun 1989 seramai 8,724,809 (61.20 peratus), daging kambing atau biri-biri seramai 1,933,219 (13.56 peratus) dan daging ayam atau itik seramai 14,256,048 (100 peratus). Jumlah berkenaan semakin meningkat pada tahun 2000 sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk.



Hakikatnya, pengambilan daging yang berlebihan dalam sajian harian tidak menyihatkan. Daging bagi sesetengah masyarakat adalah amat menyelerakan dan menyerikan setiap hidangan. Tetapi hal sebenarnya ia lebih membawa risiko kepada kesihatan individu. Malahan kanak-kanak yang mengambil daging dalam makanan harian amat tidak digalakkan.

Pengambilan daging secara berlebihan boleh menyebabkan permasalahan usus, makanan sukar dihadamkan, kegemukan, serangan penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Begitu juga dengan tabiat memakan makanan segera yang berasaskan daging, umpamanya ayam goreng dan burger.

Corak pemakanan berkenaan mendapat sambutan luar biasa di kalangan segelintir masyarakat di negara ini walaupun ia tidak mengenyangkan. Menurut kajian, dianggarkan lebih RM160 juta setahun kita berbelanja ke atas ayam goreng, burger, minuman cola dan shake.

Bagaimanapun, adakah wang yang kita belanjakan untuk mendapatkan makanan-makanan tersebut sebagai menguntungkan dan tidak mengancam kesihatan dalam jangka waktu yang panjang?

Menurut laporan itu lagi, satu kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Makanan London tidak lama dahulu mendapati, kekerapan memakan makanan segera boleh menimbulkan kesan buruk terhadap kesihatan terutama kepada kanak-kanak yang sedang membesar. Ini kerana, jika pengambilannya dijadikan satu amalan harian, diet seseorang akan menjadi tidak seimbang dan ini boleh menimbulkan pelbagai jenis penyakit seperti kegemukan, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kanser usus.

Hal ini timbul disebabkan makanan-makanan segera amat kaya dengan kalori, lemak (terutama lemak tepu), gula dan garam. Sebaliknya makanan berkenaan kurang gentian, vitamin serta zat galian.

Di samping itu, pengambilan lemak dan kolestrol yang berasaskan haiwan sering menjadi kegemaran. Ramai yang belum mengetahui tentang makanan yang berdasarkan kepada resipi yang dicipta di zaman ini kaya dengan lemak dan kolestrol. Lemak dan kolestrol boleh diperolehi daripada makanan-makanan seperti daging, telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju.

 


Walaupun hakikatnya makanan-makanan berkenaan amat kaya dengan sumber protein, vitamin dan garam galian, tetapi lebihan lemak di dalam badan boleh menyebabkan kegemukan, menyebabkan serangan jantung dan kanser.

Ayam goreng misalnya mengandungi hampir 60 peratus lemak walaupun ia banyak membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Malahan dalam setengah paun burger terdapat dua (2) auns lemak yang kebanyakannya adalah lemak tepu.

Manakala peningkatan kolestrol di dalam badan amat kurang diberikan perhatian oleh segelintir masyarakat kita yang tidak mementingkan penjagaan kesihatan. Mereka beranggapan kehadiran kolestrol adalah persoalan remeh sebaliknya pengambilan makanan itu yang sering diutamakan. Padahal mereka belum menyedari bahawa makanan-makanan yang disajikan oleh penjaja hari ini amat kaya dengan kolestrol.

Kolestrol adalah bahan berwarna putih dan berlemak yang ditemui di dalam darah. Ia boleh diperolehi dari makanan berproses dan snek seperti kentang goreng dan kerepek. Sesuatu yang paling dikesalkan bahawa hidangan tempatan juga banyak mengandungi kolestrol tetapi masyarakat tidak menyedarinya ekoran dipengaruhi bentuk dan citarasa sesuatu jenis makanan itu.

Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng pernah berkata, kadar kematian disebabkan penyakit jantung di negara ini ialah 33.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 15.3 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 1981. Menurutnya, kes penyakit jantung yang dilaporkan pada tahun 1993 ialah 70,509 daripada 20,639 kes pada tahun 1981.

Berdasarkan kepada laporan tersebut menunjukkan serangan penyakit jantung adalah berpunca dari kehadiran kolestrol. Dari kajian dan laporan yang pernah dibuat, kita tidak perlu hairan bahawa rakyat Malaysia mempunyai paras kolestrol yang tinggi jika dibandingkan dengan kadar purata lelaki Amerika.

Malahan dalam konteks penyakit-penyakit kronik yang berlegar di kalangan masyarakat negara kita, amat jelas bahawa rakyat Malaysia amat kurang memakan makanan berserat dan berkhasiat.

Walaupun banyak pihak pengiklan yang mendakwa kononnya makanan yang dipasarkan mereka sebagai berkhasiat, tetapi hakikat yang sebenarnya makanan-makanan tersebut mengandungi khasiat yang tidak kompleks. Khasiat makanan yang tidak kompleks walaupun kadarnya mencukupi untuk keperluan tubuh memang masih membahayakan kesihatan. Ini kerana, kesihatan tubuh badan hanya memerlukan corak pemakanan berkhasiat yang asli dan masih segar.

Dalam hal ini, makanan yang mempunyai khasiat yang masih asli dan berserat adalah datangnya dari sumber tumbuh-tumbuhan, umpamanya sayur-sayuran, buah-buahan segar dan ulam. Makanan dalam juzuk ini perlu disajikan dengan mencukupi untuk memantapkan jumlah vitamin dan garam galian sebagai keperluan penting terhadap tubuh. Ia boleh diambil dalam kuantiti yang banyak dan tidak dihadkan.

 
Kepentingan sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam kepada kesihatan tubuh kerana ia membekalkan kadar serat yang tinggi yang boleh mencegah serangan jantung. Khasiat lain ialah juzuk pemakanan berkenaan dapat mencegah sembelit, memudahkan proses penghadaman, menjauhi jangkitan penyakit, ulser perut, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Di samping itu juga, amalkanlah tabiat pengambilan ikan menggantikan daging, ayam dan makanan-makanan berproses yang berasaskan daging. Ikan membekalkan “protein asid amino” sebagai suatu bahan untuk penyembuhan penyakit. Pengambilan ikan amat digalakkan walaupun kuantitinya melebihi kadar yang diperlukan oleh tubuh.

 
Pakar-pakar makanan telah mengenal pasti bahawa kandungan khasiat dalam ikan hampir sama dengan khasiat yang diperolehi dalam daging. Tetapi keistimewaan yang ketara berhubung dengan pengambilan ikan ialah, ikan tidak mengandungi lemak dan kolestrol yang mendatang risiko serangan jantung dan kanser usus sebagaimana yang diperolehi dalam daging. Malahan ikan bilis kering walaupun terlalu kecil sebenarnya menampung banyak jumlah vitamin dan garam galian yang diperlukan untuk kesihatan dan pemakanan.

Khasiat dalam ikan juga dikatakan sebagai unsur perubatan yang penting. Umpamanya, ikan haruan dapat mengubati luka dan dapat menyembuhkan luka tersebut dengan cepat. Manakala ikan bilis pula dikatakan dapat menggantikan susu sebagai suatu juzuk makanan yang dapat mencegah pereputan tulang atau penyakit sum sum tulang.

Berikutan itu, pilihan terbaik adalah di tangan anda sendiri. Individu yang amat sayang kepada kesihatan tubuh masing-masing perlu memilih corak pemakanan yang terbaik yang dapat mencegah dari serangan penyakit.

Justeru, ubahlah diet dan pemakanan anda dengan mengambil corak pemakanan yang berserat dan berkhasiat, kompleks, asli dan segar serta jauhilah pengambilan bahan-bahan penambah makanan (aditif makanan) serta pemakanan yang kaya dengan lemak, kolestrol, gula dan garam. Sihat dan sakit adalah di tangan anda sendiri. Andalah yang dapat memimpin tubuh dan kesihatan diri sendiri kerana “diri anda adalah apa yang anda makan”.

Hidangan dalam majlis kenduri, banyak daging dan lemak tetapi menafikan kepentingan ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan