DIN TUKANG BESI
PASIR MAS, KELANTAN: Memang masih
ramai yang meminati bidang pertukangan besi walaupun hal berkenaan agak sukar
dilakukan berdasarkan faktor-faktor tertentu. Walaupun kebanyakan tukang-tukang
besi dipelopori oleh golongan telah berusia kerana kemantapan ilmu dan
kemahiran mereka di bidang itu, namun ada juga yang berusia di bawah 30 tahun
turut menuruti jejak itu yang menjanjikan kepuasan.
Ini menggambarkan, tukang-tukang
besi kita sanggup melihat dan mengharungi kepayahan bidang berkenaan
semata-mata minat ataupun kerana dorongan tertentu dari keluarga yang
memaksanya memikul tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Salah seorang yang dimaksudkan
ialah Salamuddin Muhamad, 27, atau lebih dikenali Din dari Kampung Perol, To’
Uban, Pasir Mas, Kelantan.
“Saya mengusahakan pertukangan
besi ini sejak lebih tiga tahun lalu. Saya daftarkan bidang ini selepas itu
iaitu kira-kira lebih setahun lalu”, kata Salamuddin ketika ditemui Wartawan
RELATIF dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya yang dijadikan sebagai
bengkel pertukangan besi.
Katanya, di antara peralatan yang
dibuatnya seperti pagar, penyidai kain, penyangkut baju, signboard, label.
Setakat ini lazimnya, ramai yang datang membuat tempahan di kediamannya. Dalam
masa lima tahun
ini, lebih 500 orang pernah datang semata-mata untuk membuat tempahan
berdasarkan kehendak masing-masing.
“Kalau tak silap, dah lebih 500
pelanggan yang datang membuat tempahan sepanjang bengkel saya beroperasi di
sini”, katanya.
Katanya menambah, lazimnya orang
terawal membuat tempahan adalah terdiri daripada beberapa orang penduduk
kampungnya yang mengetahui kemahiran beliau sebagai tukang besi, seolah-olah
memberikan galakan kepadanya dan mungkin juga tukang-tukang besi lain agak jauh
dari penempatan dan ini merupakan rezeki terawal beliau. Selepas itu, apabila
sudah semakin mendapat perhatian dan hal kemahiran beliau kemudiannya tersebar
dari kampung itu dari mulut ke mulut, ramai pula penduduk dari daerah lain yang
datang membuat tempahan khas daripadanya.
“Asalnya, saya selesaikan tempahan
sebahagian daripada jiran dan penduduk kampung ini secara ala kadar saja, namun
selepas berita berkenaan tersebar dari mulut ke mulut, menyebabkan saya
kemudiannya mendapat perhatian dari penduduk kampung lain pula”, ujar
Salamuddin.
Menceritakan lebih lanjut, dia
pun tidak menyangka asalnya bengkel yang dibuka di kediamannya itu adalah
bengkel kecil semata-mata, akhirnya mendapat tempahan yang menggalakkan. Bahkan
menurutnya, pernah juga beberapa kali ketika dia membuat pemasangan di rumah
pelanggan berdasarkan tempahan tertentu, ada juga penduduk di kawasan terbabit
berkesempatan melihat kerja-kerja yang dilakukannya yang halus dan cermat
sehingga menimbulkan keinginan pelanggan lain untuk membuat tempahan seperti
itu.
Di antara pelanggan dari luar
kampungnya yang pernah membuat tempahan darinya seperti dari Kusial, Tanah
Merah, Kok Lanas, Bunut Susu. Walaupun orang dari luar kampungnya yang menempah
terus darinya, kebanyakan yang ditempah adalah berlainan kategori.
Ditanya tentang modal permulaan,
pada mulanya dia tidak ingin menyatakannya kerana buat permulaan sebagai tukang
besi mungkin dia masih agak baharu lagi ketika itu. Namun menurutnya, hal yang
paling penting dalam kerja-kerja sepertinya adalah untuk mendapatkan bekalan
besi itu dengan harga yang mampu beli.
Pada masa dulu, beliau terpaksa
mengeluarkan modalnya sendiri, hal ini agak sesuai memandangkan harga bekalan
besi pada ketika itu murah. Tetapi pada hari ini bukan sahaja masalah kenaikan
harga besi, namun masalah GST itu yang menyebabkan harga besi meningkat tidak
sebagaimana sebelum ini.
“Jadi, pada hari ini apabila ada
pelanggan membuat tempahan, saya memohon supaya disediakan pendahuluannya untuk
tujuan membeli bekalan mentah itu (besi).
“Dari segi puratanya pada masa
dulu, tidak sampai RM1,000 modal yang diperlukan untuk kerja-kerja berkenaan
berbanding hari ini yang peningkatannya agak mendadak”, katanya.
Tentang dorongan dan galakan
sehingga beliau menceburi bidang berkenaan selain minat yang mendalam
terhadapnya, dia turut mendapat galakan dan dorongan dari keluarganya sendiri
dan bukannya minat saja. Ini kerana, kalau atas dasar dia minat seorang diri
tentunya tidak ke mana, apabila tiba waktu malas, tentunya dia tidak
melakukannya. Tetapi apabila telah mendapat galakan dan dorongan dari orang
beliau percayai, kalau timbulnya perasaan malas, dia perlu teruskan juga bidang
itu sebelum peluangnya direbut oleh orang lain.
Apabila ditanya tentang kepandaiannya
dan kemahirannya itu beliau mempelajarinya daripada siapa, beliau menjelaskan, untuk
menjadi seorang tukang tidak semestinya perlu mencari guru dan belajar dari
mereka. Kalau kita kreatif dalam sesuatu bidang yang kita minat, sekadar kita
melihatnya saja, kita boleh buat sendiri dan insya Allah akan berjaya jika
sekiranya bakat kita itu sentiasa digilap dan sentiasa berusaha ke arahnya.
Katanya, bagi beliau seseorang
manusia itu mempunyai dua kategori iaitu perlu mencari guru dan belajar ilmu dan
belajar berhubung tentangnya untuk lebih mematangkan kemahiran dan ada juga
melalui bakat yang Allah anugerahkan kepada seseorang tukang itu sejak azali
yang hanya perlu melihat cara membuatnya saja pun sudah memadai.
Bagi beliau sendiri, selain minat
dengan pertukangan besi, dia juga melihat bagaimana tukang-tukang yang mahir menyiapkan
kerja-kerja seumpama itu dengan baik dan sempurna. Dia sebenarnya, tidak pernah
belajar bahagian yang dia ceburi sekarang tetapi apabila melihat tukang-tukang
yang mahir dengan besi, dia berasa boleh melakukannya dan memang benar dia
boleh melakukannya sehingga sekarang.
Menurut Salamuddin lagi,
sepanjang beliau berkecimpung di bidang pertukangan besi itu, dia memperolehi
berbagai pengalaman kerana setiap pelanggan tidak sama dengan pelanggan yang
lain dari beberapa kategori tertentu.
Ada segelintir pelanggan yang dikatakan agak
cerewet yang mendakwa hasil kerja beliau tidak memuaskan hati dan ada
sebaliknya pula yang mendakwa hasil kerja beliau adalah yang terbaik dan sempurna
berbanding dengan tukang-tukang besi yang pernah dilihat. Ada pula yang menyatakan hasil kerja beliau
lebih menarik dan bernilai seni dari tukang-tukang besi yang lain.
“Semua itu asam garam baginya
untuk lebih memantapkan dan mengorak langkah sebagai tukang besi yang berjaya”,
jelasnya.
Berhubung dengan harga tempahan
pula, dia meletakkan harga atas barangan yang ingin dibuatnya atau barangan
yang ditempah. Dari segi ukuran hampir sama, tetapi fokus beliau berhubung
dengan harga adalah bahan atau alat yang akan dibuat itu. Dia juga melihat dari
segi kualiti dan tahan lama atau tidak, benda yang sama tapi bezanya dari segi
kualiti barangan.
Menurut Salamuddin, kebanyakan
tukang-tukang besi akan mendapatkan bekalan bahan mentah berkenaan dari kedai
besi atau kedai kitar semula, begitu halnya dengan beliau. Namun, kebanyakan kedai-kedai
besi telah didapati kurang menjual bekalan berkenaan. Jadi, bagi yang ingin
menapak lebih jauh lagi sebagaimana beliau, beliau akan dapatkan bekalan besi
itu dari kilang besi sendiri kerana kebanyakan besi di kilang banyak pilihan
yang boleh diperolehi oleh tukang-tukang besi dengan harga jauh lebih murah.
Sebagai akhir kata, beliau
menyarankan dan berharap kepada pelanggan-pelanggan yang ingin menempah
barangan besi boleh datang sendiri ke rumah beliau di Kampung Perol. Ada pelanggan yang pernah
menempah barangan beliau, beliau akan memberikan nombor telefon untuk diberikan
kepada pelanggan-pelanggan lain melalui pelanggan terdahulu. Jadi, kalau ada
panggilan telefon misalnya beliau akan ke tempat yang dimaksudkan untuk
memudahkan pelanggan memaklumkan hal berkenaan terutamanya yang melibatkan
pemasangan di rumah-rumah.
Untuk tempahan, sila hubungi Salamuddin Muhamad atau Din di talian: 014-5360209
Salamuddin Muhamad atau Din
Din ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang dijadikan bengkel pertukangan besi.
nak bekki koci grill
BalasPadam