MISTERI GUA IKAN
(SIRI: 1)
KUALA KRAI, KELANTAN: Gua Ikan yang terletak
berhampiran dengan Kampung Slow Pak Long dalam daerah Dabong, Kuala Krai,
Kelantan adalah sebuah gua batu kapur. Perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Ikan
sejauh 150 kilometer, dari Kuala Krai (95 kilometer) dan dari Pekan Dabong (7
kilometer). Pada tahun 1970 dulu, Gua Ikan adalah sebuah gua yang agak tersohor
bukan sahaja keadaan sungainya yang agak dalam malah dipenuhi ikan-ikan yang
agak besar sifatnya, selain persekitarannya masih dipenuhi hutan dan
pohon-pohon yang hidup subur menghijau.
Melihat kepada persekitaran dan pemandangan dari
luarnya, Gua Ikan tidak sunyi dari kicauan burung dan unggas tanpa mengenal
waktu pagi atau petang, namun tanpa disedari umum, gua batu kapur yang
tersergam gagah itu mempunyai teman yang menjaganya iaitu makhluk halus dan gua
ini sebenarnya dipenuhi dengan kejadian misteri.
Memang agak biasa bagi
penduduk asal di situ, tetapi bagi penduduk dari daerah lain yang baru
mengenali Gua Ikan akan berasa terasing dan sememangnya bagi setiap tetamu yang
datang akan diperhatikan oleh makhluk halus yang didakwa dari bangsa
"bunian" yang menghuni di permukaan gua termasuk di puncaknya adalah
dunia dan perkampungan asalnya.
Salah seorang penduduk asal yang ditemui Wartawan
RELATIF, Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari
Kampung Gua Ikan itu berkata, bagi orang luar yang pertama kali menjejakkan
kaki ke Gua Ikan seolah-olah memberikan gambaran untuk tidak memasuki gua
berkenaan. Pengalaman beberapa pengunjung Gua Ikan sebelum ini yang pernah
mendengar suara aneh tetapi tidak kelihatan batang tubuhnya, malahan terdapat
juga yang dapat melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian serba putih
tiga beranak yang sering mundar-mandir di kawasan Gua Ikan itu seolah-olah
sebagai pengawal gua terbabit yang sering dilihat di beberapa tempat
terutamanya di kawasan permukaan gua tersebut.
Menurut Pak Da Soh, kejadian misteri Gua Ikan
semakin popular ketika pembukaan dengan rasminya Taman Rekreasi Gua Ikan pada
tahun 2006. Salah satu cerita yang agak tersohor dari mulut ke mulut ialah
tentang jelmaan kumpulan pendakwah muda seramai 12 orang yang entah dari mana
munculnya, dengan tiba-tiba menuju ke arah gerai makanan milik Kak Da yang
barangkali untuk menjamu selera.
"Cerita 12 orang pendakwah muda yang memakai
jubah putih, memang kacak dan lawa, tidak siapa tahu munculnya dari arah mana.
Bagi pelanggan yang sedang makan tetapi tidak dapat melihat kelibat mereka,
mungkin tidak ada apa-apa.
"Tetapi salah seorang pelanggan yang dapat
melihat gerombolan mereka sedang menuju ke arah gerai Kak Da, terpaksa
menghabiskan makanan dengan cepat lalu beredar keluar dari gerai itu",
cerita Pak Da Soh.
Katanya, dalam masa sejam selepas pendakwah muda
itu selesai menjamu selera dan membayar harga makanan, mereka beredar seorang
demi seorang menuju ke sebuah jambatan yang menghubungkan dataran di taman
rekreasi itu dengan laluan ke gua terbabit yang dipisahkan dengan sebuah sungai
lalu ghaib di kawasan itu.
Setelah dipastikan kumpulan pendakwah muda itu
kesemuanya beredar dari gerai makanan Kak Da dan tiada lagi di situ, salah
seorang pelanggan yang keluar agak tergesa-gesa dari gerai tersebut tiba-tiba
masuk kembali lalu menerpa ke arah Kak Da untuk mendapatkan butiran cerita dan
pandangan Kak Da tentang kumpulan pendakwah muda yang agak ramai itu datangnya
dari mana?
Menurut Pak Da Soh, soalan yang dikemukakan oleh
pelanggan terbabit agak menghairankan Kak Da kerana dirinya tidak melihat
apa-apa terhadap gerombolan itu tetapi sekadar melihat seperti manusia biasa
sahaja dan bukannya seperti pendakwah yang memakai jubah putih sebagaimana yang
dimaksudkan oleh pelanggannya itu. Mereka adalah manusia biasa yang sekadar
singgah di gerainya semata-mata untuk menjamu selera.
Apabila ditanya Pak Da Soh tentang komennya
berhubung dengan dakwaan pelanggan terbabit yang dilihatnya bahawa pendakwah
muda yang agak luar biasa dari segi sifat sebagai manusia telah mengunjungi
gerai Kak Da, tetapi tidak dapat dilihat oleh orang lain atau
pelanggan-pelanggan yang sedang menikmati hidangan sekadar melihat
pemuda-pemuda itu seperti manusia biasa, Pak Da Soh menjelaskan, memang Gua
Ikan adalah suatu tempat yang penuh misteri.
"Gerombolan pemuda itu sebenarnya dari
bangsa bunian yang turun dari puncak Gua Ikan itu untuk menjamu selera di gerai
Kak Da. Di puncak Gua Ikan itu sememangnya perkampungan mereka, ada masjid,
tempat dakwah dan rumah kediaman", jelas Pak Da Soh.
Dalam hal ini, amat jelas bahawa Gua Ikan bukan
sekadar sebuah tempat yang sunyi dan menenangkan fikiran, pengunjung juga tidak
wajar berada di kawasan tamannya untuk melakukan perbuatan yang tidak senonoh
dan menjolok mata.
Justeru, disebabkan kawasan berkenaan
perkampungan makhluk halus yang asal apatah lagi kelemahan manusia yang tidak
dapat melihat makhluk halus seperti bunian di tempat terbabit, jadi
sama-samalah kita berkongsi alam ini sebagai makhluk Allah dengan menjaga adat
dan tata susila di tempat masing-masing.
Zakaria bin Mohamed atau Pak Da Soh.
Inilah gerai makanan Kak Da yang dikunjungi pendakwah muda berjubah putih.
Seramai 12 orang bunian yang dikatakan pendakwah muda duduk di sini untuk
menjamu selera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan