MISTERI GUA IKAN
(SIRI: 2)
KUALA KRAI, KELANTAN: Makhluk halus khususnya jin
memang sukakan tempat yang sunyi, bebas dari bunyi bising serta pelbagai
gangguan lain. Sebab itulah mereka menghuni kawasan-kawasan terpencil dan jauh
dari manusia seperti di hutan, bukit-bukau, gua-gua, gunung-ganang, kawasan
lembah, sungai dan tasik-tasik. Kejadian gangguan yang dialami oleh manusia
disebabkan oleh sikap manusia sendiri yang mengganggu mereka dan menceroboh
penempatan mereka, menyebabkan makhluk halus bertindak membalas dendam.
Begitu halnya tentang kejadian misteri di Gua
Ikan dekat sini yang sering berlaku sejak tahun 1970 dulu malah keadaannya
semakin menjadi-jadi sejak pembukaan rasmi Taman Rekreasi Gua Ikan pada tahun
2006 sehingga hari ini untuk memberikan gambaran bahawa makhluk halus ingin
hidup tenang dan bebas dari gangguan, hanya manusia yang tidak berhati perut
tetapi suka menimbulkan angkara yang sentiasa mengancam kehidupan makhluk
berkenaan. Apabila makhluk halus membalas dendam, manusia juga yang menderita
dan sentiasa di dalam kesusahan.
Seorang penduduk yang ditemui Wartawan RELATIF,
Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari Kampung
Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan berkata, kejadian kedua misteri di Gua
Ikan itu berlaku pada tahun 2011 yang dialami oleh rakannya bersama dua
sahabatnya yang lain yang juga bekerja sebagai buruh menurap batu jalan untuk
tujuan pembinaan jalan raya di kawasan laluan umum Gua Ikan itu.
Katanya, rakannya itu berhasrat untuk menjadikan
surau yang dibina oleh pihak Majlis Daerah Dabong (MDD) di Taman Rekreasi Gua
Ikan itu sebagai tempatnya untuk menumpang tidur bersama dua lagi rakanya, lalu
meminta izin daripada Pak Da Soh.
Beritahu Pak Da Soh, kalau sekadar untuk
dijadikan tempat tumpang berteduh memang tidak menjadi masalah kerana kemudahan
berkenaan memang dijadikan dan disediakan oleh pihak kerajaan sebagai suatu
kemudahan kepada orang ramai. Namun, Pak Da Soh meminta segala barangan milik
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu yang masih ada di situ tidak diusik, tetapi
sekadar untuk melihatnya tidak menjadi masalah.
Setelah mendapat izin daripada Pak Da Soh,
ketiga-tiga pekerja buruh tersebut kemudiannya menumpang tidur dan bermalam di
surau itu. Namun, dengan tidak disangka-sangka, berlaku kejadian luar biasa
yang menimpa ketiga-tiga mereka, salah satunya mungkin disebabkan keceluparan
mulut dan tutur kata mereka memburuk-burukkan taman rekreasi itu tentunya telah
didengari oleh makhluk halus yang sering mundar-mandir di malam gelap di taman
itu tanpa disedari oleh mereka.
Ketika ketiga-tiganya asyik berborak dengan
menghamburkan kata-kata nista dan kesat terhadap taman rekreasi itu, tanpa
disedari oleh mereka bertiga jam telah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Dalam
sekelip mata, ketiga-tiga mereka melihat ketiga-tiga tangan panjang sedang
menghulurkannya di balik cermin tingkap surau itu.
Tambah Pak Da Soh, jelmaan makhluk halus yang
menyakat ketiga-tiga mangsa pada pagi itu adalah seorang wanita yang dikatakan
agak cantik berpakaian serba putih, manakala bentuk fizikalnya seperti manusia.
Sambung Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga pergelangan tangan dihulurkan masuk
melalui cermin tingkap surau yang dihuni oleh ketiga-tiga mangsa, mangsa memang
nampak dengan jelas dari arah cermin tingkap yang terbuka susuk tubuh lembaga
wanita terbabit. Tetapi apabila mereka keluar dari surau itu sambil menggenggam
lampu suluh untuk meninjau sambil melihat gerangan lembaga yang dimaksudkan,
lembaga itu tiba-tiba ghaib.
Melihatkan situasi berkenaan seolah-olah lembaga
berkenaan ingin mempermainkan dan mencabar ketiga-tiga mangsa terbabit, sebab
apabila jarak mereka jauh lembaga berkenaan menunjukkan rupa dan diri di
sebalik cermin tingkap yang terbuka itu. Tetapi apabila mereka keluar dari
surau untuk melihat batang tubuh lembaga terbabit, lembaga itu ghaib pula.
Geram dengan permainan lembaga wanita itu, salah
seorang mangsa cuba mencabar
lembaga tersebut dengan menyatakan jangan cuba menyakat mereka, sebab mereka
tidak takut kepada cabaran lembaga tersebut. Lalu ketiga-tiga mangsa kembali
masuk ke dalam surau itu. Selang dua minit, dengan tiba-tiba lembaga wanita
misteri itu menangis sambil menekup wajahnya dekat kenderaan Hilux milik
mangsa.
"Tak usah menangis, kalau kamu nak datang ke
surau ini, kamu datanglah", Pak Da Soh cuba
mengajuk kata-kata salah seorang mangsa yang seolah-olah cuba mencabar makhluk halus pada
pagi itu.
Tambah Pak Da Soh, mungkin sikap geram lembaga
itu terhadap cabaran yang dimajukan oleh seorang mangsa, lembaga wanita
berkenaan kemudiannya menghentak dan memukul kenderaan Hilux mangsa dengan
kuat. Walaupun kenderaan mangsa dipukul agak kuat dan bunyi menggegar suasana
di Taman Rekreasi Gua Ikan pada pagi itu, kenderaannya tidaklah kelihatan kemek
atau remuk tetapi sekadar bergoyang sahaja.
Mangsa yang naik marah dan geram dengan sikap
biadap lembaga itu yang menghentak kenderaan Hiluxnya itu, dengan pantas
berlari keluar dari surau terbabit seraya menyuluh dengan lampu suluhnya ke
arah lembaga wanita itu. Mereka cuba
menerpa ke arah lembaga wanita yang sedang naik angin itu, tetapi dengan tidak
disangka-sangka mereka seperti dihalang atau ditolak secara ghaib, mereka
seolah-olah tidak berdaya untuk melawan atau cuba bergerak ke hadapan yang juga
seolah-olah badan mereka menjadi berat.
Ketiga-tiga mangsa mendakwa, kejadian itu,
penglihatan mereka tidak lagi dapat melihat lembaga wanita yang sedang naik
angin itu. Apa yang diberitahu oleh mangsa kepada Pak Da Soh, ketika lembaga
wanita itu menghentak kenderaan Hiluxnya didapati kenderaannya itu bergoyang ke
kiri dan kanan seperti akan terbalik.
"Ketika situasi itulah, sebagai seorang
Islam mereka bertiga berdoa dan membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang
memotong halangan itu sehingga mereka dapat maju ke hadapan dan dapat naik ke
atas kenderaan Hiluxnya lalu mereka bergegas ke rumah Pak Da.
"Apabila mereka sampai di rumah Pak Da,
mereka kata Pak Da dan Pak Ku Li tiada di rumah, untuk menggambarkan mangsa
tidak dapat melihat Pak Da dan Pak Ku Li", ujar Pak Da Soh.
Sambung Pak Da Soh, disebabkan terlalu kecewa
dalam keadaan cemas itu apatah lagi melihatkan Pak Da Soh dan Pak Ku Li tiada
di rumah untuk meminta bantuan yang diperlukan, mereka bertiga kemudiannya
beralih arah untuk tidur di sebuah tempat lain iaitu di sebatang cabang di
Kampung Sungai Sam iaitu lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian.
Manakala pada awal pagi esoknya, mangsa menemui
Pak Da Soh menyatakan pengalaman mereka pada jam 1.00 pagi itu bahawa selepas
kejadian amukan lembaga wanita berkenaan, mereka terus bergegas ke rumah Pak Da
Soh untuk meminta bantuan tentang hal terbabit, tetapi didapati Pak Da Soh
tiada di rumah, lalu mereka tidur di Kampung Sungai Sam itu. Lantas dijawab
oleh Pak Da Soh bahawa beliau dan Pak Ku Li ada di rumah pada masa itu, tetapi
mungkin mereka tidak dapat melihatnya.
Tambah Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga mangsa
bergegas dari rumahnya untuk tinggal di sebuah tempat di Kampung Sungai Sam
pula pada pukul 3.00 pagi itu, beliau beranggapan lembaga wanita itu mengekori
mereka dari belakang untuk membuat gangguan di Kampung Sungai Sam pula. Lembaga
itu memarahi ketiga-tiganya kerana mangsa meminta dengan lembaga itu suatu
benda yang tidak masuk akal tetapi mangsa menolaknya, seolah-olah ingin
mempermainkan makhluk halus itu.
Setelah Pak Da Soh menyoal mangsa berulang kali
tentang rahsia sehingga mereka diperlakukan sedemikian, salah seorang mangsa
memberitahu bahawa mereka meminta nombor ekor untuk "berjudi".
Keceluparan sikap dan tutur kata mereka membuatkan Pak Da Soh menengking mereka
kerana berkelakuan tidak senonoh dan sepatutnya mereka menjaga tingkah laku
ketika berada di tempat-tempat begitu.
Justeru, amat jelas bahawa tutur kata yang tidak
sopan dan bersikap tidak beradat bukan sahaja tidak disenangi oleh kalangan
manusia, namun makhluk halus juga tidak menyukainya dan memandang mereka dengan
jelek. Dengan demikian, berwaspadalah apabila berada di tempat yang asing,
kerana di tempat terbabit sememangnya dihuni makhluk halus yang tidak dapat
dilihat oleh penglihatan manusia. Pengalaman misteri mangsa di Gua Ikan patut
dijadikan sebagai satu pengajaran untuk tidak dilakukan oleh orang lain pula.
Zakaria Mohamed atau Pak Da Soh di gerai makanan miliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan