RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 20 Ogos 2017

Rahsia Gunung Reng


RAHSIA GUNUNG RENG

JELI, KELANTAN: Gunung Reng yang terletak di Batu Melintang di tepi lebuh raya Timur-Barat yang bersempadan dengan Jeli (Kelantan) dan Gerik (Perak) bukan sekadar dalam sejarah lama yang berlaku lebih 1400 tahun lalu. Kejadian luar biasa yang berlaku pada waktu itu sebagai balasan di atas kekejaman manusia terhadap haiwan, apatah lagi perbuatan itu menyimpang jauh dari sifat azali manusia. Manusia sepatutnya mentadbir bumi yang dihuninya itu supaya dalam keadaan aman dan bebas daripada perbuatan keji dan khurafat sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Hadis.

Kisah tragis Gunung Reng memang telah sedia maklum dari satu generasi ke generasi di Negeri Kelantan. Seperti yang diceritakan oleh nenek moyang dan orang-orang tua dahulu, tapak Gunung Reng asalnya sebuah kampung dinamakan Kampung Tala yang dibuka oleh seorang berketurunan Jawa bernama Tok Tadeh.

Sebelum Gunung Reng wujud di kampung berkenaan, kisah bermula apabila Ketua Kampung Tala telah mengadakan kenduri secara besar-besaran dengan mengadakan berbagai jenis permainan rakyat selama tujuh hari tujuh malam dengan dihadiri oleh sekalian penduduk dari kampung itu termasuk penduduk dari kampung berjiran dan acara ini berlangsung sehingga kepada acara penutupnya.

Walau bagaimanapun, pesta permainan tidak selesai setakat itu sahaja apabila jawatankuasa berkenaan telah mengadakan mesyuarat supaya acara luar biasa dipersembahkan sebagai hiburan kemuncak untuk menyerikan lagi suasana pesta berkenaan.

Hasil daripada mesyuarat di antara ketua kampung itu dengan penduduk-penduduk terlibat telah membuat keputusan untuk mengadakan satu persembahan binatang yang berlainan jenis untuk dipertarungkan sebagai menguji kekuatan binatang tersebut. Akhirnya kata putus telah dicapai supaya anjing dan kucing bertarung yang mana gelanggangnya ialah di atas bumbung sebuah rumah di kampung itu.

Mendengarkan keputusan tersebut, penduduk-penduduk kampung tidak sabar-sabar lagi untuk menyaksikan kehebatan pesta yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah manusia yang berakal. Ada yang tidak turun bekerja semata-mata tidak ingin melepaskan peluang untuk ke pesta itu. Malahan terdapat juga yang telah penat bekerja tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya terus bergegas ke tapak pesta sehingga sanggup melupakan waktu mengerjakan solat. Jadi, mereka ke situ semata-mata untuk menghiburkan hati setelah penat bekerja sedangkan pada masa yang sama melalaikan kewajipan ibadat yang perlu ditunaikan.

Dengan itu, apabila waktu Zohor berkumandang, kedua-dua binatang yang tidak berakal dan tidak tahu apa-apa itu dilagakan di atas bumbung rumah dengan disaksikan sekalian ramai penduduk Kampung Tala yang hauskan hiburan. Tetapi ternyata, perbuatan yang jauh menyimpang dari sifat asal manusia pasti akan menerima pembalasan setimpal. Ini kerana, semasa kedua-dua binatang itu sedang bertarung, dengan tidak disangka-sangka berlaku ribut taufan dan hujan yang lebat secara tiba-tiba.

Semasa berlakunya ribut taufan serta hujan lebat itu, seorang perempuan tua yang sedang asyik menyaksikan pesta berkenaan bergegas pulang ke rumahnya di Kampung Gantang yang berhampiran dengan Kampung Tala itu kerana teringatkan padi yang dijemurnya. Dengan itu, setelah selesai mengangkat padi yang dijemurnya itu ke tempat kering dan bebas dari tempias dan percikan hujan, perempuan tua tersebut kembali semula ke Kampung Tala untuk melihat kesudahan pertarungan antara anjing dengan kucing itu.

Tetapi alangkah terkejutnya perempuan tua itu apabila mendapati Kampung Tala tidak lagi kelihatan kerana telah diserkup oleh sebuah gunung yang agak besar dengan meranapkan kampung berkenaan. Jadi, gunung besar yang melingkupkan Kampung Tala dikatakan asalnya terletak di Ulu Sungai Reng, Perak, iaitu kira-kira tiga hari dan dua malam perjalanan di sempadan Kelantan-Perak.
Tempat asal gunung ini telah menjadi sebuah kolam yang agak luas. Hari ini, sungai tersebut masih kelihatan mengalir bersebelahan gunung itu yang mana airnya agak sejuk berbanding dengan sungai-sungai yang lain. Daripada nama Sungai Reng itulah gunung berkenaan kemudiannya dinamakan Gunung Reng.

Beberapa dekad kejadian Kampung Tala diserkup oleh Gunung Reng itu, daripada pandangan paranormal sesetengah penduduk yang masih terselamat daripada malapetaka itu dapat menyaksikan gunung berkenaan seolah-olah tergawang di awang-awangan umpama berada di kayangan dan tidak berpijak di bumi. Mereka dapat menyaksikan gunung tersebut seolah-olah sebuah istana yang mana di puncaknya seperti terbentuk bumbung sebuah istana raja-raja dan dikelilingi awan putih yang ditiupi bayu berpuput lembut.

Gunung Reng itu juga turut menjadi tempat lagenda Puteri Sa'adong dari Bukit Marak bersemayam dan turut menjadikan gunung berkenaan sebagai tempat kediaman buat beberapa ketika. Bilik-bilik yang terbentuk yang merupakan gua dalam gunung berkenaan dikenali sebagai Gua Payong, Gua Bedak, Gua Keca, Gua Rimau dan Gua Batak telah digunakan sebagai tempat hulubalang Puteri Sa'adong untuk bermain makyong.

Pintu masuk Gunung Reng yang dikenali Gua Payong, malahan pengunjung dapat melihat pelbagai bentuk batu yang menyerupai dewan makan, dewan mesyuarat, tempat pertapaan, tiang tambat, kolam, kebun bunga, tapak catur, gong, batu tok bidan, seekor gajah, Taman Permainan Puteri Saadong dan sebagainya.

Semasa Puteri Sa'adong menjadikan Gunung Reng sebagai tempatnya bersemayam, baginda telah mengambil seorang anak perempuan Tok Tala dari sebuah kampung berhampiran yang mana Ketua Kampungnya bernama Tok Tala untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Setelah anak angkat baginda Puteri Saadong meningkat sebagai gadis remaja, Puteri Sa'adong bercadang untuk berpindah ke Gunung Ayam. Lantas kerana kesedihannya berpisah dengan keluarganya, beliau berpantun yang berbunyi:

Gunung Reng Kampung Tala,
Nampak dari Kuala Tadoh,
Kirim kain pada hamba sehelai;
Hendak buat bekas tubuh.

Terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa, selepas peninggalan Puteri Sa'adong dan hulubalangnya berangkat ke Gunung Ayam, seorang belian yang juga Tok Puteri telah naik ke atas puncak Gunung Reng bertujuan untuk melakukan pertapaan sehingga dikatakan, Tok Puteri itu akhirnya menjadi batu. Patung batu belian ini kononnya menghadap ke kuala Sungai Tadoh. Menurut ceritanya, jika terdapat gadis dan wanita yang melalui kuala Sungai Tadoh dengan menyingsing kain, dengan serta merta terjadi muntah darah.

Akibat kejadian seumpama itu menjadikan masyarakat di kampung terlibat menjadi takut. Lantas orang-orang kampung berkenaan meminta pertolongan daripada Tok Puteri dari Negeri Siam. Dengan pertolongan Tok Puteri tersebut, patung batu belian yang terletak di puncak Gunung Reng itu dipalingkan ke arah lain. Dengan demikian, selamatlah penduduk-penduduk kampung terlibat dari terkena kemudaratan yang dikatakan diakibatkan oleh patung batu belian itu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang warga emas, Ismail bin Awang Kechik, 59, atau lebih mesra dipanggil Paksu Mail seorang penduduk asal Kampung Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan ketika menceritakan pengalamannya yang pernah memasuki gua dan mendaki Gunung Reng ketika zaman remajanya berkata, beliau pernah terserempak dengan seekor ular agak aneh dalam gua di gunung itu.

Apabila salah seekornya dipukul, jumlahnya akan bertambah banyak. Malahan beliau sendiri pernah melihat makhluk jin di pintu masuk Gua Payong di gunung tersebut yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Katanya lagi, terdapat juga beberapa ekor kera yang agak jinak tetapi tidak boleh dibela kerana terlalu liar. Dalam gua tersebut juga kelihatan batu dua butir, batu dua tiang, batu pelangi, batu ukiran kain dan batu katil. Itupun berdasarkan kepada penglihatan seseorang.

 Ismail Awang Kechik atau Paksu Mail.

 Apakah kisah Gunung Reng sebagai sejarah, lagenda atau sekadar mitos?

 Gua Payong kaya dengan kisah misteri.

Lekukan ruang gua tempat bertapa. Gambaran pada batu sebelah atasnya seperti seekor biawak.

 Sungai Reng letaknya di hadapan Gunung Reng.

 Sungai Tok Tadoh mencatatkan kisah misteri.

 Papan tanda lama.

 Papan tanda baharu.

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan