RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 30 Januari 2021

Pantai Bisikan Bayu

PANTAI BISIKAN BAYU

PASIR PUTEH, KELANTAN: Pantai Bisikan Bayu yang letaknya di Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan adalah produk pelancongan terawal dibangunkan di jajahan Pasir Puteh. Jarak pantai ini dari bandar Pasir Puteh sejauh 16 kilometer, manakala dari Pekan Cherang Ruku sendiri sejauh tiga kilometer.

Pada masa dulu, Pantai Bisikan Bayu dikenali sebagai Pantai Dalam Rhu adalah sebuah pantai yang cantik dan landai dengan pasirnya yang halus dan memutih boleh dilihat walau dari jarak yang jauh. Pantai Bisikan Bayu ini sering menjadi tempat pertemuan penulis dan penyair bahkan pantai ini juga telah diabadikan dalam buku "Antologi Sajak" terbitan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) berjodol "Bisikan 7".

Ketika tahun-tahun 1980-an dan 1990-an dulu, Pantai Bisikan Bayu begitu aktif dengan menerima jumlah pengunjung yang paling ramai yang bukan sahaja dari masyarakat tempatan tetapi dari daerah-daerah lain di Kelantan.

Pantai ini menjadi terkenal kerana banyak dikunjungi pelajar-pelajar sekolah yang berkunjung sambil belajar dan destinasi akhir adalah ke pantai ini. Selain yang masih diingati di pantai ini yang menjadikan Pantai Bisikan Bayu tersohor ialah dengan keenakan “Satar” atau sate ikan bakar. Ada yang membeli lebih untuk dibawa pulang selain untuk dimakan bersama kawan-kawan.

Walaupun pantai ini juga tersohor dengan aktiviti maksiat di sebelah malamnya sekitar tahun-tahun 1990-an dulu, tetapi pantai sememangnya tidak bersalah kerana bagaimana ia dicorak, pantai tetap berkeadaan begitu. Tetapi manusialah yang mewujudkan angkara durjana sehingga terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat itu.

Manakala pada tahun 2009 pula, Pantai Bisikan Bayu lumpuh dan mati apabila tiada aktiviti apabila tidak lagi dikunjungi pengunjung sama ada di sebelah siang mahupun malamnya. Akibat hal seumpama ini menyebabkan Pantai Bisikan Bayu menjadi lengang seperti “padang jarak padang tekukur” seperti diserang garuda dan jika disaksikan pada sebelah malamnya kelihatannya agak menyeramkan.

Sehingga tahun-tahun 2011, Pantai Bisikan Bayu seolah-olah semakin tidak bernafas apabila pengunjung loya untuk datang kerana pesisir pasirnya yang kotor dan tidak terkawal di samping apabila banyak kayu-kayu hanyut didapati terdampar di pesisir pantai, namun tiada pihak yang memberikan perhatian untuk membangunkan dalam segala segi dalam usaha untuk menarik pelancong dan pengunjung ke pantai berkenaan sebagaimana pada masa-masa dulu.

Sebelum ini, banyak kemudahan asas yang telah disediakan untuk pengunjung di Pantai Bisikan Bayu seperti pondok rehat, chalet penginapan seperti Taman Rehlah, surau, taman permainan, bilik persalinan dan tandas awam hanya sekadar bangunannya sahaja atau kelihatannya seperti sebuah replika tetapi tidak boleh menggunakannya.

Dibimbangkan kemudahan seumpama ini yang dianggap terbiar akan dijadikan tempat sarang maksiat dan penagihan najis dadah. Sementara itu, akibat berlaku peredaran masa dan pengubahsuaiannya, didapati Pantai Bisikan Bayu kurang menyerlah, kemudahan asas yang siap dibina hanyalah pondok rehat semata-mata, sementara kemudahan asas yang lain agak tidak kelihatan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sepatutnya cakna dan jika sikap membiarkannya akan menyebabkan Pantai Bisikan Bayu yang indah dan mempesonakan pada masa dulu pastinya akan mati dan pengunjung tidak lagi mengenali Pantai Bisikan Bayu.

Walau bagaimanapun, kedatangan tahun 2020 telah membawa sedikit perubahan di Pantai Bisikan Bayu apabila telah mula dikunjungi pengunjung dengan wujudnya beberapa aktiviti di pantai berkenaan yang kelihatannya mula aktif dan menampakkan sesuatu perubahan yang memberangsangkan.

Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Kelantan sepatutnya tidak kedekut untuk menyalurkan peruntukan untuk tujuan membaikpulih segala prasarana yang boleh memberikan manfaat dan mendatangkan keselesaan kepada pengunjung.

Mungkin pihak pimpinan Kerajaan Negeri tidak memerlukan pantai dalam minda mereka, tetapi sekurang-kurangnya lihatlah keperluan rakyat pula amnya serta pelancong asing khasnya yang juga boleh memberikan manfaat kepada kerajaan negeri juga.

 
Buku Antologi Sajak "Bisikan 7" diabadikan dari Pantai Bisikan Bayu.

Papan tanda arah ke Pantai Bisikan Bayu dari jalan utama.

Pintu Gerbang Pantai Bisikan Bayu.
 
Batu Asas.

Papan tanda di Pantai Bisikan Bayu.
 



Beginilah suasana pantai dalam konteks hari ini.
 
Kelihatan pondok rehat tidak bermaya. Kayu-kayu hanyut terdampar di pesisir pasir.
 
Gerai makanan ringan bergerak, juga agak lengang.
 


Suasana malam yang agak menyeramkan.
 


Suasana Pantai Bisikan Bayu pada bulan 10 November, 2020.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 27 Januari 2021

Pantai Irama


 PANTAI IRAMA

BACHOK, KELANTAN:  Pantai Irama adalah sebuah pantai yang cantik dan menarik yang letaknya di pinggir bandar Bachok, Kelantan iaitu di laluan yang menghadap Laut China Selatan dengan jaraknya kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu melalui jalan tempatan Kota Bharu – Tawang – Bachok (D5) yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Pada masa dulu, pesisir Pantai Irama berkeadaan landai dan pengunjung yang pernah mandi-manda di pantai ini tidak pernah menaruh rasa bimbang akan berhadapan dengan detik-detik cemas sama ada berhadapan tragedi lemas dan dihanyutkan ombak.

Tetapi kini, Pantai Irama terpaksa ditambak dengan batu-batu kerikil dan sebahagian lokasi pantai ini dilarang untuk masuk ke situ dan menjalankan aktiviti di situ kerana beberapa kejadian lemas akibat dihanyutkan ombak.

Pantai ini sering dijadikan sebagai tempat untuk mengadakan pesta dan pelbagai acara keramaian selain sesuai dijadikan sebagai tempat untuk berkelah, mandi laut, berkuda dan aktiviti bersama keluarga disebabkan pasirnya yang putih dan halus menerima jumlah pengunjung yang paling ramai setiap hari minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.

Disebabkan sering dikunjungi orang ramai dari serata daerah sama ada penduduk tempatan sendiri, terdapat pengunjung dari Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas dan Tumpat yang menjadikan pantai ini sebagai tempat untuk berlibur berikutan hembusan bayunya agak nyaman sesuai dengan namanya Pantai Irama.

Malahan jika dibandingkan di antara seluruh pantai di Negeri Kelantan, Pantai Irama dianggap menduduki carta pantai yang paling ramai dikunjungi oleh orang ramai dari semua peringkat. Bahkan, kalau ingin dinobatkan sebagai pantai yang paling ramai dikunjungi oleh ahli keluarga, maka tepatlah diberikan kepada Pantai Irama boleh jadi agak sesuai jika dikatakan Pantai Irama sebagai pantai keluarga.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Majlis Daerah Bachok (MDB) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung seperti gerai jualan, surau, pondok rehat, tempat parkir kenderaan yang sistematik, dataran, tempat persalinan, taman permainan kanak-kanak, kolam mandi kanak-kanak serta tandas awam berbayar.

Paling menariknya bagi anda yang mengunjungi Pantai Irama kerana dianggap pantai terbuka dalam semua segi. Ini kerana, jika anda mengunjungi Pantai Irama anda akan dapat melihat penjual makanan bergerak sama ada motosikal, van dan gerai jualan di tepi jalan.

Bagi pengunjung yang ingin merasai sendiri pengalaman menunggang kuda juga terdapat di pantai ini secara berbayar di samping terbang dengan belon udara dan sebagainya. Selain, ada segelintir di kalangan pengunjung yang terhibur kerana dapat bermain layang-layang di mana permainan ini turut dijual di pantai tersebut.

Bagi yang tidak gemarkan permainan, ada juga yang berhibur sambil bermain gitar, bermain pasir dan berlari di atas pasir nan putih. Kanak-kanak adalah warga yang paling seronok dilihat apabila mereka ke Pantai Irama kerana selain mereka dapat menghirup bayunya yang nyaman, mereka juga selain dapat melihat alam ini yang menarik, mereka juga dapat melihat kecantikan pantai itu yang membiru bertemankan ibu bapa masing-masing.

Selain dapat menjamu selera di pesisir pantai dengan membawa bekalan makanan dari rumah atau dibeli di gerai dan di restoran yang tersedia, kita jangan lupa supaya tidak membuang sampah merata-rata dan sesuka hati. Ini kerana, tanggungjawab menjaga pantai adalah tanggungjawab pengunjung keseluruhannya.

Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Irama dan bawalah keluarga bersama kerana sememangnya anda tidak akan berasa kecewa apabila bersantai di pantai ini kerana Pantai Irama menjanjikan sesuatu yang menarik dan menghiburkan hati setiap pengunjungnya.

Pintu masuk ke Pantai Irama.

Batu Asas di Pantai Irama. 



Wajah Pantai Irama menggamit pengunjung. 

Setianya ombak menghempas pantai sebagai rakan yang tidak dapat dipisahkan.

Apabila hari semakin menjelang petang, semakin ramai pengunjung masuk ke Pantai Irama.






Pelbagai aktiviti keluarga boleh dilakukan di Pantai Irama.


Kolam mandi kanak-kanak.

Restoran, kedai dan gerai makanan juga disediakan kepada pengunjung.
 

Wartawan RELATIF ingin cuba menikmati ais batu kacang (ABC) di sebuah gerai di Pantai Irama.
Colek buah juga ada penggemarnya yang dijaja oleh penjaja bermotosikal.

Layang-layang dari China juga ada peminatnya.

Tandas awam berbayar.




Lihatlah begitu ramai pengunjung yang berduyun-duyun ke Pantai Irama. Paling menarik mereka bersama keluarga.


Bagi peminat dan penggemar layang-layang, tidak melepaskan suasana itu apabila angin sepoi-sepoi bahasa mula bertiup.

Aktiviti bermain payung terjun dilihat begitu popular di Pantai Irama sekarang.


Tidak ketinggalan aktiviti berkuda. Kanak-kanak dilihat petah menunggang kuda.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 25 Januari 2021

Pantai Sri Tujoh

PANTAI SRI TUJOH

TUMPAT, KELANTAN: Pantai Sri Tujoh yang terletak di Kampung Tujoh, Tumpat, Kelantan asalnya dinamakan "Pantai Tujoh" tetapi satu istilah “Sri” telah ditambah di bahagian tengahnya supaya panggilannya lebih menarik, bersifat komersial dan indah pada pandangan umum. Ia dinamakan Pantai Sri Tujoh untuk menunjukkan terdapatnya tujuh buah teluk atau lebih di kawasan itu.

Dalam konteks geografinya, Pantai Sri Tujoh letaknya berhampiran dengan Pengkalan Kubor dan Stesen Keretapi Tumpat dan pantai ini juga menghadap ke arah Laut China Selatan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand. Terdapat beberapa teluk dan benteng pasir boleh disaksikan di beberapa kawasan pantai berkenaan turut menambahkan lagi keindahan landskap Pantai Sri Tujoh.

Sebenarnya, Pantai Sri Tujoh ditadbir Majlis Daerah Tumpat (MDT) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di antara kemudahan yang disediakan pihak PBT berkenaan untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung seperti rumah tumpangan, tandas awam, surau, dewan orang ramai, restoran dan gerai makanan serta taman kanak-kanak.

Pantai Sri Tujoh menurut catatan pada batu asasnya memang terkenal sebagai tapak Pesta Wau Antarabangsa Kelantan sejak tahun 1983. Pantai ini juga turut dijadikan Tapak Pesta Air Kelantan 2005. Pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, pantai ini dijadikan Tapak Pesta dan Ekspo Perdagangan.

Malah lazimnya, Pantai Sri Tujoh menerima pengunjung paling ramai terutamanya pada cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu, cuti am negeri dan musim cuti persekolahan. Lazimnya juga, kebanyakan pengunjung yang datang ke pantai ini bersama keluarga untuk tujuan menikmati panorama pantainya yang menarik dan mendamaikan. Pantai ini menjadi pantai paling aktif apabila tibanya waktu malam apabila menerima tetamu dan pengunjung untuk menjamu selera.

Sesuatu yang menarik tentang Pantai Sri Tujoh ialah pantai ini kaya dengan landskapnya yang tersusun, selain pokok rhu yang hidup subur seolah-olah sebagai teman menghiburkan pengunjung dengan lambaian bayu berpuput lembut menambahkan lagi kenyamanan dan ketenangan apabila berada di pantai ini, selain terdapat beberapa spesis seperti anak ikan belacak dan ikan jejuluk sebagai penghias di beberapa tasik di pantai ini.

Melihatkan keadaan seni pantainya itu menunjukkan Pantai Sri Tujoh (Tumpat) telah mengalahkan pantai-pantai lain yang ada di Kelantan seperti Pantai Irama (Bachok), Pantai Melawi (Bachok), Kemayan (Bachok), Pantai Senok (Bachok), Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu), Pantai Dasar Sabak (Kota Bharu), Pantai Bisikan Bayu (Pasir Puteh) dan Pantai Tok Bali (Pasir Puteh).

Ini menunjukkan, komitmen yang ditunjukkan dan diambil perhatian oleh Majlis Daerah Tumpat ini yang dapat meningkatkan seni landskap pantainya sehingga menjadi kenangan dan menggamit pengunjung adalah sesuatu yang boleh dipuji dan usaha berkenaan perlu diteruskan dalam usaha untuk melihat pantai-pantai di negara dan di negeri kita dalam keadaan sempurna dan tidak terbiar.

Namun, Pantai Sri Tujoh tidak lagi seperti dulu yang dianggap terbuka kepada pengunjung. Ini kerana, beberapa bahagian di pantai ini adalah milik persendirian yang tidak boleh diceroboh sesuka hati sebagaimana dulu.

Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Sri Tujoh bersama keluarga kerana pengunjung tidak akan rugi malah dapat menghilangkan rasa resah apabila berada di pantai ini.

Papan tanda nama Kampung Tujoh.

 
Pintu Masuk.
 
Batu Asas Pantai Sri Tujoh.


 
Rumah Tumpangan.

 
Masjid yang selesa dan cantik.



Restoran dan Kedai Makan.
 
Tandas Awam.
 
Permainan Air Turut Disediakan Atas Minat Pengunjung.
 

Papan tanda Larangan.



Pemandangan Yang Mempesonakan di Pantai Sri Tujoh.



Pantai Sri Tujoh juga turut diserikan lambaian pokok rhu yang hidup subur.

Ikan Belacak menghiasi Pantai Sri Tujoh.

Ikan Jejuluk gemar memakan makanan ringan yang diberikan pengunjung.



Pengunjung mula membanjiri Pantai Sri Tujoh apabila adanya pesta dan jualan karnival pakaian dan peralatan rumah.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH