EKSPEDISI GUNUNG TEBU KEDUA
(8.8.2008 - 9.8.2008)
BESUT, TERENGGANU: Mendaki gunung adalah aktiviti lasak yang boleh menyihatkan badan walaupun ternyata seluruh badan termasuk urat saraf pasti akan merasai kesakitan selepas itu. Hal seumpama ini untuk menunjukkan bahawa tidak boleh dianggap mudah untuk melakukan aktiviti lasak itu biarpun mempunyai tubuh yang kental dan cergas jika tidak memiliki mental dan fizikal adalah beberapa syarat penting untuk menakluk puncaknya.
Dengan demikian, berikutan ingin merasai pengalaman berbanding aktiviti lasak yang lain, pada 8 Ogos 2008, kami seramai tujuh peserta yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Wartawan RELATIF), Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis), Mohamad Nasiruddin Mohamed Nor (Din), Wan Ibrahim Wan Ismail (Abang Him), Fakhruddin Yusof (Din Bukit) serta Marzuki bin Ghani telah melakukan catatan bersejarah apabila dapat menawan puncak Gunung Tebu, Besut, Terengganu setinggi 7088 meter atau 3,401 kaki itu walaupun terpaksa berhempas pulas selama 13 jam perjalanan dan kami dapat menggapai puncak gunung berkenaan kira-kira jam 1.15 pagi.
Namun sesuatu yang menarik tentang pendakian berkenaan bahawa kami bukan sahaja bertemankan rakan-rakan dari golongan veteran tetapi hakikatnya kami juga turut diperlihatkan beberapa kejadian misteri malah turut diintai oleh makhluk halus seperti jin dan golongan bunian yang mungkin agak hairan dengan kehadiran kami yang terlalu ramai pada hari itu.
Kami bertolak dari Kota Bharu,
Kelantan jam 11.30 pagi, kami kemudiannya tiba di Hutan Lipur Lata Belatan yang
terletak di kaki Gunung Tebu pada pukul 1.15 petang. Kami memulakan pendakian
melalui trek pejalan kaki sehinggalah trek berkenaan berakhir di kawasan papan
tanda batu licin. Setelah melewati Air Terjun Lata Belatan itu, Abang Aziz memaklumkan
kepada Penulis apabila beliau dapat melihat begitu ramai spesis makhluk halus
dari golongan bunian bukan Islam yang sedang memerhatikan ke arah peserta kami.
Bermula dari Air Terjun Lata Belatan itu juga, Anis Sabirin memberitahu kami
telah diekori dua lembaga dari belakang sehingga kami sampai di kawasan
perkhemahan Sungai Cakah Dua yang kini agak lengang akibat peristiwa beberapa
kes remaja dan kanak-kanak yang hilang (ghaib) dan disorok di situ. Sambil
berehat dan membasahkan tubuh untuk menunaikan solat Zohor di samping
mendapatkan bekalan air minum di sebuah aliran air di tasik itu untuk kegunaan
semasa dalam pendakian nanti, Abang Aziz memberitahu bahawa tiga makhluk bunian
telahpun menunggu kedatangan kami di seberang tasik itu.
Dari perbualan alam rohani (meditasi) di antara Abang Aziz dengan makhluk
bunian tersebut, ketiga-tiga makhluk bunian itu memang tidak berapa senang
dengan kehadiran kami yang seolah-olah mengganggu ketenangan masyarakat mereka
pada masa itu. Tetapi golongan bunian itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana
mungkin memahami tujuan kami ke situ lalu mereka berlalu pergi.
Setelah menapak lebih kurang dua jam di Sungai Cakah Dua itu, kira-kira pukul
3.30 petang kami meneruskan aktiviti mendaki dengan melalui denai yang agak
rata. Namun, dari pemerhatian Anis Sabirin beliau agak kurang selesa kerana
kami masih diekori oleh dua makhluk jin, namun beliau tidak mempedulikan hal
tersebut.
Begitu pun, lebih kurang 700 meter lagi untuk sampai ke Batu Mat Hasan dengan
melalui denai Mat Hasan yang agak menarik, Anis Sabirin tiba-tiba terpandang
tiga batang 'tebu aneh' yang warnanya agak luar biasa iaitu 'coklat kehitaman'
di sebelah kanan denai itu. Disebabkan terlalu asyik dan terpesona dengan
bentuk tebu aneh yang luar biasa itu sehingga beliau lupa tentang peringatan
penulis terhadapnya supaya memaklumkan dengan segera kepada penulis jika beliau
terlihat tiga batang tebu aneh di denai itu untuk dirakam gambarnya. Ini
kerana, tiga batang tebu aneh itu sebenarnya tumbuh di alam ghaib yang dimiliki
segolongan makhlu bunian. Tetapi beliau mungkin terlupa dengan pesanan penulis,
akhirnya tebu aneh yang mengandungi geliga bernilai itu ghaib serta merta.
Kejadian tebu aneh muncul dan menjelma kepadanya sebagai alasan untuk
memperlihatkan kepadanya tentang kewujudan 'geliga tebu' dan penempatan
golongan bunian di denai tersebut.
Manakala di beberapa tempat di laluan denai Mat Hasan iaitu sebelum kami sampai
di Batu Mat Hasan, Fakhruddin Yusof (Din Bukit) bersama Abang Aziz begitu asyik
memandang akar yang agak panjang masuk ke dalam sebatang pokok. Menurut Abang
Aziz, sifat akar dan pohon kayu tidaklah luar biasa sebagaimana yang beliau dan
Din Bukit lihat itu. Jika ingin menunjukkan sifat alam, kita biasa menemui akar
melilit batang kayu. Namun, melihatkan fenomena seumpama itu jelas menunjukkan
ada sesuatu yang tersirat dan agak aneh dan pelik yang sengaja untuk
dipertontonkan kepada rombongan ekspedisi kami.
Penulis yang berada di belakang peserta lain kemudiannya mempercepatkan langkah
untuk ke tempat akar masuk pohon kayu itu apabila diminta oleh Abang Aziz bagi
memberikan kesempatan untuk disaksikan sendiri oleh Penulis tentang fenomena
yang agak luar biasa itu. Bagi Penulis, fenomena akar memasuki batang kayu
adalah kali pertama dilihat dan mungkin tidak akan berpeluang untuk melihatnya
lagi untuk kali kedua. Lantas Penulis mencapai kamera untuk merakam detik-detik
luar biasa pada petang itu. Justeru, ketika Penulis 'mengklik' di atas butang
rakam kamera yang tergenggam erat di tangan tanpa melepaskan butang itu,
Penulis dapat menyaksikan gambar yang tertera di skrin kamera didapati pohon
kayu itu kelihatannya seperti sebuah bilik atau singahsana istana raja-raja
yang cukup cantik berwarna kekuningan. Namun, setelah butang kamera diklikkan
dan lensa merakamnya, bilik yang kelihatan cantik berwarna kekuningan tadi itu
kelihatan sekadar akar memasuki pokok kayu iaitu seperti kepala ular memasuki
pokok kayu sahaja.
Setelah memperolehi gambaran tentang fenomena luar biasa itu, Aziz Aziz mengambil
kesempatan itu untuk bermeditasi melalui kaedah kerohanian untuk memasuki alam
makhluk halus. Jadi, berdasarkan makluman Abang Aziz bahawa akar yang memasuki
pokok kayu itu merupakan sebuah istana Raja Bunian berwarna kekuningan yang
mana keluasannya sayup mata memandang dan di bahagian hujungnya kelihatan kabus
berwarna putih yang agak nipis. Dalam hal ini, jelaslah bahawa sepanjang
pendakian kami menuju puncak Gunung Tebu itu sememangnya didiami pelbagai jenis
makhluk halus sama ada golongan langsuir, pontianak,
jin dan bunian yang hakikatnya tidak disedari oleh segelintir pendaki lain
sebelum ini tentang alam, perkampungan dan penempatan mereka yang wujud sejak
gunung itu berdiri megah di situ.
Setelah berhenti beberapa ketika di kawasan akar memasuki pokok kayu itu, kami
kemudiannya meneruskan pendakian sehingga tiba di sebatang pohon tumbang
bersebelahan laluan kami. Penulis dan Abang Aziz tiba-tiba tercium bau yang
agak menyelerakan seakan-akan kuah kari yang sedang dimasak. Pada hemat
Penulis, berkemungkinan bangsa bunian sedang mengadakan kenduri pertunangan
atau perkahwinan berdasarkan bau tersebut. Justeru, ketika Penulis dan Abang
Aziz sedang berbisik, bau kari itu kian semerbak menusuk hidung seolah-olah
mengiakan bisikan kami. Tetapi, apabila Abang Aziz menyatakan bau kari itu
'busuk' seperti bangkai biawak, dengan tiba-tiba bau semerbak itu hilang.
Kami kemudiannya berhenti sementara di sebuah batu besar yang agak luar biasa.
Bukan sekadar berehat dari kepenatan yang mencengkam tubuh badan kami dalam
usaha untuk mengumpulkan dan memulihkan tenaga yang hilang akibat perjalanan
panjang. Namun, penyebab kami berehat di sebuah batu aneh itu apabila Abang
Aziz dan Din Bukit dapat mendengar dengan jelas sepasang suami isteri yang
sedang bertengkar yang mana bunyinya semakin lama semakin lantang yang
datangnya dari arah batu tersebut. Penulis malah termasuk empat pendaki yang
lain tidak dapat mendengar sebarang suara dari batu tersebut tetapi sekadar
melihat ke arahnya apabila diberitahu oleh Abang Aziz dan Din Bukit.
Selepas itu, kami meneruskan pendakian dan perjalanan melalui denai yang agak
panjang dan rata untuk sampai ke Batu Mat Hasan yang agak tersohor yang
terletak di tengah-tengah denai Gunung Tebu. Ini kerana, Mat Hasan adalah
seorang pertapa yang melakukan pertapaan di sebuah gua dalam batu yang berdiri
gagah yang menutupi alur sungai di tengah-tengah gunung tersebut. Gunung Tebu
itu sebenarnya adalah tanah miliknya sendiri dan nama Batu Mat Hasan diberikan
sempena dengan namanya. Manakala Gunung Tebu diberikan nama kerana terdapatnya
tiga batang tebu aneh yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu
(bertuah) sahaja yang juga telah dapat dilihat oleh Anis Sabirin di sekitar
denai Mat Hasan itu itu beberapa minit yang lalu. Ini kerana, tiga batang tebu
itu sebenarnya milik Tok Penghulu Bunian yang mana di dalamnya mengandungi
pelbagai batu permata termasuklah geliga tebu yang agak bernilai.
Individu yang melalui kawasan Batu Mat Hasan ini dikatakan tidak boleh bersuara
sebarangan kerana bukan sahaja akan diganggu dan disakat dengan pelbagai
jelmaan yang menyeramkan. Kejadian yang dialami oleh beberapa pendaki sebelum
ini yang terkena sampuk dan terserempak dengan lelaki berjubah, lembaga arnab
yang besar, lembaga ular dan katak yang saiznya agak luar biasa sebagai petanda
kewujudan pelbagai jenis makhluk halus yang menghuni di kawasan itu yang bukan
sahaja terdiri daripada golongan bunian Islam dan bukan Islam yang tinggal sama
ada di atas batu itu sendiri dan di dalam gua Batu Mat Hasan.
Pendakian kami kemudiannya tiba di Batu Mat Hasan ketika waktu Maghrib menyapa
kira-kira pukul 7.30 malam, bagi menggambarkan malam mula melabuhkan tirainya
dan dalam masa yang sama Penulis dapat mendengar pelbagai suara dari dalam
hutan itu silih berganti. Manakala bagi Anis Sabirin pula, setibanya beliau di
hadapan di Batu Mat Hasan itu, makhluk halus yang mengekori perjalanannya
sebelum ini tidak lagi kelihatan. Tetapi beliau dapat mula melihat lembaga
seperti warga emas (orang tua) sedang memerhatikan rombongan kami. Orang tua
itu menurutnya berpakaian serba putih dan pada waktu yang sama beliau terlihat
kelibat seorang kanak-kanak lelaki berada berhampiran Batu Mat Hasan itu.
Kesempatan dapat berehat di kawasan lapang di hadapan Batu Mat Hasan digunakan
sepenuhnya oleh Penulis untuk merakam gambar sebanyak mungkin dalam suasana
malam pula. Ini kerana, di samping dapat mengetahui kehadiran makhluk halus
yang berdiri berhampiran peserta kami amat jelas apabila bulu roma di lengan
Penulis terasa meremang beberapa kali. Di antara gambar yang dirakam dalam
suasana itu termasuklah Batu Mat Hasan dan sekitarnya termasuk lubang gua Batu
Mat Hasan.
Menariknya tentang Batu Mat Hasan di waktu malam itu apabila mata Penulis pada
awalnya dapat melihat dengan jelas wajah makhluk halus seperti manusia,
kepalanya agak bulat dan masih sihat tetapi rambutnya agak beruban untuk
menunjukkan usianya sekitar 50 hingga 60 tahun (bagi umur manusia) yang sedang
berdiri di atas batu tersebut. Manakala di dalam gua Batu Mat Hasan pula,
kelihatan makhluk halus seperti seorang lelaki dewasa sedang melakukan wirid
dengan memandang tepat ke arah kamera Penulis yang dihalakan ke muka gua
berkenaan.
Selepas kami berehat sekurang-kurangnya setengah jam di kawasan lapang di
hadapan Batu Mat Hasan itu, kira-kira jam 8.10 malam kami meneruskan perjalanan
panjang dalam suasana yang semakin gelap. Kali ini corak pendakian kami agak
memenatkan kerana terpaksa mendaki laluan yang agak tinggi sementelah pula
tenaga yang ada turut dibebani dengan beg kamera, bekalan makanan dan minuman
serta kain selimut. Menurut Anis Sabirin bahawa, semasa kami meninggalkan Batu
Mat Hasan untuk mendaki laluan yang berbukit itu, dari pemerhatiannya dalam
suasana hitam pekat itu sambil dibantu cahaya lampu suluh yang tergenggam erat
di tangannya, beliau dapati banyak makhluk halus yang berpakaian serba putih
sedang bersembunyi dalam tunggul dan pohon-pohon kayu yang buruk. Manakala bagi
Din Bukit pula sebagai juru pandu pendakian kami berasa agak gusar kerana buat
beberapa saat, beliau dapati tidak kelihatan laluan kerana dibenteng dinding
gelap walaupun itulah laluan sebenar yang patut kami lalui. Melihatkan suasana
berkenaan, Penulis cuba
menyuluh benteng gelap yang menutup dan menghalang laluan kami itu. Tetapi
cahaya lampu tidak dapat menembusinya. Ini salah satu cara permainan makhluk
halus yang berkampung di kawasan itu yang ingin melambatkan perjalanan kami dan
kemungkinan jika kami teruskan juga, natijah buruk mungkin berlaku. Lantas
Penulis meminta supaya peserta kami berehat selama lima minit, kemungkinan benteng itu akan
dibuka semula selepas masa berkenaan tamat. Ternyata benar, kerana selepas masa
berkenaan berakhir, kami akhirnya diperlihatkan jalan yang sepatutnya kami
lalui.
Beberapa ketika kemudian, kami tiba di sebuah tempat yang dikenali 'Jendela
Pandang' melihatkan dalam kesamaran cahaya langit walaupun di tengah-tengah
hutan apatah lagi dalam suasana yang gelap pekat itu. Setelah peserta kami tiba
di situ, Penulis menghalakan lampu suluh ke arah papan tanda berkenaan. Kami
terpaksa berhenti beberapa minit di kawasan Jendela Pandang berikutan
perjalanan kami dirasakan berat dan lambat. Dari maklumat yang Penulis perolehi
bahawa, beberapa pendaki yang pernah melalui kawasan berkenaan mendakwa laluan
itu memang tempat makhluk bunian bersuka ria.
Setelah beberapa meter mendaki, akhirnya kami sampai di tempat 'Punca Air.
Dikatakan punca air bermaksud, hanya di kawasan itu sahaja pada pendaki Gunung
Tebu boleh mendapatkan bekalan air minum untuk dibawa sampai ke puncak gunung
itu nanti. Jika bekalan air tidak diambil di situ, tidak ada lagi tempat
bekalan air yang boleh diperolehi, akibatnya tekak terpaksa menahan keperitan
dahaga dan dalam keadaan ini tentunya pendakian menjadi lambat atau terasa pincang.
Di antara ingin atau tidak, kami perlu berjalan menuruni lembah itu untuk
mendapatkan bekalan air dari air terjun di situ. Lantas bersama-sama lima
pendaki yang lain, Anis Sabirin segera mencapai tiga botol bekas air mineral
untuk tujuan mengisikan air, sementara Penulis dan Din Bukit berehat buat
beberapa ketika sambil menunggu perkakasan mendaki termasuk beg sandang dan
bekalan makanan.
Penulis yang agak kepenatan akibat memikul beban kedua-dua beg yang terlalu
berat mengambil kesempatan untuk berehat sambil menyandarkan tubuh di sebatang
pohon kayu yang agak sederhana kecil berhampiran laluan di kawasan punca air
itu. Ketika itu, malam semakin pekat di tengah hutan, Penulis tidak pedulikan
apa yang bakal berlaku akibat terlalu penat disebabkan entah berapa gelen
keringat memercik keluar. Sambil menyandarkan beg, Penulis dapat merasakan
berlakunya perubahan cuaca pada malam itu dan dari arah kanan, ekor mata dapat
melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian putih yang Penulis agak
sebagai 'langsuir' sedang terbang dalam gerak perlahan betul-betul di hadapan
Penulis. Tetapi sayangnya, sewaktu Penulis cuba mencapai kamera untuk merakam
detik-detik pada malam itu, dengan tiba-tiba lembaga perempuan berpakaian putih
itu terus ghaib.
Akhirnya, setelah berhempas-pulas terpaksa mengharungi badan yang semakin penat
akibat terlalu berat membawa kedua-dua beg dari hadapan dan belakang seperti
beg berisi kamera, makanan, peralatan memasak serta pakaian termasuk tikar dan
kain selimut, Penulis dan rakan-rakan yang lain akhirnya berjaya menawan puncak
Gunung Tebu yang tingginya 1,036 kilometer atau 7,808 meter bersamaan 3,401
kaki yang mana pada ketika itu jam di tangan menunjukkan 1.15 pagi. Tidak ada
yang lebih selesa dan dapat dirungkai dengan kata-kata selain dapat meletakkan
kedua-dua beg sandang yang terlalu berat termasuk dapat menjamah sedikit
makanan kerana Penulis sememangnya kelaparan sejak singgah di tempat Punca Air
tadi lagi. Dengan merasai segelas minuman seperti milo, roti dan mi segera buat
mengulas perut yang sudah berkeroncong selain dapat mengembalikan tenaga yang
telah hilang, barulah timbulnya perasaan lega di hati Penulis.
Setelah dapat menikmati juadah pada pagi itu sambil menghayati suasana cahaya
langit dengan bertemankan lampu malam yang disediakan pihak Jabatan Perhutanan
di puncak Gunung Tebu itu, Penulis dapat merasakan sesuatu yang tidak diundang
bakal berlaku iaitu 'hujan'. Memang benar, hujan mula turun pada pukul 2.15
pagi diikuti angin dingin berpuput lembut dan selepas itu kabus mula menyapa
kami. Walaupun kami tidak bersedia dengan khemah kerana terlalu keletihan,
tetapi kami memang bersedia dengan plastik khas yang boleh menutup kami dari
disimbah hujan itu. Jadi, kami akhirnya tertidur berbumbungkan sebatang pohon
bonsai gunung sambil bersandarkan kepada baju panas dan kain selimut yang
dibawa khas untuk tujuan berkenaan.
Manakala pada pagi 9 Ogos, 2008 keesokannya, tatkala Subuh menyapa tidur kami
dan ada di antara rakan-rakan pendaki yang masih enak dibuai mimpi disebabkan
terlalu keletihan, Penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam beberapa
keping gambar berhampiran sebuah batu dan rumpunan pohon-pohon yang tumbuh di
tengah-tengah lorong (laluan) di puncak gunung itu dikenali Taman Santai
Bunian. Dari rakaman itu, memang banyak wujudnya makhluk halus seolah-olah
sedang memerhatikan ke arah kami.
Lebih kurang jam 9.30 pagi pula, peserta kami bergerak ke sebuah batu agak
besar yang luar biasa dikenali 'Batu Madrasah'. Pada hemat Penulis, tempat yang
kami tuju itu adalah Taman Bunian kerana selain terletaknya Batu Madrasah,
beberapa jenis tumbuh-tumbuhan pelik seperti 'sawat harimau', limau aneh dan
pohon buluh hutan wujud di situ yang tidak ada di tempat lain yang mana
tumbuh-tumbuhan ini adalah pohon herba yang boleh merawat penyakit batu karang
telah ditemui oleh Abang Aziz serta Mohd. Nasiruddin.
Akhirnya ketika jam menunjukkan 12.30 tengah hari pada hari yang sama, kami
mula meninggalkan kawasan Batu Madrasah itu untuk bertolak pulang dan menuruni
puncak Gunung Tebu. Dalam masa menuruni puncak Gunung Tebu itu, hanya Penulis,
Anis Sabirin dan Mohd. Nasiruddin sahaja yang masih tinggal di belakang,
sementara rakan-rakan veteran yang lain telah lama maju ke depan meninggalkan
kami bertiga.
Walau bagaimanapun, Penulis tidak menaruh sebarang kebimbangan tentangnya. Ini
kerana, sesuatu yang diharapkan Penulis untuk mendapatkan sesuatu yang
sepatutnya memang telah berlaku secara misteri ketika kami melangkah turun dari
gunung berkenaan. Ketika kami bertiga melangkah turun perlahan-lahan sambil
melihat dan menikmati pemandangan di sebelah siangnya, kami bertiga memang
bertuah kerana dapat melihat dengan jelas setiap akar, pasir, batu dan daun
yang kami temui dan lihat seperti emas. Namun, kami bertiga tidak mengambilnya
kerana kami ke situ bukan untuk menceroboh perkampungan makhluk bunian apatah
lagi untuk mengambilnya sesuka hati.
Selepas itu, kami bertiga tiba berhampiran Batu Mat Hasan. Penulis dapat
melihat sekuntum bunga putih yang agak menarik, namun apabila gambarnya dirakam
didapati bunga itu adalah kulat. Akhirnya apabila kami melintasi Batu Mat
Hasan, Penulis cuba
mencari akar yang memasuki batang kayu di tempat Penulis merakam petang semalam
(8.8.2008) yang dikatakan Istana Raja Bunian itu. Penulis dapati akar yang
memasuki kayu itu tidak lagi kelihatan (ghaib) dan sepohon kayu tumbang yang
kami terhidu bau kari tidak lagi wujud. Menariknya bagi kami bertiga menurut
Anis Sabirin bahawa, beliau dapat merasakan langkah kami bertiga menuruni
gunung berkenaan selepas melintasi sepohon kayu tumbang yang didakwa dihuni
pelbagai spesis makhluk halus itu menyebabkan perjalanan kami agak lambat dan
seolah-olah kami melalui laluan yang sama berulang kali.
Sementara Anis Sabirin yang turut mendakwa dapat melihat tiga batang tebu aneh
yang kemudiannya ghaib di kawasan denai Mat Hasan juga tidak lagi kelihatan di
tempat yang dilihatnya semalam. Apa yang dilihatnya sekadar pohon-pohon kayu
renek dan sebahagiannya pokok yang agak tinggi semata-mata.
Akhirnya, setelah tiba kembali di Sungai Cakah Dua, kami bertiga membasahkan
tubuh masing-masing sambil mendapatkan bekalan air tasik berkenaan untuk
dinikmati dalam perjalanan turun ke kaki gunung berkenaan. Kami kemudiannya
tiba di kaki Gunung Tebu iaitu di Sungai Belatan tepat waktu azan Maghrib.
Berakhirlah misi ekspedisi pendakian kami di Gunung Tebu bagi tahun 2008 yang
paling berjaya kerana dapat menawan puncak Gunung Tebu dalam cuaca yang agak
lembab.
Batu Santai Bunian Di Puncak Gunung Tebung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan