RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 5 Februari 2021

Pantai Teluk Gadong


 PANTAI TELUK GADONG

DUNGUN, TERENGGANU: Pantai Teluk Gadong yang letaknya di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu adalah sebuah pantai yang agak cantik dan menarik sesiapa yang melihatnya. Selain keadaan landskapnya yang rata, keadaan pantai ini agak berteluk di beberapa lokasi. Jadi, agak sesuailah jika pantai ini dinamakan Pantai Teluk Gadong.

Pantai Teluk Gadong ini letaknya berhampiran dengan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun dan kira-kira 8 kilometer dari bandar Dungun. Pantai ini sebenarnya bersambung dengan Pantai Teluk Lipat yang juga letaknya di Dungun.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Dungun (MDD) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) umpamanya kemudahan pondok rehat, parkir kenderaan yang agak luas, gerai makanan dan restoran, tempat solat, tandas awam serta tong sampah.

Sampah yang setiap hari dipungut oleh pekerja Majlis Daerah Dungun akan menjadikan pantai ini sentiasa bersih dan sejuk mata memandangnya. Atas sebab ini, ramai juga pengunjung yang singgah untuk menikmati pemandangan dan menghirup ketenangan di pantai itu.

Tiupan bayu yang sentiasa berhembus di pantai ini seolah-olah tidak malu menyambut pengunjung dengan hembusannya yang sepoi-sepoi bahasa dan kadang-kadang agak laju juga. Dalam hal ini, kita sebagai pengunjung yang sejak awal berasa agak panas dan rimas kerana terlalu lama berada dalam kenderaan tentunya akan merasai kesegarannya tatkala menjengahkan kaki di pantai ini yang seolah-olah hembusan bayu itu bagaikan meraikan kehadiran pengunjung ke tempat itu. Salah satu sebabnya hembusan sedemikian itu kerana terdapat banyaknya pokok-pokok rhu yang tumbuh subur menghiasi dada pantai ini bermula dari pangkal sehingga tiba di hujungnya.

Bentuk geografi Pantai Teluk Gadong ini sebenarnya agak memanjang di mana di bahagian hujungnya terdapat sebuah bukit dan sebuah tasik yang agak tenang dan menarik. Di dalam tasik ini pula didiami spesis ikan yang sering bermain di sebuah pelantaian tangga di tasik tersebut.

Tidak pasti adakah spesis ikan tersebut sudah sinonim dengan kehadiran pengunjung sebelumnya melihatkan penghuni tasik itu yang begitu jinak apabila melihat kehadiran manusia ke tasik tersebut. Apabila dicampakkan makanan, ikan-ikan tersebut berebut-rebut untuk mendapatkannya sebagai rezeki ikan-ikan itu hari itu. Tetapi melihatkan sifat ikan-ikan di tasik itu dipercayai sebagai penyeri wajah tasik itu kerana setiap adanya air yang dalam pastinya ada ikan-ikan yang dimaksudkan sebagai penghuninya.

Sesuatu yang agak menarik tentang Pantai Teluk Gadong bukan sahaja tentang keindahan pantai dan suasananya yang hening dengan hembusan bayu pantai serta deruan ombak menghempas pantai diibaratkan sebuah irama yang lazim bagi kebanyakan pantai yang menerbitkan alunan muzik yang asli, begitu juga dengan Pantai Teluk Gadong ini. Selain pokok rhu yang tumbuh subur, keadaan pasirnya yang memutih dan berkilau ketika menanti pancaran sinar mentari menambahkan lagi serinya suasana di Pantai Teluk Gadong ini.

Selain keadaan pantainya yang memukau pandangan, keadaan tasiknya yang berteluk itu seolah-olah permai apabila memandangnya dari tepi hingga di bahagian hujungnya. Mungkin di pantai-pantai lain tidak sebagaimana Pantai Teluk Gadong yang mempunyai tasik, begitulah halnya dengan pantai ini yang seolah-olah berbeza dari pantai yang lain.

Walaupun telah tular di media sosial dan laman sesawang tentang bahayanya pantai ini sebagai tempat mandi-manda, namun sebagai pengunjung kita perlulah berwaspada ketika menjejakkan kaki di pesisir atau mandi-manda di pantai itu. Ini kerana, akibat cuai akan mengundang malapetaka yang kita sendiri tidak menyedarinya.

Justeru, jika anda mempunyai kesempatan masa di musim cuti, silalah berkunjung ke Pantai Teluk Gadong yang terletak di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu ini kerana pantainya menjanjikan ketenangan dan kedamaian jika anda berharap kepada kenyamanan dan pemandangan yang indah, Pantai Teluk Gadonglah tempatnya.

 
Suasana Pantai Teluk Gadong

Keadaan pasir pantainya yang putih dan memukau pandangan
 
Ombak sering menghempas pantai terutamanya ke sebuah bukit di hujungnya
 
Persekitaran yang teduh di Pantai Teluk Gadong kerana dilitupi pokok rhu dan kelapa menghiasi dada pantainya
 


Pondok Rehat, salah satu kemudahan utama kepada pengunjung
 
Kerusi Rehat juga disediakan di tempat yang sesuai
 
Kemungkinan kawasan ini adalah laluan atau caruh air terjun yang telah kering
 




Suasana tasik dan teluk yang mendamaikan turut menyerikan lagi Pantai Teluk Gadong ini
 
Spesis ikan sering bertandang ke pelantaian ini apabila terlihat pengunjung
 

Tasik dan Pantai setia menanti kehadiran pengunjung

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan