RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 1 Februari 2021

Pantai Tok Bali


 PANTAI TOK BALI

PASIR PUTEH, KELANTAN  Pantai Tok Bali yang letaknya dalam jajahan Pasir Puteh, Kelantan pada asasnya adalah sebuah pantai yang menarik dengan hembusan bayu yang menyamankan berikutan terdapatnya pokok rhu yang melambai-lambai seolah-olah memanggil pengunjung ke pantai itu. Jaraknya dari bandar Pasir Puteh sejauh kira-kira 16 kilometer di mana projek pembukaannya bersama dengan pembinaan Terusan Semerak yang dibangunkan  oleh Projek Kemasin-Semerak (Perkasa).

Pantai ini dikatakan mendapat jolokan atau mungkin juga diabadikan dari nama Kampung Tok Bali, malah difahamkan Tok Bali adalah seorang pengembara dari Pattani, Siam lalu meneroka penempatan berkenaan. Pada masa dulu, pantai ini menjadi agak tersohor sebagai lokasi pendaratan ikan di Pasir Puteh. Sebab itu, kalau ada yang bertanya “ikan dari mana”, tentunya ada yang menjawab ikan dari Tok Bali.

Kawasan tepi Pantai Tok Bali amat sesuai untuk sebarang aktiviti seperti mandi-manda, berkelah, berkhemah dan memancing. Malah membicarakan tentang aktiviti memancing, sejak dari dulu Pantai Tok Bali adalah lokasi sesuai yang paling digemari oleh kalangan kaki pancing kerana tempat berkenaan amat sunyi pada waktu malam sementelah pula persekitaran lautnya yang terbuka yang menjadi laluan bot-bot nelayan.

Walaupun Pantai Tok Bali tidaklah seluas dan selebar sebagaimana pantai-pantai lain di Kelantan, namun pantai ini tetap menjadi tumpuan pengunjung terutamanya sempena cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu, cuti persekolahan, cuti umum dan cuti am negeri.

Mungkin disebabkan pantai ini letaknya berhampiran dengan Pantai Bisikan Bayu yang juga di Pasir Puteh apatah lagi dengan pembinaan “lebuh raya pantai” yang menghubungkan Kota Bharu dan Kuala Terengganu melalui jalan pantai atau mungkin juga pengunjung memang gemarkan dengan keadaan pantai berkenaan yang seolah-olah berteluk dan laluannya berliku yang letaknya seperti di sebuah tanjung menyebabkan sering menjadi tumpuan pengunjung.

Di antara kemudahan yang disediakan di Pantai Tok Bali seperti penginapan yang selesa, surau, pondok rehat, gerai makanan dan restoran, tandas awam dan tong sampah. Kemudahan berkenaan yang letaknya berhampiran dengan pinggir pantai, menjadikan pengunjung yang menjamu selera di gerai-gerai itu pastinya tambah berselera apatah lagi ditemani sang bayu yang sentiasa bertiup sepoi-sepoi bahasa walaupun di musim kemarau sambil mendengar deburan ombak menghempas gigi pantai.

Turut disediakan untuk pengunjung bagi melakukan aktiviti berdekatan pantai pada malam hari ialah beberapa buah rumah penginapan berharga murah bagi orang ramai yang ingin menikmati dan menyaksikan suasana pada waktu malam di Tok Bali di samping memancing ikan di muara atau terusan Tok Bali.

Selain itu, pemandangan menarik di waktu siang hari juga boleh dinikmati di kawasan rumah api di mana kawasan berkenaan kaya dengan hembusan bayu yang menyegarkan, sesuai untuk aktiviti merakam gambar pemandangannya sambil santai-santai di sana. Kecuali di waktu malam, pantai ini tidak aktif dan keadaan itu menjadikan suasananya yang agak sunyi.

Justeru, bagi anda yang mempunyai ruang masa atau untuk menenangkan fikiran dan jiwa yang resah, silalah berkunjung ke Pantai Tok Bali kerana di pantai berkenaan amat sesuai untuk itu dan anda akan lupa segala-galanya apabila berkunjung ke Pantai Tok Bali.

Replika bot nelayan, lambang dan mercu tanda Tok Bali. 






Pemandangan Pantai Tok Bali.


Rumah Api.


Pemandangan Jambatan Tok Bali.

Lokasi kaki pancing dengan hobi mereka.

Pemandangan dalam rhu di pesisir Pantai Tok Bali.

Rumah Penginapan dan Surau.


Gerai Makanan di Pantai Tok Bali.

Tandas Awam.


Pondok Rehat di pinggir Pantai Tok Bali.



Suasana malam yang sunyi dan tidak aktif.


Restoran dan Kedai Makan berhampiran dengan Pantai Tok Bali.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan