RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 3 Februari 2021

Pantai Bukit Keluang


 PANTAI BUKIT KELUANG

BESUT, TERENGGANU: Pantai Bukit Keluang yang letaknya di Kampung Bukit Keluang, Besut, Terengganu yang berjarak 140 kilometer dari bandar Kuala Terengganu dan empat (4) kilometer dari Pekan Kuala Besut memang tersohor sebagai sebuah pantai, tempat peranginan dan perkelahan menarik apatah lagi telah banyak dirakam di dunia maya kerana keunikannya. Keadaan ini agak jelas, di kawasan pantai peranginan ini dialiri air masin (air laut) manakala di sebelah belakang Bukit Keluang pula adalah Pantai Air Tawar.

Lazimnya, kawasan Pantai Air Tawar yang letaknya di bahagian belakang Bukit Keluang menjadi tempat aktiviti kaki pancing untuk mengail pelbagai jenis ikan air tawar seperti ikan keli, haruan dan pelbagai jenis ikan yang lain. Pengalaman Wartawan RELATIF ketika berkunjung ke Bukit Keluang pada 31 Disember, 2011 masih dalam ingatan apabila seekor ikan haruan tiba-tiba melompat dari gigi air pantai air tawar itu setelah selesai berkata “jika betul ada ikan dalam air itu, harap lompatlah ke darat”.

Terkejut dengan kejadian aneh itu, Wartawan RELATIF cuba merasa air tersebut dan amat jelas, air yang mengalir di bahagian belakang Bukit Keluang itu adalah air tawar yang mungkin dihuni pelbagai spesis ikan air tawar lain. Wartawan RELATIF kemudiannya membawa pulang ikan haruan itu lalu dilepaskan di Sungai Pulong, dekat Pasir Hor, Kota Bharu seminggu selepas itu.

Bukit Keluang mempunyai latar belakang dan sejarah yang tersendiri sehingga bukit berkenaan mendapat nama. Selain pernah dikatakan kawasan bermisteri yang hanya diketahui oleh kalangan penduduk di kawasan itu, Bukit Keluang sebenarnya menjanjikan ketenangan kepada pengunjung yang berhasrat untuk menyedut udaranya yang menyegarkan di samping untuk melihat pasirnya yang putih dan pesisir pantainya yang landai.

Di sebalik bukit yang berdiri gah berhampiran air masin dan air tawar itu, Bukit Keluang memberikan ketenangan, kenyamanan berikutan hembusan angin yang menerpa dari kedua-dua arah bukit dan dari arah pantai itu tentunya akan melupakan segala keresahan dan masalah yang membungkam jiwa tatkala berkunjung ke Bukit Keluang ini.

Menjelaskan tentang sejarah sehingga dinamakan Bukit Keluang, seorang penduduk jati, Razali bin Hussin atau Abang Li Bonsai, 51, dari Kampung Bukit Keluang, Besut, Terengganu ketika ditemui Wartawan RELATIF berkata, Bukit Keluang mendapat nama dari seorang pahlawan wanita bernama "Khu Foo Luan" yang berasal dari Thailand yang telah melarikan diri lalu berkampung di tempat itu. Ketika lanjut usianya, orang-orang Melayu memang sukar untuk menyebut namanya yang terlalu panjang, jadi alternatif paling mudah mereka memanggilnya "Kluang'.

Katanya, pada masa dulu, Bukit Keluang adalah sebuah pulau di mana satu sumber menyebut, Bukit Keluang dikenali juga sebagai 'Pulau Perhentian Darat'. Ini kerana, banyak batu karang laut yang hanya terdapat di pulau-pulau tetapi tidak pernah ditemui di pantai, amat jelas Bukit Keluang termasuk dalam kategori itu. Sebab itulah, sehingga hari ini kesan-kesan peninggalan batu karang masih lagi wujud namun telah semakin berkurangan akibat dijadikan kawasan peranginan.

Menurutnya, ketika beliau masih dalam usia kanak-kanak kemudahan jalan raya yang menghubungkan ke Bukit Keluang masih belum diturap malah masih diselubungi debu. Kemudiannya setelah Bukit Keluang dibuka secara rasmi untuk dijadikan kawasan peranginan pada tahun 1980 oleh Tan Sri Yusoff Nor menyebabkannya berubah wajah. Selepas pembukaan kawasan peranginan tersebut, orang Kelantan adalah golongan terawal santai-santai di situ sambil menghirup udaranya yang segar di samping menikmati panoramanya yang indah.

Malahan bagi yang pernah mendaki dan berada di puncak Bukit Keluang ini tentunya pengunjung berkenaan akan dapat melihat Pulau Perhentian.

Banyak kemudahan telah disediakan oleh pihak Majlis Daerah Besut (MDB) khusus buat pengunjung untuk ke Bukit Keluang seperti surau, wakaf rehat, taman permainan kanak-kanak, titian tasik air laut, laluan (tangga) merentas bukit, gerai makanan, tandas awam, tong sampah dan papan tanda amaran “larangan membuang sampah” turut dipasang di kawasan kaki bukit berkenaan.

Justeru, jika ada masa lapang terutamanya apabila tibanya musim cuti sekolah, cuti mingguan (Jumaat dan Sabtu) atau cuti khas dan cuti umum, bawalah keluarga anda untuk bersantai di Pantai Bukit Keluang. Anda akan memperolehi keuntungannya apabila ke bukit berkenaan kerana kawasan berkenaan memberikan ketenangan dan kenyamanan udaranya yang tidak lokek untuk berhembus ketika anda berada di pantai itu.

Simbol Bukit Keluang






Pemandangan bahagian hadapan Bukit Keluang (lokasi pantai, kawasan peranginan dan perkelahan)


Pantai Air Masin

Surau
 

Pondok Rehat
 

Taman Permainan Kanak-Kanak
 


Titian Tasik Air Laut
 
Tangga mendaki bukit
 
Gerai Makanan
 
Tandas Awam
 
Tong Sampah
 
Papan tanda “larangan membuang sampah”
 

Pemandangan belakang Bukit Keluang (kawasan Pantai Air Tawar)
 

Pantai Air Tawar
 
Seekor ikan haruan melompat dari dasar Pantai Air Tawar ke daratan (dalam bulatan)
 
Jeti kaki pancing, lokasi memancing ikan air tawar
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan