RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 10 September 2017

Ekspedisi Bukit Sejuk


EKSPEDISI BUKIT SEJUK
(26.1.2009)

GUA MUSANG, KELANTAN: Bukit Sejuk yang terletak di Kampung Chiku Satu, Gua Musang, Kelantan adalah sebuah bukit yang amat sejuk memang sesuai dengan namanya. Sejak perkampungan berkenaan dibuka dengan rasminya pada tahun 1960, Bukit Sejuk sudahpun berdiri gagah sejak azali yang berjarak 21 kilometer dari bandar Gua Musang. Bukit ini pada masa dulu menjadi laluan pencari teras kayu seperti kemuning hitam, aktiviti pembalakan serta menjadi kawasan kawanan 30 ekor gajah-gajah liar di sekitar bukit tersebut menjelang pagi.

Walau bagaimanapun, Bukit Sejuk bukan sekadar sebuah bukit yang berdiri tegak di situ tetapi tanpa diketahui umum, di bawahnya terdapat sebuah gua yang boleh memuatkan kira-kira 15 orang. Gua tersebut juga dikatakan bukan sahaja dihuni haiwan liar seperti kambing hutan, tetapi merupakan penempatan segerombolan makhluk halus yang dipimpin oleh seorang ketuanya bernama Tok Fakir berusia 600 tahun yang mempunyai pengawalnya seekor kucing bermata hijau serta seekor ular sebesar "Anaconda" sering muncul di laluan utama Kampung Chiku Satu setiap kali menjelang lewat petang hingga waktu pagi.

Semenjak laluan utama bagi pengguna jalan raya dari Kota Bharu - Gua Musang - Kuala Lumpur siap dan dibuka beberapa tahun sebelumnya dengan melalui Bukit Sejuk itu, bukit tersebut masih berdiri megah di tempatnya, ketika itu belum berlaku kejadian misteri dan ngeri terhadap mangsa.

Sehinggalah nahas ngeri pada 2 Januari, 2009 yang meragut 10 nyawa kira-kira satu kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R & R), barulah nama Bukit Sejuk mula mendabik dada, malahan terdapat pemandu kenderaan yang perlu melalui kawasan itu bukan sahaja perlu berhati-hati kerana terdapat juga di kalangan mereka yang diserang perasaan takut. Malahan setakat tarikh tersebut, telah berlaku 44 kes nahas jalan raya dan ramai yang menganggap Bukit Sejuk memang bermisteri dan terdapat juga individu yang menggelarkan Bukit Sejuk sebagai 'puaka Gua Musang'.

Bagi penulis, kekerapan kejadian nahas ngeri di kawasan Bukit Sejuk adalah suatu gangguan ghaib di jalanan sehingga berlakunya kejadian sedemikian. Oleh itu, dalam usaha untuk mengekang kejadian sedemikian, pada 26 Januari, 2009 penulis bersama peserta ekspedisi seramai sembilan orang telah melakukan "Ekspedisi Bukit Sejuk" yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis-Kota Bharu), Aziz Haji Daud (Abang Aziz-Kota Bharu), Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis-Kota Bharu), Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din-Machang), Fuad bin Alwi (Machang), Mohd Nordin Yaacob (Din Prodata-Gua Musang), Abd. Ghani Ismail (Jurupandu, Gua Musang), Rahimi bin Mohamad (penduduk tempatan) serta Azwan bin Azahari (penduduk tempatan).

Dari Kota Bharu, kami bertolak jam 11.00 pagi dan tiba di Kampung Chiku Satu kira-kira jam 2.30 petang. Kira-kira satu kilometer untuk tiba di Bukit Sejuk, Abang Aziz cuba melakukan meditasi dengan menyelam secara ghaib untuk melihat dan bertanya khabar makhluk yang mungkin wujud di bukit tersebut. Dan memang ternyata, ia telah disambut oleh makhluk halus yang paling berusia yang memperkenalkan dirinya dengan nama Tok Fakir berusia 600 tahun bahawa beliaulah ketua bagi makhluk halus di Bukit Sejuk yang menetap di dalam gua bukit itu, malahan kejadian nahas yang berlaku di persekitaran bukit tersebut memang angkara dirinya atas sikap manusia sendiri.

Apabila sampai di pinggir jalan Bukit Sejuk, kami seramai sembilan peserta mula meredah dan mendaki ke Bukit Sejuk yang mana jarak laluan utama ke tempat yang dituju jaraknya kira-kira 2 kilometer. Untuk sampai ke Bukit Sejuk, bukan sahaja kami terpaksa meredah semak-samun dan hutan belukar yang tidak pernah terusik, apabila sampai di sebuah kolam air terjun, kami terpaksa mendaki curamnya secara perlahan-lahan dan seorang demi seorang kerana laluan itulah yang dapat kami mendaki.

Selang kira-kira setengah jam kemudian, kami menemui sebuah lata dan anak sungai yang mana airnya telah kering, cuma tinggal batu-batu kecil sahaja yang kelihatan. Di kawasan anak sungai itulah, kami dapat merasai kesejukan hawanya, kerana asal di situlah nama Bukit Sejuk mendapat nama. Bagi penulis, melihatkan suasana sedemikian, sudah tentu jarak antara kami dengan Bukit Sejuk tidak berapa jauh lagi dan dari situ kami tiba di gua Bukit Sejuk dengan jarak masa selama satu jam.

Dari kawasan lata, kami meneruskan perjalanan untuk ke gua Bukit Sejuk sehingga kami tiba di sebuah kawasan agak sedikit lapang. Ketika kami berdiri di kawasan yang agak lapang itu, kami melihat sekeliling dan kelihatannya terdapat beberapa bekas tapak yang dianggap masih baru iaitu tapak gajah dan harimau. Menurut jurupandu ekspedisi kami, Abd. Ghani Ismail atau Pak Ghani tidak menolak bekas tapak yang kami saksikan itu adalah tapak harimau dan gajah. Dari situ, kami meneruskan perjalanan dan sekali lagi kami terpaksa mendaki tanah yang tidak rata sebelum tiba di gua Bukit Sejuk pada pukul 4.52 petang.

Setelah meninjau keluasan gua yang agak sederhana itu sambil merakam beberapa keping gambar, penulis mengambil peluang itu dengan mengalunkan azan untuk memaklumkan kepada penghuni gua itu tentang kedatangan kami pada masa itu dan Anis Sabirin yang memperolehi kamera daripada penulis telah merakam video ketika penulis mengalunkan azan berkenaan.

Selepas selesai mengalunkan azan, penulis mendapatkan kamera digital untuk merakam foto ke arah sebuah dinding gua yang mana di gua tersebut terdapat seperti sebuah pintu aneh. Setelah beraya merakam foto ke arah dinding gua itu, penulis menyemak kembali dan tanpa diduga dilihat sebatang tubuh sedang duduk di belakang Anis Sabirin yang menghadap ke arah sebuah pintu pelik jelas kelihatan di skrin kamera. Jadi, penulis beranggapan wajah seorang tua sedang duduk bersimpuh yang mana janggutnya mencecah tanah adalah Tok Fakir sebagaimana meditasi antara Abang Aziz dengannya sebelum itu.

Setelah selesai merakam foto suasana dalam gua, kami bergambar kenangan. Selepas itu, kami melangkah turun dari gua misteri di Bukit Sejuk untuk pulang pada pukul 5.15 petang.

Untuk pengetahuan pembaca dan pengunjung blog, bermula dari tarikh 26 Januari, 2009 sehingga hari ini penulis dapati tiada lagi kes nahas berlaku di Bukit Sejuk dan di persekitarannya. Justeru, ekspedisi kami ini 'Ekspedisi Bukit Sejuk' berjaya dan mencapai matlamatnya dengan niat untuk mengekang sebarang nahas di kawasan berkenaan.

 Peserta Ekspedisi Bukit Sejuk pada 26.1.2009.

 Bukit Sejuk dirakam dari jarak yang jauh.

Kawasan nahas ngeri. Ular sebesar 'Anaconda' sering muncul di sini.

 Kami parkir kenderaan di tepi laluan umum, menghala ke Bukit Sejuk.

 Kami terpaksa meredah semak-samun dan hutan belukar.

 Penulis bergambar di sebuah kolam air terjun.


 Peserta kami perlu mendaki batu-batu air terjun.

 Inilah puncak air terjun.

  Sekali lagi kami terpaksa meredah hutan belukar.


 Peserta kami tiba di sebuah caruh air dan lata air terjun.


 Di sinilah kami melihat tapak harimau dan gajah.

 Inilah gua Bukit Sejuk. Kami sampai di sini jam 4.52 petang.

 Rakam foto arah luar dari dalam gua.

 Penulis mengalunkan azan untuk memberitahu Tok Fakir (Ketua Makhluk Halus) itu.

 Selepas azan selesai, Tok Fakir menjelma dan penulis dapat merakamnya (anak panah).

 Mungkin inilah tempat tidur Tok Fakir itu kerana ketika penulis menjamahnya masih dalam keadaan hangat.

 Kolam mandi dalam gua milik Tok Fakir.


 Bergambar kenangan sebelum pulang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 1 September 2017

Misteri Gua Satan


MISTERI GUA SATAN

JELI, KELANTAN: Jeli yang terletak di Hulu Kelantan memang terkenal dengan tempat-tempat menarik dan penuh misteri seperti Gunung Reng. Selain itu, Gua Satan yang letaknya agak terpencil di Ayer Lanas juga tidak kurang hebat dengan cerita-cerita sedemikian malah ada individu tertentu yang mendapat musibahnya berikutan mengambil sesuatu yang dilarang dari gua tersebut.

Menjejaki Gua Satan yang penuh dengan kisah-kisah misteri kerana dikatakan dihuni makhluk halus yang terdiri daripada bunian Islam. Kesempatan bertemu dengan Abdul Rahim Mohamad, 62, atau dikenali sebagai Pak Him dari Kampung Sungai Satan, Ayer Lanas, dekat sini tidak ingin dilepaskan begitu sahaja.

Katanya, beliau berhijrah ke Kampung Sungai Satan sebagai peneroka sejak 30 tahun lalu adalah berasal dari Kampung Pulau Pak Amat, Sabak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan juga merupakan seorang pengusaha warung kopi yang peramah dan sanggup berkongsi pengalamannya ketika berburu di hutan berhampiran dengan gua tersebut.

Menurut Pak Him, Gua Satan wujud sejak dulu lagi dan sehingga hari ini orang ramai jarang ke tempat tersebut kerana takutkan sesuatu musibah seperti mendapat demam dan tersesat jauh ke dalam hutan jika melanggar pantang larang. Jika seseorang lemah semangat dan berniat serong untuk melakukan gejala maksiat atau sesuatu yang dianggap tidak sihat akan menerima padahnya kerana ketenangan serta keheningan gua dan di persekitaran hutan tersebut mempunyai penjaganya yang tidak dapat dengan mata kasar.

Gua Satan terletak jauh ke dalam hutan tebal dan pada waktu itu jarang orang dapat menemui gua tersebut kerana didakwa oleh Pak Him seperti tidak kelihatan dengan pandangan zahir. Oleh kerana beliau memang berminat memburu sejak zaman remaja lagi, maka selepas melaksanakan segala kerja di siang hari apatah lagi setelah bertukar malam, maka kegemarannya itu tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sanggup bersengkang mata semata-mata menghabiskan malam hari dengan memburu kijang, pelanduk, kambing hutan, landak dan sebagainya.

Ketika menceritakan pengalaman pertamanya memburu binatang yang masih dalam keadaan mamai, Pak Him bersama seorang lagi rakannya meneruskan keinginan mereka untuk memperolehi seberapa banyak binatang buruan pada malam yang dingin itu. Mereka berpecah dan kedua-duanya membawa haluan masing-masing kerana tidak elok memburu dengan cara berkumpul di situ.

Semasa sedang asyik mengendap binatang yang akan menjadi mangsa pertamanya bersama lampu suluh dan selaras senapang yang tergenggam erat di tangan, di suatu kawasan yang agak ganjil dalam hutan pada malam itu beliau tiba-tiba berselisih dengan seorang wanita aneh yang separuh usia sedang melalui tempat yang sama seorang diri. Wanita tua aneh yang dilihatnya itu sedang membawa sebungkas kain yang tergenggam di tangan manakala sebahagian lagi seperti bunjut di atas kepalanya. Dengan tidak semena-mena, wanita tua aneh yang dilihatnya pada malam itu menegurnya, buat apa di tengah-tengah malam itu di tempat berkenaan.

"Nak buru binatang, nek. Kalau ada rezeki dapatlah disembelih seekor dua", ujarnya menjawab pertanyaan wanita tua misteri yang berselisih dengan Pak Him di tengah-tengah hutan belantara pada malam itu.

Selepas itu, masing-masing dengan hal sendiri. Sambil menyaksikan keanehan wanita tua yang muncul secara tiba-tiba dalam hutan pada malam itu, beliau dapati langkah wanita tua itu agak pantas tidak sebagaimana manusia. Apabila tiba di suatu selekoh dalam hutan itu, dengan pantas wanita tua misteri itu ghaib secara tiba-tiba. Dengan tidak semena-mena bulu roma Pak Him berdiri tegak seperti ada sesuatu yang agak pelik dengan wanita yang dilihatnya itu.

Sejak dari tadi nasib tidak menyebelahi Pak Him kerana belum memperolehi walaupun seekor binatang buruan. Melihatkan nasibnya ketika itu, beliau mula teringat pesanan orang tua-tua, jika pergi berburu sehari suntuk tetapi belum mendapat hasilnya apatah lagi bertemu pula dengan sesuatu yang agak ganjil dan luar biasa pada malam hari, batalkan sahaja niat itu kerana kemungkinan akan mendapat musibah yang tidak disangka-sangka nanti. Jadi, Pak Him berfikir juga tentang hal itu lalu mengajak rakannya untuk bertolak pulang.

Katanya, disebabkan keletihan yang amat sangat berikutan berburu semalam suntuk beliau tertidur dengan nyenyaknya. Tiba-tiba dalam tidurnya itu beliau bermimpi didatangi seorang wanita tua yang ditemuinya semasa berburu di dalam hutan sebentar tadi. Dalam mimpi itu, beliau diminta oleh wanita tua aneh itu supaya mencari sepohon serai di dalam hutan itu kerana terdapat seekor kambing hutan di situ. Tembak dan sembelihlah binatang itu kemudiannya dagingnya dibuat gulai dan berilah makan kepada seluruh penduduk kampung itu. Wanita tua itu hanya meminta pulut kuning, kelapa muda, tepung tawar serta bedak sejuk sahaja.

Bagi mengetahui apakah benar dengan dakwaan wanita tua misteri dalam mimpinya itu kononnya terdapat seekor kambing hutan di sebalik pohon serai dalam hutan berkenaan, beliau bersama-sama seorang rakannya bergegas ke tempat yang dimaksudkan pada pagi itu juga.

"Memang benar apa yang dikatakan oleh wanita tua itu. Ada seekor kambing hutan berbadan besar berdekatan pohon serai. Kami tembak lalu menyembelihnya di situ juga. Dagingnya dibuat gulai dan diberi makan seluruh penduduk kampung sebagaimana yang dipintanya", ujarnya untuk menunjukkan mimpinya itu adalah benar.

Pada keesokan harinya iaitu kira-kita pukul 5.00 petang, beliau bersama anak sulungnya bergegas ke Gua Satan untuk menyerahkan peralatan yang diminta oleh wanita tua aneh dalam mimpinya semalam. Apabila tiba di muka gua tersebut, beliau meletakkan dulang yang mengandungi pulut kuning, kelapa muda, tepung tawar dan bedak sejuk itu sambil memerhatikannya dalam jarak yang boleh dilihat dengan pandangan mata. Selang beberapa minit kemudian, beliau nampak dengan jelas sepasang tangan cantik dan putih melepak tetapi tidak kelihatan anggota badan lain sedang mengangkat dulang tersebut dan sekelip mata hilang dari pandangan.

Pengalaman kedua Pak Him juga berkisar kepada aktiviti memburu binatang pada malam hari, kerana itulah kegemarannya yang sebenar. Kali ini dia tidak lagi ditemani rakannya, jadi terpaksalah beliau memburu seorang diri.

Ketika sedang mengendap binatang buruan yang pasti menjadi mangsa senapang patahnya itu, dengan tidak semena-mena hujan dan ribut melanda suasana damai dan hening dalam hutan itu. Pak Him terpaksa berlari sekuat hati kerana anak telinganya dapat menangkap dengan jelas bunyi pohon tumbang dengan kuatnya. Kerana tiada lagi tempat untuk berlindung dari hujan dan ribut yang luar biasa itu, beliau terus berlari ke arah Gua Satan kerana tempat itu sahaja yang difikirkannya selamat untuk berteduh dari cuaca pelik buat sementara waktu. Ketika itu jam di tangannya menunjukkan pukul 12.00 malam.

Setelah memasuki gua itu seorang diri, Pak Him membaca beberapa potong ayam Al-Quran kerana bimbang dengan binatang buas seperti harimau dan ular yang pasti menjadikan gua itu juga sebagai tempat untuk berteduh dari hujan dan ribut. Ketika beliau sedang duduk berteleku menanti hujan reda sehingga jam 3.00 pagi itu, telinganya dapat mendengar seperti suara manusia sedang bercakap-cakap diikuti bunyi suara binatang. Akibat terlalu keletihan kerana berlari sekuat tenaga, beliau tertidur dengan nyenyaknya. Beliau terbangun dari tidur ketika jam 9.00 pagi, itupun seperti ada suara seorang lelaki yang membangunkannya. Apabila dilihat kepada jamnya memang tepat pukul 9.00 pagi.

"Tak tahulah siapa yang membangunkan Pak Him dari tidur sebab tidak nampak kelibat orang itu. Nak dikatakan jin, Pak Him rasa tidak. Tapi kalau bunian itu mungkin juga. Yang peliknya, dia bagi tahu Pak Him namanya Tok Haji Taha", katanya yang agak kehairanan dengan peristiwa itu apabila ditanya tentang makhluk yang mengejutkan Pak Him dari tidurnya itu. Tetapi Pak Him percaya, Tok Haji Taha itu adalah makhluk halus dari bangsa bunian Islam yang juga sebagai ketua kaum mereka di Gua Satan itu.

Tambah Pak Him lagi, Gua Satan mengandungi lebih tujuh tingkat kesemuanya. Melalui tingkat keenam mengandungi pelbagai jenis permata yang beraneka warna termasuk batu berlian. Tetapi kesemua batu permata dan berlian itu tidak boleh disentuh apatah lagi jika ada yang berniat untuk membawa pulang sebagai kenangan. Ini kerana, batu permata itu akan hilang dengan sendiri apabila dibawa keluar dari Gua Satan. Individu yang mengambilnya akan menerima penderitaan penyakit seperti pening dan demam-demam.

Kata Pak Him, cerita berkenaan bukan suatu dongengan kerana terdapat kes seorang berketurunan Siam yang datang ke Gua Satan dengan gajah, salah seorang dari mereka terpesona dengan kecantikan batu-batu permata yang berkilauan berwarna biru, merah dan sebagainya itu lalu diambilnya dan dibawa pulang. Dengan tiba-tiba mangsa mengalami demam secara luar biasa. Lantas batu permata yang diambilnya terpaksa dikembalikan dan disebabkan itu demamnya kebah serta merta.

Menurut Pak Him, terdapat satu keturunan Cina yang beria-ia datang ke gua itu dengan jentera penggali kerana tamaknya untuk mendapatkan sejumlah besar berlian serta emas di gua tersebut. Tetapi enjin jentera penggali tersebut tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan individu Cina itu gagal dan pulang dalam kehampaan.

"Dalam Gua Satan ini juga terdapat sebuah bilik yahg cukup cantik seperti bilik tidur kerana terdapat katil di situ. Tingkat paling akhir di Gua Satan ialah sungai. Dapat kita lihat sungai itu mengalir ke dalam gua", ujar Pak Him untuk menunjukkan unik dan peliknya Gua Satan.

Di samping itu menurut Pak Him, berikutan Gua Satan dijaga oleh makhluk halus yang menghuni di situ, setiap pengunjung tidak boleh memasuki gua tersebut sebarangan kecuali dengan panduan Pak Him sendiri ataupun anak sulungnya untuk mengelakkan tersesat, jatuh ke dalam jurang, hanyut dibawa arus sungai dan mungkin disembunyikan makhluk ghaib di situ. Dengan adanya panduan daripada beliau, beliau memang mengenali selok-belok sama ada di persekitaran malah di dalam gua itu sendiri termasuk gua-gua yang berdekatan umpamanya gua kambing.

Katanya, pengalaman beberapa jurugambar sebelum ini yang merakam gambar gua tersebut kebanyakannya agak hampa. Ini kerana, kebanyakan gambar yang dirakam semuanya tidak menjadi malah tidak kelihatan dan mungkin ditabir benda gelap. Keadaan ini seolah-olah gua itu seperti berkeadaan kosong sahaja dan dianggap sebagai jelmaan semata-mata.

Pak Him menambah, menariknya di Gua Satan ialah pengalaman bermalam untuk melihat makhluk berkenaan di kawasan itu. Individu yang pernah melalui pengalaman bermalam di kawasan Gua Satan akan dapat menghidu bau masakan yang agak enak seolah-olah sebuah pesta keramaian dan majlis kenduri kekeluargaan. Kadang-kadang individu yang bertuah akan dapat mendengar tangisan bayi, kanak-kanak yang sedang hilai ketawa dan suara sedang bercakap-cakap.

Gua Satan menjanjikan suatu percutian yang menarik di dalam hutan kerana keindahannya belum lagi dinodai pencemaran. Malahan paling menarik ialah, individu yang bertuah tentunya dapat melihat makhluk bunian yang berkampung di situ terutamanya di malam hari. Kedatangan manusia sememangnya diraikan oleh keluarga mereka, tetapi jagalah batas-batas adab sopan semasa di perkampungan mereka sebagaimana kita menjaga adab kesopanan di perkampungan rakan-rakan kita yang lain dengan tidak melakukan sesuatu yang dilarang dan dibenci seperti tamak, mengambil sesuatu yang tidak diizinkan mahupun melakukan maksiat, perkara yang tidak senonoh serta menjolok mata.

Abdul Rahim Mohamad di sebuah kedai makan miliknya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 30 Ogos 2017

Misteri Emas Ghaib


MISTERI EMAS GHAIB

JELI, KELANTAN: Penemuan emas misteri lazimnya melibatkan beberapa perkara yang menyebabkan pelombong terbabit berhadapan dengan sesuatu yang ganjil bagi menandakan emas berkenaan wujud di situ. Namun begitu, tidak semuanya akan berhadapan dengan situasi seumpama itu.

Seorang warga emas ketika ditemui Wartawan RELATIF, Husin Ismail, 67, atau lebih dikenali Pak Teh Husin dari Kampung Batu Melintang, Jeli sudi berkongsi cerita tentang penemuan emas misteri itu. Beliau yang dilahirkan di Tok Uban, Pasir Mas telah berhijrah ke kampung berkenaan sejak usia 12 tahun lagi. Memperolehi beberapa hektar tanah bernilai khazanah pemberian kerajaan sebagai peneroka tanah hutan dan pekerja balak di kampung tersebut.

"Pada mulanya, ada penduduk kampung ini enggan percaya cerita Pak Teh bahawa kampung ini kaya dengan logam itu. Tetapi setelah seorang demi seorang menemuinya, barulah kata-kata Pak Teh ada benarnya", ujarnya.

Menurut Pak Teh, ketika itu usianya 17 tahun, dia berkawan rapat dengan tiga sekawan yang juga penduduk asal kampung itu iaitu Mat Yaman, Mat Bali dan Yusof. Tiga sekawan itu telah menemui sebungkam emas tanpa disangka-sangka ketika sedang mencari kayu depu di hutan. Ketika dalam perjalanan pulang, mereka telah tersesat padahal laluan itu sering digunakan oleh mereka setiap hari untuk ke hutan.

Disebabkan hari telah beransur senja, salah seorang daripada mereka memberikan cadangan supaya mengikuti arah caruh (aliran air turun dari puncak bukit). Jika tidak terpaksalah mereka bermalam di dalam hutan yang masih basah dan lembab kerana pada sebelah malamnya hujan turun dengan lebatnya.

Cadangan itu diterima kerana mereka tidak sanggup bermalam di hutan tersebut. Ketika dalam perjalanan menuruti laluan air itu, ketiga-tiganya terlihat suatu benda aneh yang tidak dikenali dan tidak pernah ditemui oleh mereka sebelum ini telah merintangi laluan air itu di mana di bahagian hujung dan pangkalnya seperti mencengkam tanah yang kuat malah panjang benda aneh itu dianggarkan kira-kira dua meter.

Mereka nampak dengan jelas benda aneh itu berkilauan kekuningan. Tidak syak lagi bagi mereka bahawa benda aneh itu adalah sebungkam emas bermutu tinggi. Lantas mereka mencantas sebatang pokok di situ sebagai tanda bagi memudahkan mereka datang mengambil emas itu semula.

Emas sebungkam itu dibiarkan di situ kerana mereka berhasrat untuk mengambilnya keesokan harinya. Namun, apabila tiba keesokannya harinya, lain pula ceritanya. Disebabkan terlalu tamakkan emas itu hendak dibolot seorang diri, dengan berbekalkan sehelai guni dan kapak, pagi-pagi lagi Mat Bali pergi seorang diri ke caruh itu untuk mengambil emas tersebut. Hanya beberapa minit kemudian, dia pulang semula.

Manakala, pada pukul 11.00 pagi hari yang sama, Mat Yaman pula bergegas ke arah caruh itu tanpa memberitahu rakannya yang lain. Niatnya satu iaitu untuk mendapatkan emas yang mencengkam di sebatang pokok yang dicantas di caruh itu. Mat Yaman juga pulang dalam masa yang singkat dan begitulah juga yang terjadi kepada Yusof.

Akhirnya tiga sekawan itu bertemu lalu menceritakan perihal emas yang gagal ditemui malahan dikatakan seolah-olah emas itu hidup dan ghaib dari pandangan. Bukan itu sahaja, pokok yang dicantas sebagai tanda tempat emas itu wujud juga didapati ghaib secara luar biasa.

"Sepatutnya apabila emas itu ditemui, mereka patut hentakkan mana-mana bahagian emas itu supaya sumbing atau retak kerana mereka bertiga memang membawa kapak. Lepas itu, hendaklah diangkat dengan segera kerana emas tidak boleh dibiarkan di situ semalaman sebab ia benda hidup", jelas Pak Teh.

Sehingga kini, tiada siapa yang sanggup ke tempat emas itu ditemui. Malah, beliau sendiri tidak sanggup mendaki untuk mendapatkan emas tersebut kerana tidak larat untuk mendaki walaupun beliau yakin emas berkenaan masih ada di situ.

Sesetengah individu dapat melihat emas dalam rupa sebenar dan kadang-kadang dalam rupa teras kayu dan batu untuk menunjukkan kelebihan dan rezeki masing-masing. Hal ini bukan cerita kosong kerana kemahiran dan ilmu individu berhubung dengan emas jarang dimiliki oleh orang-orang Melayu kerana kita sekadar berharap kepada teknologi untuk mengesan kewujudannya.

Tetapi kehebatan warga Siam yang dapat mengesan wujudnya emas di Sungai Kokong dalam jumlah yang agak besar iaitu satu tan menunjukkan kelebihannya yang dapat melihat dengan jelas dalam perut bumi kewujudan benda berharga tersebut adalah sesuatu yang hebat.

Sewaktu kunjungan warga Siam ke rumah Pak Teh ketika itu, warga Siam itu telah menyediakan peralatan melombong. Kerja-kerja melombong emas dimulakan di tanah miliknya dan ternyata memang wujud emas di sungai itu.

Begitu juga dengan bekas tapak lombong dan menapis emas terbiar di ulu Sungai Tok Tadoh, kira-kira satu kilometer bersempadan dengan Thailand. Walaupun sekadar lombong tinggal sahaja, emas masih lagi wujud di situ untuk menunjukkan seluruh kawasan bukit di situ memang kaya dengan emas dan kadang-kadang disebut juga 'bukit emas'.

Kisah ini adalah kisah benar untuk menunjukkan masyarakat di kampung berkenaan tidak lagi seperti dulu yang hidup dalam kedaifan dan kemiskinan. Tanah yang mengandungi khazanah bernilai itu telah merubah kehidupan mereka.

 Husin bin Ismail atau Pak Teh Husin di kediamannya di Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

 Inilah hutan dan bukit tempat tiga sekawan tersesat lalu menemui emas yang merintangi laluan air.

  Inilah laluan asal air Sungai Kokong ini masih wujud emas yang belum digali.

 Tanda bulatan menunjukan emas akan digali di Sungai Kokong yang baharu.

 Batu hampar putih sebagai tanda wujudnya emas di Sungai Kokong yang baharu.


 Bekas lombong emas di Ulu Sungai Tok Tadoh.

 Kesan tinggalan emas ditapis di Ulu Sungai Tok Tadoh.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 20 Ogos 2017

Rahsia Gunung Reng


RAHSIA GUNUNG RENG

JELI, KELANTAN: Gunung Reng yang terletak di Batu Melintang di tepi lebuh raya Timur-Barat yang bersempadan dengan Jeli (Kelantan) dan Gerik (Perak) bukan sekadar dalam sejarah lama yang berlaku lebih 1400 tahun lalu. Kejadian luar biasa yang berlaku pada waktu itu sebagai balasan di atas kekejaman manusia terhadap haiwan, apatah lagi perbuatan itu menyimpang jauh dari sifat azali manusia. Manusia sepatutnya mentadbir bumi yang dihuninya itu supaya dalam keadaan aman dan bebas daripada perbuatan keji dan khurafat sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Hadis.

Kisah tragis Gunung Reng memang telah sedia maklum dari satu generasi ke generasi di Negeri Kelantan. Seperti yang diceritakan oleh nenek moyang dan orang-orang tua dahulu, tapak Gunung Reng asalnya sebuah kampung dinamakan Kampung Tala yang dibuka oleh seorang berketurunan Jawa bernama Tok Tadeh.

Sebelum Gunung Reng wujud di kampung berkenaan, kisah bermula apabila Ketua Kampung Tala telah mengadakan kenduri secara besar-besaran dengan mengadakan berbagai jenis permainan rakyat selama tujuh hari tujuh malam dengan dihadiri oleh sekalian penduduk dari kampung itu termasuk penduduk dari kampung berjiran dan acara ini berlangsung sehingga kepada acara penutupnya.

Walau bagaimanapun, pesta permainan tidak selesai setakat itu sahaja apabila jawatankuasa berkenaan telah mengadakan mesyuarat supaya acara luar biasa dipersembahkan sebagai hiburan kemuncak untuk menyerikan lagi suasana pesta berkenaan.

Hasil daripada mesyuarat di antara ketua kampung itu dengan penduduk-penduduk terlibat telah membuat keputusan untuk mengadakan satu persembahan binatang yang berlainan jenis untuk dipertarungkan sebagai menguji kekuatan binatang tersebut. Akhirnya kata putus telah dicapai supaya anjing dan kucing bertarung yang mana gelanggangnya ialah di atas bumbung sebuah rumah di kampung itu.

Mendengarkan keputusan tersebut, penduduk-penduduk kampung tidak sabar-sabar lagi untuk menyaksikan kehebatan pesta yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah manusia yang berakal. Ada yang tidak turun bekerja semata-mata tidak ingin melepaskan peluang untuk ke pesta itu. Malahan terdapat juga yang telah penat bekerja tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya terus bergegas ke tapak pesta sehingga sanggup melupakan waktu mengerjakan solat. Jadi, mereka ke situ semata-mata untuk menghiburkan hati setelah penat bekerja sedangkan pada masa yang sama melalaikan kewajipan ibadat yang perlu ditunaikan.

Dengan itu, apabila waktu Zohor berkumandang, kedua-dua binatang yang tidak berakal dan tidak tahu apa-apa itu dilagakan di atas bumbung rumah dengan disaksikan sekalian ramai penduduk Kampung Tala yang hauskan hiburan. Tetapi ternyata, perbuatan yang jauh menyimpang dari sifat asal manusia pasti akan menerima pembalasan setimpal. Ini kerana, semasa kedua-dua binatang itu sedang bertarung, dengan tidak disangka-sangka berlaku ribut taufan dan hujan yang lebat secara tiba-tiba.

Semasa berlakunya ribut taufan serta hujan lebat itu, seorang perempuan tua yang sedang asyik menyaksikan pesta berkenaan bergegas pulang ke rumahnya di Kampung Gantang yang berhampiran dengan Kampung Tala itu kerana teringatkan padi yang dijemurnya. Dengan itu, setelah selesai mengangkat padi yang dijemurnya itu ke tempat kering dan bebas dari tempias dan percikan hujan, perempuan tua tersebut kembali semula ke Kampung Tala untuk melihat kesudahan pertarungan antara anjing dengan kucing itu.

Tetapi alangkah terkejutnya perempuan tua itu apabila mendapati Kampung Tala tidak lagi kelihatan kerana telah diserkup oleh sebuah gunung yang agak besar dengan meranapkan kampung berkenaan. Jadi, gunung besar yang melingkupkan Kampung Tala dikatakan asalnya terletak di Ulu Sungai Reng, Perak, iaitu kira-kira tiga hari dan dua malam perjalanan di sempadan Kelantan-Perak.
Tempat asal gunung ini telah menjadi sebuah kolam yang agak luas. Hari ini, sungai tersebut masih kelihatan mengalir bersebelahan gunung itu yang mana airnya agak sejuk berbanding dengan sungai-sungai yang lain. Daripada nama Sungai Reng itulah gunung berkenaan kemudiannya dinamakan Gunung Reng.

Beberapa dekad kejadian Kampung Tala diserkup oleh Gunung Reng itu, daripada pandangan paranormal sesetengah penduduk yang masih terselamat daripada malapetaka itu dapat menyaksikan gunung berkenaan seolah-olah tergawang di awang-awangan umpama berada di kayangan dan tidak berpijak di bumi. Mereka dapat menyaksikan gunung tersebut seolah-olah sebuah istana yang mana di puncaknya seperti terbentuk bumbung sebuah istana raja-raja dan dikelilingi awan putih yang ditiupi bayu berpuput lembut.

Gunung Reng itu juga turut menjadi tempat lagenda Puteri Sa'adong dari Bukit Marak bersemayam dan turut menjadikan gunung berkenaan sebagai tempat kediaman buat beberapa ketika. Bilik-bilik yang terbentuk yang merupakan gua dalam gunung berkenaan dikenali sebagai Gua Payong, Gua Bedak, Gua Keca, Gua Rimau dan Gua Batak telah digunakan sebagai tempat hulubalang Puteri Sa'adong untuk bermain makyong.

Pintu masuk Gunung Reng yang dikenali Gua Payong, malahan pengunjung dapat melihat pelbagai bentuk batu yang menyerupai dewan makan, dewan mesyuarat, tempat pertapaan, tiang tambat, kolam, kebun bunga, tapak catur, gong, batu tok bidan, seekor gajah, Taman Permainan Puteri Saadong dan sebagainya.

Semasa Puteri Sa'adong menjadikan Gunung Reng sebagai tempatnya bersemayam, baginda telah mengambil seorang anak perempuan Tok Tala dari sebuah kampung berhampiran yang mana Ketua Kampungnya bernama Tok Tala untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Setelah anak angkat baginda Puteri Saadong meningkat sebagai gadis remaja, Puteri Sa'adong bercadang untuk berpindah ke Gunung Ayam. Lantas kerana kesedihannya berpisah dengan keluarganya, beliau berpantun yang berbunyi:

Gunung Reng Kampung Tala,
Nampak dari Kuala Tadoh,
Kirim kain pada hamba sehelai;
Hendak buat bekas tubuh.

Terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa, selepas peninggalan Puteri Sa'adong dan hulubalangnya berangkat ke Gunung Ayam, seorang belian yang juga Tok Puteri telah naik ke atas puncak Gunung Reng bertujuan untuk melakukan pertapaan sehingga dikatakan, Tok Puteri itu akhirnya menjadi batu. Patung batu belian ini kononnya menghadap ke kuala Sungai Tadoh. Menurut ceritanya, jika terdapat gadis dan wanita yang melalui kuala Sungai Tadoh dengan menyingsing kain, dengan serta merta terjadi muntah darah.

Akibat kejadian seumpama itu menjadikan masyarakat di kampung terlibat menjadi takut. Lantas orang-orang kampung berkenaan meminta pertolongan daripada Tok Puteri dari Negeri Siam. Dengan pertolongan Tok Puteri tersebut, patung batu belian yang terletak di puncak Gunung Reng itu dipalingkan ke arah lain. Dengan demikian, selamatlah penduduk-penduduk kampung terlibat dari terkena kemudaratan yang dikatakan diakibatkan oleh patung batu belian itu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang warga emas, Ismail bin Awang Kechik, 59, atau lebih mesra dipanggil Paksu Mail seorang penduduk asal Kampung Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan ketika menceritakan pengalamannya yang pernah memasuki gua dan mendaki Gunung Reng ketika zaman remajanya berkata, beliau pernah terserempak dengan seekor ular agak aneh dalam gua di gunung itu.

Apabila salah seekornya dipukul, jumlahnya akan bertambah banyak. Malahan beliau sendiri pernah melihat makhluk jin di pintu masuk Gua Payong di gunung tersebut yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Katanya lagi, terdapat juga beberapa ekor kera yang agak jinak tetapi tidak boleh dibela kerana terlalu liar. Dalam gua tersebut juga kelihatan batu dua butir, batu dua tiang, batu pelangi, batu ukiran kain dan batu katil. Itupun berdasarkan kepada penglihatan seseorang.

 Ismail Awang Kechik atau Paksu Mail.

 Apakah kisah Gunung Reng sebagai sejarah, lagenda atau sekadar mitos?

 Gua Payong kaya dengan kisah misteri.

Lekukan ruang gua tempat bertapa. Gambaran pada batu sebelah atasnya seperti seekor biawak.

 Sungai Reng letaknya di hadapan Gunung Reng.

 Sungai Tok Tadoh mencatatkan kisah misteri.

 Papan tanda lama.

 Papan tanda baharu.

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 10 Ogos 2017

Misteri Gua Ikan (Siri: 2)


MISTERI GUA IKAN
(SIRI: 2)

KUALA KRAI, KELANTAN: Makhluk halus khususnya jin memang sukakan tempat yang sunyi, bebas dari bunyi bising serta pelbagai gangguan lain. Sebab itulah mereka menghuni kawasan-kawasan terpencil dan jauh dari manusia seperti di hutan, bukit-bukau, gua-gua, gunung-ganang, kawasan lembah, sungai dan tasik-tasik. Kejadian gangguan yang dialami oleh manusia disebabkan oleh sikap manusia sendiri yang mengganggu mereka dan menceroboh penempatan mereka, menyebabkan makhluk halus bertindak membalas dendam.

Begitu halnya tentang kejadian misteri di Gua Ikan dekat sini yang sering berlaku sejak tahun 1970 dulu malah keadaannya semakin menjadi-jadi sejak pembukaan rasmi Taman Rekreasi Gua Ikan pada tahun 2006 sehingga hari ini untuk memberikan gambaran bahawa makhluk halus ingin hidup tenang dan bebas dari gangguan, hanya manusia yang tidak berhati perut tetapi suka menimbulkan angkara yang sentiasa mengancam kehidupan makhluk berkenaan. Apabila makhluk halus membalas dendam, manusia juga yang menderita dan sentiasa di dalam kesusahan.

Seorang penduduk yang ditemui Wartawan RELATIF, Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari Kampung Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan berkata, kejadian kedua misteri di Gua Ikan itu berlaku pada tahun 2011 yang dialami oleh rakannya bersama dua sahabatnya yang lain yang juga bekerja sebagai buruh menurap batu jalan untuk tujuan pembinaan jalan raya di kawasan laluan umum Gua Ikan itu.

Katanya, rakannya itu berhasrat untuk menjadikan surau yang dibina oleh pihak Majlis Daerah Dabong (MDD) di Taman Rekreasi Gua Ikan itu sebagai tempatnya untuk menumpang tidur bersama dua lagi rakanya, lalu meminta izin daripada Pak Da Soh.

Beritahu Pak Da Soh, kalau sekadar untuk dijadikan tempat tumpang berteduh memang tidak menjadi masalah kerana kemudahan berkenaan memang dijadikan dan disediakan oleh pihak kerajaan sebagai suatu kemudahan kepada orang ramai. Namun, Pak Da Soh meminta segala barangan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu yang masih ada di situ tidak diusik, tetapi sekadar untuk melihatnya tidak menjadi masalah.

Setelah mendapat izin daripada Pak Da Soh, ketiga-tiga pekerja buruh tersebut kemudiannya menumpang tidur dan bermalam di surau itu. Namun, dengan tidak disangka-sangka, berlaku kejadian luar biasa yang menimpa ketiga-tiga mereka, salah satunya mungkin disebabkan keceluparan mulut dan tutur kata mereka memburuk-burukkan taman rekreasi itu tentunya telah didengari oleh makhluk halus yang sering mundar-mandir di malam gelap di taman itu tanpa disedari oleh mereka.

Ketika ketiga-tiganya asyik berborak dengan menghamburkan kata-kata nista dan kesat terhadap taman rekreasi itu, tanpa disedari oleh mereka bertiga jam telah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Dalam sekelip mata, ketiga-tiga mereka melihat ketiga-tiga tangan panjang sedang menghulurkannya di balik cermin tingkap surau itu.

Tambah Pak Da Soh, jelmaan makhluk halus yang menyakat ketiga-tiga mangsa pada pagi itu adalah seorang wanita yang dikatakan agak cantik berpakaian serba putih, manakala bentuk fizikalnya seperti manusia. Sambung Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga pergelangan tangan dihulurkan masuk melalui cermin tingkap surau yang dihuni oleh ketiga-tiga mangsa, mangsa memang nampak dengan jelas dari arah cermin tingkap yang terbuka susuk tubuh lembaga wanita terbabit. Tetapi apabila mereka keluar dari surau itu sambil menggenggam lampu suluh untuk meninjau sambil melihat gerangan lembaga yang dimaksudkan, lembaga itu tiba-tiba ghaib.

Melihatkan situasi berkenaan seolah-olah lembaga berkenaan ingin mempermainkan dan mencabar ketiga-tiga mangsa terbabit, sebab apabila jarak mereka jauh lembaga berkenaan menunjukkan rupa dan diri di sebalik cermin tingkap yang terbuka itu. Tetapi apabila mereka keluar dari surau untuk melihat batang tubuh lembaga terbabit, lembaga itu ghaib pula.

Geram dengan permainan lembaga wanita itu, salah seorang mangsa cuba mencabar lembaga tersebut dengan menyatakan jangan cuba menyakat mereka, sebab mereka tidak takut kepada cabaran lembaga tersebut. Lalu ketiga-tiga mangsa kembali masuk ke dalam surau itu. Selang dua minit, dengan tiba-tiba lembaga wanita misteri itu menangis sambil menekup wajahnya dekat kenderaan Hilux milik mangsa.

"Tak usah menangis, kalau kamu nak datang ke surau ini, kamu datanglah", Pak Da Soh cuba mengajuk kata-kata salah seorang mangsa yang seolah-olah cuba mencabar makhluk halus pada pagi itu.

Tambah Pak Da Soh, mungkin sikap geram lembaga itu terhadap cabaran yang dimajukan oleh seorang mangsa, lembaga wanita berkenaan kemudiannya menghentak dan memukul kenderaan Hilux mangsa dengan kuat. Walaupun kenderaan mangsa dipukul agak kuat dan bunyi menggegar suasana di Taman Rekreasi Gua Ikan pada pagi itu, kenderaannya tidaklah kelihatan kemek atau remuk tetapi sekadar bergoyang sahaja.

Mangsa yang naik marah dan geram dengan sikap biadap lembaga itu yang menghentak kenderaan Hiluxnya itu, dengan pantas berlari keluar dari surau terbabit seraya menyuluh dengan lampu suluhnya ke arah lembaga wanita itu. Mereka cuba menerpa ke arah lembaga wanita yang sedang naik angin itu, tetapi dengan tidak disangka-sangka mereka seperti dihalang atau ditolak secara ghaib, mereka seolah-olah tidak berdaya untuk melawan atau cuba bergerak ke hadapan yang juga seolah-olah badan mereka menjadi berat.

Ketiga-tiga mangsa mendakwa, kejadian itu, penglihatan mereka tidak lagi dapat melihat lembaga wanita yang sedang naik angin itu. Apa yang diberitahu oleh mangsa kepada Pak Da Soh, ketika lembaga wanita itu menghentak kenderaan Hiluxnya didapati kenderaannya itu bergoyang ke kiri dan kanan seperti akan terbalik.

"Ketika situasi itulah, sebagai seorang Islam mereka bertiga berdoa dan membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang memotong halangan itu sehingga mereka dapat maju ke hadapan dan dapat naik ke atas kenderaan Hiluxnya lalu mereka bergegas ke rumah Pak Da.

"Apabila mereka sampai di rumah Pak Da, mereka kata Pak Da dan Pak Ku Li tiada di rumah, untuk menggambarkan mangsa tidak dapat melihat Pak Da dan Pak Ku Li", ujar Pak Da Soh.

Sambung Pak Da Soh, disebabkan terlalu kecewa dalam keadaan cemas itu apatah lagi melihatkan Pak Da Soh dan Pak Ku Li tiada di rumah untuk meminta bantuan yang diperlukan, mereka bertiga kemudiannya beralih arah untuk tidur di sebuah tempat lain iaitu di sebatang cabang di Kampung Sungai Sam iaitu lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian.

Manakala pada awal pagi esoknya, mangsa menemui Pak Da Soh menyatakan pengalaman mereka pada jam 1.00 pagi itu bahawa selepas kejadian amukan lembaga wanita berkenaan, mereka terus bergegas ke rumah Pak Da Soh untuk meminta bantuan tentang hal terbabit, tetapi didapati Pak Da Soh tiada di rumah, lalu mereka tidur di Kampung Sungai Sam itu. Lantas dijawab oleh Pak Da Soh bahawa beliau dan Pak Ku Li ada di rumah pada masa itu, tetapi mungkin mereka tidak dapat melihatnya.

Tambah Pak Da Soh, ketika ketiga-tiga mangsa bergegas dari rumahnya untuk tinggal di sebuah tempat di Kampung Sungai Sam pula pada pukul 3.00 pagi itu, beliau beranggapan lembaga wanita itu mengekori mereka dari belakang untuk membuat gangguan di Kampung Sungai Sam pula. Lembaga itu memarahi ketiga-tiganya kerana mangsa meminta dengan lembaga itu suatu benda yang tidak masuk akal tetapi mangsa menolaknya, seolah-olah ingin mempermainkan makhluk halus itu.

Setelah Pak Da Soh menyoal mangsa berulang kali tentang rahsia sehingga mereka diperlakukan sedemikian, salah seorang mangsa memberitahu bahawa mereka meminta nombor ekor untuk "berjudi". Keceluparan sikap dan tutur kata mereka membuatkan Pak Da Soh menengking mereka kerana berkelakuan tidak senonoh dan sepatutnya mereka menjaga tingkah laku ketika berada di tempat-tempat begitu.

Justeru, amat jelas bahawa tutur kata yang tidak sopan dan bersikap tidak beradat bukan sahaja tidak disenangi oleh kalangan manusia, namun makhluk halus juga tidak menyukainya dan memandang mereka dengan jelek. Dengan demikian, berwaspadalah apabila berada di tempat yang asing, kerana di tempat terbabit sememangnya dihuni makhluk halus yang tidak dapat dilihat oleh penglihatan manusia. Pengalaman misteri mangsa di Gua Ikan patut dijadikan sebagai satu pengajaran untuk tidak dilakukan oleh orang lain pula.

 Zakaria Mohamed atau Pak Da Soh di gerai makanan miliknya.

 Puncak Gua Ikan adalah perkampungan jin.

 Papan tanda arah masuk ke Gua Ikan.

 

 Muka Gua Ikan, tempat permainan makhluk halus dari bangsa jin.

Sungai dan batu hampar ini adalah tempat makhluk halus perempuan itu bermain.

Tangan makhluk halus dihulurkan ke arah cermin tingkap surau ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 1 Ogos 2017

Misteri Gua Ikan (Siri: 1)


MISTERI GUA IKAN
(SIRI: 1)

KUALA KRAI, KELANTAN: Gua Ikan yang terletak berhampiran dengan Kampung Slow Pak Long dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan adalah sebuah gua batu kapur. Perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Ikan sejauh 150 kilometer, dari Kuala Krai (95 kilometer) dan dari Pekan Dabong (7 kilometer). Pada tahun 1970 dulu, Gua Ikan adalah sebuah gua yang agak tersohor bukan sahaja keadaan sungainya yang agak dalam malah dipenuhi ikan-ikan yang agak besar sifatnya, selain persekitarannya masih dipenuhi hutan dan pohon-pohon yang hidup subur menghijau.

Melihat kepada persekitaran dan pemandangan dari luarnya, Gua Ikan tidak sunyi dari kicauan burung dan unggas tanpa mengenal waktu pagi atau petang, namun tanpa disedari umum, gua batu kapur yang tersergam gagah itu mempunyai teman yang menjaganya iaitu makhluk halus dan gua ini sebenarnya dipenuhi dengan kejadian misteri.

Memang agak biasa bagi penduduk asal di situ, tetapi bagi penduduk dari daerah lain yang baru mengenali Gua Ikan akan berasa terasing dan sememangnya bagi setiap tetamu yang datang akan diperhatikan oleh makhluk halus yang didakwa dari bangsa "bunian" yang menghuni di permukaan gua termasuk di puncaknya adalah dunia dan perkampungan asalnya.

Salah seorang penduduk asal yang ditemui Wartawan RELATIF, Zakaria bin Mohamed, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Da Soh dari Kampung Gua Ikan itu berkata, bagi orang luar yang pertama kali menjejakkan kaki ke Gua Ikan seolah-olah memberikan gambaran untuk tidak memasuki gua berkenaan. Pengalaman beberapa pengunjung Gua Ikan sebelum ini yang pernah mendengar suara aneh tetapi tidak kelihatan batang tubuhnya, malahan terdapat juga yang dapat melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian serba putih tiga beranak yang sering mundar-mandir di kawasan Gua Ikan itu seolah-olah sebagai pengawal gua terbabit yang sering dilihat di beberapa tempat terutamanya di kawasan permukaan gua tersebut.

Menurut Pak Da Soh, kejadian misteri Gua Ikan semakin popular ketika pembukaan dengan rasminya Taman Rekreasi Gua Ikan pada tahun 2006. Salah satu cerita yang agak tersohor dari mulut ke mulut ialah tentang jelmaan kumpulan pendakwah muda seramai 12 orang yang entah dari mana munculnya, dengan tiba-tiba menuju ke arah gerai makanan milik Kak Da yang barangkali untuk menjamu selera.

"Cerita 12 orang pendakwah muda yang memakai jubah putih, memang kacak dan lawa, tidak siapa tahu munculnya dari arah mana. Bagi pelanggan yang sedang makan tetapi tidak dapat melihat kelibat mereka, mungkin tidak ada apa-apa.

"Tetapi salah seorang pelanggan yang dapat melihat gerombolan mereka sedang menuju ke arah gerai Kak Da, terpaksa menghabiskan makanan dengan cepat lalu beredar keluar dari gerai itu", cerita Pak Da Soh.

Katanya, dalam masa sejam selepas pendakwah muda itu selesai menjamu selera dan membayar harga makanan, mereka beredar seorang demi seorang menuju ke sebuah jambatan yang menghubungkan dataran di taman rekreasi itu dengan laluan ke gua terbabit yang dipisahkan dengan sebuah sungai lalu ghaib di kawasan itu.

Setelah dipastikan kumpulan pendakwah muda itu kesemuanya beredar dari gerai makanan Kak Da dan tiada lagi di situ, salah seorang pelanggan yang keluar agak tergesa-gesa dari gerai tersebut tiba-tiba masuk kembali lalu menerpa ke arah Kak Da untuk mendapatkan butiran cerita dan pandangan Kak Da tentang kumpulan pendakwah muda yang agak ramai itu datangnya dari mana?

Menurut Pak Da Soh, soalan yang dikemukakan oleh pelanggan terbabit agak menghairankan Kak Da kerana dirinya tidak melihat apa-apa terhadap gerombolan itu tetapi sekadar melihat seperti manusia biasa sahaja dan bukannya seperti pendakwah yang memakai jubah putih sebagaimana yang dimaksudkan oleh pelanggannya itu. Mereka adalah manusia biasa yang sekadar singgah di gerainya semata-mata untuk menjamu selera.

Apabila ditanya Pak Da Soh tentang komennya berhubung dengan dakwaan pelanggan terbabit yang dilihatnya bahawa pendakwah muda yang agak luar biasa dari segi sifat sebagai manusia telah mengunjungi gerai Kak Da, tetapi tidak dapat dilihat oleh orang lain atau pelanggan-pelanggan yang sedang menikmati hidangan sekadar melihat pemuda-pemuda itu seperti manusia biasa, Pak Da Soh menjelaskan, memang Gua Ikan adalah suatu tempat yang penuh misteri.

"Gerombolan pemuda itu sebenarnya dari bangsa bunian yang turun dari puncak Gua Ikan itu untuk menjamu selera di gerai Kak Da. Di puncak Gua Ikan itu sememangnya perkampungan mereka, ada masjid, tempat dakwah dan rumah kediaman", jelas Pak Da Soh.

Dalam hal ini, amat jelas bahawa Gua Ikan bukan sekadar sebuah tempat yang sunyi dan menenangkan fikiran, pengunjung juga tidak wajar berada di kawasan tamannya untuk melakukan perbuatan yang tidak senonoh dan menjolok mata.

Justeru, disebabkan kawasan berkenaan perkampungan makhluk halus yang asal apatah lagi kelemahan manusia yang tidak dapat melihat makhluk halus seperti bunian di tempat terbabit, jadi sama-samalah kita berkongsi alam ini sebagai makhluk Allah dengan menjaga adat dan tata susila di tempat masing-masing.

Zakaria bin Mohamed atau Pak Da Soh.

Puncak Gua Ikan adalah perkampungan bunian.


Papan tanda arah ke Gua Ikan. 


Bangsa bunian menjadikan dalam Gua Ikan sebagai penempatannya.

 Inilah gerai makanan Kak Da yang dikunjungi pendakwah muda berjubah putih.

  Seramai 12 orang bunian yang dikatakan pendakwah muda duduk di sini untuk menjamu selera.

 Arah jambatan inilah gerombolan bunian berjubah putih ghaib.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH