RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 20 Februari 2017

Bahaya Vitamin Tiruan


BAHAYA VITAMIN TIRUAN

KESIHATAN yang sempurna, memiliki tubuh yang sihat, cerdas dan bertenaga berpunca dari beberapa faktor penting. Ia terdiri dari aspek pemakanan, senaman, tidur yang mencukupi dan bekerja menurut kesesuaian tubuh tetapi tidak terlalu keletihan. Dari beberapa faktor ini, jika diamalkan seseorang akan akan menikmati gaya hidup sihat, tubuh berasa bernafas dan segar serta akan dapat melakukan sesuatu kegiatan lain lagi dengan lebih tersusun.

Walau bagaimanapun, ramai yang belum mengetahui untuk mendapatkan tubuh yang sihat, segelintir di kalangan mereka menyarankan pengambilan beberapa vitamin tertentu setiap hari. Sebahagian yang lain pula berkata, pengambilan vitamin tersebut adalah bertujuan untuk menambahkan kadar zat dalam tubuh serta meningkatkan pertahanan badan seseorang.

Selain dari itu, ada yang mendakwa keperluan terhadap vitamin tersebut bukan bertujuan mengubati segala penyakit yang dihidapi. Sebaliknya sebagai gaya hidup di zaman moden. Berikutan itu, secara langsung atau tidak, jenama-jenama vitamin semakin berlonggok, semakin laris turut diniagakan di pasaran, klinik-klinik mahupun farmasi swasta. Malah pendapatan dan keuntungan dari perniagaan tersebut begitu membanggakan dengan adanya promosi iklan yang begitu hebat.

Umumnya, vitamin merupakan satu kumpulan organan yang paling penting bagi kehidupan dan pemakanan manusia. Ia berperanan dalam metabolisme sel-sel badan dan setiap vitamin menjalankan fungsi masing-masing. Ia diperolehi dalam dua aspek iaitu:

1. Vitamin larut-lemak

Vitamin jenis ini hanya larut dalam benda-benda lemak sajian. Penyerapannya bergantung kepada keadaan lemak yang dimakan. Ia terdiri dari vitamin A, D, E dan K.

2. Vitamin larut-air

Ia terdiri dari vitamin B Kompleks seperti B1 (Thiamin), B2 (Riboflavin), B6 (Pyridoxine), Nicotinamid, Asid folik, B12 (Cyanocobalamine) dan vitamin C (Asid askorbik).
(Sumber: Makanan dan Pemakanan di Malaysia, Dr. Y..H. Chong, 1969)

Pada hakikatnya, keperluan kepada vitamin, garam galian serta kandungan zat makanan lainnya amat perlu dititikberatkan bagi individu manusia untuk mendapatkan kecergasan tubuh yang normal. Bahan-bahan tersebut wajarlah dalam kadar yang mencukupi dan seimbang malah kekurangan dalam sesuatu jangka masa tertentu perlu dielakkan.



Permasalahannya yang dibimbangi adalah kita kekurangan zat-zat makanan terutamanya berhubung dengan vitamin yang diperlukan itu. Ia berpunca dari akibat masalah seseorang itu sendiri sama ada enggan mendapatkannya dalam keadaan segar, akibat kemiskinan, punca vitamin telah layu, rosak atau sebaliknya.

Akibat permasalahan berkenaan, tentunya vitamin yang dihajatkan itu agak sedikit, tidak mencukupi atau tidak memperolehinya langsung. Sedangkan tanpa disedari, akibat kekurangan sesuatu vitamin yang diperlukan boleh menimbulkan sesuatu alahan, penyakit serta kurang ketahanan terhadap tubuh.

Sejajar dengan itu, keperluan kepada vitamin wajar diberikan perhatian supaya ia sentiasa seimbang dan kekal dalam diet harian. Tetapi perlu diketahui, apakah bentuk vitamin yang paling sesuai untuk tubuh? Umumnya, vitamin mempunyai dua ciri iaitu vitamin asli dan vitamin tiruan.

Vitamin asli dapat ditakrifkan sebagai kandungan sesuatu zat di dalam sesuatu juzuk makanan lain yang boleh diperolehi secara segar tanpa dicampur adukkan pelbagai bahan-bahan lain melalui teknologi canggih.

Terdapat banyak dari sumber vitamin asli yang boleh diperolehi secara percuma, boleh dibeli dengan harga yang murah dan mudah didapati. Ia terdapat di dalam haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Keperluan kepada vitamin asli adalah amat sesuai untuk kanak-kanak, remaja, golongan dewasa malah semua peringkat kerana:

1. Keperluannya tidak terhad dan boleh diambil dalam jumlah yang banyak. 
2. Ia tidak membahayakan tubuh, saraf dan pemakanan ini digalakkan.
3. Ia kadangkala dapat membantu mengawal keadaan penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis kerana serat dalam sayur-sayuran dan ulam amat tinggi.
4. Menyihatkan anggota tubuh dan mengekalkan keadaan usia.
5. Meningkatkan kecerdasan.

Sesuatu yang lebih penting terhadap vitamin asli ialah ia tidak memerlukan vitamin tambahan dalam kehidupan sehari-hari seandainya setiap orang telah menikmatinya setiap hari. Vitamin seumpama ini adalah vitamin dan pemakanan lengkap malah pengambilannya disarankan daripada vitamin tambahan.

Dalam pada itu, suatu kehebatan sains di dunia yang semakin maju kini apabila segala peralatan yang dicipta oleh manusia dapat pula membentuk, menghasilkan  dan menampung berbilion keperluan dan permintaan dalam masa yang amat singkat.

Ia dapat diekspot dan diimpot dalam jangka masa yang begitu menakjubkan malah pemasarannya ke seluruh dunia amat membanggakan. Ia berpunca dari keterlibatan, kemahiran dan kepakaran seseorang apatah lagi melihat sambutan di luar jangkaan di kalangan semua pihak.

Inilah tentang vitamin tiruan yang menjadi kebanggaan sesetengah pihak. Ia dikatakan mendatangkan kecerdasan kepada tubuh, menyembuhkan penyakit malah mendakwa vitamin di dalam tubuh dapat dibekal dan ditingkatkan dengan cara pengambilannya secara kerap dan berlebihan.

Ia diproses dalam pelbagai bentuk menurut kesesuaian dan citarasa ramai seperti dalam bentuk ubat, pil, kapsul dan cecair. Namun, apa yang membezakan di antara vitamin tiruan dengan vitamin asli adalah seperti berikut:

1. Harganya terlalu tinggi  
2. Cara memakannya menurut sukatan dan had.
3. Sesetengahnya tidak berkesan terhadap keperluan tubuh.
4. Menimbulkan kesan-kesan tertentu yang tidak disangka.
5. Perlu mencatatkan tarikh luput.

Selain dari itu, menurut Pakar Pemakanan Klinikal Garden State Nutritionals, sebuah syarikat pengeluar barangan penjagaan kesihatan dari New York, Cik Sharid Lieberman bahawa, pil-pil vitamin hanya bertindak sebagai makanan tambahan kepada tubuh badan dan bukan makanan utama.
(Sumber: Berita Harian, 5.7.1990)


Dalam hal ini, sebagai pengguna, janganlah mudah terpengaruh dengan sesuatu jenama vitamin itu kononnya boleh merawat masalah kesihatan. Jangan juga mengharapkan vitamin seperti itu tanpa memperhitungkan makanan seimbang adalah segala-galanya yang boleh membekalkan khasiat kepada tubuh bukannya vitamin.

Pun perlu berhati-hati tentang pengambilannya walaupun ada dakwaan yang menyatakan pil-pil berkenaan dapat meningkatkan kecerdasan tubuh dengan segera tanpa mendapatkan nasihat pihak doktor dan pakar-pakar pemakanan. Ini kerana dibimbangkan, individu yang mengambil vitamin-vitamin seumpama itu tidak menyedari tentang keburukan atau kesan sampingannya.

Keadaan tersebut secara tidak langsung telah mendedahkan pengguna-pengguna berkenaan kepada gejala-gejala tertentu yang tidak diingini. Kerana dari kajian yang pernah dijalankan terhadap jenama vitamin tersebut di pasaran, ia sekadar dakwaan palsu kononnya mencegah dari selsema, menambah selera makan, penyembuhan kemandulan, jerawat batu, gangguan saraf dan sebagainya.

Manakala hakikat lain pula, ia dilaporkan melebihi berkali-kali ganda pengambilan harian yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (RDA Singapura). Dengan itu, vitamin-vitamin berkenaan boleh meracuni penggunanya.

Banyak dari jenama vitamin tersebut yang melebihi piawaian RDA Singapura dan boleh meracuni pengguna iaitu daripada 14 contoh yang diuji, salah satu jenama Neurogn – E (Vitamin B12) melebihi piawaian RDA Singapura sehingga 6,667 kali ganda.

Jenama lain seperti Benerva (Vitamin B1) melebihi sehingga 4,000 kali ganda. Satu jenama Vitamin C iaitu Calcium-Sandoz + Vitamin C melebihi 1,000 kali ganda paras selamat. Manakala jenama Arovit (Vitamin A) melebihi RDA Singapura sebanyak 200 kali ganda. Gejala-gejala akibat pengambilan vitamin A boleh menyebabkan keguguran, kerosakan hati dan kecacatan tulang. Vitamin D yang berlebihan boleh merosakkan organ hati dan buah pinggang. Pengambilan vitamin B6 walaupun agak rendah dalam kadar 200 mg sehari, boleh merosakkan kerosakan saraf.
(Sumber: Utusan Pengguna, Disember, 1990)

Menurut Dr. Victor Herbert, profesor perubatan di Mount Sinai School of Medicine di New York bahawa, jika pengambilan vitamin tambahan merupakan cara anda mengatasi masalah rumit seperti ketegangan, kanser atau kekurangan tenaga, jalan penyelesaian anda itu bukan sahaja salah malah ia boleh menimbulkan bahaya.

Katanya lagi, kebanyakan vitamin tambahan biasa yang diambil melebihi sukatan pengambilan harian yang disarankan oleh RDA, boleh bertindak sebagai dadah.

Manakala menurut Mathew John, seorang ahli farmasi berkata, vitamin larut minyak yang tinggi sukatannya boleh berkumpul di dalam badan dan menjadi beracun.
(Sumber: Utusan Pengguna, Februari 1989)

Dalam hal ini menggambarkan, segala dakwaan yang menunjukkan vitamin tambahan boleh meningkatkan sesuatu kebaikan kepada tubuh adalah tidak berasas dan amat meragukan kerana ia belum terbukti selamat atau berkesan mencegah atau merawat masalah kesihatan yang dialami penggunanya.

Berkemungkinan segala dakwaan amat bertentangan dengan garis panduan tempatan bagi iklan ubatan. Kerajaan perlu mengawal pengiklanan dan penjualannya kerana pengguna yang tidak menyedari boleh mendatangkan sesuatu gejala terhadap mereka.

Justeru, pengambilan vitamin tiruan dan tambahan adalah bukan cara terbaik sebagai diet seimbang dan sihat. Sebaliknya dengan memperolehi vitamin-vitamin asli dari tumbuh-tumbuhan segar yang ada di sekeliling kita lebih digalakkan dan disarankan kerana ia bersifat pengubatan, penyembuhan, kesempurnaan pemakanan dan mengawal penyakit.

Nota:
Foto adalah sekadar hiasan

Sumber Foto:
cutieliesa.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 10 Februari 2017

Ubah Diet Kita


UBAH DIET KITA

BUDAYA atau tabiat makan kita tidak berubah dari dulu sehingga sekarang. Sama ada sajian diet itu sihat atau tidak, kita tidak pedulikan asalkan dapat makan. Hakikatnya amat jelas, pengambilan makanan menurut nafsu, naluri dan citarasa yang tidak sihat dan kurang kawalan ini menimbulkan permasalahan kesihatan yang tidak kita sedari. Ini kerana, serangan penyakit-penyakit kronik umpamanya kegemukan, serangan jantung, kencing manis, kanser, darah tinggi dan penyakit buah pinggang disebabkan pengambilan makanan yang tidak sihat.

Penyakit-penyakit kronik itu berpunca dari tabiat makan yang berlebihan dan tidak sempurna. Bukan sahaja corak pemakanan yang diambil mempunyai bahan penambah (aditif makanan) yang hakikatnya penyebab kepada penyakit kanser dan buah pinggang yang menjadi kebimbangan masyarakat negara Barat. Tetapi corak pemakanan yang disajikan oleh rakyat di negara kita mengandungi banyak daging, lemak, garam, gula dan kadar kolestrol yang tinggi.

Di samping itu, cara pengambilan makanan yang tidak teratur menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang sukar dirawat, rawatan dalam tempoh yang lama malah memerlukan sumber kewangan yang mahal untuk merawat sesuatu jenis penyakit yang dihidapi.

Keadaan ini amat jelas dengan budaya pemakanan di Amerika. Menurut Pakar Pemakanan Amerika, Frances M Lappe, rakyat di negaranya mempunyai diet yang tidak menyihatkan. Dalam bukunya, “Diet For A Small”, disebutkan bahawa penduduk di negara itu memakan terlalu banyak daging, lemak, gula, alkohol, bahan penambah tetapi kurang memakan makanan berserat. (Sumber: Buku Makanan dan Pemakanan Yang Baik, CAP).

Pepatah ada menyebutkan, “diri anda adalah apa yang anda makan”. Ia bermaksud, seandainya individu atau orang ramai memilih corak pemakanan yang baik dan kandungannya menampung banyak khasiat, tentunya corak pemakanan tersebut tidak memudaratkan kesihatan. Ini kerana, corak pemakanan inilah yang patut disajikan kepada setiap anggota keluarga. Tetapi sekiranya individu itu tidak bermaklumat dan tidak menyedari bahawa corak pemakanan yang diambilnya itu adalah penyebab permasalahan kesihatan, sudah tentu mereka akan mendapat serangan penyakit yang sukar dirawat dan sudah pasti akan menderita seumur hidup.

Tabiat yang mengutamakan pengambilan daging dalam diet mereka semakin meningkat. Daging sering dihidangkan di majlis-majlis kenduri kahwin, majlis aqiqah dan kenduri arwah malahan sudah menjadi hidangan harian sehingga kini. Di samping daging juga boleh didapati dalam makanan segera dan berproses yang menjadi kegemaran kanak-kanak, remaja dan orang-orang dewasa seperti ayam goreng, burger, hot dog dan sebagainya.

Menurut statistik Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar menunjukkan jumlah pemakan daging lembu dan kerbau bagi seluruh Semenanjung Malaysia pada tahun 1989 seramai 8,724,809 (61.20 peratus), daging kambing atau biri-biri seramai 1,933,219 (13.56 peratus) dan daging ayam atau itik seramai 14,256,048 (100 peratus). Jumlah berkenaan semakin meningkat pada tahun 2000 sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk.



Hakikatnya, pengambilan daging yang berlebihan dalam sajian harian tidak menyihatkan. Daging bagi sesetengah masyarakat adalah amat menyelerakan dan menyerikan setiap hidangan. Tetapi hal sebenarnya ia lebih membawa risiko kepada kesihatan individu. Malahan kanak-kanak yang mengambil daging dalam makanan harian amat tidak digalakkan.

Pengambilan daging secara berlebihan boleh menyebabkan permasalahan usus, makanan sukar dihadamkan, kegemukan, serangan penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Begitu juga dengan tabiat memakan makanan segera yang berasaskan daging, umpamanya ayam goreng dan burger.

Corak pemakanan berkenaan mendapat sambutan luar biasa di kalangan segelintir masyarakat di negara ini walaupun ia tidak mengenyangkan. Menurut kajian, dianggarkan lebih RM160 juta setahun kita berbelanja ke atas ayam goreng, burger, minuman cola dan shake.

Bagaimanapun, adakah wang yang kita belanjakan untuk mendapatkan makanan-makanan tersebut sebagai menguntungkan dan tidak mengancam kesihatan dalam jangka waktu yang panjang?

Menurut laporan itu lagi, satu kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Makanan London tidak lama dahulu mendapati, kekerapan memakan makanan segera boleh menimbulkan kesan buruk terhadap kesihatan terutama kepada kanak-kanak yang sedang membesar. Ini kerana, jika pengambilannya dijadikan satu amalan harian, diet seseorang akan menjadi tidak seimbang dan ini boleh menimbulkan pelbagai jenis penyakit seperti kegemukan, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kanser usus.

Hal ini timbul disebabkan makanan-makanan segera amat kaya dengan kalori, lemak (terutama lemak tepu), gula dan garam. Sebaliknya makanan berkenaan kurang gentian, vitamin serta zat galian.

Di samping itu, pengambilan lemak dan kolestrol yang berasaskan haiwan sering menjadi kegemaran. Ramai yang belum mengetahui tentang makanan yang berdasarkan kepada resipi yang dicipta di zaman ini kaya dengan lemak dan kolestrol. Lemak dan kolestrol boleh diperolehi daripada makanan-makanan seperti daging, telur dan hasil tenusu seperti mentega dan keju.

 


Walaupun hakikatnya makanan-makanan berkenaan amat kaya dengan sumber protein, vitamin dan garam galian, tetapi lebihan lemak di dalam badan boleh menyebabkan kegemukan, menyebabkan serangan jantung dan kanser.

Ayam goreng misalnya mengandungi hampir 60 peratus lemak walaupun ia banyak membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Malahan dalam setengah paun burger terdapat dua (2) auns lemak yang kebanyakannya adalah lemak tepu.

Manakala peningkatan kolestrol di dalam badan amat kurang diberikan perhatian oleh segelintir masyarakat kita yang tidak mementingkan penjagaan kesihatan. Mereka beranggapan kehadiran kolestrol adalah persoalan remeh sebaliknya pengambilan makanan itu yang sering diutamakan. Padahal mereka belum menyedari bahawa makanan-makanan yang disajikan oleh penjaja hari ini amat kaya dengan kolestrol.

Kolestrol adalah bahan berwarna putih dan berlemak yang ditemui di dalam darah. Ia boleh diperolehi dari makanan berproses dan snek seperti kentang goreng dan kerepek. Sesuatu yang paling dikesalkan bahawa hidangan tempatan juga banyak mengandungi kolestrol tetapi masyarakat tidak menyedarinya ekoran dipengaruhi bentuk dan citarasa sesuatu jenis makanan itu.

Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng pernah berkata, kadar kematian disebabkan penyakit jantung di negara ini ialah 33.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 15.3 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 1981. Menurutnya, kes penyakit jantung yang dilaporkan pada tahun 1993 ialah 70,509 daripada 20,639 kes pada tahun 1981.

Berdasarkan kepada laporan tersebut menunjukkan serangan penyakit jantung adalah berpunca dari kehadiran kolestrol. Dari kajian dan laporan yang pernah dibuat, kita tidak perlu hairan bahawa rakyat Malaysia mempunyai paras kolestrol yang tinggi jika dibandingkan dengan kadar purata lelaki Amerika.

Malahan dalam konteks penyakit-penyakit kronik yang berlegar di kalangan masyarakat negara kita, amat jelas bahawa rakyat Malaysia amat kurang memakan makanan berserat dan berkhasiat.

Walaupun banyak pihak pengiklan yang mendakwa kononnya makanan yang dipasarkan mereka sebagai berkhasiat, tetapi hakikat yang sebenarnya makanan-makanan tersebut mengandungi khasiat yang tidak kompleks. Khasiat makanan yang tidak kompleks walaupun kadarnya mencukupi untuk keperluan tubuh memang masih membahayakan kesihatan. Ini kerana, kesihatan tubuh badan hanya memerlukan corak pemakanan berkhasiat yang asli dan masih segar.

Dalam hal ini, makanan yang mempunyai khasiat yang masih asli dan berserat adalah datangnya dari sumber tumbuh-tumbuhan, umpamanya sayur-sayuran, buah-buahan segar dan ulam. Makanan dalam juzuk ini perlu disajikan dengan mencukupi untuk memantapkan jumlah vitamin dan garam galian sebagai keperluan penting terhadap tubuh. Ia boleh diambil dalam kuantiti yang banyak dan tidak dihadkan.

 
Kepentingan sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam kepada kesihatan tubuh kerana ia membekalkan kadar serat yang tinggi yang boleh mencegah serangan jantung. Khasiat lain ialah juzuk pemakanan berkenaan dapat mencegah sembelit, memudahkan proses penghadaman, menjauhi jangkitan penyakit, ulser perut, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Di samping itu juga, amalkanlah tabiat pengambilan ikan menggantikan daging, ayam dan makanan-makanan berproses yang berasaskan daging. Ikan membekalkan “protein asid amino” sebagai suatu bahan untuk penyembuhan penyakit. Pengambilan ikan amat digalakkan walaupun kuantitinya melebihi kadar yang diperlukan oleh tubuh.

 
Pakar-pakar makanan telah mengenal pasti bahawa kandungan khasiat dalam ikan hampir sama dengan khasiat yang diperolehi dalam daging. Tetapi keistimewaan yang ketara berhubung dengan pengambilan ikan ialah, ikan tidak mengandungi lemak dan kolestrol yang mendatang risiko serangan jantung dan kanser usus sebagaimana yang diperolehi dalam daging. Malahan ikan bilis kering walaupun terlalu kecil sebenarnya menampung banyak jumlah vitamin dan garam galian yang diperlukan untuk kesihatan dan pemakanan.

Khasiat dalam ikan juga dikatakan sebagai unsur perubatan yang penting. Umpamanya, ikan haruan dapat mengubati luka dan dapat menyembuhkan luka tersebut dengan cepat. Manakala ikan bilis pula dikatakan dapat menggantikan susu sebagai suatu juzuk makanan yang dapat mencegah pereputan tulang atau penyakit sum sum tulang.

Berikutan itu, pilihan terbaik adalah di tangan anda sendiri. Individu yang amat sayang kepada kesihatan tubuh masing-masing perlu memilih corak pemakanan yang terbaik yang dapat mencegah dari serangan penyakit.

Justeru, ubahlah diet dan pemakanan anda dengan mengambil corak pemakanan yang berserat dan berkhasiat, kompleks, asli dan segar serta jauhilah pengambilan bahan-bahan penambah makanan (aditif makanan) serta pemakanan yang kaya dengan lemak, kolestrol, gula dan garam. Sihat dan sakit adalah di tangan anda sendiri. Andalah yang dapat memimpin tubuh dan kesihatan diri sendiri kerana “diri anda adalah apa yang anda makan”.

Hidangan dalam majlis kenduri, banyak daging dan lemak tetapi menafikan kepentingan ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 1 Februari 2017

Din Tukang Besi


DIN TUKANG BESI

PASIR MAS, KELANTAN: Memang masih ramai yang meminati bidang pertukangan besi walaupun hal berkenaan agak sukar dilakukan berdasarkan faktor-faktor tertentu. Walaupun kebanyakan tukang-tukang besi dipelopori oleh golongan telah berusia kerana kemantapan ilmu dan kemahiran mereka di bidang itu, namun ada juga yang berusia di bawah 30 tahun turut menuruti jejak itu yang menjanjikan kepuasan.

Ini menggambarkan, tukang-tukang besi kita sanggup melihat dan mengharungi kepayahan bidang berkenaan semata-mata minat ataupun kerana dorongan tertentu dari keluarga yang memaksanya memikul tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Salah seorang yang dimaksudkan ialah Salamuddin Muhamad, 27, atau lebih dikenali Din dari Kampung Perol, To’ Uban, Pasir Mas, Kelantan.

“Saya mengusahakan pertukangan besi ini sejak lebih tiga tahun lalu. Saya daftarkan bidang ini selepas itu iaitu kira-kira lebih setahun lalu”, kata Salamuddin ketika ditemui Wartawan RELATIF dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya yang dijadikan sebagai bengkel pertukangan besi.   

Katanya, di antara peralatan yang dibuatnya seperti pagar, penyidai kain, penyangkut baju, signboard, label. Setakat ini lazimnya, ramai yang datang membuat tempahan di kediamannya. Dalam masa lima tahun ini, lebih 500 orang pernah datang semata-mata untuk membuat tempahan berdasarkan kehendak masing-masing.

“Kalau tak silap, dah lebih 500 pelanggan yang datang membuat tempahan sepanjang bengkel saya beroperasi di sini”, katanya.

Katanya menambah, lazimnya orang terawal membuat tempahan adalah terdiri daripada beberapa orang penduduk kampungnya yang mengetahui kemahiran beliau sebagai tukang besi, seolah-olah memberikan galakan kepadanya dan mungkin juga tukang-tukang besi lain agak jauh dari penempatan dan ini merupakan rezeki terawal beliau. Selepas itu, apabila sudah semakin mendapat perhatian dan hal kemahiran beliau kemudiannya tersebar dari kampung itu dari mulut ke mulut, ramai pula penduduk dari daerah lain yang datang membuat tempahan khas daripadanya.

“Asalnya, saya selesaikan tempahan sebahagian daripada jiran dan penduduk kampung ini secara ala kadar saja, namun selepas berita berkenaan tersebar dari mulut ke mulut, menyebabkan saya kemudiannya mendapat perhatian dari penduduk kampung lain pula”, ujar Salamuddin.

Menceritakan lebih lanjut, dia pun tidak menyangka asalnya bengkel yang dibuka di kediamannya itu adalah bengkel kecil semata-mata, akhirnya mendapat tempahan yang menggalakkan. Bahkan menurutnya, pernah juga beberapa kali ketika dia membuat pemasangan di rumah pelanggan berdasarkan tempahan tertentu, ada juga penduduk di kawasan terbabit berkesempatan melihat kerja-kerja yang dilakukannya yang halus dan cermat sehingga menimbulkan keinginan pelanggan lain untuk membuat tempahan seperti itu.

Di antara pelanggan dari luar kampungnya yang pernah membuat tempahan darinya seperti dari Kusial, Tanah Merah, Kok Lanas, Bunut Susu. Walaupun orang dari luar kampungnya yang menempah terus darinya, kebanyakan yang ditempah adalah berlainan kategori.

Ditanya tentang modal permulaan, pada mulanya dia tidak ingin menyatakannya kerana buat permulaan sebagai tukang besi mungkin dia masih agak baharu lagi ketika itu. Namun menurutnya, hal yang paling penting dalam kerja-kerja sepertinya adalah untuk mendapatkan bekalan besi itu dengan harga yang mampu beli. 

Pada masa dulu, beliau terpaksa mengeluarkan modalnya sendiri, hal ini agak sesuai memandangkan harga bekalan besi pada ketika itu murah. Tetapi pada hari ini bukan sahaja masalah kenaikan harga besi, namun masalah GST itu yang menyebabkan harga besi meningkat tidak sebagaimana sebelum ini.

“Jadi, pada hari ini apabila ada pelanggan membuat tempahan, saya memohon supaya disediakan pendahuluannya untuk tujuan membeli bekalan mentah itu (besi).

“Dari segi puratanya pada masa dulu, tidak sampai RM1,000 modal yang diperlukan untuk kerja-kerja berkenaan berbanding hari ini yang peningkatannya agak mendadak”, katanya.

Tentang dorongan dan galakan sehingga beliau menceburi bidang berkenaan selain minat yang mendalam terhadapnya, dia turut mendapat galakan dan dorongan dari keluarganya sendiri dan bukannya minat saja. Ini kerana, kalau atas dasar dia minat seorang diri tentunya tidak ke mana, apabila tiba waktu malas, tentunya dia tidak melakukannya. Tetapi apabila telah mendapat galakan dan dorongan dari orang beliau percayai, kalau timbulnya perasaan malas, dia perlu teruskan juga bidang itu sebelum peluangnya direbut oleh orang lain.

Apabila ditanya tentang kepandaiannya dan kemahirannya itu beliau mempelajarinya daripada siapa, beliau menjelaskan, untuk menjadi seorang tukang tidak semestinya perlu mencari guru dan belajar dari mereka. Kalau kita kreatif dalam sesuatu bidang yang kita minat, sekadar kita melihatnya saja, kita boleh buat sendiri dan insya Allah akan berjaya jika sekiranya bakat kita itu sentiasa digilap dan sentiasa berusaha ke arahnya.

Katanya, bagi beliau seseorang manusia itu mempunyai dua kategori iaitu perlu mencari guru dan belajar ilmu dan belajar berhubung tentangnya untuk lebih mematangkan kemahiran dan ada juga melalui bakat yang Allah anugerahkan kepada seseorang tukang itu sejak azali yang hanya perlu melihat cara membuatnya saja pun sudah memadai.

Bagi beliau sendiri, selain minat dengan pertukangan besi, dia juga melihat bagaimana tukang-tukang yang mahir menyiapkan kerja-kerja seumpama itu dengan baik dan sempurna. Dia sebenarnya, tidak pernah belajar bahagian yang dia ceburi sekarang tetapi apabila melihat tukang-tukang yang mahir dengan besi, dia berasa boleh melakukannya dan memang benar dia boleh melakukannya sehingga sekarang.

Menurut Salamuddin lagi, sepanjang beliau berkecimpung di bidang pertukangan besi itu, dia memperolehi berbagai pengalaman kerana setiap pelanggan tidak sama dengan pelanggan yang lain dari beberapa kategori tertentu.

Ada segelintir pelanggan yang dikatakan agak cerewet yang mendakwa hasil kerja beliau tidak memuaskan hati dan ada sebaliknya pula yang mendakwa hasil kerja beliau adalah yang terbaik dan sempurna berbanding dengan tukang-tukang besi yang pernah dilihat. Ada pula yang menyatakan hasil kerja beliau lebih menarik dan bernilai seni dari tukang-tukang besi yang lain.

“Semua itu asam garam baginya untuk lebih memantapkan dan mengorak langkah sebagai tukang besi yang berjaya”, jelasnya.

Berhubung dengan harga tempahan pula, dia meletakkan harga atas barangan yang ingin dibuatnya atau barangan yang ditempah. Dari segi ukuran hampir sama, tetapi fokus beliau berhubung dengan harga adalah bahan atau alat yang akan dibuat itu. Dia juga melihat dari segi kualiti dan tahan lama atau tidak, benda yang sama tapi bezanya dari segi kualiti barangan.

Menurut Salamuddin, kebanyakan tukang-tukang besi akan mendapatkan bekalan bahan mentah berkenaan dari kedai besi atau kedai kitar semula, begitu halnya dengan beliau. Namun, kebanyakan kedai-kedai besi telah didapati kurang menjual bekalan berkenaan. Jadi, bagi yang ingin menapak lebih jauh lagi sebagaimana beliau, beliau akan dapatkan bekalan besi itu dari kilang besi sendiri kerana kebanyakan besi di kilang banyak pilihan yang boleh diperolehi oleh tukang-tukang besi dengan harga jauh lebih murah.

Sebagai akhir kata, beliau menyarankan dan berharap kepada pelanggan-pelanggan yang ingin menempah barangan besi boleh datang sendiri ke rumah beliau di Kampung Perol. Ada pelanggan yang pernah menempah barangan beliau, beliau akan memberikan nombor telefon untuk diberikan kepada pelanggan-pelanggan lain melalui pelanggan terdahulu. Jadi, kalau ada panggilan telefon misalnya beliau akan ke tempat yang dimaksudkan untuk memudahkan pelanggan memaklumkan hal berkenaan terutamanya yang melibatkan pemasangan di rumah-rumah.

Untuk tempahan, sila hubungi Salamuddin Muhamad atau Din di talian:  014-5360209

Salamuddin Muhamad atau Din

Din ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang dijadikan bengkel pertukangan besi.


Antara besi yang telah siap dibuat dan untuk dipasang.


Antara bahan mentah (batang besi) yang digunakan dalam pertukangan berkenaan.



Antara peralatan yang digunakan oleh Din dalam pertukangan besi.


Kenangan di bengkel Salamuddin.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Isnin, 30 Januari 2017

Pak Ya Pandai Besi


PAK YA PANDAI BESI

PASIR MAS, KELANTAN: Sukarnya untuk menjadi seorang tukang atau pandai besi. Sekalipun minat berkobar-kobar, tetapi jika tiada usaha ke arah itu, minat yang tinggi menggunung tidak akan dapat digapai. Jelaslah dalam konteks ini, jika ada minat terhadap bidang tersebut, usaha yang berterusan seperti mencari guru dan pakar di bidang tersebut terpaksa dilakukan. Jika tidak, minat tersebut tidak akan ke mana.

Sejak dulu, Negeri Kelantan telah melahirkan ramai tukang dan pandai besi untuk menunjukkan masyarakat negeri ini kaya dengan hasil seni. Seni pertukangan khususnya yang melibatkan besi dan pembuatan senjata tradisional Melayu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi seterusnya. Walaupun generasi yang mewarisi bidang berkenaan telah ramai yang menghadap Illahi, namun generasi seterusnya masih wujud dengan kepakaran terkini yang menggunakan teknologi terbaharu walaupun ada juga peralatan untuk membuat dan menghasilkannya masih konsep lama.

Salah seorang tukang yang juga dianggap pandai besi, Zakaria Mat Salleh, 67, atau Pak Ya dari Kampung Hutan Mala, Pasir Mas, Kelantan adalah generasi seterusnya yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin yang bersedia berkongsi pengalamannya sebagai tukang dan pandai besi.   

Ketika zaman mudanya yang masih bujang berusia kira-kira 25 tahun, beliau sering mengambil kesempatan yang ada untuk melihat dan meninjau tukang-tukang besi di Kampung Bechah Kelubi, Pasir Mas yang dapat menghasilkan senjata tradisional Melayu terbaik. Dia mengambil peluang itu untuk melihat bagaimana tukang-tukang besi tersohor dapat menghasilkan senjata berkenaan setelah timbul minat yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Katanya, melihat bagaimana tukang-tukang besi mahir dapat membentuk besi menjadi senjata yang diinginkan seolah-olah dirinya boleh melakukannya asalkan meneruskan usaha ke arah itu tanpa jemu. Sebagai langkah pertama, dia akan mendapatkan beberapa batang besi yang boleh dibuat senjata itu dan apabila pulang ke rumah, dia akan melakukannya sendiri sebagaimana yang dia melihat tukang-tukang besi yang berjaya menghasilkan senjata-senjata yang dimaksudkan. Pada masa itu, dia hanya mempunyai sebuah basikal cabuk saja untuk membawa besi-besi yang diperolehinya itu untuk dibawa ke rumah.

Menurutnya, dia bermula bertukang besi pada tahun 1975 di kampung asalnya, Kampung Bechah Kelubi. Ketika usianya meningkat 26 tahun, dia merantau ke Kampung Kuala Hau, Temangan, Machang pada tahun 1977. Dia menetap di kampung itu sehingga mendirikan rumahtangga dengan gadis di kampung itu yang juga isterinya sekarang sambil membuka bengkel kecil-kecilan di kampung tersebut. Setelah agak mahir dari apa yang dilihat dan dihasilkannya, pada tahun 1996 dia kemudiannya keluar dari kampung tersebut bersama isterinya lalu mendirikan rumahnya sendiri di Kampung Hutan Mala, Pasir Mas sebagaimana sekarang.

“Alhamdulillah, setelah pakcik berpindah ke Kampung Hutan Mala ini, tiada pesaing sebagai tukang besi. Malah tiada pihak yang bertanya khabar untuk belajar sebagai seorang tukang besi. Jadi bermakna, pakcik seorang saja pengusaha dan tukang besi di kampung ini”, ujar Pak Ya apabila ditanya tentang persaingan sebagai seorang tukang dan pandai besi setelah beliau berpindah dan membuka bengkel sendiri di kampung terbaharunya sekarang.

Katanya, dia hanya menghasilkan beberapa jenis peralatan dan senjata yang sering digunakan oleh penduduk setempat saja seperti pisau menoreh, sadat, golok, parang dan kapak. Seperti senjata kapak dia tidak begitu memberikan penekanan dan dia menghasilkannya atas permintaan yang tidak seberapa yang hanya digunakan untuk menebang kayu dan memotong tulang.

Bahkan menurutnya, senjata pisau untuk tujuan menyiat daging juga sebagaimana kapak tidak diberi penekanan khusus. Ini kerana, untuk membuat pisau perlukan besi yang nipis dan memerlukan dua tenaga kerja. Jadi, jika tenaga kerja hanya dia seorang tentunya tidak berkesempatan untuk membuatnya jika tempahan untuk senjata lain begitu menggalakkan.

Ditanya, ke mana besi-besi yang telah siap dijadikan alat itu dipasarkan. Beliau menjelaskan, dia tidak pasarkan senjata-senjata yang telah siap itu ke mana-mana tempat. Ini kerana, apabila telah siap, pemiliknya akan datang sendiri untuk mengambilnya. Dia lazimnya akan menyiapkan segera segala tempahan apabila bekalan bahan mentah (besi) ada dan cukup untuk dihasilkan.

“Harga yang pakcik jual, kira mampu beli. Misalnya bagi pisau menoreh yang telah siap untuk digunakan (menoreh), pakcik jual dengan harga RM35 sebilah. Manakala sadat pula berharga RM60 dan golok (RM60)”, ujarnya.

Katanya, dia memperolehi pendapatan mencecah kira-kira RM1,000 sebulan hasil pertukangan besi. Manakala soal modal di peringkat awal dia mengusahakan bidang berkenaan tidaklah begitu banyak sangat. Kira-kira RM2,000 modal awal  yang diperuntukkan untuk tujuan itu untuk membeli bahan mentah (besi). Pendapatan dari hasil kerja yang diperolehinya itu disimpannya untuk membeli peralatan lain secara sedikit demi sedikit. Tentang sesetengah peralatan untuk menghasilkan senjata itu, ada di antaranya yang dia buat sendiri. Malah pada satu masa, dia terpaksa keluarkan modal kira-kira RM10,000 untuk membeli peralatan yang lebih sesuai dengan banyaknya tempahan yang diterimanya.

Soal modal baginya tidaklah begitu banyak sangat, jika dibuat dan membeli peralatan secara berhemah dan menyimpan sedikit demi sedikit. Namun, dia terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM2,000 untuk tujuan itu. Tentang mesin dan peralatan untuk bertukang, beliau membuatnya sendiri. Namun, walaupun ada sebahagiannya yang dibuat sendiri, modal untuk membeli peralatan berkenaan berjumlah kira-kira RM10,000.

“Kebanyakan bekalan besi, pakcik dapatkan dari pengusaha besi di Tanah Merah. Soal besi tidak perlu risau kerana bekalannya agak terjamin.

“Pakcik juga ada menerima besi dari sub motor. Ini kehendak orang yang menempahnya, pakcik terpaksa siapkan sebagaimana yang diminta”, katanya.

Pak Ya menambah, tentang minatnya sebagai tukang besi bermula sejak zaman kanak-kanak lagi. Jiwanya memang tidak dapat ditahan lagi jika dia berjaya sebagai seorang tukang besi kerana itulah idamannya jika dia telah meningkat dewasa nanti. Sudahnya cita-citanya itu termakbul juga sehingga dapat pula mewujudkan bengkel pertukangan besi sendiri di rumahnya sekarang.

“Dalam keluarga pakcik, hanya pakcik seorang saja yang berminat terhadap kerja-kerja besi ini. Sebab itulah, dengan kenakalan pakcik ketika zaman kanak-kanak suka mengetuk besi sehingga ternyata menjadi tukang besi apabila telah dewasa”, katanya sambil tersenyum sambil mengingati pengalamannya di zaman kanak-kanaknya dulu.

Katanya menambah, ketika dia di peringkat bertatih untuk menceburi bidang tukang besi, ketika itu dia hanya menggunakan dua tukul. Salah satunya tukul kecil sebagai pengetuk dan tukul besar pula sebagai pelapik alat yang akan diketuk. Sehinggalah pada satu masa, dia dapat membeli peralatan tersebut sendiri melalui simpanan wang hasil dari kerja-kerja pertukangannya selama ini.

“Pakcik tak pernah belajar di sekolah kerana minat dan terlalu menumpu kepada bidang besi. Tapi jelaslah dengan hanya bertukang pun, kejayaan akan dapat dicapai sekalipun tidak pernah duduk di bangku persekolahan”, katanya.

Membicarakan tentang pembeli pula menurutnya, lazimnya pisau menoreh biasa dibeli oleh penoreh-penoreh dari Estet Kuala Hau, Temangan, Machang. Ditanya, kenapa pembeli dari Kuala Hau sedangkan tempat itu agak jauh jika dibandingkan dengan kediamannya sekarang.

Beliau menjelaskan, pada tahun 1977 dia ke kampung itu dan setelah mendirikan rumahtangga dengan gadis di kampung itu, dia membuka bengkel tukang besi secara kecil-kecilan. Sejak itu, penoreh-penoreh dari kampung itu mengenalinya dan tentulah peralatan menoreh akan ditempah darinya disebabkan dia pernah berbakti di kampung isterinya itu.

Ditanya tentang jumlah pembeli pula, dia sebenarnya tidak memberikan perhatian tentang jumlah yang dimaksudkan, asalkan ada tempahan ia akan menyegerakan tempahan itu. Tetapi jika dihitung sejak dia buka bengkel sehingga hari ini, dianggarkan melebihi ribuan orang yang pernah menempah senjata tersebut darinya.

Ada di antara pembeli itu datangnya dari Terengganu (tidak melebihi 10 orang). Mereka yang datang biasanya akan membelinya secara borong kemudiannya menjual kepada pembeli di sana pula dengan harga pasaran semasa.

Menurutnya lagi, lazimnya bagi pisau menoreh yang dijualnya dibeli oleh lelaki. Namun, bagi penduduk di kawasan Kampung Hutan Mala itu, ramai pembelinya di kalangan wanita kerana kebanyakan penoreh di kawasan itu terdiri daripada kalangan wanita walaupun tidak dinafikan, ada juga di kalangan lelaki yang turut turun ke ladang bersama isteri masing-masing.

Tentang komen pembeli pula terhadap barangan yang dihasilkannya agak baik dan sempurna berikutan dia menghasilkan barangan berkenaan dengan agak cermat supaya menepati kehendak pembeli.

Untuk tempahan, sila hubungi Zakaria Mat Salleh atau Pak Ya di talian: 09-7941267


Zakaria Mat Salleh atau Pak Ya.

Pak Ya ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang dijadikan bengkel pertukangan besi.

Inilah rutian seharian Pak Ya.



Antara pisau menoreh yang telah siap dibuatnya.








Antara peralatan dan mesin yang digunakan untuk menghasilkan senjata yang ditempah.


Bengkel pertukangan besi milik Pak Ya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Jumaat, 20 Januari 2017

Bapa Menghidap Strok


BAPA MENGHIDAP STROK

TANAH MERAH, KELANTAN: Pengorbanan seorang bapa terhadap anak-anak dan keluarga memang tiada tolok bandingnya. Jika dihitung tentang apa yang telah mereka lakukan, kita sebagai anak-anak tidak dapat menilai betapa sukarnya mereka mencari rezeki, tempat tinggal dan hak milik tetap seperti tanah dan penempatan buat membahagiakan keluarga masing-masing.

Hasil pengorbanan mereka yang tidak pernah kenal penat lelah, susah payah, terpaksa pula berpanas dan berhujan serta mengorbankan masa, tenaga dan kesihatan semata-mata untuk memberikan perlindungan kepada anak-anak patut diambil contoh dan iktibar khusus kepada generasi baharu supaya mereka dapat menilai apakah kesukaran orang-orang tua kita di masa lalu berbanding yang telah kita nikmati hari ini.

Menjengah keperitan seorang bapa yang akhirnya diserang penyakit strok kerana susah payah beliau di masa muda, apatah lagi apabila telah meningkat usia senja sebagai penyebab beliau menderita penyakit tersebut kerana ada yang berpendapat, disebabkan terlalu kuat bekerja juga boleh mengundang masalah kesihatan dan memakan diri sendiri. Begitulah halnya yang telah dialami oleh bapa Mohd. Zainal Mat, 30, atau lebih dikenali sebagai Jena dari Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan.

Menceritakan serba sedikit tentang kepayahan bapanya yang akhirnya diserang penyakit strok buat pertama kali pada tahun 2006 telah mengajar dirinya tentang erti pengorbanan yang tidak ternilai seorang bapa yang juga seorang peneroka di tanah rancangan di felda tersebut sehingga akhirnya beliau berkeadaan begitu.

Katanya, bapanya diserang strok pada tahun 2006 yang ketika itu berusia 96 tahun semasa sedang bekerja menanam pokok di kawasan ladang felda di bukit tersebut.   

Menurutnya, selepas mengalami strok permulaan pada tahun 2006 itu keluarganya membawanya untuk merawat secara tradisional dan selepas rawatan itu bapanya dapat bergerak dan berjalan seperti biasa. Namun, pada tahun 2009 bapanya diserang penyakit itu buat kali kedua.

Sebagaimana kejadian pertama pada tahun 2006, pada tahun 2009 ini keluarganya membawanya ke hospital kerajaan dan selepas itu melalui rawatan dan membuat urutan strok secara tradisional. Sambil menjadikan amalan memakan ubat-ubatan dan rawatan itu keadaan kesihatan bapanya pulih tetapi tidaklah sepenuhnya seperti dulu. Malah menurutnya, bapanya bergerak pun agak lambat sebagaimana sebelum ini. Sementara bapanya pula terpaksa dipimpin untuk berjalan dan ketika makan pun perlu disuapkan.

Selepas itu, pada tahun 2011, bapanya diserang strok buat kali ketiga. Serangan strok kali ketiga ini menjadikan bapanya tidak lagi dapat bangun, bergerak dan berjalan seperti dulu, hanya terpaksa berbaring semata-mata kerana serangan strok berkenaan melibatkan kaki dan tangan sebelah kiri.

Ditanya tentang pengalamannya menguruskan bapanya diserang strok buat kali ketiga itu, beliau menjelaskan, ketika bapanya itu diserang strok buat kali ketiga itu, beliau ada bersama dengan bapanya. Mungkin penyebab serangan strok itu disebabkan darah tinggi yang dialami oleh bapanya.

Pada ketika itu, beliau segera membawa bapanya itu ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Ketika dalam perjalanan ke hospital, bapanya yang bersandar pada kusyen kereta dengan tiba-tiba tumbang (jatuh). Pada masa yang sama, bapanya tidak lagi dapat bercakap sebagaimana sebelumnya. Selepas itu, bapanya terpaksa diusung kerana tidak lagi dapat bergerak sehinggalah hari ini.

Menurut doktor yang merawat bapanya menyatakan, bapanya itu diserang strok tahap ketiga dan untuk sembuh sepenuhnya agak tipis. Menurut doktor itu lagi, bapanya mengalami strok di bahagian kepala (urat dan saraf di bahagian kepalanya pecah), mungkin disebabkan itulah bapanya tiba-tiba jatuh dari kusyen kereta ketika beliau membawa bapanya itu ke hospital ketika itu. Jadi menurut pandangan keluarganya, untuk melakukan pembedahan amatlah tidak sesuai melihatkan keadaan usianya yang semakin lanjut itu. Justeru, beliau bersama adik-beradik yang lain hanya memberikan penjagaan terhadap bapanya itu yang hanya mampu baring apatah lagi tidak dapat bercakap sebagaimana sebelumnya.

“Setiap kali tiba waktu makan, terpaksalah disuapkan susu. Kami sekeluarga terpaksa menjaga bapa dalam keadaan sepenuhnya.

“Apabila tiba tiga jam sekali, terpaksalah saya suapkan susu sebagaimana sepatutnya”, jelasnya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin.

Sementara itu menurut Jena, apabila bapanya berasa akan kencing dan buang air besar, beliau sebagai anak yang bongsu terpaksa menguruskannya secara bergilir-gilir dengan adik-beradik yang lain. Bekas khas perlu disediakan untuk tujuan itu.

Beliau juga turut berkongsi dirinya dan bapanya sebagai peneroka di tanah felda tersebut. Ketika bapanya menjadi peneroka di ladang itu, usia beliau ketika itu masih dalam peringkat kanak-kanak. Namun, bapanya sering membawanya ke ladang untuk memperlihatkan dan memberikan pengalaman keadaan tempat bapanya mencari rezeki di situ.

Pada ketika itu menurutnya, bapanya memang cergas dan gagah bukan saja dapat memetik buah kelapa sawit tetapi juga berupaya mengangkatnya seorang diri. Memang sebagai peneroka, bapanya terlalu kuat bekerja semata-mata untuk menyara beliau dan keluarganya dengan rezeki di ladang itu.

Bapanya mula bekerja sebagai peneroka di ladang itu pada tahun 1980 dan pada ketika itu bapanya berusia lebih 40 tahun. Bapanya mendapat tanah di felda itu kerana hasil usahanya memohon dari pihak kerajaan. Malah majoriti bapanya memperolehi tanah di felda itu kira-kira 14 ekar seorang.

Ditanya tentang hal peneroka, beliau menjelaskan, apabila sampai satu masa, tanah itu akan diserahkan balik oleh pihak felda kepada peneroka untuk diuruskan dan begitulah halnya dengan bapanya yang sejak itu terpaksa diuruskan oleh peneroka sendiri.

Membicarakan tentang anak peneroka pula, banyak kelebihan yang dinikmati oleh anak-anak peneroka felda. Antaranya, bagi wanita yang berhasrat menjadi tukang jahit, golongan ini diberikan kursus atau kelas jahitan secara percuma dan pemberian tunai secara percuma. Manakala bagi anak-anak yang pintar dan berhasrat memasuki pusat-pusat pengajian tinggi, pihak felda akan menanggung kos itu kecuali makan minum adalah belanja sendiri, bantuan hari raya dan lain-lainnya.

Jena juga turut menyentuh tentang suasana sambutan hari raya Aidilfitri dengan katanya, pada masa dulu (zaman bapanya), sambutan hari raya di kawasan atau di perkampungan felda tidaklah semeriah hari ini. Tetapi semenjak 10 tahun kebelakangan ini, anak-anak peneroka yang bekerja di luar Kelantan akan pulang ke perkampungan felda semata-mata untuk menyambut hari yang mulia itu bersama keluarga masing-masing dan suasana berkenaan begitu meriah di perkampungan berkenaan setiap kali hari raya menjelang.

Katanya, sambutan hari raja sehari juga begitu meriah di kawasan felda. Apabila mengetahui ada di kalangan anak-anak peneroka yang akan menjadi raja sehari, peneroka-peneroka lainnya akan melakukannya secara bergotong-royong dan bantu-membantu, dengan hal yang demikian majlis pastinya berjalan lancar.

Membicarakan tentang konsep gotong-royong di kawasan Felda Kemahang 2, menurut Jena bahawa, dia difahamkan sebuah sekolah Arab yang akan diberikan nafas baru mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak peneroka dengan melakukan hal itu secara bergotong-royong atas keperluan pentingnya bidang pendidikan kepada anak-anak peneroka felda.

Selain itu menurutnya, pada masa dulu, kalangan peneroka apabila ada rumah yang akan dipindahkan, mereka bersama-sama mengusung rumah terbabit untuk diletakkan di kawasan tapak rumah yang dikhaskan. Begitu juga dengan anak-anak peneroka (golongan baharu), masih mengekalkan tradisi tolong-menolong dan bantu-membantu sesama peneroka bak kata pepatah “yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Hubungan di antara semua peneroka khususnya di Felda Kemahang 2 ini sejak dulu mengamalkan hubungan yang baik dan sentiasa muafakat di antara mereka sehingga hari ini. Jika wujudnya masalah, mereka akan mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah itu.

Turut sama berganding bahu di kawasan felda berkenaan adalah terdiri dari Persatuan Belia dan KRT. Manakala bagi Persatuan Penduduk dikhususkan untuk golongan peneroka yang turut sama melihat pentingnya hubungan seperti itu dikekalkan di kawasan tanah felda.

“Kebanyakan peneroka bukan sahaja dari Kelantan saja, namun ada juga dari luar Kelantan seperti dari Terengganu, misalnya dari Besut dan Setiu”, katanya apabila ditanya tentang peneroka di Felda Kemahang 2 itu

Justeru menurut beliau, sebagai salah seorang anak beliau amat bersyukur dan menganggap beruntung menjadi seorang peneroka. Ini katanya, jika ingin dibandingkan dengan orang-orang kampung biasa, menjadi anak peneroka felda dianggap bertuah bukan sahaja ditunjukkan tentang sikap menghormati tetapi juga mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan yang diperolehi.

Mohd. Zainal Mat atau Jena.

 Jena ketika diwawancara di kediamannya.


Beliau bersama adik-beradik bergilir menjaga bapanya.

Bapanya ketika memperolehi geran tanah pada tahun 1990.


Papan tanda Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN