RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 22 Mei 2021

Misteri Bukit Sejuk


MISTERI BUKIT SEJUK

GUA MUSANG, KELANTAN: Bukit Sejuk yang letaknya di Kampung Chiku Satu, Gua Musang, Kelantan amat sesuai dengan namanya berikutan hawanya yang sejuk. Sebelum perkampungan berkenaan dibuka pada tahun 1960 adalah sekadar sebuah bukit yang wujud sejak azali yang berjarak sejauh 21 kilometer dari bandar Gua Musang, Kelantan.

Bukit ini pada masa dulu menjadi laluan pencari teras kayu seperti kemuning hitam, aktiviti pembalakan serta menjadi kawasan kawanan 30 ekor gajah-gajah liar di sekitar bukit tersebut menjelang waktu pagi. Manakala sejauh 2 kilometer dari laluan utama itu juga, Bukit Sejuk sebenarnya mempunyai sebuah gua yang agak bermisteri kerana difahamkan, ia dihuni oleh segerombolan makhluk halus yang dipimpin oleh seorang ketuanya bernama Tok Fakir berusia 600 tahun dan mempunyai penjaganya seekor kucing hitam bermata hijau sering muncul di laluan utama itu beberapa kali.

Semenjak laluan utama bagi pengguna jalan raya dari Kota Bharu-Gua Musang-Kuala Lumpur siap dan dibuka beberapa tahun lalu dengan melalui Bukit Sejuk itu, bukit berkenaan masih megah berdiri di tempatnya, belum menimbulkan sesuatu yang dianggap misteri. Sehinggalah nahas ngeri pada 2 Januari, 2009 lalu yang meragut 10 nyawa kira-kira satu (1) kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R & R), barulah nama Bukit Sejuk  mula mendabik dada  malahan  setiap  pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan akan mula berhati-hati.

Dari cerita beberapa orang pemandu kenderaan yang pernah   terserempak   dengan  dua beranak  yang  dikatakan  sering menunggu dan hilang di pinggir jalan tempat laluan ke gua Bukit Sejuk yang kadang-kadang muncul ketika waktu Maghrib dan di malam hari kian menjadi tanda tanya tentang persepsi sebenar Bukit Sejuk itu.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar di sebalik misteri Bukit Sejuk yang kini didakwa oleh sesetengah pihak sebagai ‘puaka Gua Musang’ kerana dikatakan setakat ini telah berlaku 44 kes nahas jalan raya yang berlaku berdekatan dengan bukit tersebut, Wartawan RELATIF cuba membongkar kisah misteri itu apabila penulis kemudiannya dibawa oleh Abd. Ghani bin Ismail, 61, atau lebih dikenali Pak Ghani dari Kampung Chiku Satu itu ke sebuah gua yang dimaksudkan.

Menurut Pak Ghani, beliau tidak menolak malah pernah mendengar tentang kemunculan dua beranak  yang  sering  muncul  di tepi  jalan  berhampiran  lorong masuk ke gua Bukit Sejuk itu. Puncanya, kedua-dua beranak itu sebelum ini pernah dilanggar oleh sebuah kenderaan, namun mangsa berumur panjang dan masih hidup sehingga kini. Kemungkinan akibat anggota tubuhnya digesel permukaan jalan menyebabkan   rupa   beliau   dijelmakan  oleh makhluk  halus yang   sering   merayau-rayau di kawasan itu. Namun, ketika itu kejadian nahas belum lagi berlaku walaupun kedua beranak itu sering menjelmakan dirinya di laluan tersebut.

“Kedua beranak itu pernah menahan beberapa buah kenderaan untuk menumpang. Namun, kebanyakan pemandu enggan menumpangkannya kerana berasa agak pelik dan mustahil di kawasan berbukit dan hutan tebal sebegitu ada manusia tinggal.

“Oleh kerana tidak ada yang sanggup menumpangkan kedua beranak itu, makhluk berkenaan kemudiannya ghaib di tempat itu pada masa itu juga. Melihatkan keadaan demikian, tidak pernah pula berlaku sebarang kejadian nahas walaupun sesetengah pemandu pernah melihatnya”, tambah Pak Ghani yang tidak menolak kedua beranak itu bukanlah dari bangsa  manusia  tetapi  dari  keluarga jin  yang  berkemungkinan menetap di dalam gua Bukit Sejuk itu. Ini kerana, kawasan lapang itu merupakan tempat paling singkat untuk ke Gua Bukit Sejuk.

Tetapi paling jelas menurut Pak Ghani lagi ialah, apabila seekor ular yang lebarnya kecil sedikit daripada batang pinang yang menyusur dari arah hutan bersebelahan kemudiannya merintangi laluan itu telah dirempuh kenderaan yang lalu lalang di tempat kejadian nahas tersebut. Walaupun telah dilanggar, ular aneh itu bangun sambil mendongakkan kepalanya.

Dalam pada itu, sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh  sehingga ular   tersebut   berguling    ke dalam  hutan di tempatnya muncul. Hairannya, walaupun ular tersebut telah dilanggar beberapa kali malahan sepatutnya telah mati dan menjadi bangkai, namun orang ramai yang sering lalu lalang di situ tidak pernah menemui bangkai apatah lagi tidak pernah terhidu bau busuk. Ada juga yang mendakwa ular aneh itu adalah jelmaan makhluk jin yang ghaib secara tiba-tiba apabila dilanggar kereta berkenaan yang dikatakan sebagai penjaga dalam gua bukit bermisteri itu.

“Itulah asal ceritanya, apabila ular aneh itu dilanggar kenderaan bermulalah episod kemalangan demi kemalangan tempat laluan ular tersebut muncul. Sedangkan sebelum ini tidak”, jelas Pak Ghani yang dilahirkan di Tok Uban, Pasir Mas dan datang ke Kampung Chiku Satu itu sebagai peneroka sejak 25 tahun lalu.

Pak Ghani percaya walapun bermulanya kisah misteri akibat daripada kejadian itu, namun beliau tidak pernah menemuinya. Ini kerana, kalau makhluk halus itu ingin mengamuk maka orang pertama yang patut menjadi mangsanya adalah beliau. Sebabnya, beliau kerap pergi ke gua tersebut termasuk di kawasan persekitaran hutan berkenaan untuk mencari teras kemuning hitam untuk dibuat tongkat dan ulu tengkolok malahan telah menganggap Bukit Sejuk itu sebagai rakannya dan hutan belukar di sekitarnya sebagai pejabatnya untuk mencari rezeki.

Beliau hanya mengenali laluan dalam hutan itu sahaja, tidak pernah mengganggu kehidupan makhluk lain, sebab itulah beliau tidak pernah diganggu atau disorok. Asalkan beliau  mendapat   apa  yang  diperlukan   untuk   memperolehi   rezeki   sekadar  untuk menampung hidup, maka di Bukit Sejuk itulah punca rezeki untuk anak dan isterinya.

Justeru katanya, hal-hal lain beliau tidak begitu risau sangat malah berharap supaya habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang hidup subur di dalam hutan itu tidak diganggu-gugat sehingga menyebabkannya musnah.

Abd. Ghani Ismail atau Pak Ghani.

Bukit Sejuk kaya dengan kisah misteri

 

Mungkin inilah laluan asal tempat pencari teras kayu 
 
Tempat gajah berkumpul dan wujudnya tapak kaki haiwan liar di lokasi itu

Gua Bukit Sejuk dirakam dari arah luar gua 
 
Gua Bukit sejuk dirakam dari arah dalam gua

 

Wajah Ketua Makhluk Halus Bukit Sejuk bernama Tok Fakir tiba-tiba menjelma selepas Azan 
 
Mungkin inilah tempat baring Tok Fakir dalam gua Bukit Sejuk itu 
 
Kolam yang sering digunakan oleh Tok Fakir 
 
Mungkin dinding inilah pintu masuk ke alam ghaib yang dihuni oleh koloni makhluk halus itu 
 


Kejadian nahas ngeri pada 2.1.2009 berlaku di kawasan berkenaan

Ada yang menyatakan, lembaga perempuan pernah keluar dari sebatang tiang lampu itu

Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 9 Mac 2021

Ekspedisi Pulau Tengkorak Ke-2


 EKSPEDISI PULAU TENGKORAK KEDUA

(18.2.2011 - 19.2.2011)

TUMPAT, KELANTAN: Pulau Tengkorak yang letaknya 200 meter dari perairan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sering dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sebuah pulau puaka dan bermisteri dan pulau berkenaan dikatakan menjadi tempat persinggahan kumpulan lanun pada tahun 1969 dulu. Nama 'tengkorak' telah diberikan oleh penduduk kampung pada masa itu berikutan ketua lanun bernama Tok Sang Niaya telah membunuh sekurang-kurangnya 1,000 orang lalu mayat-mayat yang dibunuh itu dihumban dan ditimbuskan di pulau tersebut. Sejak itu, penduduk dari kampung berkenaan mendakwa Pulau Tengkorak berpuaka. Sehingga tarikh 22.1.2010 dan 18.2.2011 lalu, dikatakan tiada siapa yang berani menjejakkan kaki ke pulau tersebut. Banyak kejadian aneh yang didakwa oleh segelintir penduduk dari kampung berkenaan menyatakan, jika dilihat dari jauh bentuk pulau itu seperti seekor buaya dan pada masa-masa tertentu seolah-olah kelihatan seperti seekor buaya sedang melibaskan ekornya.

Dari dakwaan penduduk terbabit, sudah agak ramai yang menerima natijah akibat menjejakkan kaki ke pulau itu seperti disorok, ada yang mendengar suara binatang buas seperti harimau dan beruang sedangkan jika dilihat kepada bentuk pulau tersebut yang dikelilingi air laut, mustahil wujudnya binatang buas.

Seorang penduduk, Zakaria Mamat, 45, memberitahu penulis, salah seorang penduduk dari kampungnya yang mencari lokan di perairan pulau tersebut akhirnya tersesat kerana lokan yang dicarinya semakin banyak sehingga mangsa terlupa jalan pulang akibat telah terlalu jauh ke tengah pulau. Pada masa itu, Pulau Tengkorak masih belum ditumbuhi hutan tebal tidak sebagaimana hari ini.

Banyak lagi kejadian aneh dan penuh misteri yang dianggap tidak masuk akal dialami oleh beberapa penduduk dari kampung berhampiran sewaktu menjejakkan kaki ke pulau itu. Namun, sudahnya mereka tidak kembali ke dunia manusia kerana telah dighaibkan ke dunia jin di mana ada yang mendakwa terdapat dua kumpulan jin Islam dan jin bukan Islam telah menghuni dan menetap di pulau itu sejak dulu.

Disebabkan fobia dengan kejadian itu, beberapa penduduk dari Kampung Ketil itu mendakwa kalau diupah ke pulau tersebut RM1,000 pun mereka tidak akan ke sana. Biar rugi duit daripada menerima padah. Disebabkan tiada manusia yang menjejakkan kaki ke pulau itulah yang menyebabkan pulau berkenaan ditumbuhi pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang agak subur sehingga batangnya sebesar paha orang dewasa.

Bagi penulis, Pulau Tengkorak bukanlah pulau puaka dan mengusik. Itu sekadar ketakutan dan fobia yang dialami oleh penduduk dari kampung terbabit. Malahan beberapa media cetak dan elektronik sebelum ini pernah menyiarkan artikel dan dokumentari tentang Pulau Tengkorak, mereka merakam foto dan video dari jarak jauh iaitu dari perairan Kampung Ketil tetapi tidak pernah cuba memasuki pulau tersebut kerana takut dan kecut perut disebabkan dakwaan berkenaan.

Justeru, disebabkan ingin mencabar ketakutan dan fobia yang dialami banyak pihak tentang puaka Pulau Tengkorak, pada 22 Januari, 2010 peserta kami yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz, Anis Sabirin bin Azmi (Anak keempat penulis) serta Mohamad Nasiruddin Mohamed Nor (Din) telah melakukan "Ekspedisi Pulau Tengkorak Pertama" memasuki perut Pulau Tengkorak.

Ketika di pulau itu, kami juga sempat berkomunikasi dengan penghuni ghaib di pulau itu yang mana salah seorang ketuanya berketayap putih sedang memberi makan 500 ekor biri-biri yang diternaknya, manakala penjaga pulau tersebut tidak berbaju dengan mengenakan seluar jeans lusuh seperti seorang tukang kebun.

Kami ekspedisi ke pulau itu hanya sehari sahaja dan kami berangkat pulang pada jam 6.30 petang pada hari yang sama, tetapi tiada apa yang berlaku dan cuba mengganggu kami. Sedangkan, sebelum kami bertolak ke pulau tersebut dengan sebuah bot sejauh 200 meter, kami dimomokkan dengan pelbagai cerita untuk menghalang penulis dan peserta ekspedisi dari menjejakkan kaki ke pulau itu bimbang natijah buruk yang berlaku. Sudahnya, kami pulang dengan selamat dan penuh kepuasan. Paling menarik buat kami, makhluk halus yang memakai ketayap putih itu pula meminta kami datang lagi pada masa-masa yang akan datang.

Dengan itu, sebagai menyahut pelawaan lelaki berketayap putih berstatus haji dari kumpulan jin Islam itu, pada 18 Februari, 2011 lalu kami melakukan "Ekspedisi Pulau Tengkorak Kedua" dengan tujuan bermalam di pulau itu. Untuk ekspedisi kali kedua ini, penulis selaku Ketua Ekspedisi telah membawa 11 peserta lain. Kami berempat Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz, Hafaizal Mat Ali dan Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat penulis) dari Abjad Kelantan begitu teruja untuk ke pulau itu. Sementara lapan peserta lain sekadar ingin melayarkan hobi untuk memancing di pulau itu yang terdiri daripada Wan Ibrahim Wan Ismail, Hairudin Hasam, Mahazam Daud, Mohd. Naziz Ismail, Mohd. Suhaimi Mohd. Amad, Rashid Mat Hussain, Abdullah Ali dan Mohd. Zulkifli Zainal Abidin (rakan Anis Sabirin).

Sebelum berangkat ke pulau tersebut, kami berempat melakukan beberapa kaedah wasilah sebagaimana ajaran guru kami. Ini kerana, dari pandangan kami, penghuni ghaib di pulau tersebut sedang mengamuk pada hari itu dan tentunya suasananya agak keras tidak sebagaimana ekspedisi kali pertama dulu. Dari jarak jauh, kami juga dapat melihat seperti istana jin Islam di pulau itu bagi memudahkan kami berangkat dan menjejakkan kaki ke pulau tersebut.

Dengan itu, pada tarikh 18 Februari, 2011 kami bertolak dari Kota Bharu pada jam 10.45 pagi dan setibanya kami di jeti Kampung Ketil, Pengkalan Kubor kami mula bertolak dengan sebuah bot memuatkan 12 peserta. Kami sampai di perairan Pulau Tengkorak tepat jam 12.00 tengah hari. Sebelum memasuki pulau, kami berempat sekali lagi melakukan kaedah wasilah untuk mengesan, menjejak dan mengelak daripada gangguan. Setelah selesai, kami mula membuat laluan dengan mencantas dan menebang pokok-pokok yang menghalang laluan berbekalkan parang dan golok yang dibawa bersama.

Anis Sabirin (anak keempat penulis) yang mendahului peserta lain dalam aktiviti membersihkan dan membuat laluan  memberitahu penulis, ketika beliau sedang asyik memotong batang pokok yang menghalang laluannya dengan tiba-tiba jalan yang kelihatan jelas sebelumnya dengan tiba-tiba ghaib (hilang) dan beliau tidak dapat melihat ke arah hadapan. Untuk itu, beliau kemudiannya membaca "Qulhuwallah" sebanyak 40 kali barulah laluan yang ghaib itu dapat dilihat kembali. Tetapi tidak habis setakat itu sahaja apabila beliau diberitahu oleh seorang makhluk halus bersuara lelaki supaya pokok yang ditebang itu dibuat 'ala kadar' sahaja. Namun, Anis Sabirin tidak mempedulikan suara arahan itu dan kerana itu makhluk halus tersebut tidak lagi mengganggunya.

Ketika melakukan aktiviti membersihkan laluan ke perut pulau itu banyak peluh mengalir dan tenaga semakin berkurangan disebabkan perlu memotong akar dan batang pokok sebesar paha orang dewasa yang tumbuh subur di Pulau Tengkorak itu, sehinggalah kami memilih tempat untuk mendirikan khemah dan markas, kami meneruskan aktiviti berkenaan.

Bimbangkan kehabisan tenaga dan bekalan air masak berkurangan, penulis meminta peserta yang melakukan kerja itu dibuat secara giliran tidak sebagaimana sebelumnya. Kami selesai membersihkan segala semak-samun dan hutan belukar jam 12.45 tengah hari. Sebelum membina markas, penulis selaku Ketua Ekspedisi mengalunkan azan untuk memaklumkan kepada penduduk di kalangan makhluk ghaib di pulau itu bahawa kami telah menjejakkan ke pulau tersebut. Peserta kami siap membina markas kira-kira jam 3.30 petang.

Setelah berehat selama setengah jam, peserta-peserta lain mengambil peluang mandi air masin, ada yang pergi mencari lokan untuk bekalan Bar-B-Que pada sebelah malamnya nanti. Penulis yang telah selesai mandi air masin dan solat Zohor cuba untuk baring beberapa ketika dalam markas yang kami namakan "Markas Abjad Kelantan" untuk tujuan melepaskan kepenatan sejak tadi lagi. Ketika penulis sedang berehat itu, penulis dapat melihat dengan jelas bahawa markas yang kami bina itu betul-betul di tengah ruang dalam istana jin di Pulau Tengkorak itu.

Kami sengaja membina markas sedemikian dalam usaha untuk meneroka, menakluk, menjelajah dan menjajah pulau itu dari dimiliki oleh makhluk ghaib dari bangsa jin Islam dan jin bukan Islam itu. Kami melakukan kaedah wasilah sebagaimana ajaran guru kami. dengan menganggap makhluk halus di bawah tapak kaki kami.

Tujuan kami membina markas yang berlilitkan plastik putih yang mana laluan masuk dari arah jalan yang kami rentas dan laluan keluar dari sebelah sana adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Peserta yang tidak mengetahui kaedah sedemikian perlu menurut arahan kami supaya berada dalam keadaan selamat, manakala pada sebelah malamnya mereka perlu bersama kami dan tinggal di dalam markas yang telah disiapkan itu tetapi tidak boleh keluar sesuka hati.

Pengalaman waktu malam sehingga pagi amat menarik buat kami. Ini kerana, dalam masa kami mengadakan 'bar-b-que' dengan memasang unggun api untuk membakar lokan dan ikan yang telah dapat dipancing pada sebelah petangnya, penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam foto kenangan. Dalam banyak foto yang penulis rakam pada malam tersebut, terdapat dua keping foto makhluk halus yang berjaya dirakam menggunakan 'lampu kilat' kamera. Dalam dua keping foto tersebut, sekeping darinya kelihatan empat makhluk halus berjaya dirakam. Di antara bentuk makhluk halus dalam foto itu adalah lembaga cahaya bermata biru, lembaga tengkorak, lembaga seperti manusia yang mempunyai tangan yang agak besar serta lembaga seperti manusia berketayap hitam atau berambut hitam.

Setelah malam semakin larut, kami mengambil tempat masing-masing untuk melelapkan mata. Namun, kami sebenarnya tidak dapat melelapkan mata disebabkan serangan nyamuk yang datang silih berganti. Ketika jam menjengah 3.00 pagi, penulis dapat mendengar suara seperti ada sesuatu sedang berlari dengan agak laju dari arah luar markas yang kami bina itu dan kemudiannya penulis dapat melihat lembaga perempuan sedang melilau dan memandang ke arah kami dari balik tiang keluar markas.

Tetapi lembaga perempuan tersebut kemudiannya ghaib setelah penulis melihat ke arahnya dengan tepat. Selang setengah jam selepas itu pula, rakan penulis bernama Hafaizal Mat Ali memberitahu, beliau melihat lembaga perempuan tadi sedang meniup lilin yang sedang menyala itu sambil dirinya mencangkung.

Pada mulanya Hafaizal menganggapnya tidak masuk akal kerana pada malam itu tiada angin yang berhembus, tetapi melihatkan api lilin yang sedang beralun ke sana ke mari agak tidak munasabah. Setelah beliau memerhatikan ke arah lembaga perempuan itu, lembaga itu kemudiannya ghaib.

Jika beliau tidak memerhatikan gelagat lembaga itu, sudah tentu barangan yang diletakkan berdekatan dengan api lilin itu akan terbakar. Rupa-rupanya lembaga perempuan itu sengaja meniup api lilin yang sedang menyala untuk membakar barangan kami di situ.

Penulis yang tidak dapat melelapkan mata walaupun sekejap pada malam tersebut turut menyaksikan Aziz Haji Daud (Abang Aziz) turut gelisah kerana terpaksa menepis nyamuk yang datang mengganggu dan menggigit mukanya. Kerana bosan dengan keadaan itu, beliau bangkit untuk membuat unggun api dalam usaha untuk mengurangkan gangguan nyamuk-nyamuk itu.

Tetapi dalam beberapa minit kemudiannya, Abang Aziz memberitahu penulis beliau juga turut ditegur oleh lembaga lelaki (berambut hitam) sebagaimana dalam foto yang berjaya dirakam oleh penulis yang meminta beliau tidak menghabiskan atau membakar kesemua kayu yang dikumpulkan di tepi markas kami.

Geram dengan teguran lembaga lelaki berambut hitam itu, Abang Aziz menempelak lembaga lelaki itu bahawa kalau makhluk itu menghalangnya juga, beliau akan membakar makhluk halus termasuk pulau itu pula. Selepas itu, makhluk halus yang menegurnya ghaib dan tidak menampakkan dirinya sehingga waktu pagi.

Pada pagi esoknya, 19 Februari, 2011 kami berangkat pulang pada pukul 8.00 pagi. Kejayaan kami menjejakkan kaki ke Pulau Tengkorak  adalah sesuatu yang indah dan mencatatkan sejarah yang tersendiri yang tidak pernah dilakukan oleh pihak-pihak yang lain. Tetapi paling menarik lagi apabila kami dapat membina Markas Abjad Kelantan, kami juga turut menyenaraikan dan memahatkan nama peserta kami yang dapat meneroka, menjelajah dan menakluk Pulau Tengkorak yang dikenali sebagai pulau paling berpuaka juga sebagai peserta pertama yang dapat berbuat demikian sedangkan tiada pihak lain yang sanggup berbuat demikian.

Peserta Ekspedisi Pulau Tengkorak Kedua pada 18.2.2011 berkumpul di Kg. Paya Senang.
 



Peserta ekspedisi menaiki sebuah bot di jeti Kampung Ketil jam 11.50 pagi.
 
Inilah perairan Pulau Tengkorak. Kami sampai di sini jam 12.00 tengah hari.
 
Kami membuat lorong untuk masuk ke perut pulau.
 
Penulis memulakan operasi mencantas dahan dan batang pokok untuk dibuat penempatan.



Kerja berpasukan memang cepat. Hutan tebal menjadi terang.

Penulis mengalunkan azan selepas kerja siap jam 3.30 petang.

Penulis (kanan sekali) berehat.
 
Masing-masing ambil kesempatan untuk melepaskan penat.
 

Kami menyambung kerja, membina khemah atau markas.
 
Memancing dan mencari lokan.
 
Sebahagian lokan yang dapat dipungut kerana air laut pasang.
 
Rezeki pancing. Dapat seekor ikan.
 
Anis Sabirin (kanan sekali) sedang membakar lokan.
 
Sebahagian lokan yang dapat dibakar.
 

Makhluk halus (bertanda bulat) yang dapat dirakam oleh penulis.
 

Bergambar kenangan di pagi 19.2.2011 untuk berangkat pulang.
 
Penulis keluar dulu untuk melihat keadaan sekitar.
 
Sedang menunggu ketibaan bot di tebing Pulau Tengkorak.
 

Kami berangkat pulang pada 19.2.2011 jam 8.00 pagi.  

Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 21 Februari 2021

Ekspedisi Gunung Tebu Ke-2 (8.8.2008-9.8.2008)

EKSPEDISI GUNUNG TEBU KEDUA

(8.8.2008 - 9.8.2008)

BESUT, TERENGGANU: Mendaki gunung adalah aktiviti lasak yang boleh menyihatkan badan walaupun ternyata seluruh badan termasuk urat saraf pasti akan merasai kesakitan selepas itu. Hal seumpama ini untuk menunjukkan bahawa tidak boleh dianggap mudah untuk melakukan aktiviti lasak itu biarpun mempunyai tubuh yang kental dan cergas jika tidak memiliki mental dan fizikal adalah beberapa syarat penting untuk menakluk puncaknya.

Dengan demikian, berikutan ingin merasai pengalaman berbanding aktiviti lasak yang lain, pada 8 Ogos 2008, kami seramai tujuh peserta yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Wartawan RELATIF), Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis), Mohamad Nasiruddin Mohamed Nor (Din), Wan Ibrahim Wan Ismail (Abang Him), Fakhruddin Yusof (Din Bukit) serta Marzuki bin Ghani telah melakukan catatan bersejarah apabila dapat menawan puncak Gunung Tebu, Besut, Terengganu setinggi 7088 meter atau 3,401 kaki itu walaupun terpaksa berhempas pulas selama 13 jam perjalanan dan kami dapat menggapai puncak gunung berkenaan kira-kira jam 1.15 pagi.

Namun sesuatu yang menarik tentang pendakian berkenaan bahawa kami bukan sahaja bertemankan rakan-rakan dari golongan veteran tetapi hakikatnya kami juga turut diperlihatkan beberapa kejadian misteri malah turut diintai oleh makhluk halus seperti jin dan golongan bunian yang mungkin agak hairan dengan kehadiran kami yang terlalu ramai pada hari itu.

Kami bertolak dari Kota Bharu, Kelantan jam 11.30 pagi, kami kemudiannya tiba di Hutan Lipur Lata Belatan yang terletak di kaki Gunung Tebu pada pukul 1.15 petang. Kami memulakan pendakian melalui trek pejalan kaki sehinggalah trek berkenaan berakhir di kawasan papan tanda batu licin. Setelah melewati Air Terjun Lata Belatan itu, Abang Aziz memaklumkan kepada Penulis apabila beliau dapat melihat begitu ramai spesis makhluk halus dari golongan bunian bukan Islam yang sedang memerhatikan ke arah peserta kami.

Bermula dari Air Terjun Lata Belatan itu juga, Anis Sabirin memberitahu kami telah diekori  dua lembaga dari belakang sehingga kami sampai di kawasan perkhemahan Sungai Cakah Dua yang kini agak lengang akibat peristiwa beberapa kes remaja dan kanak-kanak yang hilang (ghaib) dan disorok di situ. Sambil berehat dan membasahkan tubuh untuk menunaikan solat Zohor di samping mendapatkan bekalan air minum di sebuah aliran air di tasik itu untuk kegunaan semasa dalam pendakian nanti, Abang Aziz memberitahu bahawa tiga makhluk bunian telahpun menunggu kedatangan kami di seberang tasik itu.

Dari perbualan alam rohani (meditasi) di antara Abang Aziz dengan makhluk bunian tersebut, ketiga-tiga makhluk bunian itu memang tidak berapa senang dengan kehadiran kami yang seolah-olah mengganggu ketenangan masyarakat mereka pada masa itu. Tetapi golongan bunian itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana mungkin memahami tujuan kami ke situ lalu mereka berlalu pergi.

Setelah menapak lebih kurang dua jam di Sungai Cakah Dua itu, kira-kira pukul 3.30 petang kami meneruskan aktiviti mendaki dengan melalui denai yang agak rata. Namun, dari pemerhatian Anis Sabirin beliau agak kurang selesa kerana kami masih diekori oleh dua makhluk jin, namun beliau tidak mempedulikan hal tersebut.

Begitu pun, lebih kurang 700 meter lagi untuk sampai ke Batu Mat Hasan dengan melalui denai Mat Hasan yang agak menarik, Anis Sabirin tiba-tiba terpandang tiga batang 'tebu aneh' yang warnanya agak luar biasa iaitu 'coklat kehitaman' di sebelah kanan denai itu. Disebabkan terlalu asyik dan terpesona dengan bentuk tebu aneh yang luar biasa itu sehingga beliau lupa tentang peringatan penulis terhadapnya supaya memaklumkan dengan segera kepada penulis jika beliau terlihat tiga batang tebu aneh di denai itu untuk dirakam gambarnya. Ini kerana, tiga batang tebu aneh itu sebenarnya tumbuh di alam ghaib yang dimiliki segolongan makhlu bunian. Tetapi beliau mungkin terlupa dengan pesanan penulis, akhirnya tebu aneh yang mengandungi geliga bernilai itu ghaib serta merta. Kejadian tebu aneh muncul dan menjelma kepadanya sebagai alasan untuk memperlihatkan kepadanya tentang kewujudan 'geliga tebu' dan penempatan golongan bunian di denai tersebut.

Manakala di beberapa tempat di laluan denai Mat Hasan iaitu sebelum kami sampai di Batu Mat Hasan, Fakhruddin Yusof (Din Bukit) bersama Abang Aziz begitu asyik memandang akar yang agak panjang masuk ke dalam sebatang pokok. Menurut Abang Aziz, sifat akar dan pohon kayu tidaklah luar biasa sebagaimana yang beliau dan Din Bukit lihat itu. Jika ingin menunjukkan sifat alam, kita biasa menemui akar melilit batang kayu. Namun, melihatkan fenomena seumpama itu jelas menunjukkan ada sesuatu yang tersirat dan agak aneh dan pelik yang sengaja untuk dipertontonkan kepada rombongan ekspedisi kami.

Penulis yang berada di belakang peserta lain kemudiannya mempercepatkan langkah untuk ke tempat akar masuk pohon kayu itu apabila diminta oleh Abang Aziz bagi memberikan kesempatan untuk disaksikan sendiri oleh Penulis tentang fenomena yang agak luar biasa itu. Bagi Penulis, fenomena akar memasuki batang kayu adalah kali pertama dilihat dan mungkin tidak akan berpeluang untuk melihatnya lagi untuk kali kedua. Lantas Penulis mencapai kamera untuk merakam detik-detik luar biasa pada petang itu. Justeru, ketika Penulis 'mengklik' di atas butang rakam kamera yang tergenggam erat di tangan tanpa melepaskan butang itu, Penulis dapat menyaksikan gambar yang tertera di skrin kamera didapati pohon kayu itu kelihatannya seperti sebuah bilik atau singahsana istana raja-raja yang cukup cantik berwarna kekuningan. Namun, setelah butang kamera diklikkan dan lensa merakamnya, bilik yang kelihatan cantik berwarna kekuningan tadi itu kelihatan sekadar akar memasuki pokok kayu iaitu seperti kepala ular memasuki pokok kayu sahaja.

Setelah memperolehi gambaran tentang fenomena luar biasa itu, Aziz Aziz mengambil kesempatan itu untuk bermeditasi melalui kaedah kerohanian untuk memasuki alam makhluk halus. Jadi, berdasarkan makluman Abang Aziz bahawa akar yang memasuki pokok kayu itu merupakan sebuah istana Raja Bunian berwarna kekuningan yang mana keluasannya sayup mata memandang dan di bahagian hujungnya kelihatan kabus berwarna putih yang agak nipis. Dalam hal ini, jelaslah bahawa sepanjang pendakian kami menuju puncak Gunung Tebu itu sememangnya didiami pelbagai jenis makhluk halus sama ada golongan langsuir, pontianak, jin dan bunian yang hakikatnya tidak disedari oleh segelintir pendaki lain sebelum ini tentang alam, perkampungan dan penempatan mereka yang wujud sejak gunung itu berdiri megah di situ.

Setelah berhenti beberapa ketika di kawasan akar memasuki pokok kayu itu, kami kemudiannya meneruskan pendakian sehingga tiba di sebatang pohon tumbang bersebelahan laluan kami. Penulis dan Abang Aziz tiba-tiba tercium bau yang agak menyelerakan seakan-akan kuah kari yang sedang dimasak. Pada hemat Penulis, berkemungkinan bangsa bunian sedang mengadakan kenduri pertunangan atau perkahwinan berdasarkan bau tersebut. Justeru, ketika Penulis dan Abang Aziz sedang berbisik, bau kari itu kian semerbak menusuk hidung seolah-olah mengiakan bisikan kami. Tetapi, apabila Abang Aziz menyatakan bau kari itu 'busuk' seperti bangkai biawak, dengan tiba-tiba bau semerbak itu hilang.

Kami kemudiannya berhenti sementara di sebuah batu besar yang agak luar biasa. Bukan sekadar berehat dari kepenatan yang mencengkam tubuh badan kami dalam usaha untuk mengumpulkan dan memulihkan tenaga yang hilang akibat perjalanan panjang. Namun, penyebab kami berehat di sebuah batu aneh itu apabila Abang Aziz dan Din Bukit dapat mendengar dengan jelas sepasang suami isteri yang sedang bertengkar yang mana bunyinya semakin lama semakin lantang yang datangnya dari arah batu tersebut. Penulis malah termasuk empat pendaki yang lain tidak dapat mendengar sebarang suara dari batu tersebut tetapi sekadar melihat ke arahnya apabila diberitahu oleh Abang Aziz dan Din Bukit.

Selepas itu, kami meneruskan pendakian dan perjalanan melalui denai yang agak panjang dan rata untuk sampai ke Batu Mat Hasan yang agak tersohor yang terletak di tengah-tengah denai Gunung Tebu. Ini kerana, Mat Hasan adalah seorang pertapa yang melakukan pertapaan di sebuah gua dalam batu yang berdiri gagah yang menutupi alur sungai di tengah-tengah gunung tersebut. Gunung Tebu itu sebenarnya adalah tanah miliknya sendiri dan nama Batu Mat Hasan diberikan sempena dengan namanya. Manakala Gunung Tebu diberikan nama kerana terdapatnya tiga batang tebu aneh yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu (bertuah) sahaja yang juga telah dapat dilihat oleh Anis Sabirin di sekitar denai Mat Hasan itu itu beberapa minit yang lalu. Ini kerana, tiga batang tebu itu sebenarnya milik Tok Penghulu Bunian yang mana di dalamnya mengandungi pelbagai batu permata termasuklah geliga tebu yang agak bernilai.

Individu yang melalui kawasan Batu Mat Hasan ini dikatakan tidak boleh bersuara sebarangan kerana bukan sahaja akan diganggu dan disakat dengan pelbagai jelmaan yang menyeramkan. Kejadian yang dialami oleh beberapa pendaki sebelum ini yang terkena sampuk dan terserempak dengan lelaki berjubah, lembaga arnab yang besar, lembaga ular dan katak yang saiznya agak luar biasa sebagai petanda kewujudan pelbagai jenis makhluk halus yang menghuni di kawasan itu yang bukan sahaja terdiri daripada golongan bunian Islam dan bukan Islam yang tinggal sama ada di atas batu itu sendiri dan di dalam gua Batu Mat Hasan.

Pendakian kami kemudiannya tiba di Batu Mat Hasan ketika waktu Maghrib menyapa kira-kira pukul 7.30 malam, bagi menggambarkan malam mula melabuhkan tirainya dan dalam masa yang sama Penulis dapat mendengar pelbagai suara dari dalam hutan itu silih berganti. Manakala bagi Anis Sabirin pula, setibanya beliau di hadapan di Batu Mat Hasan itu, makhluk halus yang mengekori perjalanannya sebelum ini tidak lagi kelihatan. Tetapi beliau dapat mula melihat lembaga seperti warga emas (orang tua) sedang memerhatikan rombongan kami. Orang tua itu menurutnya berpakaian serba putih dan pada waktu yang sama beliau terlihat kelibat seorang kanak-kanak lelaki berada berhampiran Batu Mat Hasan itu.

Kesempatan dapat berehat di kawasan lapang di hadapan Batu Mat Hasan digunakan sepenuhnya oleh Penulis untuk merakam gambar sebanyak mungkin dalam suasana malam pula. Ini kerana, di samping dapat mengetahui kehadiran makhluk halus yang berdiri berhampiran peserta kami amat jelas apabila bulu roma di lengan Penulis terasa meremang beberapa kali. Di antara gambar yang dirakam dalam suasana itu termasuklah Batu Mat Hasan dan sekitarnya termasuk lubang gua Batu Mat Hasan.

Menariknya tentang Batu Mat Hasan di waktu malam itu apabila mata Penulis pada awalnya dapat melihat dengan jelas wajah makhluk halus seperti manusia, kepalanya agak bulat dan masih sihat tetapi rambutnya agak beruban untuk menunjukkan usianya sekitar 50 hingga 60 tahun (bagi umur manusia) yang sedang berdiri di atas batu tersebut. Manakala di dalam gua Batu Mat Hasan pula, kelihatan makhluk halus seperti seorang lelaki dewasa sedang melakukan wirid dengan memandang tepat ke arah kamera Penulis yang dihalakan ke muka gua berkenaan.

Selepas kami berehat sekurang-kurangnya setengah jam di kawasan lapang di hadapan Batu Mat Hasan itu, kira-kira jam 8.10 malam kami meneruskan perjalanan panjang dalam suasana yang semakin gelap. Kali ini corak pendakian kami agak memenatkan kerana terpaksa mendaki laluan yang agak tinggi sementelah pula tenaga yang ada turut dibebani dengan beg kamera, bekalan makanan dan minuman serta kain selimut. Menurut Anis Sabirin bahawa, semasa kami meninggalkan Batu Mat Hasan untuk mendaki laluan yang berbukit itu, dari pemerhatiannya dalam suasana hitam pekat itu sambil dibantu cahaya lampu suluh yang tergenggam erat di tangannya, beliau dapati banyak makhluk halus yang berpakaian serba putih sedang bersembunyi dalam tunggul dan pohon-pohon kayu yang buruk. Manakala bagi Din Bukit pula sebagai juru pandu pendakian kami berasa agak gusar kerana buat beberapa saat, beliau dapati tidak kelihatan laluan kerana dibenteng dinding gelap walaupun itulah laluan sebenar yang patut kami lalui. Melihatkan suasana berkenaan, Penulis cuba menyuluh benteng gelap yang menutup dan menghalang laluan kami itu. Tetapi cahaya lampu tidak dapat menembusinya. Ini salah satu cara permainan makhluk halus yang berkampung di kawasan itu yang ingin melambatkan perjalanan kami dan kemungkinan jika kami teruskan juga, natijah buruk mungkin berlaku. Lantas Penulis meminta supaya peserta kami berehat selama lima minit, kemungkinan benteng itu akan dibuka semula selepas masa berkenaan tamat. Ternyata benar, kerana selepas masa berkenaan berakhir, kami akhirnya diperlihatkan jalan yang sepatutnya kami lalui.

Beberapa ketika kemudian, kami tiba di sebuah tempat yang dikenali 'Jendela Pandang' melihatkan dalam kesamaran cahaya langit walaupun di tengah-tengah hutan apatah lagi dalam suasana yang gelap pekat itu. Setelah peserta kami tiba di situ, Penulis menghalakan lampu suluh ke arah papan tanda berkenaan. Kami terpaksa berhenti beberapa minit di kawasan Jendela Pandang berikutan perjalanan kami dirasakan berat dan lambat. Dari maklumat yang Penulis perolehi bahawa, beberapa pendaki yang pernah melalui kawasan berkenaan mendakwa laluan itu memang tempat makhluk bunian bersuka ria.

Setelah beberapa meter mendaki, akhirnya kami sampai di tempat 'Punca Air. Dikatakan punca air bermaksud, hanya di kawasan itu sahaja pada pendaki Gunung Tebu boleh mendapatkan bekalan air minum untuk dibawa sampai ke puncak gunung itu nanti. Jika bekalan air tidak diambil di situ, tidak ada lagi tempat bekalan air yang boleh diperolehi, akibatnya tekak terpaksa menahan keperitan dahaga dan dalam keadaan ini tentunya pendakian menjadi lambat atau terasa pincang. Di antara ingin atau tidak, kami perlu berjalan menuruni lembah itu untuk mendapatkan bekalan air dari air terjun di situ. Lantas bersama-sama lima pendaki yang lain, Anis Sabirin segera mencapai tiga botol bekas air mineral untuk tujuan mengisikan air, sementara Penulis dan Din Bukit berehat buat beberapa ketika sambil menunggu perkakasan mendaki termasuk beg sandang dan bekalan makanan.

Penulis yang agak kepenatan akibat memikul beban kedua-dua beg yang terlalu berat mengambil kesempatan untuk berehat sambil menyandarkan tubuh di sebatang pohon kayu yang agak sederhana kecil berhampiran laluan di kawasan punca air itu. Ketika itu, malam semakin pekat di tengah hutan, Penulis tidak pedulikan apa yang bakal berlaku akibat terlalu penat disebabkan entah berapa gelen keringat memercik keluar. Sambil menyandarkan beg, Penulis dapat merasakan berlakunya perubahan cuaca pada malam itu dan dari arah kanan, ekor mata dapat melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian putih yang Penulis agak sebagai 'langsuir' sedang terbang dalam gerak perlahan betul-betul di hadapan Penulis. Tetapi sayangnya, sewaktu Penulis cuba mencapai kamera untuk merakam detik-detik pada malam itu, dengan tiba-tiba lembaga perempuan berpakaian putih itu terus ghaib.

Akhirnya, setelah berhempas-pulas terpaksa mengharungi badan yang semakin penat akibat terlalu berat membawa kedua-dua beg dari hadapan dan belakang seperti beg berisi kamera, makanan, peralatan memasak serta pakaian termasuk tikar dan kain selimut, Penulis dan rakan-rakan yang lain akhirnya berjaya menawan puncak Gunung Tebu yang tingginya 1,036 kilometer atau 7,808 meter bersamaan 3,401 kaki yang mana pada ketika itu jam di tangan menunjukkan 1.15 pagi. Tidak ada yang lebih selesa dan dapat dirungkai dengan kata-kata selain dapat meletakkan kedua-dua beg sandang yang terlalu berat termasuk dapat menjamah sedikit makanan kerana Penulis sememangnya kelaparan sejak singgah di tempat Punca Air tadi lagi. Dengan merasai segelas minuman seperti milo, roti dan mi segera buat mengulas perut yang sudah berkeroncong selain dapat mengembalikan tenaga yang telah hilang, barulah timbulnya perasaan lega di hati Penulis.

Setelah dapat menikmati juadah pada pagi itu sambil menghayati suasana cahaya langit dengan bertemankan lampu malam yang disediakan pihak Jabatan Perhutanan di puncak Gunung Tebu itu, Penulis dapat merasakan sesuatu yang tidak diundang bakal berlaku iaitu 'hujan'. Memang benar, hujan mula turun pada pukul 2.15 pagi diikuti angin dingin berpuput lembut dan selepas itu kabus mula menyapa kami. Walaupun kami tidak bersedia dengan khemah kerana terlalu keletihan, tetapi kami memang bersedia dengan plastik khas yang boleh menutup kami dari disimbah hujan itu. Jadi, kami akhirnya tertidur berbumbungkan sebatang pohon bonsai gunung sambil bersandarkan kepada baju panas dan kain selimut yang dibawa khas untuk tujuan berkenaan.

Manakala pada pagi 9 Ogos, 2008 keesokannya, tatkala Subuh menyapa tidur kami dan ada di antara rakan-rakan pendaki yang masih enak dibuai mimpi disebabkan terlalu keletihan, Penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam beberapa keping gambar berhampiran sebuah batu dan rumpunan pohon-pohon yang tumbuh di tengah-tengah lorong (laluan) di puncak gunung itu dikenali Taman Santai Bunian. Dari rakaman itu, memang banyak wujudnya makhluk halus seolah-olah sedang memerhatikan ke arah kami.

Lebih kurang jam 9.30 pagi pula, peserta kami bergerak ke sebuah batu agak besar yang luar biasa dikenali 'Batu Madrasah'. Pada hemat Penulis, tempat yang kami tuju itu adalah Taman Bunian kerana selain terletaknya Batu Madrasah, beberapa jenis tumbuh-tumbuhan pelik seperti 'sawat harimau', limau aneh dan pohon buluh hutan wujud di situ yang tidak ada di tempat lain yang mana tumbuh-tumbuhan ini adalah pohon herba yang boleh merawat penyakit batu karang telah ditemui oleh Abang Aziz serta Mohd. Nasiruddin.

Akhirnya ketika jam menunjukkan 12.30 tengah hari pada hari yang sama, kami mula meninggalkan kawasan Batu Madrasah itu untuk bertolak pulang dan menuruni puncak Gunung Tebu. Dalam masa menuruni puncak Gunung Tebu itu, hanya Penulis, Anis Sabirin dan Mohd. Nasiruddin sahaja yang masih tinggal di belakang, sementara rakan-rakan veteran yang lain telah lama maju ke depan meninggalkan kami bertiga.

Walau bagaimanapun, Penulis tidak menaruh sebarang kebimbangan tentangnya. Ini kerana, sesuatu yang diharapkan Penulis untuk mendapatkan sesuatu yang sepatutnya memang telah berlaku secara misteri ketika kami melangkah turun dari gunung berkenaan. Ketika kami bertiga melangkah turun perlahan-lahan sambil melihat dan menikmati pemandangan di sebelah siangnya, kami bertiga memang bertuah kerana dapat melihat dengan jelas setiap akar, pasir, batu dan daun yang kami temui dan lihat seperti emas. Namun, kami bertiga tidak mengambilnya kerana kami ke situ bukan untuk menceroboh perkampungan makhluk bunian apatah lagi untuk mengambilnya sesuka hati.

Selepas itu, kami bertiga tiba berhampiran Batu Mat Hasan. Penulis dapat melihat sekuntum bunga putih yang agak menarik, namun apabila gambarnya dirakam didapati bunga itu adalah kulat. Akhirnya apabila kami melintasi Batu Mat Hasan, Penulis cuba mencari akar yang memasuki batang kayu di tempat Penulis merakam petang semalam (8.8.2008) yang dikatakan Istana Raja Bunian itu. Penulis dapati akar yang memasuki kayu itu tidak lagi kelihatan (ghaib) dan sepohon kayu tumbang yang kami terhidu bau kari tidak lagi wujud. Menariknya bagi kami bertiga menurut Anis Sabirin bahawa, beliau dapat merasakan langkah kami bertiga menuruni gunung berkenaan selepas melintasi sepohon kayu tumbang yang didakwa dihuni pelbagai spesis makhluk halus itu menyebabkan perjalanan kami agak lambat dan seolah-olah kami melalui laluan yang sama berulang kali.

Sementara Anis Sabirin yang turut mendakwa dapat melihat tiga batang tebu aneh yang kemudiannya ghaib di kawasan denai Mat Hasan juga tidak lagi kelihatan di tempat yang dilihatnya semalam. Apa yang dilihatnya sekadar pohon-pohon kayu renek dan sebahagiannya pokok yang agak tinggi semata-mata.

Akhirnya, setelah tiba kembali di Sungai Cakah Dua, kami bertiga membasahkan tubuh masing-masing sambil mendapatkan bekalan air tasik berkenaan untuk dinikmati dalam perjalanan turun ke kaki gunung berkenaan. Kami kemudiannya tiba di kaki Gunung Tebu iaitu di Sungai Belatan tepat waktu azan Maghrib. Berakhirlah misi ekspedisi pendakian kami di Gunung Tebu bagi tahun 2008 yang paling berjaya kerana dapat menawan puncak Gunung Tebu dalam cuaca yang agak lembab.

Peserta Ekspedisi Gunung Tebu Kedua Pada 8.8.2008 - 9.8.2008.

 
Pusat Pendaftaran/Lapor Diri

Laluan Ke Puncak Gunung

Batu Licin. Banyak Kejadian Misteri dan Maut Di Kawasan Ini.


 
Tapak Perkhemahan Sungai Cakah Dua/Sungai Y. Banyak Kejadian Misteri, Jelmaan Makhluk Halus dan Pengunjung Yang Bermain Di Sungai Ini Didapati Hilang Kerana Disorok
 
Akar Masuk Batang Kayu, Adalah Istana Raja Bunian.
 
Pohon Kayu Tumbang. Di Sinilah Bau Kari Semerbak
 

Batu Boleh Bercakap. Berlakunya Pertengkaran Suami Isteri. Di Kawasan Batu Inilah Kami Dihalang Dinding Gelap
 

Kami Berehat Sekejap Di Denai Mat Hassan 
 

Batu Mat Hassan 
 
Ada Lembaga Lelaki Dalam Gua Batu Mat Hassan (Panah) Sedang Memerhatikan Penulis
 

 
Jendela Pandang. Perkampungan dan Penempatan Bunian Bersuka-ria
 
Punca Air. Di Sibilah Punca Air Terakhir Juga Kawasan Laluan Langsuir.
 
Batu Sawat Lelaki
 

Kami Sampai Di Puncak Gunung Tebu Kira-Kira Jam 1.15 Pagi.

Batu Santai Bunian Di Puncak Gunung Tebung
 
Laluan Menghala Ke Taman Permainan Bunian Di Gunung Tujuh Saudara
 


 
Kami Bergambar Di Atas dan Bawah Batu Madrasah Di Taman Permainan Bunian
 
Batu Sawat Harimau Di Taman Permainan Bunian
 
Batu Gajah/Batu Batu Kerbau Di Taman Permainan Bunian
 

Batu Kuda Telah Pecah. Asalnya Seperti Seekor Kuda
 
Batu Sawat Wanita 
 


 
Gambar Kenangan Di Puncak Gunung Tebu Sebelum Pulang 
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH