RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 22 Mei 2021

Misteri Bukit Sejuk


MISTERI BUKIT SEJUK

GUA MUSANG, KELANTAN: Bukit Sejuk yang letaknya di Kampung Chiku Satu, Gua Musang, Kelantan amat sesuai dengan namanya berikutan hawanya yang sejuk. Sebelum perkampungan berkenaan dibuka pada tahun 1960 adalah sekadar sebuah bukit yang wujud sejak azali yang berjarak sejauh 21 kilometer dari bandar Gua Musang, Kelantan.

Bukit ini pada masa dulu menjadi laluan pencari teras kayu seperti kemuning hitam, aktiviti pembalakan serta menjadi kawasan kawanan 30 ekor gajah-gajah liar di sekitar bukit tersebut menjelang waktu pagi. Manakala sejauh 2 kilometer dari laluan utama itu juga, Bukit Sejuk sebenarnya mempunyai sebuah gua yang agak bermisteri kerana difahamkan, ia dihuni oleh segerombolan makhluk halus yang dipimpin oleh seorang ketuanya bernama Tok Fakir berusia 600 tahun dan mempunyai penjaganya seekor kucing hitam bermata hijau sering muncul di laluan utama itu beberapa kali.

Semenjak laluan utama bagi pengguna jalan raya dari Kota Bharu-Gua Musang-Kuala Lumpur siap dan dibuka beberapa tahun lalu dengan melalui Bukit Sejuk itu, bukit berkenaan masih megah berdiri di tempatnya, belum menimbulkan sesuatu yang dianggap misteri. Sehinggalah nahas ngeri pada 2 Januari, 2009 lalu yang meragut 10 nyawa kira-kira satu (1) kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R & R), barulah nama Bukit Sejuk  mula mendabik dada  malahan  setiap  pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan akan mula berhati-hati.

Dari cerita beberapa orang pemandu kenderaan yang pernah   terserempak   dengan  dua beranak  yang  dikatakan  sering menunggu dan hilang di pinggir jalan tempat laluan ke gua Bukit Sejuk yang kadang-kadang muncul ketika waktu Maghrib dan di malam hari kian menjadi tanda tanya tentang persepsi sebenar Bukit Sejuk itu.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar di sebalik misteri Bukit Sejuk yang kini didakwa oleh sesetengah pihak sebagai ‘puaka Gua Musang’ kerana dikatakan setakat ini telah berlaku 44 kes nahas jalan raya yang berlaku berdekatan dengan bukit tersebut, Wartawan RELATIF cuba membongkar kisah misteri itu apabila penulis kemudiannya dibawa oleh Abd. Ghani bin Ismail, 61, atau lebih dikenali Pak Ghani dari Kampung Chiku Satu itu ke sebuah gua yang dimaksudkan.

Menurut Pak Ghani, beliau tidak menolak malah pernah mendengar tentang kemunculan dua beranak  yang  sering  muncul  di tepi  jalan  berhampiran  lorong masuk ke gua Bukit Sejuk itu. Puncanya, kedua-dua beranak itu sebelum ini pernah dilanggar oleh sebuah kenderaan, namun mangsa berumur panjang dan masih hidup sehingga kini. Kemungkinan akibat anggota tubuhnya digesel permukaan jalan menyebabkan   rupa   beliau   dijelmakan  oleh makhluk  halus yang   sering   merayau-rayau di kawasan itu. Namun, ketika itu kejadian nahas belum lagi berlaku walaupun kedua beranak itu sering menjelmakan dirinya di laluan tersebut.

“Kedua beranak itu pernah menahan beberapa buah kenderaan untuk menumpang. Namun, kebanyakan pemandu enggan menumpangkannya kerana berasa agak pelik dan mustahil di kawasan berbukit dan hutan tebal sebegitu ada manusia tinggal.

“Oleh kerana tidak ada yang sanggup menumpangkan kedua beranak itu, makhluk berkenaan kemudiannya ghaib di tempat itu pada masa itu juga. Melihatkan keadaan demikian, tidak pernah pula berlaku sebarang kejadian nahas walaupun sesetengah pemandu pernah melihatnya”, tambah Pak Ghani yang tidak menolak kedua beranak itu bukanlah dari bangsa  manusia  tetapi  dari  keluarga jin  yang  berkemungkinan menetap di dalam gua Bukit Sejuk itu. Ini kerana, kawasan lapang itu merupakan tempat paling singkat untuk ke Gua Bukit Sejuk.

Tetapi paling jelas menurut Pak Ghani lagi ialah, apabila seekor ular yang lebarnya kecil sedikit daripada batang pinang yang menyusur dari arah hutan bersebelahan kemudiannya merintangi laluan itu telah dirempuh kenderaan yang lalu lalang di tempat kejadian nahas tersebut. Walaupun telah dilanggar, ular aneh itu bangun sambil mendongakkan kepalanya.

Dalam pada itu, sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh  sehingga ular   tersebut   berguling    ke dalam  hutan di tempatnya muncul. Hairannya, walaupun ular tersebut telah dilanggar beberapa kali malahan sepatutnya telah mati dan menjadi bangkai, namun orang ramai yang sering lalu lalang di situ tidak pernah menemui bangkai apatah lagi tidak pernah terhidu bau busuk. Ada juga yang mendakwa ular aneh itu adalah jelmaan makhluk jin yang ghaib secara tiba-tiba apabila dilanggar kereta berkenaan yang dikatakan sebagai penjaga dalam gua bukit bermisteri itu.

“Itulah asal ceritanya, apabila ular aneh itu dilanggar kenderaan bermulalah episod kemalangan demi kemalangan tempat laluan ular tersebut muncul. Sedangkan sebelum ini tidak”, jelas Pak Ghani yang dilahirkan di Tok Uban, Pasir Mas dan datang ke Kampung Chiku Satu itu sebagai peneroka sejak 25 tahun lalu.

Pak Ghani percaya walapun bermulanya kisah misteri akibat daripada kejadian itu, namun beliau tidak pernah menemuinya. Ini kerana, kalau makhluk halus itu ingin mengamuk maka orang pertama yang patut menjadi mangsanya adalah beliau. Sebabnya, beliau kerap pergi ke gua tersebut termasuk di kawasan persekitaran hutan berkenaan untuk mencari teras kemuning hitam untuk dibuat tongkat dan ulu tengkolok malahan telah menganggap Bukit Sejuk itu sebagai rakannya dan hutan belukar di sekitarnya sebagai pejabatnya untuk mencari rezeki.

Beliau hanya mengenali laluan dalam hutan itu sahaja, tidak pernah mengganggu kehidupan makhluk lain, sebab itulah beliau tidak pernah diganggu atau disorok. Asalkan beliau  mendapat   apa  yang  diperlukan   untuk   memperolehi   rezeki   sekadar  untuk menampung hidup, maka di Bukit Sejuk itulah punca rezeki untuk anak dan isterinya.

Justeru katanya, hal-hal lain beliau tidak begitu risau sangat malah berharap supaya habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang hidup subur di dalam hutan itu tidak diganggu-gugat sehingga menyebabkannya musnah.

Abd. Ghani Ismail atau Pak Ghani.

Bukit Sejuk kaya dengan kisah misteri

 

Mungkin inilah laluan asal tempat pencari teras kayu 
 
Tempat gajah berkumpul dan wujudnya tapak kaki haiwan liar di lokasi itu

Gua Bukit Sejuk dirakam dari arah luar gua 
 
Gua Bukit sejuk dirakam dari arah dalam gua

 

Wajah Ketua Makhluk Halus Bukit Sejuk bernama Tok Fakir tiba-tiba menjelma selepas Azan 
 
Mungkin inilah tempat baring Tok Fakir dalam gua Bukit Sejuk itu 
 
Kolam yang sering digunakan oleh Tok Fakir 
 
Mungkin dinding inilah pintu masuk ke alam ghaib yang dihuni oleh koloni makhluk halus itu 
 


Kejadian nahas ngeri pada 2.1.2009 berlaku di kawasan berkenaan

Ada yang menyatakan, lembaga perempuan pernah keluar dari sebatang tiang lampu itu

Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH