RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 30 Januari 2017

Pak Ya Pandai Besi


PAK YA PANDAI BESI

PASIR MAS, KELANTAN: Sukarnya untuk menjadi seorang tukang atau pandai besi. Sekalipun minat berkobar-kobar, tetapi jika tiada usaha ke arah itu, minat yang tinggi menggunung tidak akan dapat digapai. Jelaslah dalam konteks ini, jika ada minat terhadap bidang tersebut, usaha yang berterusan seperti mencari guru dan pakar di bidang tersebut terpaksa dilakukan. Jika tidak, minat tersebut tidak akan ke mana.

Sejak dulu, Negeri Kelantan telah melahirkan ramai tukang dan pandai besi untuk menunjukkan masyarakat negeri ini kaya dengan hasil seni. Seni pertukangan khususnya yang melibatkan besi dan pembuatan senjata tradisional Melayu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi seterusnya. Walaupun generasi yang mewarisi bidang berkenaan telah ramai yang menghadap Illahi, namun generasi seterusnya masih wujud dengan kepakaran terkini yang menggunakan teknologi terbaharu walaupun ada juga peralatan untuk membuat dan menghasilkannya masih konsep lama.

Salah seorang tukang yang juga dianggap pandai besi, Zakaria Mat Salleh, 67, atau Pak Ya dari Kampung Hutan Mala, Pasir Mas, Kelantan adalah generasi seterusnya yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin yang bersedia berkongsi pengalamannya sebagai tukang dan pandai besi.   

Ketika zaman mudanya yang masih bujang berusia kira-kira 25 tahun, beliau sering mengambil kesempatan yang ada untuk melihat dan meninjau tukang-tukang besi di Kampung Bechah Kelubi, Pasir Mas yang dapat menghasilkan senjata tradisional Melayu terbaik. Dia mengambil peluang itu untuk melihat bagaimana tukang-tukang besi tersohor dapat menghasilkan senjata berkenaan setelah timbul minat yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Katanya, melihat bagaimana tukang-tukang besi mahir dapat membentuk besi menjadi senjata yang diinginkan seolah-olah dirinya boleh melakukannya asalkan meneruskan usaha ke arah itu tanpa jemu. Sebagai langkah pertama, dia akan mendapatkan beberapa batang besi yang boleh dibuat senjata itu dan apabila pulang ke rumah, dia akan melakukannya sendiri sebagaimana yang dia melihat tukang-tukang besi yang berjaya menghasilkan senjata-senjata yang dimaksudkan. Pada masa itu, dia hanya mempunyai sebuah basikal cabuk saja untuk membawa besi-besi yang diperolehinya itu untuk dibawa ke rumah.

Menurutnya, dia bermula bertukang besi pada tahun 1975 di kampung asalnya, Kampung Bechah Kelubi. Ketika usianya meningkat 26 tahun, dia merantau ke Kampung Kuala Hau, Temangan, Machang pada tahun 1977. Dia menetap di kampung itu sehingga mendirikan rumahtangga dengan gadis di kampung itu yang juga isterinya sekarang sambil membuka bengkel kecil-kecilan di kampung tersebut. Setelah agak mahir dari apa yang dilihat dan dihasilkannya, pada tahun 1996 dia kemudiannya keluar dari kampung tersebut bersama isterinya lalu mendirikan rumahnya sendiri di Kampung Hutan Mala, Pasir Mas sebagaimana sekarang.

“Alhamdulillah, setelah pakcik berpindah ke Kampung Hutan Mala ini, tiada pesaing sebagai tukang besi. Malah tiada pihak yang bertanya khabar untuk belajar sebagai seorang tukang besi. Jadi bermakna, pakcik seorang saja pengusaha dan tukang besi di kampung ini”, ujar Pak Ya apabila ditanya tentang persaingan sebagai seorang tukang dan pandai besi setelah beliau berpindah dan membuka bengkel sendiri di kampung terbaharunya sekarang.

Katanya, dia hanya menghasilkan beberapa jenis peralatan dan senjata yang sering digunakan oleh penduduk setempat saja seperti pisau menoreh, sadat, golok, parang dan kapak. Seperti senjata kapak dia tidak begitu memberikan penekanan dan dia menghasilkannya atas permintaan yang tidak seberapa yang hanya digunakan untuk menebang kayu dan memotong tulang.

Bahkan menurutnya, senjata pisau untuk tujuan menyiat daging juga sebagaimana kapak tidak diberi penekanan khusus. Ini kerana, untuk membuat pisau perlukan besi yang nipis dan memerlukan dua tenaga kerja. Jadi, jika tenaga kerja hanya dia seorang tentunya tidak berkesempatan untuk membuatnya jika tempahan untuk senjata lain begitu menggalakkan.

Ditanya, ke mana besi-besi yang telah siap dijadikan alat itu dipasarkan. Beliau menjelaskan, dia tidak pasarkan senjata-senjata yang telah siap itu ke mana-mana tempat. Ini kerana, apabila telah siap, pemiliknya akan datang sendiri untuk mengambilnya. Dia lazimnya akan menyiapkan segera segala tempahan apabila bekalan bahan mentah (besi) ada dan cukup untuk dihasilkan.

“Harga yang pakcik jual, kira mampu beli. Misalnya bagi pisau menoreh yang telah siap untuk digunakan (menoreh), pakcik jual dengan harga RM35 sebilah. Manakala sadat pula berharga RM60 dan golok (RM60)”, ujarnya.

Katanya, dia memperolehi pendapatan mencecah kira-kira RM1,000 sebulan hasil pertukangan besi. Manakala soal modal di peringkat awal dia mengusahakan bidang berkenaan tidaklah begitu banyak sangat. Kira-kira RM2,000 modal awal  yang diperuntukkan untuk tujuan itu untuk membeli bahan mentah (besi). Pendapatan dari hasil kerja yang diperolehinya itu disimpannya untuk membeli peralatan lain secara sedikit demi sedikit. Tentang sesetengah peralatan untuk menghasilkan senjata itu, ada di antaranya yang dia buat sendiri. Malah pada satu masa, dia terpaksa keluarkan modal kira-kira RM10,000 untuk membeli peralatan yang lebih sesuai dengan banyaknya tempahan yang diterimanya.

Soal modal baginya tidaklah begitu banyak sangat, jika dibuat dan membeli peralatan secara berhemah dan menyimpan sedikit demi sedikit. Namun, dia terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM2,000 untuk tujuan itu. Tentang mesin dan peralatan untuk bertukang, beliau membuatnya sendiri. Namun, walaupun ada sebahagiannya yang dibuat sendiri, modal untuk membeli peralatan berkenaan berjumlah kira-kira RM10,000.

“Kebanyakan bekalan besi, pakcik dapatkan dari pengusaha besi di Tanah Merah. Soal besi tidak perlu risau kerana bekalannya agak terjamin.

“Pakcik juga ada menerima besi dari sub motor. Ini kehendak orang yang menempahnya, pakcik terpaksa siapkan sebagaimana yang diminta”, katanya.

Pak Ya menambah, tentang minatnya sebagai tukang besi bermula sejak zaman kanak-kanak lagi. Jiwanya memang tidak dapat ditahan lagi jika dia berjaya sebagai seorang tukang besi kerana itulah idamannya jika dia telah meningkat dewasa nanti. Sudahnya cita-citanya itu termakbul juga sehingga dapat pula mewujudkan bengkel pertukangan besi sendiri di rumahnya sekarang.

“Dalam keluarga pakcik, hanya pakcik seorang saja yang berminat terhadap kerja-kerja besi ini. Sebab itulah, dengan kenakalan pakcik ketika zaman kanak-kanak suka mengetuk besi sehingga ternyata menjadi tukang besi apabila telah dewasa”, katanya sambil tersenyum sambil mengingati pengalamannya di zaman kanak-kanaknya dulu.

Katanya menambah, ketika dia di peringkat bertatih untuk menceburi bidang tukang besi, ketika itu dia hanya menggunakan dua tukul. Salah satunya tukul kecil sebagai pengetuk dan tukul besar pula sebagai pelapik alat yang akan diketuk. Sehinggalah pada satu masa, dia dapat membeli peralatan tersebut sendiri melalui simpanan wang hasil dari kerja-kerja pertukangannya selama ini.

“Pakcik tak pernah belajar di sekolah kerana minat dan terlalu menumpu kepada bidang besi. Tapi jelaslah dengan hanya bertukang pun, kejayaan akan dapat dicapai sekalipun tidak pernah duduk di bangku persekolahan”, katanya.

Membicarakan tentang pembeli pula menurutnya, lazimnya pisau menoreh biasa dibeli oleh penoreh-penoreh dari Estet Kuala Hau, Temangan, Machang. Ditanya, kenapa pembeli dari Kuala Hau sedangkan tempat itu agak jauh jika dibandingkan dengan kediamannya sekarang.

Beliau menjelaskan, pada tahun 1977 dia ke kampung itu dan setelah mendirikan rumahtangga dengan gadis di kampung itu, dia membuka bengkel tukang besi secara kecil-kecilan. Sejak itu, penoreh-penoreh dari kampung itu mengenalinya dan tentulah peralatan menoreh akan ditempah darinya disebabkan dia pernah berbakti di kampung isterinya itu.

Ditanya tentang jumlah pembeli pula, dia sebenarnya tidak memberikan perhatian tentang jumlah yang dimaksudkan, asalkan ada tempahan ia akan menyegerakan tempahan itu. Tetapi jika dihitung sejak dia buka bengkel sehingga hari ini, dianggarkan melebihi ribuan orang yang pernah menempah senjata tersebut darinya.

Ada di antara pembeli itu datangnya dari Terengganu (tidak melebihi 10 orang). Mereka yang datang biasanya akan membelinya secara borong kemudiannya menjual kepada pembeli di sana pula dengan harga pasaran semasa.

Menurutnya lagi, lazimnya bagi pisau menoreh yang dijualnya dibeli oleh lelaki. Namun, bagi penduduk di kawasan Kampung Hutan Mala itu, ramai pembelinya di kalangan wanita kerana kebanyakan penoreh di kawasan itu terdiri daripada kalangan wanita walaupun tidak dinafikan, ada juga di kalangan lelaki yang turut turun ke ladang bersama isteri masing-masing.

Tentang komen pembeli pula terhadap barangan yang dihasilkannya agak baik dan sempurna berikutan dia menghasilkan barangan berkenaan dengan agak cermat supaya menepati kehendak pembeli.

Untuk tempahan, sila hubungi Zakaria Mat Salleh atau Pak Ya di talian: 09-7941267


Zakaria Mat Salleh atau Pak Ya.

Pak Ya ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang dijadikan bengkel pertukangan besi.

Inilah rutian seharian Pak Ya.



Antara pisau menoreh yang telah siap dibuatnya.








Antara peralatan dan mesin yang digunakan untuk menghasilkan senjata yang ditempah.


Bengkel pertukangan besi milik Pak Ya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Jumaat, 20 Januari 2017

Bapa Menghidap Strok


BAPA MENGHIDAP STROK

TANAH MERAH, KELANTAN: Pengorbanan seorang bapa terhadap anak-anak dan keluarga memang tiada tolok bandingnya. Jika dihitung tentang apa yang telah mereka lakukan, kita sebagai anak-anak tidak dapat menilai betapa sukarnya mereka mencari rezeki, tempat tinggal dan hak milik tetap seperti tanah dan penempatan buat membahagiakan keluarga masing-masing.

Hasil pengorbanan mereka yang tidak pernah kenal penat lelah, susah payah, terpaksa pula berpanas dan berhujan serta mengorbankan masa, tenaga dan kesihatan semata-mata untuk memberikan perlindungan kepada anak-anak patut diambil contoh dan iktibar khusus kepada generasi baharu supaya mereka dapat menilai apakah kesukaran orang-orang tua kita di masa lalu berbanding yang telah kita nikmati hari ini.

Menjengah keperitan seorang bapa yang akhirnya diserang penyakit strok kerana susah payah beliau di masa muda, apatah lagi apabila telah meningkat usia senja sebagai penyebab beliau menderita penyakit tersebut kerana ada yang berpendapat, disebabkan terlalu kuat bekerja juga boleh mengundang masalah kesihatan dan memakan diri sendiri. Begitulah halnya yang telah dialami oleh bapa Mohd. Zainal Mat, 30, atau lebih dikenali sebagai Jena dari Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan.

Menceritakan serba sedikit tentang kepayahan bapanya yang akhirnya diserang penyakit strok buat pertama kali pada tahun 2006 telah mengajar dirinya tentang erti pengorbanan yang tidak ternilai seorang bapa yang juga seorang peneroka di tanah rancangan di felda tersebut sehingga akhirnya beliau berkeadaan begitu.

Katanya, bapanya diserang strok pada tahun 2006 yang ketika itu berusia 96 tahun semasa sedang bekerja menanam pokok di kawasan ladang felda di bukit tersebut.   

Menurutnya, selepas mengalami strok permulaan pada tahun 2006 itu keluarganya membawanya untuk merawat secara tradisional dan selepas rawatan itu bapanya dapat bergerak dan berjalan seperti biasa. Namun, pada tahun 2009 bapanya diserang penyakit itu buat kali kedua.

Sebagaimana kejadian pertama pada tahun 2006, pada tahun 2009 ini keluarganya membawanya ke hospital kerajaan dan selepas itu melalui rawatan dan membuat urutan strok secara tradisional. Sambil menjadikan amalan memakan ubat-ubatan dan rawatan itu keadaan kesihatan bapanya pulih tetapi tidaklah sepenuhnya seperti dulu. Malah menurutnya, bapanya bergerak pun agak lambat sebagaimana sebelum ini. Sementara bapanya pula terpaksa dipimpin untuk berjalan dan ketika makan pun perlu disuapkan.

Selepas itu, pada tahun 2011, bapanya diserang strok buat kali ketiga. Serangan strok kali ketiga ini menjadikan bapanya tidak lagi dapat bangun, bergerak dan berjalan seperti dulu, hanya terpaksa berbaring semata-mata kerana serangan strok berkenaan melibatkan kaki dan tangan sebelah kiri.

Ditanya tentang pengalamannya menguruskan bapanya diserang strok buat kali ketiga itu, beliau menjelaskan, ketika bapanya itu diserang strok buat kali ketiga itu, beliau ada bersama dengan bapanya. Mungkin penyebab serangan strok itu disebabkan darah tinggi yang dialami oleh bapanya.

Pada ketika itu, beliau segera membawa bapanya itu ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Ketika dalam perjalanan ke hospital, bapanya yang bersandar pada kusyen kereta dengan tiba-tiba tumbang (jatuh). Pada masa yang sama, bapanya tidak lagi dapat bercakap sebagaimana sebelumnya. Selepas itu, bapanya terpaksa diusung kerana tidak lagi dapat bergerak sehinggalah hari ini.

Menurut doktor yang merawat bapanya menyatakan, bapanya itu diserang strok tahap ketiga dan untuk sembuh sepenuhnya agak tipis. Menurut doktor itu lagi, bapanya mengalami strok di bahagian kepala (urat dan saraf di bahagian kepalanya pecah), mungkin disebabkan itulah bapanya tiba-tiba jatuh dari kusyen kereta ketika beliau membawa bapanya itu ke hospital ketika itu. Jadi menurut pandangan keluarganya, untuk melakukan pembedahan amatlah tidak sesuai melihatkan keadaan usianya yang semakin lanjut itu. Justeru, beliau bersama adik-beradik yang lain hanya memberikan penjagaan terhadap bapanya itu yang hanya mampu baring apatah lagi tidak dapat bercakap sebagaimana sebelumnya.

“Setiap kali tiba waktu makan, terpaksalah disuapkan susu. Kami sekeluarga terpaksa menjaga bapa dalam keadaan sepenuhnya.

“Apabila tiba tiga jam sekali, terpaksalah saya suapkan susu sebagaimana sepatutnya”, jelasnya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin.

Sementara itu menurut Jena, apabila bapanya berasa akan kencing dan buang air besar, beliau sebagai anak yang bongsu terpaksa menguruskannya secara bergilir-gilir dengan adik-beradik yang lain. Bekas khas perlu disediakan untuk tujuan itu.

Beliau juga turut berkongsi dirinya dan bapanya sebagai peneroka di tanah felda tersebut. Ketika bapanya menjadi peneroka di ladang itu, usia beliau ketika itu masih dalam peringkat kanak-kanak. Namun, bapanya sering membawanya ke ladang untuk memperlihatkan dan memberikan pengalaman keadaan tempat bapanya mencari rezeki di situ.

Pada ketika itu menurutnya, bapanya memang cergas dan gagah bukan saja dapat memetik buah kelapa sawit tetapi juga berupaya mengangkatnya seorang diri. Memang sebagai peneroka, bapanya terlalu kuat bekerja semata-mata untuk menyara beliau dan keluarganya dengan rezeki di ladang itu.

Bapanya mula bekerja sebagai peneroka di ladang itu pada tahun 1980 dan pada ketika itu bapanya berusia lebih 40 tahun. Bapanya mendapat tanah di felda itu kerana hasil usahanya memohon dari pihak kerajaan. Malah majoriti bapanya memperolehi tanah di felda itu kira-kira 14 ekar seorang.

Ditanya tentang hal peneroka, beliau menjelaskan, apabila sampai satu masa, tanah itu akan diserahkan balik oleh pihak felda kepada peneroka untuk diuruskan dan begitulah halnya dengan bapanya yang sejak itu terpaksa diuruskan oleh peneroka sendiri.

Membicarakan tentang anak peneroka pula, banyak kelebihan yang dinikmati oleh anak-anak peneroka felda. Antaranya, bagi wanita yang berhasrat menjadi tukang jahit, golongan ini diberikan kursus atau kelas jahitan secara percuma dan pemberian tunai secara percuma. Manakala bagi anak-anak yang pintar dan berhasrat memasuki pusat-pusat pengajian tinggi, pihak felda akan menanggung kos itu kecuali makan minum adalah belanja sendiri, bantuan hari raya dan lain-lainnya.

Jena juga turut menyentuh tentang suasana sambutan hari raya Aidilfitri dengan katanya, pada masa dulu (zaman bapanya), sambutan hari raya di kawasan atau di perkampungan felda tidaklah semeriah hari ini. Tetapi semenjak 10 tahun kebelakangan ini, anak-anak peneroka yang bekerja di luar Kelantan akan pulang ke perkampungan felda semata-mata untuk menyambut hari yang mulia itu bersama keluarga masing-masing dan suasana berkenaan begitu meriah di perkampungan berkenaan setiap kali hari raya menjelang.

Katanya, sambutan hari raja sehari juga begitu meriah di kawasan felda. Apabila mengetahui ada di kalangan anak-anak peneroka yang akan menjadi raja sehari, peneroka-peneroka lainnya akan melakukannya secara bergotong-royong dan bantu-membantu, dengan hal yang demikian majlis pastinya berjalan lancar.

Membicarakan tentang konsep gotong-royong di kawasan Felda Kemahang 2, menurut Jena bahawa, dia difahamkan sebuah sekolah Arab yang akan diberikan nafas baru mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak peneroka dengan melakukan hal itu secara bergotong-royong atas keperluan pentingnya bidang pendidikan kepada anak-anak peneroka felda.

Selain itu menurutnya, pada masa dulu, kalangan peneroka apabila ada rumah yang akan dipindahkan, mereka bersama-sama mengusung rumah terbabit untuk diletakkan di kawasan tapak rumah yang dikhaskan. Begitu juga dengan anak-anak peneroka (golongan baharu), masih mengekalkan tradisi tolong-menolong dan bantu-membantu sesama peneroka bak kata pepatah “yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.

Hubungan di antara semua peneroka khususnya di Felda Kemahang 2 ini sejak dulu mengamalkan hubungan yang baik dan sentiasa muafakat di antara mereka sehingga hari ini. Jika wujudnya masalah, mereka akan mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah itu.

Turut sama berganding bahu di kawasan felda berkenaan adalah terdiri dari Persatuan Belia dan KRT. Manakala bagi Persatuan Penduduk dikhususkan untuk golongan peneroka yang turut sama melihat pentingnya hubungan seperti itu dikekalkan di kawasan tanah felda.

“Kebanyakan peneroka bukan sahaja dari Kelantan saja, namun ada juga dari luar Kelantan seperti dari Terengganu, misalnya dari Besut dan Setiu”, katanya apabila ditanya tentang peneroka di Felda Kemahang 2 itu

Justeru menurut beliau, sebagai salah seorang anak beliau amat bersyukur dan menganggap beruntung menjadi seorang peneroka. Ini katanya, jika ingin dibandingkan dengan orang-orang kampung biasa, menjadi anak peneroka felda dianggap bertuah bukan sahaja ditunjukkan tentang sikap menghormati tetapi juga mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan yang diperolehi.

Mohd. Zainal Mat atau Jena.

 Jena ketika diwawancara di kediamannya.


Beliau bersama adik-beradik bergilir menjaga bapanya.

Bapanya ketika memperolehi geran tanah pada tahun 1990.


Papan tanda Felda Kemahang 2, Tanah Merah, Kelantan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Selasa, 10 Januari 2017

Berniaga Cari Rezeki


BERNIAGA CARI REZEKI

PASIR MAS, KELANTAN: Nak hidup memang susah, itulah kata-kata segelintir di kalangan masyarakat kita. Bagi pekerja yang makan gaji tidak perlu berfikir banyak perkara kerana setiap bulan dapat gaji. Namun, ada yang mendakwa, makan gaji pun tidak cukup. Sebenarnya, bukan gaji itu tidak cukup, tetapi disebabkan salah urus sumber kewangan akan menyebabkan gaji itu tidak cukup. Apatah lagi, budaya banyak meminjam akan memburukkan lagi keadaan.

Namun, bagi yang tidak bekerja makan gaji akan terpalit dengan segala masalahnya setiap bulan. Misalnya orang yang berniaga kecil-kecilan (penjaja) pun akan berhadapan dengan pelbagai masalah yang sering menghantui mereka.

Cuma ada yang mendakwa, orang berniaga lebih senang kerana ramai pelanggan (pembeli) yang datang. Memang, ia kelihatan dari segi zahirnya saja, tetapi hakikatnya, pengusahanya memang sering sakit kepala kerana banyak berfikir sama ada untuk membayar gaji pekerja, bekalan bahan mentah dan sebagainya lagi.

Apatah lagi, jika mempunyai keluarga yang ramai sedangkan pendapatan hasil perniagaan yang tidak seberapa, turut mendatangkan masalah. Bahkan, jika keluarga mengalami masalah kesihatan, juga menyebabkan pening kepala. Sementelah pula, keadaan bekalan bahan mentah dan barangan di pasaran kini yang sering naik harga akan tambah memeningkan kepala mereka.

Pengalaman Fatimah Mat Daud atau lebih mesra dikenali Maksu Timoh, 65, dari Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas, Kelantan dalam mencari sumber pendapatan buat dirinya sendiri dan keluarganya memang agak berat. Dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu terpaksa mengambil tugas berat itu sebagai ibu tunggal untuk membesarkan dan menyekolahkan anak-anaknya, pada awalnya memang agak memeritkan. Sementelah pula, dia tidak mempunyai rumah tetap sebagai tempat tinggal. Dengan keadaan kemiskinan seperti itu, dia perlu mencari rumah sewa yang boleh dijadikan tapak untuknya berniaga makanan secara kecil-kecilan.

Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin sempat ke kediamannya yang dijadikan sebagai kedai menjaja nasi dan kuih-muih di kampung itu. Menurutnya, dia menetap di lokasi sekarang sejak tahun 1988 di mana ketika itu tiada seorang pun yang menetap di situ kecuali selepas beberapa bulan beliau menetap di situ.

Sebelum ini, telah banyak tempat beliau menyewa rumah seperti di Kampung Kubang Binjai, Kampung Tempoyak, Kampung Bechah Semak, Kampung Kubang Bemban dan Kampung Kubang Pak Hitam ini.

“Ketika maksu berpindah dan menyewa di kampung ini dulu, maksu menetap buat sementara. Maksu kemudiannya menyewa di Kampung Kubang Binjai. Selepas itu, maksu datang ke kampung ini balik”, katanya.

Ditanya tentang punca beliau sentiasa berpindah-randah menyewa rumah. Beliau menjelaskan, disebabkan dia ketiadaan rumah dan tanah sehingga terpaksa berbuat demikian. Bahkan pada ketika itu, dia berniaga kecil-kecilan sebagaimana yang dilakukannya sekarang semata-mata untuk menyekolahkan anak-anaknya. Antara makanan yang dijualnya seperti kuih-muih dan nasi berlauk (nasi bungkus) yang diminta oleh pembekal supaya beliau menjualnya. Dari jualan itu, beliau memperolehi komisen sebagaimana yang sepatutnya.

Antara pendapatan yang diperolehinya hasil menjual makanan tersebut adalah kira-kira RM500 hingga RM600. Perolehan pendapatan ini hasil jualan yang dilakukannya setiap hari, jika rehat bermakna pendapatannya lebih kecil dari itu dan tiada pendapatan langsung. Usaha beliau untuk berniaga kecil-kecilan ini adalah untuk menanggung anak-anaknya yang masih bersekolah selain dua orang cucu yang turut tinggal bersamanya. Dia terpaksa aktif jualan secara kecil-kecilan sejak kematian suaminya semasa anaknya yang berusia 6 tahun.

Ditanya tentang pimpinan peringkat kampung yang mengetahui keadaan beliau sekarang, beliau menjelaskan, Ketua Kampung berkenaan memang mengetahui tentang masalah yang dihadapinya kini. Bahkan rumah yang disewanya sekarang ini pun hasil usaha Ketua Kampung terbabit juga.

Di samping itu, beliau turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM350 sedangkan sebelum ini dia hanya memperolehi bantuan kewangan sebanyak RM30, juga hasil usaha Ketua Kampung berkenaan.

Dia juga tidak pernah menerima bantuan dari pihak JKM atau wakil rakyat yang sepatutnya diberikan perhatian terhadap ibu tunggal sepertinya. Dia mendapat rumah sendiri pada ketika itu perlukan modal sebanyak RM3,000 (bantuan kerajaan) untuk membolehkan tukang membina dan menyiapkan rumah berkenaan. Justeru, untuk menjadikan rumah kedai sebagaimana sekarang, dia perlu keluarkan modal sendiri pula berjumlah RM4,000.

Cara untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dan bahan-bahan lain yang ternyata merumitkan dirinya. Apatah lagi dia tidak mempunyai sebarang kenderaan yang patut digunakan untuk membawa pulang bekalan tersebut. Kalau adapun, sebuah motosikal milik anaknya, namun dia pula tidak boleh menunggangnya sendiri.

Antara mahu dengan tidak, terpaksalah dia mengajak anak-anaknya itu sebagai pemandu dan penemannya ketika mendapatkan bekalan untuk dijual nanti. Bahkan menurutnya, setiap biji atau makanan yang dijualnya itu, beliau memperolehi komisen jualan kira-kira dua puluh sen (RM0-20).

Tambahnya, kini disebabkan anaknya sibuk dengan kerja masing-masing, dia akan membonceng motosikal cucunya pula dalam usaha mendapatkan bekalan untuk jualan di kedainya itu. Setelah pulang ke kedainya dari mendapatkan bekalan makanan yang dimaksudkan, dia pastinya berasa sibuk untuk urusan cucunya dan perniagaan di kedainya pula. Dan begitulah rutin hariannya setiap hari, kecuali hari cuti persekolahan.

Ditanya tentang modal yang perlu dikeluarkannya untuk mendapatkan bekalan makanannya itu. Beliau menjelaskan, kira-kira RM60 modal yang terpaksa dikeluarkannya untuk tujuan itu. Walaupun pada pandangan orang lain, nilai sebanyak RM60 itu agak kecil, namun baginya agak besar juga.

“Bagi pandangan orang lain, nilai RM60 itu agak kecil. Tetapi bagi maksu agak besar juga”, katanya.

Kebanyakan kuih-kuih yang akan dijualnya, dia akan membeli dari pembekal dan pembuat kuih-muih itu. Dari belian itu, dia akan mendapatkan keuntungan sebiji setiap hari jualannya. Contohnya, jika dia membeli kuih-muih berharga RM1 (5 biji), dia akan menjual empat biji kuih itu berharga RM1. Maknanya, dia hanya dapat untung sebiji dari setiap jualannya.

Bahkan, jika makanan itu nilainya RM5, dia akan dapat untung sebanyak RM1. Begitu halnya dengan nasi berlauk lain, hanya nilai itu saja yang diperolehinya sehingga makanan seperti kuih dan nasi berlauk di kedainya itu habis kesemuanya. Maknanya, hasil jualan kuih-muih dan nasi pagi itu, beliau memperolehi pendapatan setiap hari kira-kira RM10. Cuma, dia bergantung harap atas penyediaan air minuman yang disediakan sendiri di kedainya. Jika tidak, dia tidak akan memperolehi pendapatan sebanyak itu.

Apabila ditanya, perolehan pendapatan hasil jualan makanan di kedainya sebanyak itu, adakah dia berpuas hati atau bagaimana. Jelasnya, dia bersyukur, kerana itulah rezekinya setiap hari. Memanglah beliau berhasrat untuk meningkatkan pendapatannya, namun, hanya itu saja yang beliau mampu lakukannya.

Apabila membicarakan tentang bantuan terhadap beliau, katanya, selain bantuan dari Ketua Kampung terbabit dan sebenarnya beliau tidak memperolehi dari bantuan dan sumbangan dari mana-mana pihak lain termasuk daripada Wakil Rakyat sendiri.

Katanya, kejayaan mendapatkan bantuannya selama ini atas inisiatif dirinya sendiri dan jika mengharapkan pihak lain datang ke rumahnya, tentunya dia akan berputih mata sampai bila-bila. Padahal dia tidak mengharapkan segunung emas, tetapi sekadar menghulurkan sedikit bantuan yang dari bantuan itu beliau boleh berdikari sendiri pula.

Menurutnya, beliau pernah memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang katanya bertempat di Kampung Jias, Pasir Mas, namun gagal sehingga hari ini.

Menceritakan tentang permohonan itu, dia mendapatkan borang di pejabat JKM di mana pihak berkenaan meminta beliau untuk mendapatkan sokongan daripada Imam dan Ketua Kampung.

Namun, pihak berkenaan memberitahu bahawa permohonan beliau tidak dapat diluluskan berikutan dia telah berniaga. Beliau berasa agak pelik, jika beliau tidak berniaga, siapa yang nak bagi beliau dan tanggungannya makan?

Walau bagaimanapun menurutnya, salah seorang pesara tentera bernama Abang Soh yang turut membantu beliau mendapatkan bantuan daripada pihak Masjid Kubang Bemban, Pasir Mas dan dari situlah beliau memperolehi bantuan yang dimaksudkan dan bantuan berkenaan masih diperolehinya sehingga hari ini. Jadi, menurutnya kesemua jumlah RM350 yang diperolehinya itu apabila dicampurkan dengan bantuan sebanyak RM70 itu.

“Maksu tidak pernah menerima bantuan dari badan NGO”, ujarnya.

Katanya, setiap kali malam tiba dia kadang-kadang bermenung dan berfikir tentang erti kehidupan, betapa sukarnya mendapatkan bantuan di zaman moden ini. Sesuatu yang sering terlintas di fikirannya ialah bagaimana cara untuk mendapatkan makanan dan pakaian sebagaimana insan yang lain.

Setakat ini beliau tidak cuba memohon permohonan dari MAIK. Katanya, pihak Wakil Rakyat pernah datang menjenguknya, namun tiada maklumbalas daripada pihak berkenaan dan dia sendiri tidak cuba timbulkan masalah yang dialaminya. Kalau Wakil Rakyat berkenaan peka dengan keadaannya, pihak berkenaan akan bersedia membantunya. Walau bagaimanapun, setakat ini dia masih belum cuba memohon bantuan sama ada daripada Ketua Kampung atau pesara tentera itu untuk memajukannya kepada pihak MAIK pula.

Membicarakan tentang banjir lumpur atau bah kuning tahun 2014 dulu, katanya, ketika dilanda banjir itu, kira-kira dua atau tiga bulan beliau tidak dapat meneruskan jualan makanannya disebabkan hal tersebut. Ini kerana, rumah dan kedai yang didudukinya sekarang ini ditenggelami banjir itu dan setelah banjir surut, tentunya perlu dibersihkan di segenap tempat.

Justeru, apabila beliau mengetahui berita tentang berlakunya banjir, dia sempat berpindah di tempat selamat di salah sebuah sekolah di situ. Namun, keadaan rumah dan kedainya itu telah ditenggelamkan banjir tersebut.

Semua barangan yang ada di dalam rumahnya itu berkeadaan selamat disebabkan beliau telah membuat rak khusus untuk menyimpan barangan tersebut. Namun, barangan lain seperti tong gas dan rokok yang turut dijualnya itu telah dicuri. Dia hanya berpindah ke tempat selamat dengan hanya membawa pakaiannya semata-mata.

Ditanya tentang banjir tersebut, memanglah hatinya sentiasa berkeadaan bimbang berikutan kebanyakan penghuni dalam rumahnya itu adalah perempuan dan kalau pun ada lelaki hanya cucunya yang masih kecil.

Fatimah Mat Daud atau Maksu Timoh boleh dihubungi di talian: 011-17922467

Fatimah Mat Daud atau Maksu Timoh.

Maksu Timoh ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kedai dan kediamannya.


Sebahagian makanan, kuih-muih dan nasi bungkus yang masih ada di atas meja.

Kediaman dan kedainya.

Papan tanda Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Ahad, 1 Januari 2017

Rawat Barah Payudara


RAWAT BARAH PAYUDARA

TANAH MERAH, KELANTAN: Terdapat di kalangan kebanyakan wanita yang mengalami barah payudara tetapi mereka tidak menyedari tentang penyakit itu yang menyerangnya secara senyap. Apabila sampai kepada satu tahap iaitu tempoh antara dua dan tiga tahun, barulah wanita sebagai mangsanya akan terasa kesakitannya. Kalau mendapatkan rawatan awal, tentunya penyakit tersebut dapat disembuhkan dengan segera. Namun, jika terlewat deritalah yang terpaksa ditanggung.

Namun, rawatan atau perubatan tradisional tentang barah payudara berjaya diubati dengan izin Allah dengan kaedah ayat-ayat Al-Quran di samping penggunaan pokok herba khusus yang dicampurkan dengan kapur sirih.

Menurut Pakar Tradisional Barah Payudara, Hamzah Taib, 84, atau lebih mesra dikenali Pok Wo dari Kampung Banggol Ketereh, Tanah Merah, Kelantan memberitahu Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin bahawa dia mengamalkan rawatan tradisional barah payudara kepada wanita kira-kira 10 tahun. Katanya, setakat ini menurut Pok Wo rawatan yang dilakukannya itu menemui kejayaan dengan izin Allah.

Menceritakan kaedah yang diperkenalkannya ialah apabila sepupunya yang menderita barah payudara dan beliau mengetahui hal tersebut apabila dimaklumkan tentang hal berkenaan, lalu beliau ke rumah sepupunya itu di Kampung To’ Uban, Pasir Mas, Kelantan.

Melihat kepada penderitaan yang dialami sepupunya itu apatah lagi pada ketika itu, jiwanya untuk menjadi pengamal rawatan tradisional barah payudara tiba-tiba terbit dari benaknya dan begitu berkobar-kobar.

Pada ketika itu, hati kecilnya berbisik, sekiranya beliau mahir dalam merawat barah ini melalui ilmu yang diperolehinya, dia bersedia membantu mangsa dengan tersebut. Pada masa hatinya berbisik itu, beliau belum mempelajari tentang cara dan kaedah untuk merawat penyakit tersebut, jadi beliau hanya melihat dan bersimpati terhadap mangsanya saja. Akhirnya, mangsa yang merupakan sepupunya itu meninggal disebabkan menderita penyakit barah berkenaan dan beliau agak sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa.

Akhirnya, sebagai langkah pertama bagi beliau untuk melengkapkan dirinya sebagai perawat yang dimaksudkan, pada tahun 1990-an beliau pergi ke Pahang lalu menemui seorang guru yang pakar dalam perubatan tradisional barah payudara. Dia maklumkan kepada Tok Guru yang di maksudkan, lantas Tok Guru terbabit memberikannya sebatang pokok, dikatakan pokok itu berunsur perubatan yang dapat menjadikan barah payudara sembuh apabila digunakan kepada pesakit. Apabila diminta nama pokok berkenaan, beliau enggan memberitahu kerana rahsia yang perlu disimpan oleh beliau sendiri.

Menurut Tok Gurunya, Tok Guru Abdullah memberitahu, jika beliau berjaya menanam pokok rahsia itu dan hidup dengan sempurna dan subur, bermakna beliau sesuai untuk menjadi seorang perawat barah yang dimaksudkan dan beliau perlu kembali ke Pahang untuk menemui Tok Gurunya buat kali yang seterusnya. Memang rezekinya, pokok rahsia yang ditanamnya itu hidup subur, lantas beliau ke Pahang buat kali pertama untuk memaklumkan hal pokok itu kepada gurunya.

Setibanya beliau di rumah Tok Gurunya, beliau diajarkan pelbagai cara dan kaedah yang berhubung kait dengan rawatan tersebut. Setelah mengetahui kaedah dan mahir dengan tunjukajar dan syarat yang diterimanya, beliau kemudiannya pulang ke Kelantan. Katanya, lebih kurang dua atau tiga bulan beliau pulang ke Kelantan, beliau ke Pahang pula buat kali kedua.

Pada kali ini, beliau diberikan ilmu, kaedah dan peraturan untuk merawat penyakit barah itu dengan sempurna dan beliau menerima segala syarat dan amanat yang diberikan oleh Tok Gurunya. Setelah memperolehinya, beliau pulang ke Kelantan dan begitulah seterusnya setelah beberapa bulan pulang, beliau ke Pahang buat kali ketiga pula untuk menemui Tok Gurunya itu. Pada kali ini, beliau memperolehi kesemua kepandaian dan ilmu yang dimiliki oleh Tok Gurunya dengan sepenuhnya.

Setelah menerima ilmu sepenuhnya dari Tok Gurunya itu, beliau kemudiannya pulang ke Kelantan. Syarat yang beliau patuh ialah, beliau hendaklah berubat (merawat) pesakit seramai tujuh (7) orang dan buat kali pertama dalam merawat tujuh pesakit itu beliau dilarang untuk menerima bayaran atau sedekah dari pesakit. Hanya setelah selesai mengubati ketujuh-tujuh pesakit itu, beliau dibenarkan untuk menerima bayaran atau sedekah dari pesakit yang datang berubat dengannya.

Menurutnya, pada hakikatnya beliau tidak meletakkan sebarang bayaran kepada pesakit yang datang berubat dengannya. Kalau yang datang berubat itu tidak mampu untuk membayar rawatan berkenaan, dia tetap akan mengubati pesakit kerana niat sebenarnya adalah untuk menolong atau membantu pesakit asalkan pesakit itu sendiri datang sendiri untuk berubat dengannya. Bagi Pok Wo, kalau tak dapat di dunia, tentunya dia memperolehi ganjaran di akhirat kerana pernah membantu orang ramai (pesakit) yang memerlukan rawatan dan bantuan darinya.

“Pok Wo tidak meletakkan sebarang bayaran perubatan. Asalkan ada yang sudi berubat dengan Pok Wo, Pok Wo akan bantu kerana Allah. Di dunia ini apalah yang sangat, akhirat nanti itulah keutamaan Pok Wo”, jelasnya.

Ditanya tentang jumlah pesakit yang pernah datang berubat dengannya, hakikatnya dia tidak ambil kisah tentang pesakit, asalkan pesakit datang menemuinya itu lebij baik daripada menanggung derita sepanjang hidup. Namun, jika menurut anggaran yang pernah dirawatnya, dirasakan sudah melebihi 1,000 pesakit yang berjaya dirawatnya dengan izin Allah. Lazimnya, dia banyak memberikan rawatan di kalangan pesakit muda yang belum kahwin di antara usia 22 tahun.

Apabila diminta komen tentang punca barah terbabit, dia mensabitkan tentang masalah urat saraf. Lazim menurutnya, masalah barah ini menyerang secara senyap dan tanpa disedari pesakit. Dalam masa dua atau tiga tahun, mangsa atau pesakit berkenaan tidak akan mengalami sebarang simptom dan mereka sihat seperti biasa, tetapi hakikatnya dalam masa itulah penyakit berkenaan menyerang. Biasanya, barah ini akan memberikan tanda awal seperti berasa kebas dan seperti sesuatu yang menyucuk-nyucuk. Serangan itu akan dapat dirasai di bahagian mana ia akan pergi (dalam tubuh manusia).

Ketika pesakit datang menemuinya dia akan melihat raut wajah pesakit yang dapat menggambarkan pesakit menderita penyakit berkenaan. Semasa merawat pesakit berkenaan, dia akan menggunakan sejadah dengan mengibas-ngibas sejadah itu di bahagian belakang pesakit (berlapikkan baju), ketika itu dia akan memasukkan ayat yang diajarkan oleh Tok Gurunya kepada pesakit dan ketika itu dia akan mengetahui barah yang dideritai pesakit itu dalam tahap mana.

Ditanya tentang bahaya penyakit barah payudara apabila sampai peringkat hitam, dia memberitahu, penyakit barah payudara paling bahaya apabila wanita-wanita membiarkan keadaan itu sehingga akhirnya memudaratkan wanita itu sendiri dan tanda-tanda hitam untuk menunjukkan penyakit barah itu sampai kepada tahap bahaya.

Salah seorang pesakit berkenaan ditahap hitam ini pernah datang berubat dengannya. Pok Wo memberitahu, keadaan payudara pesakit berkenaan memang seperti hilang (kecil). Dia ikhtiar merawatnya dan tanda awal sudah menampakkan hasilnya. Pesakit berkenaan membuat rawatan ulangan. Syarat berubat dengannya secara ulangan hanya tiga kali saja, tetapi pesakit berkenaan datang berubat dengannya sehingga 13 kali dan kini telah sembuh sepenuhnya. Sehingga sudah acap kali, dia dihadiahkan dua buah kipas kerana pada masa rawatan dijalankan, musim kemarau di Tanah Merah.

“Bagi Pok Wo, bagus juga pesakit berkenaan datang terima rawatan berulang kali. Syarat sebenarnya adalah tiga kali saja”, ujar Pok Wo.

Selain menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang diajarkan oleh Tok Gurunya, dia juga turut menggunakan sejenis pokok herba khusus untuk merawat barah payudara yang ditanam di laman rumahnya. Kaedah menggunakan pokok herba itu kemudiannya dicampurkan dengan kapur sirih.

Dia akan campurkan pokok herba itu dengan kapur berkenaan di tapak tangan kemudiannya diserahkan adunan pokok dan kapur sirih itu kepada isterinya untuk ditampal kepada pesakit barah berkenaan.

Tambah Pok Wo, lazimnya pesakit barah payudara tidak mengetahui barah berkenaan telah menyerang mangsa (pesakit) dan dilihat pesakit dalam keadaan sihat, sedangkan dia pastinya menderita barah tersebut berikutan penyakit berkenaan menyerang mangsa secara senyap atau tidak menyedarinya.

Katanya, penyakit berkenaan akan dirasai oleh pesakit (mangsa) apabila telah sampai kira-kira dua atau tiga tahun. Menurutnya, jika wanita-wanita mengetahui mereka menderita penyakit (bintilan kecil) itu dan mangsa berkenaan datang segera untuk dirawati, pastinya penyakit berkenaan sembuh dengan cepat. Dalam keadaan ini, menyapu campuran pokok herba dengan kapur sirih berkenaan kira-kira dua atau kali pastinya bintilan dan penyakit itu sembuh dengan segera kerana bintilan itu akan hancur. Namun, apabila sudah menjangkau dua dan tiga tahun malah keadaannya agak teruk kerana payudara berkenaan telah semakin buruk, tentunya tempoh sembuh agak lambat.

Pok Wo turut menyatakan makanan-makanan yang perlu dielakkan untuk mengelakkan barah payudara apatah lagi telah sembuh sepenuhnya juga perlu dielakkan seperti pisang, kacang dan kismis. Walaupun kismis ini dikatakan penawar, namun menurut Pok Wo menganggap kismis seumpama racun juga.

Katanya, walaupun payudara berkenaan telah berjaya diubati dan telah sampai tempoh setahun barah berkenaan sembuh, namun pisang perlu dielakkan untuk dimakan. Ini kerana, jika dimakan, pesakit akan menderita penyakit itu semula dan rasa berdenyut-denyut akan dialami.

“Menurut rawatan tradisional barah ini, terdapat beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan seperti pisang, kacang dan kismis.

“Memang kismis adalah sejenis buah penawar, namun bagi Pok Wo kismis umpama racun.

“Manakala pisang pula, walaupun barah berkenaan berjaya dirawat, tetapi apabila pisang tidak dielakkan, rasa berdenyut akan dialami semula oleh pesakit”, katanya.

Justeru, betapa ringkasnya rawatan tradisional berbanding dengan rawatan moden. Rawatan tradisional tidak memerlukan kos yang berlebihan berbanding dengan rawatan moden. Rawatan tradisional juga tidak memerlukan peralatan yang menakutkan berbanding dengan moden, malah rawatan tradisional juga menitikberatkan amalan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan keyakinan jiwa perawatnya untuk menyembuhkan penyakit dengan izin Allah. Jadi, tepuk dada tanya selera.

Pok Wo boleh dihubungi di talian: 019-9334927

Hamzah Taib atau Pok Wo.

Pok Wo ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Inilah pokok herba yang ditanam di laman rumahnya, dikatakan mampu merawat penyakit barah payudara.

Kediaman Pok Wo.

Ketika wawancara, Pok Mo menerima kunjungan pesakit.

Laluan ke kediaman Pok Wo.

Tonton Video:

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN