RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 10 Julai 2017

Misteri Gunung Tebu (Siri: 2)


MISTERI GUNUNG TEBU
(SIRI: 2)

BESUT, TERENGGANU: Pengalaman menghadapi kejadian misteri ketika melakukan aktiviti lasak khususnya mendaki gunung memang tidak dapat dilupakan. Ini kerana, melalui hal-hal tersebut kita dapat mempelajari ilmu baharu dalam situasi yang berbeza dengan lain-lain aktiviti yang pernah kita lakukan.

Kalau lazimnya kita berhadapan dengan manusia, kita sudah dapat membaca apa yang bakal berlaku dan bagaimana untuk menyelesaikannya. Namun, apabila berhadapan dengan makhluk halus apatah lagi kejadian itu berlaku di tempat-tempat yang belum pernah kita lalui, dengan tiba-tiba berlaku pula sesuatu kejadian yang kita anggap tidak masuk akal, tentunya situasi seperti itu akan menyebabkan kita hilang arah dan tumpuan. Sebab itulah, untuk melakukan aktiviti lasak apatah lagi memasuki danau yang belum pernah kita terokai memerlukan tubuh yang sihat dari segi mental dan fizikalnya juga.

Misalnya aktiviti untuk memasuki denai Gunung Tebu yang dikatakan sebuah tempat yang agak bermisteri adalah memerlukan beberapa persediaan yang sepatutnya. Ini kerana, beberapa lokasi di Gunung Tebu itu adalah sebuah tempat yang didiami pelbagai kelompok dan koloni makhluk halus. Sementelah pula, keterbatasan manusia untuk melihat kehadiran kelompok mereka memerlukan kesabaran dan kecekalan hati.

Jika tiada kedua-dua aspek ini, tentunya apabila timbulnya situasi yang tidak diduga akan menyebabkan kita melarikan diri atau terjun ke sesuatu tempat yang boleh membahayakan nyawa kita sendiri. Apatah lagi, makhluk halus boleh menjelma dalam pelbagai rupa dan keadaan yang kita sedari atau tidak kita akan menghadapi hal-hal seumpama itu.

Gunung Tebu menjanjikan sesuatu kepuasan setiap pendakinya kerana bermula dari laluan di kakinya sehingga ke puncaknya akan memberikan ketenangan kepada mereka yang bergelar pendaki. Untuk berjaya sampai ke puncaknya, bukan sahaja setiap pendaki akan melalui pelbagai halangan seperti keletihan, tekak yang sentiasa dahagakan air, menghadapi ranting yang menghalang laluan dan kayu tumbang, tanah yang licin, kehabisan tenaga dan berhadapan dengan kejadian misteri itu.

Sebagaimana yang diketahui, setiap tempat sunyi dan terpencil, dikelilingi hutan dan jauh dari hiruk-pikuk manusia, sudah semestinya makhluk ghaib yang menghuni dan menjadikan sesuatu tempat itu sebagai perkampungan mereka. Misalnya di Gunung Tebu itu, bermula di kawasan “Batu Licin” lagi terdapat penempatan asal makhluk halus.

Sebagaimana pengalaman penulis yang pernah melihat tempat tersebut dihuni makhluk halus yang hanya kelihatan rangka yang sedang berjalan ke sana ke mari selain terdapatnya kelawar raksasa yang bersaiz agak luar biasa ketika waktu Maghrib menjelang, memberikan gambaran hakikat bahawa pencerobohan ke lokasi mereka pasti menerima akibatnya. Mungkin betul atau tidak, terdapat kes maut apabila ada mangsa yang terjatuh dari tempat itu sebelum ini kerana melarikan diri dari kelibat yang agak pelik terhadap mangsanya.

Bermula dari laluan pejalan kaki yang berakhir di kawasan papan tanda batu licin itu, salah seorang peserta pendakian kami dapat melihat gerombolan makhluk halus dari golongan bunian bukan Islam yang sedang memerhatikan ke arah peserta kami. Malahan kami juga diperlihatkan dengan beberapa kejadian misteri, selain kami turut diintai oleh makhluk halus seperti jin dan golongan bunian yang mungkin agak hairan dengan kehadiran peserta kami yang agak ramai pada ketika itu.

Menurut Anis Sabirin, sejak melintasi Sungai Belatan kami sebenarnya telah diekori dua lembaga dari belakang sehingga kami sampai di kawasan perkhemahan Sungai Cakah Dua yang kini agak lengang akibat peristiwa beberapa kes remaja dan kanak-kanak yang hilang (ghaib) dan disorok di situ.

Sambil berehat dan membasahkan tubuh untuk menunaikan solat Zohor di samping mendapatkan bekalan air minum di sebuah aliran air di tasik itu untuk kegunaan semasa dalam pendakian nanti, Abang Aziz memberitahu bahawa tiga makhluk bunian telahpun menunggu kedatangan kami di seberang tasik itu.

Dari perbualan alam rohani (meditasi) di antara Abang Aziz dengan makhluk bunian tersebut, ketiga-tiga makhluk bunian itu memang tidak berapa senang dengan kehadiran kami yang seolah-olah mengganggu ketenangan masyarakat mereka pada masa itu. Tetapi golongan bunian itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana mungkin memahami tujuan kami ke situ lalu mereka berlalu pergi.

Setelah menapak lebih kurang dua jam di Sungai Cakah Dua itu, kira-kira pukul 3.30 petang kami meneruskan aktiviti mendaki dengan melalui denai yang agak rata. Namun, dari pemerhatian Anis Sabirin beliau agak kurang selesa kerana kami masih diekori oleh dua makhluk jin, namun beliau tidak mempedulikan hal tersebut.

Begitu pun, lebih kurang 700 meter lagi untuk sampai ke Batu Mat Hasan dengan melalui denai Mat Hasan yang agak menarik, Anis Sabirin tiba-tiba terpandang tiga batang 'tebu aneh' yang warnanya agak luar biasa iaitu 'coklat kehitaman' di sebelah kanan denai itu.

Disebabkan terlalu asyik dan terpesona dengan bentuk tebu aneh yang luar biasa itu sehingga beliau lupa tentang peringatan penulis terhadapnya supaya memaklumkan dengan segera kepada penulis jika beliau terlihat tiga batang tebu aneh di denai itu untuk dirakam gambarnya. Ini kerana, tiga batang tebu aneh itu sebenarnya tumbuh di alam ghaib yang dimiliki segolongan makhluk bunian.

Tetapi beliau mungkin terlupa dengan pesanan penulis, akhirnya tebu aneh yang mengandungi geliga bernilai itu ghaib serta merta. Kejadian tebu aneh muncul dan menjelma kepadanya sebagai alasan untuk memperlihatkan kepadanya tentang kewujudan 'geliga tebu' dan penempatan golongan bunian di denai tersebut.

Manakala di beberapa tempat di laluan denai Mat Hasan iaitu sebelum kami sampai di Batu Mat Hasan, Fakhruddin Yusof (Din Bukit) bersama Abang Aziz begitu asyik memandang akar yang agak panjang masuk ke dalam sebatang pokok. Menurut Abang Aziz, sifat akar dan pohon kayu tidaklah luar biasa sebagaimana yang beliau dan Din Bukit lihat itu.

Jika ingin menunjukkan sifat alam, kita biasa menemui akar melilit batang kayu. Namun, melihatkan fenomena seumpama itu jelas menunjukkan ada sesuatu yang tersirat dan agak aneh dan pelik yang sengaja untuk dipertontonkan kepada rombongan ekspedisi kami.

Penulis yang berada di belakang peserta lain kemudiannya mempercepatkan langkah untuk ke tempat akar masuk pohon kayu itu apabila diminta oleh Abang Aziz bagi memberikan kesempatan untuk disaksikan sendiri oleh Penulis tentang fenomena yang agak luar biasa itu. Bagi Penulis, fenomena akar memasuki batang kayu adalah kali pertama dilihat dan mungkin tidak akan berpeluang untuk melihatnya lagi untuk kali kedua. Lantas Penulis mencapai kamera untuk merakam detik-detik luar biasa pada petang itu.

Justeru, ketika Penulis 'mengklik' di atas butang rakam kamera yang tergenggam erat di tangan tanpa melepaskan butang itu, Penulis dapat menyaksikan gambar yang tertera di skrin kamera didapati pohon kayu itu kelihatannya seperti sebuah bilik atau singahsana istana raja-raja yang cukup cantik berwarna kekuningan.

Namun, setelah butang kamera diklikkan dan lensa merakamnya, bilik yang kelihatan cantik berwarna kekuningan tadi itu kelihatan sekadar akar memasuki pokok kayu iaitu seperti kepala ular memasuki pokok kayu sahaja.

Setelah memperolehi gambaran tentang fenomena luar biasa itu, Abang Aziz mengambil kesempatan itu untuk bermeditasi melalui kaedah kerohanian untuk memasuki alam makhluk halus.

Jadi, berdasarkan makluman Abang Aziz bahawa akar yang memasuki pokok kayu itu merupakan sebuah istana Raja Bunian berwarna kekuningan yang mana keluasannya sayup mata memandang dan di bahagian hujungnya kelihatan kabus berwarna putih yang agak nipis.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa sepanjang pendakian kami menuju puncak Gunung Tebu itu sememangnya didiami pelbagai jenis makhluk halus sama ada golongan langsuir, pontianak, jin dan bunian yang hakikatnya tidak disedari oleh segelintir pendaki lain sebelum ini tentang alam, perkampungan dan penempatan mereka yang wujud sejak gunung itu berdiri megah di situ.

Setelah berhenti beberapa ketika di kawasan akar memasuki pokok kayu itu, kami kemudiannya meneruskan pendakian sehingga tiba di sebatang pohon tumbang bersebelahan laluan kami. Penulis dan Abang Aziz tiba-tiba tercium bau yang agak menyelerakan seakan-akan kuah kari yang sedang dimasak.

Pada hemat Penulis, berkemungkinan bangsa bunian sedang mengadakan kenduri pertunangan atau perkahwinan berdasarkan bau tersebut. Justeru, ketika Penulis dan Abang Aziz sedang berbisik, bau kari itu kian semerbak menusuk hidung seolah-olah mengiakan bisikan kami. Tetapi, apabila Abang Aziz menyatakan bau kari itu 'busuk' seperti bangkai biawak, dengan tiba-tiba bau semerbak itu hilang.

Kami kemudiannya berhenti sementara di sebuah batu besar yang agak luar biasa. Bukan sekadar berehat dari kepenatan yang mencengkam tubuh badan kami dalam usaha untuk mengumpulkan dan memulihkan tenaga yang hilang akibat perjalanan panjang.

Namun, penyebab kami berehat di sebuah batu aneh itu apabila Abang Aziz dan Din Bukit dapat mendengar dengan jelas sepasang suami isteri yang sedang bertengkar yang mana bunyinya semakin lama semakin lantang yang datangnya dari arah batu tersebut. Penulis malah termasuk empat pendaki yang lain tidak dapat mendengar sebarang suara dari batu tersebut tetapi sekadar melihat ke arahnya apabila diberitahu oleh Abang Aziz dan Din Bukit.

Selepas itu, kami meneruskan pendakian dan perjalanan melalui denai yang agak panjang dan rata untuk sampai ke Batu Mat Hasan yang agak tersohor yang terletak di tengah-tengah denai Gunung Tebu. Ini kerana, Mat Hasan adalah seorang pertapa yang melakukan pertapaan di sebuah gua dalam batu yang berdiri gagah yang menutupi alur sungai di tengah-tengah gunung tersebut.

Gunung Tebu itu sebenarnya adalah tanah miliknya sendiri dan nama Batu Mat Hasan diberikan sempena dengan namanya. Manakala Gunung Tebu diberikan nama kerana terdapatnya tiga batang tebu aneh yang hanya dapat dilihat oleh orang-orang tertentu (bertuah) sahaja yang juga telah dapat dilihat oleh Anis Sabirin di sekitar denai Mat Hasan itu itu beberapa minit yang lalu. Ini kerana, tiga batang tebu itu sebenarnya milik Penghulu Bunian yang mana di dalamnya mengandungi pelbagai batu permata termasuklah geliga tebu yang agak bernilai.

Individu yang melalui kawasan Batu Mat Hasan ini dikatakan tidak boleh bersuara sebarangan kerana bukan sahaja akan diganggu dan disakat dengan pelbagai jelmaan yang menyeramkan. Kejadian yang dialami oleh beberapa pendaki sebelum ini yang terkena sampuk dan terserempak dengan lelaki berjubah, lembaga arnab yang besar, lembaga ular dan katak yang saiznya agak luar biasa sebagai petanda kewujudan pelbagai jenis makhluk halus yang menghuni di kawasan itu yang bukan sahaja terdiri daripada golongan bunian Islam dan bukan Islam yang tinggal sama ada di atas batu itu sendiri dan di dalam gua Batu Mat Hasan.

Pendakian kami kemudiannya tiba di Batu Mat Hasan ketika waktu Maghrib menyapa kira-kira jam 7.30 malam, bagi menggambarkan malam mula melabuhkan tirainya dan dalam masa yang sama Penulis dapat mendengar pelbagai suara dari dalam hutan itu silih berganti. Manakala bagi Anis Sabirin pula, setibanya beliau di hadapan di Batu Mat Hasan itu, makhluk halus yang mengekori perjalanannya sebelum ini tidak lagi kelihatan.

Tetapi beliau dapat mula melihat lembaga seperti warga emas (orang tua) sedang memerhatikan rombongan kami. Orang tua itu menurutnya berpakaian serba putih dan pada waktu yang sama beliau terlihat kelibat seorang kanak-kanak lelaki berada berhampiran Batu Mat Hasan itu.

Kesempatan dapat berehat di kawasan lapang di hadapan Batu Mat Hasan digunakan sepenuhnya oleh Penulis untuk merakam gambar sebanyak mungkin dalam suasana malam pula. Ini kerana, di samping dapat mengetahui kehadiran makhluk halus yang berdiri berhampiran peserta kami amat jelas apabila bulu roma di lengan Penulis terasa meremang beberapa kali. Di antara gambar yang dirakam dalam suasana itu termasuklah Batu Mat Hasan dan sekitarnya termasuk lubang gua Batu Mat Hasan.

Menariknya tentang Batu Mat Hasan di waktu malam itu apabila mata Penulis pada awalnya dapat melihat dengan jelas wajah makhluk halus seperti manusia, kepalanya agak bulat dan masih sihat tetapi rambutnya agak beruban untuk menunjukkan usianya sekitar 50 hingga 60 tahun (bagi umur manusia) yang sedang berdiri di atas batu tersebut. Manakala di dalam gua Batu Mat Hasan pula, kelihatan makhluk halus seperti seorang lelaki dewasa sedang melakukan wirid dengan memandang tepat ke arah kamera Penulis yang dihalakan ke muka gua berkenaan.

Selepas kami berehat sekurang-kurangnya setengah jam di kawasan lapang di hadapan Batu Mat Hasan itu, kira-kira jam 8.10 malam kami meneruskan pendakian panjang dalam suasana yang semakin gelap. Kali ini corak pendakian kami agak memenatkan kerana terpaksa mendaki laluan yang agak tinggi sementelah pula tenaga yang ada turut dibebani dengan beg kamera, bekalan makanan dan minuman serta kain selimut.

Menurut Anis Sabirin bahawa, semasa kami meninggalkan Batu Mat Hasan untuk mendaki laluan yang berbukit itu, dari pemerhatiannya dalam suasana hitam pekat itu sambil dibantu cahaya lampu suluh yang tergenggam erat di tangannya, beliau dapati banyak makhluk halus yang berpakaian serba putih sedang bersembunyi dalam tunggul dan pohon-pohon kayu yang buruk.

Manakala bagi Din Bukit pula sebagai juru pandu pendakian kami berasa agak gusar kerana buat beberapa saat, beliau dapati tidak kelihatan laluan kerana dibenteng dinding gelap walaupun itulah laluan sebenar yang patut kami lalui. Melihatkan suasana berkenaan, Penulis cuba menyuluh benteng gelap yang menutup dan menghalang laluan kami itu.

Tetapi cahaya lampu tidak dapat menembusinya. Ini salah satu cara permainan makhluk halus yang berkampung di kawasan itu yang ingin melambatkan perjalanan kami dan kemungkinan jika kami teruskan juga, natijah buruk mungkin berlaku. Lantas Penulis meminta supaya peserta kami berehat selama lima minit, kemungkinan benteng itu akan dibuka semula selepas masa berkenaan tamat. Ternyata benar, kerana selepas masa berkenaan berakhir, kami akhirnya diperlihatkan jalan yang sepatutnya kami lalui.

Beberapa ketika kemudian, kami tiba di sebuah tempat yang dikenali 'Jendela Pandang' melihatkan dalam kesamaran cahaya langit walaupun di tengah-tengah hutan apatah lagi dalam suasana yang gelap pekat itu. Setelah peserta kami tiba di situ, Penulis menghalakan lampu suluh ke arah papan tanda berkenaan.

Kami terpaksa berhenti beberapa minit di kawasan Jendela Pandang berikutan perjalanan kami dirasakan berat dan lambat. Dari maklumat yang Penulis perolehi bahawa, beberapa pendaki yang pernah melalui kawasan berkenaan mendakwa laluan itu memang tempat makhluk bunian bersuka ria.

Setelah beberapa meter mendaki, akhirnya kami sampai di tempat 'Punca Air. Dikatakan punca air bermaksud, hanya di kawasan itu sahaja para pendaki Gunung Tebu boleh mendapatkan bekalan air minum untuk dibawa sampai ke puncak gunung itu nanti.

Jika bekalan air tidak diambil di situ, tidak ada lagi tempat bekalan air yang boleh ditemui, akibatnya tekak terpaksa menahan keperitan dahaga dan dalam keadaan ini tentunya pendakian menjadi lambat atau terasa pincang. Di antara ingin atau tidak, kami perlu berjalan menuruni lembah itu untuk mendapatkan bekalan air dari air terjun di situ.

Lantas bersama-sama lima pendaki yang lain, Anis Sabirin segera mencapai tiga botol bekas air mineral untuk tujuan mengisikan air, sementara Penulis dan Din Bukit berehat buat beberapa ketika sambil menunggu perkakasan mendaki termasuk beg sandang dan bekalan makanan.

Penulis yang agak kepenatan akibat memikul beban kedua-dua beg yang terlalu berat mengambil kesempatan untuk berehat sambil menyandarkan tubuh di sebatang pohon kayu yang agak sederhana kecil berhampiran laluan di kawasan punca air itu. Ketika itu, malam semakin pekat di tengah hutan. Penulis tidak pedulikan apa yang bakal berlaku akibat terlalu penat disebabkan entah berapa gelen keringat memercik keluar.

Sambil menyandarkan beg, Penulis dapat merasakan berlakunya perubahan cuaca pada malam itu dan dari arah kanan, ekor mata dapat melihat dengan jelas lembaga perempuan berpakaian putih yang Penulis agak sebagai 'langsuir' sedang terbang dalam gerak perlahan betul-betul di hadapan Penulis. Tetapi sayangnya, sewaktu Penulis cuba mencapai kamera untuk merakam detik-detik pada malam itu, dengan tiba-tiba lembaga perempuan berpakaian putih itu terus ghaib.

Akhirnya, setelah berhempas-pulas terpaksa mengharungi badan yang semakin penat akibat terlalu berat membawa kedua-dua beg dari hadapan dan belakang seperti beg berisi kamera, makanan, peralatan memasak serta pakaian termasuk tikar dan kain selimut, Penulis dan rakan-rakan yang lain akhirnya berjaya menawan puncak Gunung Tebu yang tingginya 1,036 kilometer atau 7,808 meter bersamaan 3,401 kaki yang mana pada ketika itu jam di tangan menunjukkan 1.15 pagi.

Tidak ada yang lebih selesa dan dapat dirungkai dengan kata-kata selain dapat meletakkan kedua-dua beg sandang yang terlalu berat termasuk dapat menjamah sedikit makanan kerana Penulis sememangnya kelaparan sejak singgah di tempat Punca Air tadi lagi.

Dengan merasai segelas minuman seperti milo, roti dan mi segera buat mengalas perut yang sudah berkeroncong selain dapat mengembalikan tenaga yang telah hilang, barulah timbulnya perasaan lega di hati Penulis.

Setelah dapat menikmati juadah pada pagi itu sambil menghayati suasana cahaya langit dengan bertemankan lampu malam yang disediakan pihak Jabatan Perhutanan di puncak Gunung Tebu itu, Penulis dapat merasakan sesuatu yang tidak diundang bakal berlaku iaitu 'hujan'.

Memang benar, hujan mula turun pada pukul 2.15 pagi diikuti angin dingin berpuput lembut dan selepas itu kabus mula menyapa kami. Walaupun kami tidak bersedia dengan khemah kerana terlalu keletihan, tetapi kami memang bersedia dengan plastik khas yang boleh menutup kami dari disimbah hujan itu. Jadi, kami akhirnya tertidur berbumbungkan sebatang pohon bonsai gunung sambil bersandarkan kepada baju panas dan kain selimut yang dibawa khas untuk tujuan berkenaan.

Manakala pada pagi 9 Ogos, 2008 keesokannya, tatkala Subuh menyapa tidur kami dan ada di antara rakan-rakan pendaki yang masih enak dibuai mimpi disebabkan terlalu keletihan, Penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam beberapa keping gambar berhampiran sebuah batu dan rumpunan pohon-pohon yang tumbuh di tengah-tengah lorong (laluan) di puncak gunung itu dikenali Taman Santai Bunian. Dari rakaman itu, memang banyak wujudnya makhluk halus seolah-olah sedang memerhatikan ke arah kami.

Lebih kurang jam 9.30 pagi pula, peserta kami bergerak ke sebuah batu yang agak besar dan luar biasa dikenali 'Batu Madrasah'. Pada hemat Penulis, tempat yang kami tuju itu adalah Taman Bunian kerana selain terletaknya Batu Madrasah, beberapa jenis tumbuh-tumbuhan pelik seperti 'sawat harimau', limau aneh dan pohon buluh hutan wujud di situ yang tidak ada di tempat lain yang mana tumbuh-tumbuhan ini adalah pohon herba yang boleh merawat penyakit batu karang telah ditemui oleh Abang Aziz serta Mohd. Nasiruddin.

Akhirnya ketika jam menunjukkan 12.30 tengah hari pada hari yang sama, kami mula meninggalkan kawasan Batu Madrasah itu untuk bertolak pulang dan menuruni puncak Gunung Tebu. Dalam masa menuruni puncak Gunung Tebu itu, hanya Penulis, Anis Sabirin dan Mohd. Nasiruddin sahaja yang masih tinggal di belakang, sementara rakan-rakan veteran yang lain telah lama maju ke depan meninggalkan kami bertiga.

Walau bagaimanapun, Penulis tidak menaruh sebarang kebimbangan tentangnya. Ini kerana, sesuatu yang diharapkan Penulis untuk mendapatkan sesuatu yang sepatutnya memang telah berlaku secara misteri ketika kami melangkah turun dari gunung berkenaan.

Ketika kami bertiga melangkah turun perlahan-lahan sambil melihat dan menikmati pemandangan di sebelah siangnya, kami bertiga memang bertuah kerana dapat melihat dengan jelas setiap akar, pasir, batu dan daun yang kami temui dan lihat seperti emas. Namun, kami bertiga tidak mengambilnya kerana kami ke situ bukan untuk menceroboh perkampungan makhluk bunian apatah lagi untuk mengambilnya sesuka hati.

Selepas itu, kami bertiga tiba berhampiran Batu Mat Hasan. Penulis dapat melihat sekuntum bunga putih yang agak menarik, namun apabila gambarnya dirakam didapati bunga itu adalah kulat. Akhirnya apabila kami melintasi Batu Mat Hasan, Penulis cuba mencari akar yang memasuki batang kayu di tempat Penulis merakam petang semalam (8.8.2008) yang dikatakan Istana Raja Bunian itu.

Penulis dapati akar yang memasuki kayu itu tidak lagi kelihatan (ghaib) dan sepohon kayu tumbang yang kami terhidu bau kari tidak lagi wujud. Menariknya bagi kami bertiga menurut Anis Sabirin bahawa, beliau dapat merasakan langkah kami bertiga menuruni gunung berkenaan selepas melintasi sepohon kayu tumbang yang didakwa dihuni pelbagai spesis makhluk halus itu menyebabkan perjalanan kami agak lambat dan seolah-olah kami melalui laluan yang sama berulang kali.

Sementara Anis Sabirin yang turut mendakwa dapat melihat tiga batang tebu aneh yang kemudiannya ghaib di kawasan denai Mat Hasan juga tidak lagi kelihatan di tempat yang dilihatnya semalam. Apa yang dilihatnya sekadar pohon-pohon kayu renek dan sebahagiannya pokok yang agak tinggi semata-mata.

Akhirnya, setelah tiba kembali di Sungai Cakah Dua, kami bertiga membasahkan tubuh masing-masing sambil mendapatkan bekalan air tasik berkenaan untuk dinikmati dalam perjalanan turun ke kaki gunung berkenaan. Kami kemudiannya tiba di kaki Gunung Tebu iaitu di Sungai Belatan tepat waktu azan Maghrib. Berakhirlah misi ekspedisi pendakian kami di Gunung Tebu bagi tahun 2008 yang paling berjaya kerana dapat menawan puncak Gunung Tebu dalam cuaca yang agak lembab selain dapat alami kejadian misteri di tempat-tempat yang dimaksudkan.

  Sungai Cakah Dua (ramai kanak-kanak disorok di kawasan ini)

 Akar masuk batang kayu ini adalah Istana Raja Bunian

 Pohon kayu tumbang, di sinilah bau kari semerbak

 Batu boleh bercakap. Di sinilah rombongan kami dihalang dinding gelap

 Denai Mat Hassan (di kawasan inilah munculnya tiga batang tebu aneh dan geliga di tengahnya)

 Batu Mat Hassan (pemilik bernama Mat Hassan bertapa dalam gua ini)

 Ada lembaga lelaki dalam gua Batu Mat Hasan sedang memerhatikan Penulis

 
 Jendela Pandang (kawasan gerombolan makhluk halus)

 Punca Air. Di sinilah bekalan air terakhir. Kawasan laluan langsuir

 Batu sawat lelaki

  Batu santai bunian di puncak Gunung Tebu

 Laluan menghala ke Taman Permainan Bunian


 Batu Madrasah di Taman Permainan Bunian

Batu Gajah atau Batu Kerbau? Batu ini terletak di Taman Permainan Bunian (ada makhluk halus perempuan sebagai penjaga di kawasan batu ini)


 Batu kuda telah pecah

 Batu sawat wanita

 Pohon sawat harimau ini terletak di Taman Permainan Bunian


Skuad pendaki Gunung Tebu

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan: