RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 30 Januari 2021

Pantai Bisikan Bayu

PANTAI BISIKAN BAYU

PASIR PUTEH, KELANTAN: Pantai Bisikan Bayu yang letaknya di Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan adalah produk pelancongan terawal dibangunkan di jajahan Pasir Puteh. Jarak pantai ini dari bandar Pasir Puteh sejauh 16 kilometer, manakala dari Pekan Cherang Ruku sendiri sejauh tiga kilometer.

Pada masa dulu, Pantai Bisikan Bayu dikenali sebagai Pantai Dalam Rhu adalah sebuah pantai yang cantik dan landai dengan pasirnya yang halus dan memutih boleh dilihat walau dari jarak yang jauh. Pantai Bisikan Bayu ini sering menjadi tempat pertemuan penulis dan penyair bahkan pantai ini juga telah diabadikan dalam buku "Antologi Sajak" terbitan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) berjodol "Bisikan 7".

Ketika tahun-tahun 1980-an dan 1990-an dulu, Pantai Bisikan Bayu begitu aktif dengan menerima jumlah pengunjung yang paling ramai yang bukan sahaja dari masyarakat tempatan tetapi dari daerah-daerah lain di Kelantan.

Pantai ini menjadi terkenal kerana banyak dikunjungi pelajar-pelajar sekolah yang berkunjung sambil belajar dan destinasi akhir adalah ke pantai ini. Selain yang masih diingati di pantai ini yang menjadikan Pantai Bisikan Bayu tersohor ialah dengan keenakan “Satar” atau sate ikan bakar. Ada yang membeli lebih untuk dibawa pulang selain untuk dimakan bersama kawan-kawan.

Walaupun pantai ini juga tersohor dengan aktiviti maksiat di sebelah malamnya sekitar tahun-tahun 1990-an dulu, tetapi pantai sememangnya tidak bersalah kerana bagaimana ia dicorak, pantai tetap berkeadaan begitu. Tetapi manusialah yang mewujudkan angkara durjana sehingga terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat itu.

Manakala pada tahun 2009 pula, Pantai Bisikan Bayu lumpuh dan mati apabila tiada aktiviti apabila tidak lagi dikunjungi pengunjung sama ada di sebelah siang mahupun malamnya. Akibat hal seumpama ini menyebabkan Pantai Bisikan Bayu menjadi lengang seperti “padang jarak padang tekukur” seperti diserang garuda dan jika disaksikan pada sebelah malamnya kelihatannya agak menyeramkan.

Sehingga tahun-tahun 2011, Pantai Bisikan Bayu seolah-olah semakin tidak bernafas apabila pengunjung loya untuk datang kerana pesisir pasirnya yang kotor dan tidak terkawal di samping apabila banyak kayu-kayu hanyut didapati terdampar di pesisir pantai, namun tiada pihak yang memberikan perhatian untuk membangunkan dalam segala segi dalam usaha untuk menarik pelancong dan pengunjung ke pantai berkenaan sebagaimana pada masa-masa dulu.

Sebelum ini, banyak kemudahan asas yang telah disediakan untuk pengunjung di Pantai Bisikan Bayu seperti pondok rehat, chalet penginapan seperti Taman Rehlah, surau, taman permainan, bilik persalinan dan tandas awam hanya sekadar bangunannya sahaja atau kelihatannya seperti sebuah replika tetapi tidak boleh menggunakannya.

Dibimbangkan kemudahan seumpama ini yang dianggap terbiar akan dijadikan tempat sarang maksiat dan penagihan najis dadah. Sementara itu, akibat berlaku peredaran masa dan pengubahsuaiannya, didapati Pantai Bisikan Bayu kurang menyerlah, kemudahan asas yang siap dibina hanyalah pondok rehat semata-mata, sementara kemudahan asas yang lain agak tidak kelihatan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sepatutnya cakna dan jika sikap membiarkannya akan menyebabkan Pantai Bisikan Bayu yang indah dan mempesonakan pada masa dulu pastinya akan mati dan pengunjung tidak lagi mengenali Pantai Bisikan Bayu.

Walau bagaimanapun, kedatangan tahun 2020 telah membawa sedikit perubahan di Pantai Bisikan Bayu apabila telah mula dikunjungi pengunjung dengan wujudnya beberapa aktiviti di pantai berkenaan yang kelihatannya mula aktif dan menampakkan sesuatu perubahan yang memberangsangkan.

Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Kelantan sepatutnya tidak kedekut untuk menyalurkan peruntukan untuk tujuan membaikpulih segala prasarana yang boleh memberikan manfaat dan mendatangkan keselesaan kepada pengunjung.

Mungkin pihak pimpinan Kerajaan Negeri tidak memerlukan pantai dalam minda mereka, tetapi sekurang-kurangnya lihatlah keperluan rakyat pula amnya serta pelancong asing khasnya yang juga boleh memberikan manfaat kepada kerajaan negeri juga.

 
Buku Antologi Sajak "Bisikan 7" diabadikan dari Pantai Bisikan Bayu.

Papan tanda arah ke Pantai Bisikan Bayu dari jalan utama.

Pintu Gerbang Pantai Bisikan Bayu.
 
Batu Asas.

Papan tanda di Pantai Bisikan Bayu.
 



Beginilah suasana pantai dalam konteks hari ini.
 
Kelihatan pondok rehat tidak bermaya. Kayu-kayu hanyut terdampar di pesisir pasir.
 
Gerai makanan ringan bergerak, juga agak lengang.
 


Suasana malam yang agak menyeramkan.
 


Suasana Pantai Bisikan Bayu pada bulan 10 November, 2020.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan