RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Selasa, 19 Januari 2021

Pantai Cahaya Bulan

PANTAI CAHAYA BULAN

KOTA BHARU, KELANTAN: Pantai Cahaya Bulan (PCB), begitulah nama sebuah pantai yang letaknya di Kampung Semut Api, berjarak 12 kilometer dari bandar Kota Bharu, Kelantan. Pantai ini dulunya dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi. Nama pantai ini diubah setelah berlakunya peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan negeri pimpinan PAS pada tahun 1990. Namun hakikatnya, sebelum perubahan nama pantai ini pada masa itu Pantai Cintai Berahi adalah pantai yang terkenal dan tertua di Kelantan yang juga menjadi tempat  pendaratan tentera Jepun untuk   menyerang   British pada 8 Disember, 1941.

Pantai ini dinamakan oleh seorang tentera British yang sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas ketika Perang Dunia Kedua begitu tersohor bukan sahaja dalam negeri Kelantan sendiri tetapi begitu gah di seluruh Semenanjung dan di luar negara. Pelancong  yang datang kebanyakannya bukan  sahaja  dari    negeri-negeri   lain di Semenanjung tetapi turut dikenali di kalangan pelancong Barat.

Pantai Cinta Berahi yang pada masa itu panjangnya 220 meter manakala pesisirannya 1.2 kilometer turut menjadi kunjungan jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan sekolah, namun paling menariknya PCB waktu itu menjadi tumpuan penulis-penulis dan penggiat sastera dalam dan luar negeri yang menjadikan PCB itu sebagai tempat untuk menjalankan  aktiviti pertemuan  dunia  penulisan,  sayembara  deklamasi  puisi   dan bengkel penulisan puisi dan cerpen.

Keadaan ini untuk memberikan gambaran bahawa PCB pada masa dulu begitu teduh kerana dinaungi pohon-pohon kelapa dan beberapa batang pokok rhu yang tumbuh subur akan menjadikan suasana yang panas di waktu tengah hari akan menyegarkan setiap yang berkunjung ke pantai itu. Tetapi berbeza pula dengan PCB pada ketika ini kerana apa yang difahamkan, beberapa anak benih kelapa telah turut ditanam beberapa tahun lalu untuk tujuan menyerikan pantai berkenaan di mata pengunjung tetapi tidaklah secantik di zaman kemasyhurannya.

Misalnya, pada tahun-tahun 1980-an, landskap PCB begitu menarik tetapi selepas itu akibat pantai ini tidak diberikan perhatian dan penjagaan yang sepatutnya, landskapnya tercorot, pengunjung pun mula berkurangan dan PCB seolah-olah menjadi pantai yang sepi dan terbiar. Malah difahamkan, sejak penanaman benih pokok kelapa dan selepas itu telah wujud beberapa buah gerai, kedai makan dan restoran di pinggir pantai ini pada tahun 2008, keadaan landskapnya amat tidak sehebat pada waktu itu. Pengunjung yang berkunjung ke PCB sekadar untuk menjamu selera semata-mata malah tidak kelihatan pengunjung dari luar.

Pantai ini pada suatu ketika pernah mati atau dengan kata lain “seperti hidup segan mati tidak mahu” apabila tiada lagi pengunjung untuk melihat atau bersayembara sebagaimana sebelumnya. Ini diakui sendiri oleh salah seorang peniaga layang-layang ketika itu, Wan Mohamed Wan Zir yang berasal dari Kampung Sireh, Kota Bharu dan telah berniaga layang-layang selama 15 tahun di situ menganggap Pantai Cahaya Bulan ibarat sebuah pantai yang tidak bermaya dan mati.

Katanya, ketika nama asal Pantai Cinta Berahi belum diubah nama kepada Pantai Cahaya Bulan, ia begitu tersohor di kalangan pengunjung  dari  pelbagai  peringkat lapisan dan usia. Peniaga  pun  agak ramai  untuk membina kedai di situ kerana tumpuan  pelancong  yang  ramai tanpa mengira masa. Beliau sendiri  selain pernah menjual layang-layang turut menjual  makanan ringan dan dari usahanya itu beliau memperolehi pendapatan kira-kira RM400 sehari.

Katanya menambah, selepas itu beberapa projek dan kemudahan telah diusahakan pihak industri pelancongan swasta sejak bulan Februari 2008 bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung seperti pembinaan wakaf rehat, tandas awam dan projek menanam pokok untuk mewujudkan suasana teduh dan mengelakkan panas terik, tetapi suasana berkenaan masih tidak mencukupi.

Dalam usaha untuk memberikan nafas baharu terhadap Pantai Cahaya Bulan, beliau menyarankan supaya gerai makanan dipindahkan ke belakang bagi memberikan sedikit ruang, mewujudkan pondok telefon awam, tambahan lampu jalan, mewujudkan taman permainan kanak-kanak, mewujudkan tempat untuk bermain layang-layang kepada peminat wau, pohon-pohon yang lebih rendang perlu ditanam dengan lebih banyak dan tersusun supaya suasana panas musim kemarau akan kelihatan teduh manakala benteng pantai yang ditambak dengan batu kerikil  sekarang  perlu  diturap  secara  melandai bagi  mencantikkan  lagi  tebing   pantai di samping memberikan keselesaan kepada pengunjung yang ingin mandi manda di pantai itu.

Menurutnya, benteng penghadang ombak itu sebenarnya mengganggu pandangan. Jadi, kalau pengunjung tidak terus ke tepi pantai, pengunjung tidak akan dapat melihat kecantikan pinggir  pantai dari jauh, malah benteng itu juga menyebabkan pantai menjadi sempit.

 
Wan Mohamed Wan Zir ketika diwawancara RELATIF.
 
PCB dalam proses naik-taraf pada tahun 2008.
 
 
Banyak benih kelapa ditanam ketika itu untuk tujuan mencantikkan pantai.
 

Suasana pantai dengan tambakan batu-batu kerikil.


 
 
 
 

Dengan adanya kemudahan wakaf rehat, lampu jalan, kedai makan, sistem jalan raya dan parkir kenderaan, pengunjung mula menyerikan PCB.
 
 
Salah satu restoran yang terdapat di pinggir pantai PCB.
 


Penulis sering berkunjung ke PCB untuk menjamu selera bersama keluarga.

Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan