RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 18 Julai 2022

Khasiat Pegaga dan Pucuk Gajus

  KHASIAT PEGAGA DAN PUCUK GAJUS

KITA sedia maklum, tumbuh-tumbuhan yang melata, mendatar, menegak dan merimbun sebagaimana yang kita saksikan sekarang mempunyai banyak kegunaannya dalam kehidupan manusia. Allah tidak mensia-siakan keperluan makhluk ciptaan-Nya seperti tumbuh-tumbuhan hidup begitu sahaja kerana walau bagaimana sekalipun manusia menolaknya, manusia tetap memerlukan tumbuh-tumbuhan dalam kehidupan mereka.

Misalnya penggunaan kayu-kayan adalah untuk membina kediaman sebagai tempat tinggal untuk tujuan mengelakkan dari panas dan hujan. Jadi, dengan membina rumah-rumah terutamanya dari kayu-kayu tersebut, manusia akan dapat mengelakkan masalah sedemikian.

Manusia juga memerlukan tumbuh-tumbuhan kerana ia menyajikan banyak keperluan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang juga berguna kepada manusia kerana dengannya memberikan khasiat dan keistimewaannya untuk kesihatan manusia. Selain sayur-sayuran dan buah-buahan, daun-daun kayu yang dalam bahasa lain disebut sebagai “ulam” itu juga lebih berguna kerana ia turut menampung khasiat yang sama selain berunsur perubatan kerana dapat merawat penyakit-panyakit yang dihidapi manusia dari dalam.

Walaupun terdapat segelintir di kalangan manusia tidak menggemari ulam kerana segelintir darinya yang bimbang termakan tumbuh-tumbuhan memabukkan, tetapi perlu ditekankan “hanya jauhari yang kenal maknikam” dan kalau boleh diperjelaskan, hanya yang mengenali ulam-ulaman yang memakannya malah kehebatan ulam ialah, ia boleh diambil dan dimakan tanpa memerlukan jumlah dan dalam tempoh tertentu tidak sebagaimana pengambilan ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi dan perlu mengikut aturan yang disarankan.

Sebenarnya, jika kita ke pasar-pasar di mana-mana tempat sekalipun, tumbuh-tumbuhan ulam ini tetap ada malah dijual di merata tempat. Sebut saja ulam pegaga dan pucuk gajus, tumbuh-tumbuhan ini ada peminatnya yang tersendiri. Pegaga dan pucuk gajus menampung banyak khasiat yang tiada tolok bandingnya malah sesuatu yang paling penting tentangnya ialah, ia bernilai perubatan.

Pegaga

Pegaga atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Hydrocotyle asiatica" banyak ditemui di kawasan semak-samun negara kita. Pegaga mempunyai dua kategori, iaitu pegaga biasa dan pegaga gajah. Pokok ini yang tumbuh menjalar adalah termasuk dalam koloni Pokok Ulam yang mempunyai banyak khasiatnya yang tersendiri.

Lazimnya, pegaga boleh dijadikan sebagai ulam mentah. Selain itu, pegaga juga boleh dijadikan ulam kerabu dan direbus. Namun, amat jarang sekali kaedah berkenaan, yang sering didengar mereka menjadikannya sebagai ulam mentah. Bahkan ada juga individu yang tidak menggemari pegaga disebabkan rasanya.

Pegaga memang kaya dengan khasiat pemakanan. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), pegaga kaya dengan Karotena (2649 mcg), Vitamin A (442 mcg), Vitamin B1 (0.09 mg), Vitamin B2 (0.19 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin (48.5 mg). Sementara bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (391 mg), Kalsium (171 mg), Fosforus (32 mg), Natrium (21 mg) dan Ferum (5.6 mg). Komposisi zat makanan lain pula seperti Karbohidrat (6.7 g), Protein (2.0 g), Serat (1.6 g), Lemak (0.2 g), Abu (1.8 g), Air (87.7 g) dan Tenaga (37.7 g).

Di antara khasiat pegaga ini ialah ia sesuai untuk ibu-ibu yang baru bersalin, awet muda, mencerdaskan minda, merawat penyakit kusta, sendi-sendi dan saraf, masalah penghadaman kerana mengandungi serat yang diperlukan, merawat demam dan membantu menyelesaikan masalah pembuangan kumuh.

Pegaga Gajah atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Hydrocotyle javanica" yang berdaun lebih tua dari pegaga biasa sememangnya hidup liar dan banyak ditemui dalam kawasan semak-samun di negara kita.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), pegaga gajah kaya dengan Karotena (1404 mcg), Vitamin A (234 mcg), Vitamin B1 (0.07 mg), Vitamin B2 (0.20 mg), Niasin (0.4 mg) dan Vitamin C (70.2 mg). Manakala bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (306 mg), Kalsium (165 mg), Fosforus (41 mg), Natrium (24 mg) dan Ferum (9.8 mg). Sementara khasiat makanan yang lain seperti Karbohidrat (5.3 g), Protein (1.2 g), Serat (1.3 g), Lemak (0.4 g), Abu (1.9 g), Air (89.9 g) dan Tenaga (30 kcal).

Pegaga gajah juga mempunyai keistimewaan terhadap kesihatan manusia. Masyarakat Melayu mempercayai, pegaga gajah dapat merawat masalah penghadaman, penyakit lumpuh, penyakit sendi dan saraf, gout, kanser, jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Banyak khasiat yang tersembunyi dalam pegaga

Pucuk Gajus

Pucuk Gajus dikenali juga "Pucuk Janggus", atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Anacardium occidentale". Pokok gajus tergolong dalam koloni pokok ulam yang banyak ditemui di kampung-kampung dan bahagian pedalaman. Tumbuhan ini turut dikenali sebagai tumbuhan liar, namun kini ia telah ditanam kerana keperluan kepada daunnya.

Kalaupun batang pokok gajus dianggap tidak berguna, namun daunnya sering dijadikan ulam dalam nasi. Walau bagaimanapun, pucuk gajus begitu popular kerana daunnya boleh dijadikan ulam mentah yang paling digemari ramai. Juadah tidak perlu lauk yang hebat-hebat, asalkan ada ikan singgang dan ikan bakar, pucuk gajus rakan paling rapat dalam konteks ulam yang boleh dicecah dengan sos, kicap mahupun budu (sos terkenal dari Kelantan).

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), pucuk gajus istimewa kerana kaya dengan Karotena (2076 mcg), Vitamin A (346 mcg), Vitamin B2 (1.19 mg), Niasin (0.5 mg) dan Vitamin C (91.0 mg). Manakala kadar garam galiannya terdiri dari Kalium (332 mg), Kalsium (53 mg), Fosforus (29 mg), Natrium (7 mg), Ferum (3.5 mg), Karbohidrat (4.5 g), Protein (3.8 g), Lemak (0.2 g), Serat (1.5 g), Abu (0.9 g), Air (89.1 g) dan Tenaga (35 kcal).

Khasiat pucuk gajus untuk kesihatan menyelesaikan masalah penghadaman, melawaskan kencing dan buang air besar, aliran darah menjadi sempurna, minda dan tubuh menjadi sihat dan segar (sentiasa mengamalkan pengambilannya), sesuai untuk kulit dan mata.

Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan