RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Penerbit/Editor: Azmi Mohd. Salleh

Selasa, 12 Julai 2022

Khasiat Serai dan Kemangi


 KHASIAT SERAI DAN KEMANGI

NEGARA kita memang kaya dengan tumbuh-tumbuhan herba yang paling berguna kepada manusia. Maksud tumbuh-tumbuhan herba bukan sahaja merujuk kepada akar-akar kayu yang juga penting kepada keperluan manusia dari sudut kesihatan dan rawatan terhadap penyakit.

Namun, tumbuh-tumbuhan herba ini merujuk tumbuh-tumbuhan ulam yang juga berguna kepada kehidupan manusia kerana tumbuh-tumbuhan ulam ini bernilai perubatan yang boleh merawat dan menjadi penawar kepada kesihatan manusia. Kalau selamanya kita bergantung kepada ubat-ubatan moden, ketahuilah bahawa tumbuh-tumbuhan ulam ini boleh merawat kesihatan manusia dari dalam tanpa kita sedari. Tetapi perlulan setiap dari individu itu mengamalkan pengambilannya secara kerap.

Pengambilan tumbuh-tumbuhan ini secara lebih kerap sebenarnya tidak membahayakan kesihatan dan tubuh badan manusia, namun ia disarankan pengambilannya tanpa mengira suatu tempoh tertentu tidak sebagaimana pengambilan ubat-ubatan moden.

Paling hebat pula ialah kebanyakan tumbuh-tumbuhan herba ini menampung banyak khasiat dan ia tentunya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri untuk kesihatan. Janganlah menganggap, tumbuh-tumbuhan ulam ini tidak berguna kerana ubat-ubatan moden telah berlambak di pasaran. Sedangkan dari satu sudut, tumbuh-tumbuhan ulam adalah lebih baik lagi kerana pengambilannya secara segar tanpa dicampur adukkan dengan bahan-bahan lain terutamanya bahan-bahan kimia yang tidak diperlukan oleh tubuh badan dan kesihatan manusia.

Lazimnya, tumbuh-tumbuhan herba ini pula boleh diperolehi secara percuma dan kalau membeli pun dengan harga yang paling murah malah senang pula ditanam ke dalam pasu ataupun di persekitaran rumah kita. Justeru, kenapa kita masih menafikan lagi tentangnya?

Kita sedia maklum, dalam zaman moden ini ada juga di kalangan kita yang menggemari pengambilan tumbuh-tumbuhan ulam kerana dengannya boleh menambah selera makan kerana salah satu nilai perubatan dalam tumbuh-tumbuhan ulam itu pula boleh menambah selera makan dan bertindak merawat penyakit-penyakit lain dalam tubuh badan manusia itu sendiri. Di antara contoh terbaik pengambilan tumbuh-tumbuhan ulam itu meliputi "Serai dan Kemangi".

Serai

Serai atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Cymbopogon citratus" sering dianggapkan oleh kebanyakan masyarakat terutamanya penduduk-penduduk kampung memanggilnya "serai lalang" dan serai wangi yang tergolong sebagai pokok herba dan pokok ulam. Tanpa diketahui umum, serai juga banyak digunakan dalam ubat-ubatan moden, makanan dan minuman kesihatan selain digunakan dalam rawatan alternatif.

Lazimnya, serai banyak ditemui dalam masakan "tom yam" dan "sate" disebabkan tukang masak hari ini tidak begitu mengenali peranan, keistimewaan dan khasiat yang dimiliki serai tersebut berbanding di kalangan orang-orang tua zaman lampau. Serai selain boleh dijadikan sebagai ulam mentah dengan memotongnya halus boleh dimakan bersama nasi dan pencecah, serai juga boleh dijadikan sebagai ulam "nasi kerabu". Namun dewasa ini penggunaan serai untuk ulam nasi kerabu tidak pernah ditemui disebabkan tukang masak kita tidak begitu memahaminya secara mendalam tentang peranan serai terhadap makanan. Bahkan serai juga boleh direbus, dicampurkan sedikit garam lalu diminum airnya.

Serai juga turut menjalani kajian untuk mengesan kandungan tentang zatnya. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), serai atau dikenali "lemon grass" ini mengandungi Vitamin B1 (0.04 mg), Vitamin B2 (0.05 mg) dan Niasin (0.4 mg). Kandungan bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (288 mg), Fosforus (29 mg), Kalsium (28 mg), Natrium (2 mg) dan Ferum (1.1 mg). Sementara kandungan bahan-bahan lain seperti Protein (0.7 g), Karbohidrat (12.8 g), Serat (2.0 g), Lemak (0.7 g), Abu (0.8 g), Air (83.0 g) dan Tenaga (60 kcal).

Banyak keistimewaan, kelebihan dan khasiat dalam serai yang boleh merawat dan memulihkan penyakit jantung, kanser, kencing manis, darah tinggi, masalah paru-paru, gastrik, tekanan angin dalam perut, gout, mata, kulit, penyakit batu karang, awet muda, masalah rambut, perut meragam, merawat perut buncit, makanan tidak hadam, masalah pembuangan kumuh, kurang tenaga, masalah seks, aliran dan haemoglobin darah yang tidak normal.

Khasiat dalam serai memang tidak dapat dinafikan

Kemangi
 
Kemangi adalah sejenis pokok ulam atau dikenali juga "pucuk kemangi" yang kurang didengari tetapi begitu popular di zaman warga emas pada masa dulu. Warga emas di zaman moden ini jarang yang mengenalinya, apabila ditanya, mereka terpinga-pinga. Tumbuhan renek yang berdaun lebat dan hebat ini membiak di tanah peroi dan gembur, dengan membuat sedikit batas membolehkannya hidup walau di musim kering. Kalau air dan hujan yang mencukupi, tumbuh-tumbuhan yang berasa dan berbau tengik ini akan cepat membesar.

Kemangi adalah ulam berdaun yang hebat, boleh dimakan mentah atau boleh dicecah dengan sambal, sos, kicap ataupun budu (sejenis sos dari Kelantan). Walaupun kemangi jika dimakan mentah, lidah dan ruang tekak akan berasa tengik, namun segalanya hanya sementara saja. Apabila sudah biasa, kemangi akan tetap diingati.

Khasiat dalam kemangi memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Tumbuhan herba yang boleh dijadikan ulam ini bernilai perubatan sesuai untuk segala jenis penyakit dari luar dan dalam tubuh termasuk penyakit-penyakit kronik. Ia dipercayai dapat membuka dan menambah selera makan, merawat masalah kulit, melancarkan pepeluhan, migrain, mencerahkan mata, awet muda, menyelesaikan masalah penghadaman, melawaskan kencing dan buang air besar, merawat penyakit kuning, masalah perut (buncit dan kembung), organ dan urat saraf yang sakit, kencing manis, darah tinggi, kanser dan jantung.
 

 Kemangi juga boleh merawat penyakit-penyakit kronik
 
Tulisan dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan